Thursday 12 June 2014

AKU BUDAK KAMPUNG


BAB 1

          Namaku Rosli. Aku budak kampung. Gelaran itu memang kena dengan aku. Sebab aku tinggal di kampung dengan ibu. Ayah. Entahlah! Sejak dari aku masih kecil sehingga sekarang aku tak pernah mendapat belaian kasih sayang dari seorang lelaki bernama ayah.

          Tak macam orang lain. Ada ayah. Aku hanya mendapat belaian kasih sayang dari seorang wanita yang bernama ibu. Insan yang melahirkan aku ke dunia ini. Aku pernah bertanya pada ibu di mana ayah. Dia menjawab ayah masih hidup dan berpisah dengan ibu.

          Aku tanya ibu lagi kenapa ayah berpisah dengan ibu. Jawapan yang diberikannya itu aku tak perlu tahu. Wajah sedih jelas nampak di wajah ibu apabila aku bertanya tentang ayah. Aku mengerti perasaan ibu. Dia cuba menyembunyikan sesuatu mengenai ayah daripada aku.

          Mungkin ibu mahu menanggung sendiri penderitaan hidup tanpa ayah. Dia tidak mahu aku turut merasai sama derita yang dihadapinya. Apabila memahami apa yang tersirat di hati ibu aku lalu tidak bertanya lagi tentang ayah. Bagi aku biarlah ibu terus menyimpan rahsia itu dan aku tidak perlu tahu.

          Pernah satu hari seingat aku ketika masih kecil lagi aku minta ibu untuk tunjukkan gambar ayah. Sekurang-kurangnya dapat jugak aku melepaskan rasa rindu pada insan yang bernama ayah ini. Ibu menunaikan permintaan aku. Gambar ayah kutatap sepuas-puasnya. Wajah aku saling tak tumpah macam wajahnya.

Itulah yang aku ingat kali pertama dan terakhir melihat wajah ayah dalam gambar. Itulah yang dapat aku ceritakan tentang ayah aku yang hanya kukenali wajahnya dalam gambar dan tidak pernah merasai belaian kasih sayangnya semenjak dari aku masih kecil lagi sehinggalah usia aku memasuki alam dewasa. Aku bersekolah hingga Tingkatan Enam. Lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan STPM tapi apakan daya kemiskinan hidup menjadi penghalang untuk aku melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

          Tak macam kawan-kawan aku yang lain. Semuanya berhijrah ke bandar. Mencari rezeki dan mahu berjaya dalam hidup. Bagi mereka apa yang ada di kampung ini. Tetapi bagi aku tidak. Di kampung juga ada rezeki dan boleh berjaya. Asalkan ada kemahuan dan rajin berusaha. Itulah yang aku pegang.

Aku bukannya tak mahu jadi macam mereka yang hidup senang dengan makan gaji. Tapi aku sayang nak tinggalkan ibu dan kampung ini yang penuh dengan ketenangan dan kedamaian. Bagi aku di kampung inilah segala-galanya dalam hidup aku tempat aku dilahirkan dan dibesarkan. Lagipun kampung ini penuh dengan catatan sejarah suka dan duka yang mewarnai hidup aku dan tidak akan dapat dilupakan buat selama-lamanya.

BAB 2

          Setiap hari aku bangun awal. Selepas mandi dan menunaikan solat Subuh serta bersarapan aku akan menaiki motosikal ke kebun getah Pak Rahman. Aku mengambil upah menorah getah di kebunnya. Rezeki jadi penoreh getah ini tak menentu. Harga getah sekejap naik sekejap turun. Sekarang harga getah tengah naik.

          Pagi sebelum matahari kelihatan aku dah mula menoreh di kebun getah kepunyaan Pak Rahman. Rasa dingin dan gigitan nyamuk dah sebati dengan diri aku. Sama dengan penoreh-penoreh getah yang lain. Tapi aku tetap berwaspada dengan ancaman binatang buas. Maklumlah seluruh kebun getah tempat aku menorah dikelilingi dengan hutan belukar dan kepekatan subuh yang gelap.

Tak ramai anak-anak muda yang sebaya dengan aku sanggup menjadi penoreh getah. Mereka lebih sanggup bekerja di kilang-kilang atau syarikat-syarikat di bandar. Setaraf dengan kelulusan yang mereka miliki. Banyak cabaran dan rintangan yang terpaksa dihadapi sebagai penoreh getah. Bukan setakat kena bangun awal pagi, berembun dan ancaman binatang buas tapi juga pendapatan yang diperolehi tidak menentu mengikut musim harga getah. Tambahan pula bila musim hujan pendapatan penoreh-penoreh getah terjejas.

          Terutamanya bagi mereka yang bergantung kepada menoreh getah sebagai punca pendapatan utama. Mungkin inilah yang menyebabkan anak-anak muda di kampung ini selepas tamat sekolah sahaja terus mencari kerja di bandar. Sedangkan menjadi penoreh getah juga rezeki untuk menampung kehidupan.

Aku sebenarnya sudah lama bergelumang dengan kehidupan sebagai penoreh getah. Sewaktu aku menunggu keputusan peperiksaan SPM lagi. Kawan-kawan aku ketawa apabila mendengar aku memilih kerja sebagai penoreh getah sementara menunggu keputusan SPM keluar. Seolah-olah kerja yang aku buat itu lucu buat mereka.

          "Apalah kau ni, Rosli? Buatlah kerja lain. Ini tidak. Jadi penoreh getah," sindir Azman sambil tersenyum.

          "Habis? Kerja apa aku nak buat. Zaman sekarang ni kerja nak pakai kelulusan. Hah, kerja menorehlah yang layak buat aku," jawabku pula sebaliknya.

          "Itulah kau fikiran singkat sangat. Ada kerja untuk kita lepasan SPM ni," kata Azman lagi.

"Kerja apa, Azman?" Aku mengangkat kepala tinggi sedikit memandang muka Azman.

          "Rosli! Rosli!" Dia menggeleng-gelengkan kepala apabila aku mengajukan soalan itu. Dari raut wajahnya aku dapat membaca. Bosan. Aku masih lagi tak faham dengan dengan apa yang diperkatakannya itu.

          "Kerja yang sesuai dengan kelulusan kita kerja kilang. Hah, besok aku dah nak ke bandar. Kau ikut aku sekali. Kita kerja kat sana. Gaji lumayan!" ajak Azman.

          "Dalam keadaan ekonomi sekarang kerja kilang pun belum tentu terjamin, Azman. Banyak jugak kilang yang tutup. Ramai pekerja yang menganggur," aku bersuara.

"Itu nasiblah. Tak semua kilang yang bungkus. Ada jugak yang bertahan. Sudahlah! Buang masa aje aku bercakap dengan kau ni." Azman mengeluarkan nada suara berbunyi jemu. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut aku itu sambil mengerutkan muka.

          "Kau kerja kilang apa, Azman?" aku menanya dengan rasa penuh minat.

          "Kilang kotak. Kilang tu besar. Pendapatannya setahun berjuta-juta. Bila dah masuk berjuta-juta kau faham-faham ajelah kan. Hah, gaji pun dah tentu beribu-ribu. Kalau nak dibandingkan dengan menoreh getah berapalah sangat. Dahlah bau sekerap yang tak tahan. Lagipun mana ada umur sebaya kita yang menjadi penoreh getah. Kau seorang aje. Wanita mana yang nak," perli Azman lagi dengan panjang lebar sambil ketawa berdekah-dekah sehingga berair dan tertutup kedua-dua belah matanya.

          Bagi aku apa yang dicakapkan oleh Azman itu aku tak ambil kisah sangat. Memanglah sindiran yang dilemparkannya itu tajam. Merah telinga bila didengar. Silap-silap hilang sabar boleh bergaduh. Kalau diikutkan darah yang sama-sama masih muda lagi.

          Tapi bagi aku semua itu tiada faedahnya. Hidup masyarakat kampung adalah bermuafakat dan saling bantu-membantu. Bukannya bermusuhan dan berpecah-belah. Lagipun Tuhan melarang umatnya berbuat begitu. Aku menganggap kata-kata berupa penghinaan kepada aku yang memilih pekerjaan sebagai penoreh getah adalah cabaran yang perlu aku sambut dan membuktikan bahawa penoreh getah juga boleh berjaya dalam hidup.

Macam pekerja kilang yang mendapat gaji besar. Hasil daripada keuntungan yang diperolehi berjuta-juta ringgit. Sudah ditentukan oleh Tuhan dalam hidup manusia. Untuk berjaya dalam hidup ini bukannya mudah.

          Rezeki tak akan datang dengan hanya berdoa menadah tangan sahaja. Perlu ada dalam diri semangat, usaha gigih, kesabaran dan tidak berputus asa untuk mengejar cita-cita untuk berjaya dalam hidup ini. Penting sekali jangan lupakan Tuhan dan sentiasa berasa syukur dengan apa yang telah dikurniakan-Nya. Segala ujian dan dugaan dalam apa jua bentuk harus ditempuhi dengan rasa penuh kuat dan takwa.

          Mungkin sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia. Tak semua perkara baik yang kita lakukan itu akan menimbulkan rasa suka dan sokongan di hati mereka. Masing-masing bebas memilih jalan sendiri untuk berjaya dalam mengharungi perjalanan hidup ini. Yang umpama sebuah pengembaraan yang jauh. Biarlah kawan yang sama sekolah dengan aku bernama Azman dengan caranya dan aku dengan cara aku yang pilih sendiri. Sebagai penoreh getah dalam usia yang masih muda lagi seperti sehelai daun hijau.

          Aku mendongakkan kepala memandang gumpalan awan tebal memutih dan langit biru. Cuaca kelihatan cerah hari ini. Jalur-jalur cahaya matahari jelas nampak di kaki langit dan menyimbah terang-benderang ke seluruh kampung yang indah dan permai. Angin yang datang dari arah bukit berhadapan dengan kebun getah Pak Rahman bertiup sepoi-sepoi bahasa.

          Rasa nyaman dan dingin jelas terasa. Dapat mengurangkan sedikit rasa bahang pijar matahari yang perlahan-lahan mula terasa membelah suasana pagi yang masih awal lagi. Pokok-pokok dan daun-daun getah jelas kedengaran mengeluarkan bunyi seperti menyanyi-nyanyi mengikut rentak tiupan angin. Jiwa yang dilanda duka jadi terhibur apabila mendengar nyanyian pokok-pokok dan daun-daun getah.

          Menjadi irama ketenangan hidup. Bersama suasana desa yang indah dan permai. Jauh sekali dimiliki di bandar-bandar besar. Dipenuhi dengan hingit-bingit pekikan hon dan kesesakan lalu-lintas saban hari. Siang dan malam. Lemas dengan asap hitam kenderaan dan kilang-kilang.

          Mereka yang hidup di bandar-bandar besar seperti berlumba-lumba dalam mengharungi kehidupan seharian. Kemajuan dan berjaya dalam hidup. Itulah yang sentiasa bermain dalam fikiran mereka. Sebagai penghuni di kota batu yang besar dan hidup dilimpahi dengan pelbagai kemewahan.

          Apabila terlalu asyik mengejar semua ini maka timbullah rasa sedih dengan sikap tidak mengenali jiran di sebelah rumah. Sedangkan mereka bernaung dan hidup mencari rezeki di bawah satu bumbung. Kota batu besar. Sama-sama berasal dari kampung. Tapi malangnya bila dah Berjaya hidup di bandar besar mereka mudah lupa asal usul. Tidak lagi menjenguk ibu bapa yang telah tua dan selalu sakit.

          Kehidupan di kota penuh dengan cabaran yang hebat perlu ditempuhi. Pencemaran asap hitam kenderaan dan kilang-kilang menyebabkan penghuni kota batu yang besar dan tinggi menjulang hingga mencecah awan mudah diserang pelbagai penyakit. Ini semua berpunca daripada salah sendiri manusia yang hidup di kota. Miskin rasa kesedaran akan kepentingan menjaga alam sekitar. Dianugerahkan percuma oleh Tuhan kepada makhluknya di atas dunia ini.

          Golongan remaja juga mudah terdedah dengan gejala sosial. Sekiranya tersalah langkah hidup di bandar besar. Sedangkan mereka adalah harapan negara di masa depan. Maju atau mundurnya negara adalah terletak di tangan mereka untuk mencorakkannya. Di sini betapa pentingnya agama dan akhlak yang mulia ditanam sedalam-dalamnya ke atas diri mereka. Generasi yang memimpin negara ini akan bertukar ganti pada suatu hari nanti. Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan yang dilalui oleh manusia bahawa setiap yang lama itu tidak akan kekal buat selama-lamanya dan pasti akan digantikan dengan yang baru juga. Suka atau tidak itulah hakikat yang harus diterima.

          Jauh sekali di sudut hati aku tidak suka dengan cara kehidupan di kota besar. Apa yang aku luahkan ini adalah lahir daripada hati yang tulus ikhlas melalui pemerhatian apa yang telah berlaku pada hari ini. Bukannya tidak bagus hidup di bandar besar ini. Hidup di mana-mana sekalipun sama. Asalkan ada kemahuan dan cita-cita untuk berjaya dalam hidup ini.

          Namun bagi aku biarlah kekal dan selama-lamanya aku memilih untuk menabur bakti di kampung halaman tempat aku dilahirkan dan dibesarkan. Biarlah kawan-kawan yang sebaya usia dengan aku berhijrah ke bandar besar untuk mencapai sinar kejayaan. Bagi aku pula biarlah di kampung yang penuh dengan warna-warna kedamaian dan ketenangan yang mungkin dimiliki sekali dalam hidup ini dan berbeza dengan kota bagai langit dan bumi sebagai tempat untuk aku memiliki sinar kejayaan. Sepertimana yang diimpikan oleh manusia lain selagi masih lagi diberikan kesempatan untuk bernafas di atas dunia yang sementara ini.

          Daun-daun dan pohon-pohon di hutan belukar berhampiran dengan kebun getah Pak Rahman seperti mengangguk-angguk bersetuju dengan kata-kata di hati kecil aku itu apabila ditiup angina yang tiba-tiba sahaja bertukar rentak menjadi kencang. Peluh yang mengalir di dahi lantas aku sapu dengan lengan kanan. Aku kemudiannya menarik nafas panjang sambil memandang ke kiri dan kanan kebun getah Pak Rahman. Setahu aku berpuluh-puluh pokok getahnya yang aku toreh setiap hari.

          Aku lalu ke pondok untuk berehat sebentar melepaskan penat. Air yang aku bawa dari rumah lalu diteguk untuk menghilangkan dahaga. Rasa dingin macam air terjun di pinggir kali apabila melepasi tekak. Panas betul. Sedangkan hari masih pagi benar lagi. Belum lagi masuk tengah hari.

          Tapi bahang panas yang memancar ke seluruh kampung seperti dah masuk tengah hari rasanya. Basah baju aku bermandikan peluh. Aku dah biasa dengan semua itu. Menjalani kehidupan setiap hari sebagai penoreh bersama dengan pokok-pokok getah. Sebahagian daripada hidup aku dan teman sejati. Hasil daripada menoreh getahlah yang menyara kehidupan aku dan ibu.

          Panas atau hujan kita sebagai manusia tak perlu mengeluh. Syukur. Itulah kalimah yang perlu diucapkan. Semuanya telah ditentukan oleh Tuhan. Asalkan tidak dilanda bencana alam. Seperti yang dialami di negara-negara lain di dunia. Membawa kemusnahan bukan sahaja harta benda malahan juga kehilangan nyawa termasuk kanak-kanak.

          Bekalan pisang goreng yang dibawa dari rumah walaupun dah sejuk tetap sedap aku jamah sebagai alas perut. Biarpun suasana di kampung adakalanya terasa kesunyian dan kesepian dengan orang-orang tua tanpa anak-anak muda namun begitu keindahan dan kedamaian yang dimiliki tetap hidup subur dalam jiwa aku yang masih muda ini. Sementara menunggu susu getah penuh dalam mangkuk aku melemparkan pandangan kea rah pokok-pokok getah.

          "Apalah nak jadi dengan kau ni hah, Rosli? Masuk universiti tak nak. Kerja kampung. Kau tengok sepupu kau tu Mizzuan. Kerja di bandar. Gaji besar dan pakai kereta mewah pulak tu," Pak Long memuji anaknya.

          "Dah rezeki saya di kampung ni, Pak Long," aku membalas.

          "Tapi soalnya sampai bila kau nak bergantung hidup dengan kerja kampung. Kau tu masih muda lagi. Tak ada cita-cita ke macam kawan-kawan kau yang lain. Bukan Mizzuan anak aku aje yang berjaya. Kau tengok Azman. Gaji besar pakai kereta mewah pulak tu sekarang. Walaupun kerja kilang aje," Pak Long menambah lagi.

          “Biarlah, Pak Long. Dah rezeki mereka. Saya pun tumpang gembira sekali. Anak muda kampung ni macam Mizzuan dan Azman berjaya dalam hidup,” ujarku.

          “Setakat tumpang gembira aje tak ada makna, Rosli. Hidup ni ibarat perjuangan. Kau tak nak ke hidup senang macam orang lain. Yalah! Sekarang kau belum kahwin lagi. Hah, dah kahwin nanti kau kena tanggung anak dan isteri. Kau fikirlah. Cukup ke sekadar dengan kerja kampung. Berapa sangat hasilnya. Tambah pulak zaman sekarang. Semuanya pakai duit. Kalau kau tak terima jugak nasihat aku ni tak tahulah aku apa nak jadi dengan kau,” Pak Long berkata.

          Jauh benar aku mengelamun. Tenggelam bersama tiupan angin yang lemah-gemalai. Sekali-sekala aku dikejutkan dengan bunyi ranting pokok getah yang patah dan jatuh di atas tanah. Bersama dengan daun-daun getah kering yang berguguran.

BAB 3

          Hari dah pun masuk tengah hari. Begitu pantas waktu berlalu pergi tanpa disedari. Baru sebentar tadi dirasakan pagi menjelma. Tapi sekarang dah pun masuk tengah hari. Siang berganti malam. Hari berganti minggu. Bulan berganti tahun. Demikianlah cepatnya waktu datang dan pergi dalam kehidupan manusia.

          Apa yang pasti dalam hidup ini sedar atau tidak waktu yang dipinjamkan oleh Tuhan tidak menunggu manusia. Sesungguhnya amat rugilah bagi anak muda seperti aku sekiranya tidak memanfaatkan waktu yang diberikan dalam hidup ini dengan perkara yang berfaedah dan membawa kebaikan kepada semua insan. Bagi aku selagi Tuhan mengurniakan kudrat tulang empat kerat selagi itulah aku akan terus bekerja keras memastikan kemakmuran dan kesejahteraan bumi yang bertuah ini.

          Memandang sahaja pokok-pokok getah aku pasti teringatkan ibu terbongkok-bongkok mengambil upah menoreh di kebun arwah Lebai Daud. Duit hasil daripada menoreh getah di kebun arwah Lebai Daud yang menyara persekolahan aku. Ibu sentiasa bekerja keras memastikan makan dan pakaian aku cukup macam orang lain. Dialah ayah dialah ibu kepada aku di dunia dan akhirat.

          Sungguh besar pengorbanan ibu. Dia juga memberikan didikan agama yang kuat kepada aku. Memastikan aku sentiasa mengaji al-Quran dan tidak meninggalkan solat. Selepas Lebai Daud meninggal dunia ibu tidak lagi menoreh getah di kebunnya.

          Anaknya Abang Darus telah menebang semua pokok getah dan menjualkannya kepada Taukeh Ah Leong. Sekarang bila ibu dah tua dan tak larat lagi aku mengambil alih tugasnya sebagai penoreh getah di kebun Pak Rahman. Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah aku bertemu dengan Tok Ketua.

          “Assalamualaikum, tok!” Aku terlebih dahulu memberi salam.

          “Waalaikumsalam!” Tok Ketua sebaliknya menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala. Enjin motosikal segera dimatikannya.

          “Baru balik dari menoreh ke?” tanyanya lagi.

          “Ya, tok!” aku cepat membalas.

           “Hah, kebetulan jumpa Rosli ni tok nak minta tolong. Itu pun kalau boleh,” ucapnya lagi.

          “Boleh!” Aku menangguk-anggukkan kepala sambil memandang wajahnya yang jelas kelihatan telah dimamah usia itu.

          “Tolong apa, tok?” sambungku pula.

          “Begini. Tok nak minta Rosli tebas dusun buah-buahan tok di hujung kampung tu. Maklumlah tok ni dah tua. Mana nak larat buat kerja-kerja tu semua. Lainlah masa muda-muda dulu. Berapa upahnya tok akan beri nanti,” jelas Tok Ketua.

          “Boleh, tok. Bila tok nak suruh saya mula menebas?” tanyaku pada Tok Ketua.
“Bila-bila Rosli lapanglah,” balas Tok Ketua sebaliknya.

          “Kalau macam tu besok saya mulalah, tok. Petang lepas saya balik dari menoreh nanti,” kataku.

          “Terima kasih, Rosli. Tok minta diri dulu. Assalamualaikum!” Tok Ketua bersuara sambil bersalaman denganku.

          “Waalaikumsalam, tok!” aku membalas. Tok Ketua pantas menghidupkan enjin motosikalnya dan berlalu pergi dari situ.

          Sampai sahaja di rumah dari jauh kelihatan seorang gadis sedang rancak berbual dengan ibu di pangkin yang terletak di halaman rumah. Ayu dan cantik wajahnya. Dengan tudung berwarna biru air laut dan baju kurung berwarna hijau muda. Dari raut wajahnya jelas Nampak usianya masih muda lagi.

          Tak pernah aku tengok dia sebelum ini. Bukan anak gadis dari kampung ni. Dari mana dia datang? Apa tujuannya dia datang ke kampung ni? Persoalan yang menendang-nendang benakku. Apabila melihat kehadirannya bersama dengan ibu. Aku perhatikan wajahnya dalam-dalam. Sudah! Jangan direnung lama-lama sangat. Nanti dia perasan. Yang aku ni macam ada menyimpan perasaan padanya. Padahal ini baru kali pertama berjumpa. Dia datang ke rumah aku.

          "Hah, cikgu. Kenalkan ni, Rosli. Anak mak cik. Rosli ini Cikgu Maizah. Dia baru tukar mengajar di kampung ni. Tinggal menyewa di rumah Pak Salleh," terang ibu pula padaku.

          "Tak usahlah panggil cikgu, makcik. Panggil Maizah aje. Kan lebih mesra. Tak apalah, makcik. Saya minta diri dulu," mohon Maizah dengan penuh sopan dan santun. Kena dengan wajahnya yang lembut dan ayu.

          "Yalah, Maizah!" ibu sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Senang-senang nanti datanglah lagi ke rumah makcik," pelawa ibu lagi.

          "Insya-Allah, makcik! Assalamualaikum!" dia memberi salam sambil berjalan tunduk dan perlahan-lahan meninggalkan rumahku.

          "Waalaikumsalam!" ibu menjawab.

"Dia dari mana, mak?" soalku sambil memandang muka ibu.

          "Dari Kuala Lumpur," balas ibu.

          "Bila dia tukar ke kampung ni?" tanyaku lagi tak henti-henti.

          "Baru semalam," terang ibu padaku.

          "Sebelum ni dia mengajar di mana?" aku menyoal ibu.

          "Dia baru aje keluar maktab. Terus aje dihantar mengajar di kampung ni. Yang kau ni beria-ia sangat nak tahu pasal dia kenapa?" ibu sebaliknya menambah sambil terukir senyum kecil di wajah tuanya itu.

"Tak ada apa-apa, mak. Saja nak tahu. Takkan tu tak boleh," ucapku pula.

          "Dahlah tu!" ibu pantas memotong.

          "Pergilah mandi. Lepas solat nanti boleh kita makan sama-sama," tambah ibu.

          "Yalah!" anggukku dan mengatur langkah naik ke rumah.

          Cuaca panas nampaknya hingga ke petang. Tiada tanda-tanda hujan akan turun. Melalui jendela yang terbuka luas aku melemparkan pandangan ke arah luar. Angin bertiup perlahan membungkus seluruh kampung yang permai dan indah. Melihat akan suasana ini semakin kuat bersemadi dan tumpah kasih sejatiku pada kampung ini.

Rasa cintaku pada kedamaian lambaian pohon-pohon dan dedaunan hijau bersama ketenangan air sungai yang mengalir menjadikan keazaman dan semangatku tinggi menebal dan memuncak seperti gunung agar tidak meninggalkan kampung ini. Kadangkala aku terfikir juga bahawa perubahan amat perlu dalam hidup ini demi kemajuan dan kejayaan. Alam yang lama harus ditinggalkan dan digantikan dengan alam yang baru.

          Tidak ada manusia yang lahir ke dunia ini memilih kegagalan dalam hidup. Semuanya mahu berjaya. Tapi tak semudah itu dalam tangan kita yang bernama manusia untuk memiliki kejayaan dalam hidup. Bagi aku hidup ini seperti pendakian ke puncak gunung. Bukan senang malahan bukan mudah untuk berada di atas.

          Perlu ditempuhi dengan kesabaran akan segala susah payah dan halangan sebelum sampai ke sana. Aku sering menjadikan teladan orang yang dahulunya susah dan kemudiannya menjadi senang dalam hidup dengan berkat usaha gigih dan sekali-kali tidak mengenal erti jemu dan bosan. Sesungguhnya perjuangan dalam menempuhi ranjau dan liku-liku sebelum menggenggam kejayaan mengajar kita manusia agar menanamkan dalam diri akan kecekalan dan ketabahan untuk mencapai apa yang diimpikan dalam hidup ini.

          Bagi aku kemiskinan bukanlah satu penderitaan yang harus ditanggung mahupun beban yang harus dipikul selagi Tuhan memberikan kesempatan hidup di alam fana ini. Juga bukan halangan untuk menikmati kejayaan dalam meniti titian perjalanan hidup. Yang telah menjadi ketentuan bermula dari kelahiran dan berakhir dengan kematian. Tidak semestinya orang kaya yang dilimpahi dengan timbunan harta dan wang berjaya dalam hidup.

          Sedangkan orang miskin yang tak punya apa dengan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang terus hidup daif dan merana. Tiada masalah yang tidak boleh diatasi dalam hidup ini. Bukan hidup namanya kalau tanpa masalah. Setiap manusia pasti diuji dengan pelbagai masalah. Tak akan lengkap hidup rasanya tanpa masalah yang diibaratkan selera orang Melayu tak akan kenyang andainya makan nasi tanpa sambal belacan.

          Masalah kemiskinan sebenarnya boleh diatasi. Aku berkeyakinan satu hari nanti aku boleh keluar dari kepompong kemiskinan yang membelenggu hidup aku sejak dari kecil lagi. Kehidupan yang aku lalui bersama ibu lebih banyak mengenal erti penderitaan daripada kesenangan hidup. Hati aku akan tersentuh dan berasa pilu apabila mengenangkan perjalanan hidup yang aku lalui bersama ibu tanpa seorang insan lelaki bernama ayah sebagai ketua keluarga bagai meniti batu-batu kerikil yang tajam. Pedih dan luka. Banyak air mata ibu yang telah tumpah namun wanita ini tetap mengharungi dugaan hidup dengan cekal dan tabah. Demikianlah yang dapat aku gambarkan.

          Bukan sahaja ibu yang menitiskan air mata malahan aku juga begitu. Apabila mengenangkan keperitan dan kesengsaraan hidup dibelenggu kemiskinan. Harta yang dimiliki oleh ibu hanyalah sebidang tanah kebun peninggalan arwah datuk. Wang yang banyak jauh sekali. Apa pun pesan ibu tetap kusemat dalam ingatan sentiasa. Jangan mengeluh dan menyesal kerana hidup susah tidak seperti orang lain hidup senang. Sebaliknya bersyukur pada Tuhan dengan apa yang telah ditentukannya dalam hidup ini dan jangan sekali-kali menadah tempurung bila benar-benar dihimpit kesusahan sebaliknya berusahalah mengatasinya dengan sabar.

          Berpegangkan pada kata-kata azimat itulah yang telah membangkitkan azam dan semangat yang membara dalam jiwa muda aku ini agar gigih dan bekerja keras untuk mengubah kemiskinan dan membalas pengorbanan yang ibu curahkan selama ini. Aku juga mengambil contoh kejayaan orang miskin yang berjaya dalam bidang pelajaran dan seterusnya masuk ke universiti sehingga menjadi terkenal dan mengubah haluan kehidupan.

          Cuma aku tidak memanfaatkan peluang menjejakkan kaki ke universiti sedangkan peluang sudah terbuka luas. Tak tahulah kenapa. Aku menjadikan alasan kemiskinan untuk tidak masuk universiti. Sebaliknya memilih masa depan dengan menjalankan kerja-kerja kampung. Sedangkan kawan-kawan aku yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM semuanya masuk universiti dan ada yang memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan kerajaan.

          Hanya aku sahaja yang tidak berbuat begitu. Tidak mengikut jejak mereka. Kalau aku ikut jejak mereka masuk universiti sudah tentu aku bergaji dan berpangkat besar. Tak adalah bangun pagi pergi menoreh dan ibu tumpang hidup senang. Mungkin Tuhan telah melorongkan hati aku membuat kerja-kerja kampung. Bukannya bertali leher, duduk di atas kerusi pusing dan bilik berhawa dingin. Tapi sebaliknya berembun dan berpanas di bawah terik sinaran matahari dengan peluh yang tak henti-henti membasahi dahi dan tubuh.

Bagi aku setiap yang didatangkan oleh Tuhan itu ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Itulah sebabnya hati aku tidak terbuka untuk masuk universiti. Sedangkan itulah peluang yang terbaik dan tidak semestinya dilepaskan begitu sahaja untuk mengubah nasib keluarga yang dibelenggu kemiskinan selama ini.

          Suara gemersik pohon-pohon dan daun-daun hijau dibelai angin petang jelas kedengaran membelah seluruh suasana kampung yang diulit dengan penuh ketenangan dan kedamaian. Dengan tiba-tiba sahaja ingatan aku diusik dengan kenangan indah sewaktu musim menuai ketika aku masih kecil dahulu. Masih segar terbayang lagi akan keindahan sawah padi yang menguning berhadapan dengan rumahku.

          Kemeriahan dan kegembiraan orang-orang kampung menyambut kedatangan musim menuai padi dapat dirasakan. Orang-orang kampung, arwah datuk, arwah nenek begitu juga ibu dan aku sama-sama bekerja di sawah padi. Rasa kepuasan jelas terbayang di wajah masing-masing setelah penat lelah selama ini sekarang tibalah masanya menikmati hasil benih padi yang disemai selama ini dengan kedatangan musim menuai.

          Rasa penat lelah tidak terasa malahan jauh sekali kelihatan di wajah orang-orang kampung termasuk arwah datuk, arwah nenek dan ibu. Tapi sekarang semuanya tinggal kenangan. Sawah tidak lagi menjadi dan bertukar sebaliknya menjadi tanah terbiar. Begitu juga dengan tali air yang mengairi sawah. Menjadi kering-kontang dan ditumbuhi dengan lalang. Demikianlah peredaran zaman sentiasa berubah dan aku hanya mampu menarik nafas panjang apabila mengingati kenangan silam itu.

 BAB 4

          Deru air sungai yang mengalir sayup-sayup jelas kedengaran memecah suasana petang. Pohon-pohon rendang yang tumbuh di tepi tebing sungai membangkitkan rasa nyaman dan dingin. Bahang panas matahari sejak dari pagi tadi ditepis pohon-pohon rendang dan jalur-jalur cahayanya jelas nampak menyinari seluruh alam semesta melalui celah-celah permukaan daun-daun hijau. Tenang dan damai. Hanya itu sajalah kata-kata yang mampu aku luahkan. Pada kampung yang kukenali sejak dilahirkan ke dunia ini sehinggalah meniti alam dewasa yang aku alami sekarang.

          Sememangnya aku gemar datang ke sungai ini. Memancing dan menikmati keindahan alam semula jadi. Ciptaan Tuhan yang diberikan secara percuma kepada makhluknya termasuk aku. Bunyi air sungai yang tenang mengalir bagi aku nyanyian yang menghiburkan jiwa ini. Menurut arwah datuk sungai ini bukan sahaja berjasa kepada penduduk kampung sebagai bekalan air sewaktu negara masih lagi belum merdeka malahan juga tempat bersejarah.

          Apa yang aku dengar dari arwah datuk sungai ini pada satu ketika dahulu dijadikan laluan pedagang yang hendak ke Melaka. Itu sahaja seingat aku akan sejarah sungai ini yang diceritakan oleh datuk. Apabila merenung sungai ini seperti juga musim menuai maka membangkitkan kenangan sewaktu zaman kanak-kanak dahulu. Di sungai ini jugalah tempat aku dan kawan-kawan bermain sambil mandi-manda dan terjun dari atas pokok.

          Selalunya pada musim panas aku dan kawan-kawan akan mandi di sungai ini pada setiap petang. Terutamanya selepas pulang daripada mengaji al-Quran di rumah Tok Guru Haji Dollah. Indah sungguh ketika itu rasanya. Maka aku tersenyum sendirian apabila teringatkan semua itu. Sebuah catatan kehidupan silam. Tak akan berulang kembali macam air sungai yang terus mengalir dan tak akan mengalir ke belakang semula.

          Namun begitu setiap yang dialami dalam hidup ini sukar untuk dilupakan. Biarpun zaman kanak-kanak yang hanya dipenuhi dengan pagi dunia persekolahan dan petang dengan dunia permainan. Tanpa perlu memikirkan erti kehidupan yang sebenarnya. Yang hanya tahu ada pakaian sekolah, buku dan cukup makan. Demikianlah perbezaan alam yang dialami dalam hidup ini. Tak sama alam kanak-kanak dengan alam dewasa yang aku tempuhi sekarang.

          Mahu tak mahu aku terpaksa meninggalkan kisah yang dialami dengan kawan-kawan sebaya sewaktu zaman kanak-kanak dahulu. Biarpun ia akan terus melekat di ingatan dan sekadar menjadi bualan cerita apabila bertemu dengan kawan-kawan yang memilih mencari rezeki di bandar dan hanya sekali-sekala pulang ke kampung apabila ada kelapangan. Mungkin kerana kesibukan bekerja aku jarang sekali dapat bertemu mereka semua dan hanya seorang dua sahaja dan tidak kurang pula sudah ada yang mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak dalam usia muda seperti aku.

          "Assalamualaikum …!" Kedengaran suara lembut wanita memberi salam tenggelam bersama gemersik tiupan angin petang yang berlagu irama sepoi-sepoi bahasa mengusapi seluruh alam yang subur menghijau.

          "Waalaikumsalam!" aku pantas membalas salam yang dihulurkan itu.

          "Maafkan saya kerana mengganggu Rosli," ujar Maizah.

          "Tak mengapa!" aku sebaliknya menjawab sambil menggeleng-gelengkan kepala dan melemparkan senyuman senang pada kata-kata yang diucapkan oleh gadis yang bernama Maizah itu.

          "Maizah dari mana ni?" tanyaku pula sambil memandang wajahnya yang cantik dan ayu itu dilitupi dengan tudung.

          "Saja jalan-jalan tengok kampung ni. Cantik ya," jelas Maizah.

          "Memang cantik dan indah. Sebab itulah saya sayangkan kampung ni," terangku.

          "Saya suka tengok kampung ni. Walaupun saya baru sampai saya dapat rasakan ada keindahan dan kedamaian di sini," Maizah bersuara sambil memandang sekeliling.

          "Maafkan saya kalau bertanya. Saya harap awak tak marah." Entah mengapa. Aku sendiri pun tak tahu. Dengan tiba-tiba sahaja pertanyaan itu kuajukan pada gadis yang berasal dari bandar ini.

          "Marah?" Rasa kehairanan sebaliknya jelas kelihatan di wajahnya yang ayu dan cantik itu.

          "Kenapa pulak saya nak marah? Sedangkan saya belum lagi jawab soalan Rosli," sambungnya pula.

          "Maizah berkata ikhlas kampung ni damai dan indah. Maklumlah Maizah dah biasa hidup di bandar besar selama ni. Tiba-tiba duduk di kampung ni sebab ditempatkan untuk mengajar anak-anak kampung ni. Dah tentu suasana yang biasa Maizah alami selama ini berbeza dan tak sama," aku berkata.

          "Saya berkata ikhlas, Rosli. Lahir dari hati saya sendiri. Bukannya kerana saya berdepan dengan Rosli penduduk kampung ni dan terpaksa mengatakan kampung ni indah dan damai. Kalau tidak takut tidak diterima dan dipulaukan orang kampung. Walaupun saya datang dari bandar tapi jiwa saya tetap kampung sepenuhnya," Maizah berkata.

"Menarik sekali kata-kata Maizah itu. Dalam sekali maksudnya!" angguknya.

          "Tentu Rosli nak tahu kan. Kenapa saya berkata jiwa saya tetap kampung walaupun berasal dari bandar," pantas dia mencelah.

          "Memang itu yang saya nanti. Kerana saya masih belum faham," aku menambah dengan rasa penuh minat. Wajahnya yang semakin cantik dan ayu itu disapu angin petang yang bertiup perlahan dan nyaman kuamati dalam-dalam seperti lautan biru yang luas.

          "Ayah dan ibu saya juga berasal dari kampung. Pesan ayah jangan lupa asal usul. Walaupun tinggal di bandar," jelas Maizah lagi padaku.

          Dia kemudiannya dengan penuh lemah-lembut dan sopan-santun memohon diri untuk berlalu pergi dari situ. Lagipun tidak manis dipandang aku berdua dengan dia berada di situ dan adab sopan perlu dijaga. Agar tidak timbul tohmahan dan anggapan yang tidak baik nanti. Aku meneruskan kembali memancing sebaik-baik sahaja Maizah berlalu pergi sehingga ke lewat petang.

          Asyik dengan memancing sedar-sedar matahari yang tadinya cerah perlahan-lahan bertukar warna menjadi buah pinang masak. Tanda senja akan melabuhkan tirai sebentar nanti menyambut malam. Begitu juga dengan kicauan burung-burung yang tadinya berkicau riang sambil bebas berterbangan ke sana dan ke sini tidak lagi kedengaran. Sebaliknya berterbangan pulang semula ke sarang. Aku segera teringatkan kata-kata pujangga segala suka duka yang kita alami hari ini dihimpunkan menjadi pengalaman kerana ia adalah guru yang paling berguna dalam mendewasakan kita dalam kehidupan.


BAB 5

          Kedinginan terasa membungkus suasana malam. Di sebalik kegelapan awan hitam pekat bulan dan kerlipan bintang bersinar indah. Bersama angin yang bertiup lembut menyusup masuk melalui jendela rumah yang terbuka luas. Segar dan nyaman. Jelas terasa menyapu permukaan kulit. Aku menarik nafas panjang. Menghirup udara malam bersama dendangan pelepah kelapa yang bergeseran antara satu sama lain diusapi merdu dan perlahan angin malam yang bertiup. Aku gembira memilih kerja-kerja kampung. Jauh sekali menyesal kerana tidak memilih cara kawan-kawan yang lain memilih bandar untuk mencari rezeki demi taraf hidup yang baik dan sempurna.

          Biarlah aku tumpahkan segala tenaga dan kudrat muda aku ini di kampung sahaja. Apa kata Pak Long, Azman dan kawan-kawan lain aku tak ambil kisah. Asalkan keputusan yang aku pilih ini membawa kebaikan bukan sahaja pada diriku malahan juga kampung. Pernah juga Mizzuan dan Azman mengajak aku bekerja di bandar tempat mereka bekerja. Ditawarkan dengan gaji yang lumayan sesuai dengan kelulusan yang aku miliki. Ibu menyuruh aku menerima tawaran itu demi membela nasib keluarga.

          Tapi aku tetap dengan pendirian aku untuk terus menabur bakti di kampung ini. Jiwa mudaku sudah tumpah sepenuhnya dengan rasa cinta keindahan dan kedamaian kampung ini yang bagiku harus dipelihara dan dikekalkan buat selama-lamanya. Kampung ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup aku. Tak sanggup walaupun cuma seketika sahaja aku meninggalkan kampung ini semata-mata untuk mencari rezeki dengan harapan melepaskan belenggu kemiskinan yang membelenggu hidup keluarga selama ini. Sampai begitu sekali kutanamkan seteguh-teguhnya dalam diri akan rasa kasih dan kecintaan sejati terhadap kampung ini tanpa berbelah bagi.

          "Macam mana, Rosli? Kau setuju tak?" tanya Mizzuan.

          "Terima kasih Mizzuan dengan tawaran kau tu. Tapi aku dah buat keputusan. Tetap akan bekerja di kampung ni." Jawapan yang aku berikan pada Mizzuan yang juga sepupu aku.

          "Rosli kau fikirlah masak-masak tawaran aku ni. Kau tu ada kelulusan. Layak masuk universiti. Tapi kau tak mahu. Ni aku tawarkan kau peluang kerja. Pun kau tak mahu," kata Mizzuan pula sebaliknya.

          "Biarlah aku buat kerja kampung saja. Di mana bekerja bagi aku sama. Asalkan dapat rezeki yang halal," aku membalas.

          "Itu aku tahu. Tapi sampai bila kau nak duduk memerap di kampung ni. Kau tak teringin ke macam orang lain. Berjaya dalam hidup," desak Mizzuan tak henti-henti agar aku menerima tawarannya itu.

          "Memang aku teringin untuk berjaya dalam hidup. Tapi aku pilih untuk buat-buat kerja kampung. Tak semestinya kerja di bandar aje yang berjaya. Kerja di kampung juga boleh berjaya dan mengubah taraf hidup. Asalkan rajin berusaha pasti berjaya dalam hidup ini," terangku.

          Aku tolak tawaran Mizzuan. Dia benar-benar berasa kecewa apabila aku membuat keputusan itu. Memang dia berharap sangat aku bekerja dengan dia. Setahu aku dahulu dia bekerja dengan syarikat milik seorang usahawan terkenal bergelar Datuk. Tapi sekarang dia buka syarikat sendiri. Pak Long cukup bangga dengan Mizzuan. Yalah. Ayah mana yang tak berasa bangga apabila melihat anaknya berjaya dalam hidup.

          "Kau ni betul-betul tolak tuahlah, Rosli. Mizzuan dah tawarkan kerja di syarikat dia. Tapi kau tolak. Nak teruskan jugak kerja kampung," Pak Long bersuara dalam nada yang kecewa.

          "Biarlah, Pak Long. Ramai lagi orang yang dia boleh pilih bekerja di syarikat dia," jawabku pula.

          "Dia nak tolong kau. Itulah sebabnya dia beria-ia sangat suruh kau bekerja di syarikat dia tu. Lagipun dia kasihan tengok kau. Tak macam orang lain. Gaji besar pakai kereta besar. Tapi kau kerja kampung hanya pakai motor buruk aje," ujar Pak Long lagi.

          Berdesing juga telinga aku apabila mendengar kata-kata Pak Long tu. Macam penghinaan aje bunyinya kerja kampung macam aku ni. Sabar. Itulah yang kubisikkan di hati kecil. Lagipun dia orang tua. Jangan kurang ajar. Memang kalau ikutkan darah muda boleh bertengkar jadinya. Pak Long pun bukan orang lain dengan aku. Abang kepada ibu. Mereka hanya dua beradik sahaja. Tak ada adik-beradik yang lain.

"Kalau kau tak nak kerja dengan Mizzuan hah kau kerja ajelah dengan aku," pelawa Azman pula dengan bersungguh-sungguh.

          "Kerja apa, Azman?" soalku pula pura-pura dengan penuh minat.

          "Kilang tempat kerja aku tulah. Habis nak kerja apalagi," Azman membalas.

          "Terima kasih banyak-banyak atas tawaran kau tu. Tapi aku tak berminat kerja di bandar. Kalau tak dah lama aku ikut kau. Lepas habis SPM dulu," terangku pada Azman.

          "Kau nak terus jugak kerja kampung," celah Azman lagi.

          "Ya, Azman!" aku cepat membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala dan memandang mukanya yang sebaya dengan usia aku.

          "Rosli aku bukannya apa sebagai seorang kawan aku nak tolong kau. Ubah cara hidup. Taklah lagi susah dengan menoreh getah dan kerja-kerja kampung. Sekurang-kurangnya bila kau dah kerja di kilang tu nanti dapatlah jugak nanti kau merasa duit banyak dan pakai kereta. Hah mak kau pun tumpang senang," Azman menambah.

          "Kau teruskanlah kerja kau tu. Aku tengok kau pun makin senang sekarang. Gaji lumayan mampu pakai kereta lagi. Tak usahlah kau bimbangkan aku. Tahulah aku macam mana nak hidup di kampung ni," ujarku pula.

          Desiran angin malam terasa menyentuh jiwa. Keazaman untuk aku membuktikan kejayaan hidup sebagai seorang petani semakin membara. Menyala seperti api yang membakar. Kerjaya sebagai seorang petani bagi aku di bawah bahang panas terik matahari dan peluh yang menitis juga besar sumbangannya kepada ekonomi negara. Tak semestinya bergantung pada perusahaan sahaja. Aku mesti buktikan anak muda seperti aku boleh berjaya dalam mengusahakan bidang pertanian dan menarik minat kepada golongan belia dan lepasan universiti yang tidak mempunyai pekerjaan untuk menceburkan bidang ini.

          Apa sahaja yang kita lakukan dalam hidup ini sebenarnya adalah percubaan. Jangan takut mencuba. Kalau dah ambil keputusan teruskan saja ke depan. Tak usah berundur ke belakang. Tegas dan tetap dalam pendirian. Buat apa menjadi lalang yang mudah ditiup angin. Apabila dipengaruhi orang dalam membuat keputusan. Penentu dalam kejayaan hidup adalah di tangan sendiri. Bukannya di tangan orang lain. Walau apa pun ujian dan cabaran yang aku hadapi dalam bidang pertanian akan aku harungi juga. Biar kalah asalkan jangan mengalah dalam hidup ini.

          Dengan tiba-tiba sahaja aku teringatkan ungkapan itu yang memberikan semangat waja kepada aku. Dari mana datangnya aku sendiri pun tak tahu. Tapi apa yang pasti kata-kata yang bagi aku keramat itu memberikan kekuatan dan menjadi perangsang kepada aku untuk meneruskan impian untuk berjaya dalam hidup sebagai seorang petani. Namun aku tetap akur bahawa bukan mudah untuk mencapai sesuatu kejayaan dalam apa jua bidang. Banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi. Sebagai manusia aku redha yang itu semua adalah ketentuan Tuhan yang harus aku hadapi dengan rasa penuh tabah dan sabar.

          Hidup ini telah diatur oleh Tuhan sebagai satu perjuangan. Selagi masih bernafas selagi itulah kita yang bernama manusia harus berjuang untuk mendapat kejayaan dalam hidup ini. Aku lantas nekad. Dalam kepekatan malam aku tanamkan nekad dan azam yang tinggi macam bala tentera berjuang di medan perang sehingga ke titisan darah yang terakhir untuk mengusahakan bidang pertanian di kampung ini. Biarlah kawan-kawan yang sebaya dengan aku hidup mewah dengan bekerja di bandar besar tapi aku rela dianggap ketinggalan dan ditertawakan kerana dalam dunia moden ini aku memilih kerja sebagai seorang petani.

          Aku berpegang pada kata-kata kalau berani menelan garam maka beranilah menelan masinnya. Sebab itu adalah pilihan aku. Maka aku perlu berani menanggung apa saja berjaya atau gagal dengan bidang yang aku pilih. Aku akan meneruskan perjalanan dengan jalan yang aku pilih. Mungkin bukan senang yang menanti sepanjang perjalanan aku sebaliknya penuh dengan duri-duri yang memedihkan dan menyakitkan bersama tangisan air mata namun aku tetap bersemangat untuk menghadapi semua itu. Demi memastikan kejayaan dalam hidup dicapai dan pembelaan nasib keluarga selama ini di bawah payung derita kemiskinan sebagai membalas jasa yang telah ibu taburkan selama ini.

          "Jauh menung nampak. Apa yang difikirkan tu?" tegur ibu dengan tiba-tiba dan lamunanku yang jauh melayang itu lantas terhenti.

"Tak ada apa-apa, mak!" aku berdalih dengan menggeleng-gelengkan kepala. Wajah tuanya itu aku pandang dalam-dalam dengan penuh rasa kasih sayang seorang anak.

          "Macam mana dengan hasil menoreh sekarang?" soal ibu pula.

          "Alhamdulillah, mak. Harga getah pun naik sekarang," aku sebaliknya menjawab.

          "Baguslah kalau macam tu. Mak masuk tidur dululah ya," ibu bersuara dengan rasa penuh senang apabila mendengar jawapan yang aku berikan itu.

          "Yalah, mak!" aku membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          Di luar bunyi cengkerik bersahut-sahutan jelas kedengaran menghiasi dada kepekatan gelap malam dan dingin. Aku masih lagi sendirian di anjung rumah dan melayan lamunan. Memikirkan perjalanan hidup yang bakal dilalui pada hari-hari mendatang. Apa yang telah dilalui sepanjang hari ini harus ditinggalkan apabila tabir malam menjelma. Esok apabila fajar menyingsing di kala pagi menyingkapkan tirainya maka perjalanan hidup baru pun bermula. Melangkah dan terus melangkah. Demi meneruskan kehidupan sebagai petani muda memerah tenaga dan keringat demi kemakmuran dan kesejahteraan bumi bertuah anugerah Tuhan ini.

          Ketika sendirian begini aku terkenangkan apa yang telah kucurahkan di kebun getah Pak Rahman benar-benar memberi kepuasan kepada aku walaupun hanya dengan menoreh sahaja. Mengambil upah sudah tentu ada bezanya dengan menoreh getah di kebun sendiri. Duit menoreh getah dibahagi dua dengan Pak Rahman pemilik kebun. Aku anggap Pak Rahman macam ayah aku sendiri. Kadangkala dia beri aku duit lebih hasil daripada menoreh getah di kebunnya. Dapatlah menampung perbelanjaan aku dan ibu terutama dalam membeli barang keperluan dapur.

          Dalam soal duit ibu sentiasa menasihatkan aku agar berjimat cermat. Itulah sebabnya sampai sekarang aku tak tukar motor. Masih lagi pakai motor buruk untuk pergi menoreh ke kebun getah Pak Rahman. Nasib baiklah motor ni sentiasa baik. Tak selalu meragam. Kalau tak susah jugak aku. Kebun getah Pak Rahman dengan rumah aku boleh tahan jugak jauhnya kalau berjalan kaki. Jangan ikutkan kehendak hati kata ibu dalam berbelanja. Beli apa yang difikirkan perlu dan sentiasa bersyukur dengan apa yang diperolehi. Malam yang semakin larut membuai-buai aku dengan erti kehidupan yang sebenar-benarnya.

 BAB 6

          Rasa jemu dan bosan dengan hari-hari mengharungi dunia sebagai seorang petani dalam dunia yang moden ini langsung tidak ada dalam kamus hidup aku. Sedikit pun aku tidak berasa ketinggalan dalam arus perjuangan kawan-kawan yang seusia dengan aku dalam mencapai puncak kejayaan dalam perjalanan hidup ini dalam kudrat yang masih muda lagi. Seharusnya aku mengisi usia begini dengan pekerjaan yang lebih baik demi masa depan yang cerah.

          Terfikir juga aku yang usia yang aku lalui semakin hari semakin meningkat dan bukannya semakin berundur. Justeru menuntut aku membuat perubahan dalam kehidupan yang membelenggu dan menjadi pegangan selama ini ke arah yang lebih baik dan sempurna. Setiap manusia yang hidup di dunia mempunyai cita-cita. Tak kiralah apa yang diimpikan atau dihajati asalkan ada cita-cita untuk mencipta kejayaan dalam hidup yang dilalui.

          Manusia yang kaya dengan cita-cita dan impian dianggap berjaya dalam hidup kerana mempunyai perancangan. Manakala manusia yang miskin impian dianggap gagal kerana tidak mempunyai arah tujuan dalam kehidupan di dunia ini. Itulah kata-kata Cikgu Yusuf yang mengajar aku sewaktu di Tingkatan Enam dahulu. Sehingga ke hari ini aku masih ingat lagi kata-katanya itu.

          Terima kasih cikgu kerana dengan motivasi cikgu jugaklah yang membangkitkan kesedaran kepada saya supaya belajar bersungguh-sungguh. Hasilnya saya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan STPM. Tapi maafkan saya cikgu kerana tidak menunaikan hasrat cikgu untuk melihat anak murid cikgu masuk universiti. Kerana kemiskinan hati saya telah tertutup untuk melanjutkan pelajaran ke puncak menara gading.

          Memang saya akui cikgu rugi kerana menolak peluang ini. Tambahan pula negara menagih golongan cerdik pandai untuk kemajuan dan pembangunan. Sepatutnya saya sekarang bersama dengan kawan-kawan lain yang lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan STPM di universiti. Kalau dikaji balik sebenarnya alasan kemiskinan untuk masuk universiti tidak timbul dalam zaman sekarang. Banyak kemudahan yang disediakan oleh kerajaan demi memastikan golongan cerdik pandai dapat dilahirkan tanpa mengira dari golongan yang berada mahupun yang tidak berkemampuan.

          Saya sepatutnya memohon biasiswa cikgu untuk menampung perbelanjaan saya di universiti dan saya berasakan layak bagi mendapatkannya dalam keadaan kesusahan yang dialami oleh keluarga saya. Tapi seperti yang saya katakan tadi kemiskinan dijadikan alasan mengapa saya tidak menjejakkan kaki ke universiti. Entah mengapa. Dengan tiba-tiba sahaja aku teringatkan Cikgu Yusuf. Insan yang umpama lilin membakar diri menerangi kegelapan. Demi melihat orang lain bercahaya dan tidak kegelapan.

          "Cikgu pun asalnya susah jugak. Adik-beradik ramai. Ayah pulak meninggal dunia sewaktu cikgu masih kecil lagi. Cikgu anak yang sulung. Ibu cikgu banyak berkorban demi memastikan cikgu dan adik-beradik berjaya dalam hidup. Seperti hari ni." Cikgu Yusuf menceritakan kisah-kisah silam yang pernah dialaminya.

          "Ibu cikgu masih ada lagi?" aku menyoal dengan mengangkat kepala tinggi sedikit memandang mukanya.

          "Dia dah pun meninggal dunia. Tapi sebelum dia meninggal dunia cita-citanya untuk melihat cikgu dan adik-beradik berjaya dalam hidup tercapai," tambah Cikgu Yusuf.

          Aku lantas terdiam apabila mendengar apa yang diperkatakan oleh Cikgu Yusuf itu. Kemiskinan tidak boleh menjadi rintangan untuk menuju ke puncak kejayaan dalam perjalanan hidup ini. Asalkan ada kesungguhan dan keazaman yang menggunung tinggi dan aku berpegang pada prinsip kalau orang lain boleh berjaya mengapa aku tidak boleh berjaya. Dia manusia. Aku pun manusia. Sama saja di sisi Tuhan dan tak ada beza sebenarnya. Antara yang cerdik dan kurang cerdik. Begitu juga dengan yang kaya dan yang miskin.

          "Cikgu harap awak belajarlah bersungguh-sungguh. Lulus dengan cemerlang dan dapat masuk universiti macam cikgu," ingat Cikgu Yusuf padaku.

          "Insya-Allah, cikgu!" janjiku sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          Selepas keputusan STPM diumumkan aku tidak lagi bertemu dengan Cikgu Yusuf. Dia tahu aku lulus dengan cemerlang. Aku tak dapat berjumpa dengan dia kerana telah ditukarkan mengajar di sekolah lain. Kawan-kawan aku yang lulus dengan cemerlang sibuk untuk mengisi borang mendapatkan tempat di universiti. Perasaan gembira jelas kelihatan di wajah mereka. Begitu juga dengan aku. Dalam kegembiraan yang dikongsi bersama dengan ibu aku masih lagi meneruskan kerja-kerja menoreh getah di kebun Pak Rahman. Tanpa memikirkan untuk masuk universiti macam kawan-kawan lain yang berjaya dalam peperiksaan STPM.

          Namun aku tetap merasa bangga walaupun tak masuk universiti. Sekurang-kurangnya kawan-kawan aku yang dapat masuk universiti membuktikan anak-anak di kampung ini berjaya dalam bidang pelajaran. Memang tidak dapat dinafikan pelajaran tinggi amat penting dalam dunia hari ini. Mereka yang memiliki ijazah sahaja mempunyai peluang untuk memiliki pekerjaan yang baik. Tapi dalam apa jua bidang yang diceburi persaingan tetap ada. Aku berdoa dan berharap kawan-kawan aku yang dapat masuk universiti apabila keluar nanti akan berjaya mendapat pekerjaan dan seterusnya menyumbang tenaga ke arah kemajuan dan kesejahteraan negara.

          Petang disinari dengan cuaca cerah. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pokok durian, rambutan, manggis, langsat, duku dan cempedak di dusun Tok Ketua bagai menari-nari. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri ditiup angin petang yang datang dari arah bukit di belakang dusun buah-buahan Tok Ketua. Seperti yang dijanjikan aku menebas semak-samun dusun buah-buahan Tok Ketua yang agak luas juga. Mahu mengambil masa yang lama juga untuk menyudahkannya.

          Dalam soal bekerja bagi aku perlu dilakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Kerja bertangguh tidak menjadi. Alang-alang bekerja biar sampai siap. Islam menganggap kerja sebagai ibadah dan ia juga amanah yang perlu kita laksanakan. Tanpa mengira kerja yang kita lakukan itu ringan atau berat. Keseronokan bekerja dinikmati apabila mendapat hasil yang baik dan memuaskan. Walaupun mendapat ganjaran setimpal dengan kerja yang telah kita lakukan.

          Memang ada bezanya dengan kerja kampung dengan kerja di bandar. Kerja kampung apalagi menoreh getah, bercucuk tanah, mengambil upah menebas dan macam-macam lagi. Begitu juga dengan kerja di bandar. Macam-macam jugak. Tapi kerja yang disukai dalam bilik berhawa dingin dengan gaji mewah. Tak payah keluar peluh setitis pun. Aku berhenti seketika daripada menebas dan menarik nafas panjang. Azman. Dengan tiba-tiba sahaja aku teringatkan dia. Jawatan apa dia agaknya? Persoalan yang menendang-nendang kuat benakku.

          "Hah! Petani moden dah datang. Mari duduk. Kau nak minum apa? Makan pun boleh. Cakap. Aku belanja!" usik Azman.

          "Betul tu. Pesan ajelah, Rosli. Orang nak belanja. Banyak duitlah katakana," tambah Pak Long pula sebaliknya.

          "Kau nak minum apa, Rosli?" tanya Pak Hassan.

          "Macam biasalah, Pak Hassan. Teh tarik," pintaku pada Pak Hassan. Yang tercegat berdiri dan memakai ketayap putih.

          "Minum aje?" Azman pantas mencelah sambil mendongakkan muka memandang wajahku.

          "Makanlah. Tak usah risaulah. Aku belanja!" sambungnya lagi dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Tak apalah, Azman. Terima kasih ajelah. Aku dah kenyang," aku membalas. Pak Hassan kemudiannya beredar setelah mengambil minuman yang aku pesan.

          "Harga getah tengah naik sekarang. Kayalah kau. Tak lama lagi pakai keretalah kau. Silap-silap lebih besar daripada kereta aku," perli Azman pula sambil ketawa. Aku hanya mendiamkan diri sahaja apabila melihat gelagatnya itu.

          "Tengah harga getah naik ni senanglah, Azman. Bila dah jatuh nanti hah monyok ajelah muka. Makan nasi dengan ikan kering ajelah," Pak Long mencelah. Makin tak tahan rasanya telinga aku ni. Hati tak usah cakaplah. Sakit bukan kepalang. Tapi mengenangkan bapa saudara dengan kawan sekolah aku hanya mampu bersabar sajalah jawabnya.

          "Naik ke turun ke saya tak kisah. Asalkan ada kerja di kampung ni dan boleh hidup," jawabku pula sebaliknya.

          Apa nak buat dah lumrah manusia begitu. Buat itu tak kena buat ini tak kena. Hidup ini memang banyak cabaran dan rintangan. Kenalah banyak bersabar untuk menghadapinya. Lagipun sabar itu separuh daripada iman. Tanyalah orang yang berjaya dalam hidup. Tak semudah itu untuk mencapainya. Terpaksa mengharungi pelbagai ranjau dan pahit getir. Ada hikmah sebenarnya yang tersembunyi di sebalik semua itu. Mengajar manusia agar tidak lupa asal usul apabila berada di atas dan perlu juga memandang ke bawah.

          Apabila bercakap tentang kita tidak boleh lupa asal usul apabila dah berjaya dalam hidup dengan tiba-tiba sahaja aku teringatkan kata-kata Maizah. Memang benar apa yang dikatakannya itu. Aku setuju sekali. Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit. Si kudung mendapat cincin. Pepatah itu memang bersesuaian sekali untuk kita jadikan ingatan dalam hidup ini apabila berada di puncak kejayaan. Tiada gunanya kita megah mendabik dada. Apabila yang kita hajati selama ini dalam hidup dapat dicapai. Hidup ini ibarat putaran roda. Sekejap di atas sekejap di bawah. Hari ini kita kaya hari ini miskin. Tapi esok belum tentu lagi. Kerana semuanya adalah di tangan Tuhan. Bukan di tangan kita yang bernama manusia.

          Kaya selalu dipandang mulia. Miskin selalu dipandang hina. Itulah lumrah kehidupan. Yang mewarnai perjalanan hidup manusia. Di atas dunia yang sementara cuma ini. Manusia sama di sisi Tuhan. Cuma dipisahkan dengan nasib saja. Ada yang kaya dan ada yang miskin. Kekayaan segala-galanya boleh dibeli. Kemiskinan membataskan segala-galanya dalam kehidupan.

BAB 7

          Pagi disinari dengan cuaca cerah di kaki langit. Seperti biasa di kebun getah Pak Rahman tempat aku mencari rezeki. Susu getah yang menitis perlahan-lahan dari pokok masuk ke dalam mangkuk aku lihat dengan renungan yang tajam dan penuh bermakna. Sungguh bertuah hasil bumi ini. Aku ibaratkan sekuntum bunga. Petiklah dan ciumlah baunya. Mekar mewangi dan jagalah ia selalu. Demikianlah kekayaan hasil bumi ini. Kerjakanlah dengan kudrat dan keringat yang membara. Pasti akan beroleh kemenangan. Asalkan ada kemahuan dan usaha untuk berjaya dalam hidup ini.

          Teringat aku masih kecil dahulu. Selalu membantu ibu mengangkat susu getah. Ibu tak beri aku buat kerja tu. Maklumlah aku masih kecil. Tapi aku tetap degil untuk menolong ibu. Lama-kelamaan ibu mengalah membenarkan aku untuk membantunya. Seingat aku ibu akan beri aku upah. Beli ais krim dan gula-gula. Seronok dan gembira rasanya. Susu getah yang mengalir itu juga mengingatkan aku susah payah dan penat lelah yang terpaksa ibu taburkan dengan menoreh dan mengangkat susu getah di kebun arwah Lebai Daud. Semata-mata untuk melihat aku membesar dan bersekolah macam kawan-kawan sebaya yang lain.

          Ketabahan dan kegigihan ibu memang aku kagumi. Tak sepadan dengan tenaganya sebagai seorang wanita. Tapi semua itu terpaksa dilakukannya. Sejak ayah tinggalkannya dan di wajahnya aku lihat tetap tabah dan tenang. Sedikit pun tidak nampak rasa sedih dan pilu. Tanpa seorang lelaki bernama suami di sisi dan juga ketua keluarga. Di hati kecilnya aku tidak tahu. Mungkin disembunyikannya tangisan. Entahlah. Itu sajalah jawapan yang dapat aku berikan.

          Angin bertiup perlahan dan nyaman. Aku menarik nafas panjang. Hanya di sinilah kehidupan aku. Dunia aku pokok dan susu getah. Membesar dan menyara kehidupan dengannya. Kawan-kawan aku yang tak dapat masuk universiti pun tak ada yang menjadi penoreh getah. Maklumlah dalam usia yang muda mana nak jadi penoreh getah. Lagipun mana ada jaminan masa depan. Lainlah kalau kerja di bandar tu. Banyak kerja boleh buat.

          "Kau tukar kereta lagi. Dulu kau pakai kereta lain. Banyak duit kau," aku berkata pada Azman.

          "Aku baru naik pangkat di kilang tu," jelas Azman pula sebaliknya.

          "Naik pangkat?" aku menyoal sambil memandang mukanya yang nampak riang.

          "Ya!" angguknya dengan pantas.

          "Apa? Kau tak percaya ke?" tambah Azman lagi.

          "Percaya! Tahniah, Azman," aku cepat membalas.

          "Itulah kau. Dulu aku ajak kau kerja di kilang tu kau tak nak. Kalau tak kau pun macam aku. Hidup senang. Tak perlu susah payah pergi menoreh getah," ujar Azman.

          Siapa yang tak mahu hidup senang dalam dunia ini. Tak mahu sentiasa dibayangi kesusahan dan penderitaan. Kekayaan dan kemewahan. Memang itu yang diimpikan oleh semua manusia. Tapi hendaklah dengan cara yang halal dan diredhai Tuhan. Agar mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Aku benar-benar insaf apabila mengingatkan semua itu.

          Sering juga aku diingatkan kisah orang yang mendapat balasan Tuhan akibat sombong dan bongkak apabila sudah menjadi kaya. Sedangkan dulu hidup susah. Demikianlah yang bernama manusia. Adakalanya mudah lupa dan tidak bersyukur dengan pemberian Tuhan. Aku sentiasa memunajatkan doa agar tidak menjadi golongan itu. Macam yang selalu ibu pesan. Selalulah mensyukuri nikmat kehidupan. Bukannya mengeluh bila susah. Kehidupan ini memang satu perjalanan yang panjang. Penuh dengan rasa gembira dan duka.

          Tidak boleh mengharapkan sentiasa sinar gembira menyinari hidup kita. Ada ketikanya hidup yang kita lalui akan merasai duka. Itu semua sudah ketentuan Tuhan. Bukan kehendak kita yang bernama manusia. Harus diterima dengan hati yang redha walaupun tidak dipinta. Bagi aku dalam mengharungi perjalanan hidup ini untuk sampai ke puncak kejayaan bukannya sesuatu yang mudah untuk dicapai. Perlu dilalui dengan penuh ketabahan dan kecekalan. Andainya jatuh dalam perjalanan bangkitlah segera untuk membina kekuatan dan keluar sebagai pemenang. Kata-kata azimat yang membara berkobar-kobar di jiwa mudaku ini.

          Deruan angin masih lagi berlagu perlahan membelah seluruh kampung. Pohon-pohon dan daun-daun hijau bagai bernyanyi-nyanyi mengeluarkan irama merdu mengikut rentak tiupan angin. Sungguh mengasyikkan jiwa apabila didengar. Hati yang dilanda kesunyian dan kesepian lantas hilang dengan dendangan angin yang lembut dan halus. Memang cantik dan indah saujana mata memandang alam semesta kampung yang penuh dengan warna-warna ketenangan dan kedamaian.

          Jauh aku melemparkan pandangan ke arah bukit-bukau yang subur menghijau. Sayang kalau ia hilang satu hari nanti. Ditolak oleh jentera pembangunan. Maka hilanglah harta yang paling berharga yang pernah dimiliki oleh kampung ini pada suatu ketika dahulu. Kepada penyair melahirkan ilham untuk berkarya menumpahkan perasaan tentang keindahan alam semulajadi yang hijau ciptaan Tuhan. Mengajak manusia berkongsi rasa dan menyemai benih-benih cinta akan menghargai dan menyintai warisan yang telah lama terbina di kampung ini.

          Masa aku kecil dahulu arwah datuk sentiasa juga bercerita sejarah kampung ini tapi malangnya aku tak pernah ambil tahu. Maklumlah aku masih lagi kanak-kanak dan bersekolah rendah. Aku memang tak ingat cerita arwah datuk. Memang gemar bercerita pada masa lapang. Boleh jadi penglipurlara. Aku terasa kerugian dalam usia muda kerana tidak mengetahui sejarah kampung ini. Sedangkan aku perlu tahu dan berasa bangga sama seperti dengan kampung-kampung lain yang tinggi khazanah warisan sejarahnya. Seterusnya aku perlu sebarkan kepada anak dan generasi aku seterusnya agar rasa kemegahan dan kecintaan pada kampung ini terus berakar kuat dalam jiwa mereka sentiasa.

          "Rosli rupanya berpelajaran tinggi sehingga ke STPM," ucap Maizah. Suaranya yang lembut itu tenggelam bersama angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa.

          "Mana Maizah tahu semua ni?" tanyaku.

          "Ibu Rosli yang beritahu. Hairan ya. Kenapa Rosli tak mahu masuk universiti. Pilih kerja kampung untuk masa depan," Maizah bersuara lagi.

          "Di mana ada kemahuan di situ ada kejayaan," aku sebaliknya menambah.

          "Menarik sekali kata-kata Rosli tu!" Maizah mengangguk-anggukkan kepala.

          "Hidup ini perlu ditaburkan dengan bakti. Tak kiralah apa yang kita lakukan. Bukannya mengharapkan balasan. Hanya Tuhan saja yang menentukannya," kataku.

          "Saya sependapat dengan Rosli!" Dengan cepat Maizah menjawab.

          "Macam Maizah menjadi pendidik. Melahirkan anak bangsa yang berilmu dan berguna pada agama dan negara. Besar sekali sumbangan dan jasa yang Maizah berikan," terangku.

          "Bagi saya bukan itu yang saya pinta. Tapi bila dah diberikan tanggungjawab perlu dilaksanakan dengan sepenuhnya dan amanah yang perlu dipegang," ujar Maizah pula.

          Aku benar-benar mengagumi gadis yang datang dari bandar ini. Dahlah cantik lemah-lembut dan bersopan-santun. Apa yang diperkatakannya itu memang benar. Hidup biarlah berbudi dan bukannya meninggi diri. Tak ke mana perginya. Bagi aku lebih senang memilih hidup begini di kampung. Dikelilingi dengan penuh kedamaian dan ketenangan. Segala-galanya ada di sini dan tak mungkin ada kedamaian dan ketenangan lain sekiranya ada rasa jahil dengan menghapuskannya.

          Harapan dan impian dalam kehidupan ini macam benih yang disemai di ladang. Agar tumbuh subur dan bercambah. Jika disiram air dan dibajai selalu. Demikianlah usaha dan ketekunan dalam apa jua yang dilakukan dalam hidup ini. Pokok ditanam sejak dari masih kecil lagi dan sekiranya dijaga akan membesar dan mengeluarkan buah yang ranum untuk dinikmati.

          Bunyi pohon-pohon dan daun-daun dibelai angin yang tiba-tiba sahaja bertiup kencang jelas kedengaran membelah suasana yang damai dan tenang dalam cuaca yang cerah. Memang tiada tanda-tanda hujan akan turun di kaki langit. Boleh jadi panas berlarutan hingga ke petang. Itu hanya andaian aku sahaja. Panas dan hujan adalah kuasa Tuhan untuk menentukannya. Begitu juga dengan kita sebagai manusia hanya mampu merancang untuk berjaya dalam hidup ini. Tapi yang menentukan segala-galanya adalah di tangan Tuhan.

          "Kenapa Rosli tak nak cari kerja di bandar?" Maizah tak henti-henti menyoal sambil memandang wajahku.

          "Saya sayang nak tinggalkan kampung ni." Itulah jawapan yang kuberikan.

          "Masa akan sentiasa berubah. Sekarang Rosli di usia muda. Tak terfikirkah pada masa yang akan datang," celah Maizah dengan pantas.

          "Seperti Maizah jugak saya fikirkan semua itu. Tapi saya yakin. Apa sahaja yang dilakukan tak kiralah di kampung atau di bandar pasti berjaya asalkan ada kemahuan dan kesungguhan yang tinggi," aku membalas.

          "Rosli nampaknya berfikiran jauh dan ada wawasan," Maizah menambah.

          "Hidup perlu ada tujuan yang hendak dicapai," aku berkata.

          Selalu berusaha dan bekerja demi kemajuan agama, bangsa dan negara. Itulah yang aku pegang. Walaupun hanya menyedari aku hanya membuat kerja-kerja kampung. Titis peluh yang mengalir dari kudrat yang aku curahkan demi pembangunan negara yang tercinta bersama semangat keazaman yang membara tetap bertapak kuat dalam jiwa mudaku ini. Terus bekerja dan terus bekerja selagi diizinkan Tuhan. Memang tenteram dan damai dalam hembusan nafas panjang yang aku tarik melihat kesuburan dan keindahan kampung yang permai dan bertuah ini.

          Biarlah angin yang berbisik bersama kehangatan cuaca terus melimpahi sinar seluruh kampung. Demikian jugalah harapan aku agar satu hari nanti cahaya kegemilangan dan kejayaan dalam bidang pertanian akan menyinari kampung ini. Apa yang aku tahu dari cerita arwah Datuk kampung ini memang terkenal dengan penduduknya mengamalkan cara hidup bertani sehingga turun dari satu generasi ke satu generasi.

          Tapi sekarang ia semakin ditinggalkan dan tiada siapa yang boleh disalahkan apabila ini berlaku. Zaman silih berganti sentiasa. Yang lama selalunya tidak kekal. Pasti akan digantikan dengan yang baru pada satu hari. Tidak seperti generasi warisan arwah datuk dahulu mencintai warisan bertani yang diajar agar hidup dengannya. Berbanding dengan generasi aku pada zaman ini. Lebih mengejar kesenangan dan kemewahan hidup di bandar daripada mencurahkan keringat dan tenaga muda di kampung halaman sendiri.

          "Macam mana dengan pelajaran anak-anak di kampung ni?" Pertanyaan yang kuajukan pada Maizah.

          "Biasalah. Seorang guru akan berhadapan dengan pelbagai karenah muridnya. Ada yang rajin tidak kurang pula yang malas," akui Maizah dengan jujur dan ikhlas.

          "Mana-mana pun ada cabaran. Yang pasti perlu dihadapi dengan semangat yang kuat," aku menyampuk.

          "Memang saya tak nafikan, Rosli. Itulah cabaran yang saya hadapi dalam dunia pendidik. Tapi saya tak menyesal. Kerana saya yang memilih dan menyukai bidang perguruan. Sejak dari kecil lagi," tambah Maizah pula sebaliknya.

          Apa pun bidang yang dipilih bagi aku tetap sama. Aku memilih bidang pertanian kampung. Maizah memilih bidang perguruan. Tetap menyumbang tenaga kepada kemajuan dan pembangunan negara yang sejati. Cuma jalan dalam melaksanakannya saja yang berbeza. Aku berhadapan dengan bahang terik matahari dan cangkul. Manakala Maizah pula berhadapan dengan buku dan kanak-kanak yang pelbagai ragam dan beranggapan terpaksa pergi ke sekolah kerana disuruh oleh ibu bapa tanpa mengetahui tujuan yang sebenar.

          Deru angin dengan tiba-tiba sahaja bertukar rentak menjadi kencang. Pohon-pohon dan daun-daun seperti meliuk-liuk sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Merdu irama mendayu-dayu melagukan dendangan perasaan anak kampung. Ketika ini maka terbayanglah lambaian pohon-pohon nyiur mengajak anak-anak muda di perantauan pulanglah ke kampung bila ada kelapangan. Maka terbayanglah di ingatanku zaman yang telah lama ditinggalkan bernama kanak-kanak.

          Alangkah indahnya zaman itu. Hatiku bagai diusik agar kembali semula mengingatkan keseronokan keriangan hidup zaman kanak-kanak di kampung dengan ramai kawan sebaya. Paling yang tak dapat aku lupakan setiap waktu dan ketika bermain layang-layang dengan kawan-kawan di padang. Tinggi megah di awan. Begitulah diibaratkan harapan dalam hidup ini. Berjaya dan terus berjaya. Kalau bolehlah biarlah apa yang diharapkan ini bukan sekadar angan-angan sahaja. Tapi menjadi kenyataan dengan beroleh cahaya kejayaan yang bersinar indah dalam kehidupan kurniaan Tuhan ini.

          "Tentu Rosli ada pengalaman yang tidak boleh dilupakan dalam hidup ini." Maizah menghangatkan lagi tajuk perbualan mengenai perjalanan hidup yang dilalui oleh setiap manusia di dunia ini.

          "Kita seharusnya menghormati pengalaman dalam hidup ini. Seperti orang yang berilmu," jawabku pula sebaliknya.

          "Ada makna yang tersirat dalam kata-kata Rosli tu," ucap Maizah dengan rasa penuh minat jelas nampak pada wajahnya yang cantik dan ayu itu dalam hembusan angin petang yang sungguh menyamankan dan menyegarkan.

          "Kita belajar segala-galanya melalui pengalaman. Selagi kita meniti perjalanan hidup ini," jelasku.

          Maizah hanya diam apabila mendengar kata-kata yang kuluahkan itu. Dengan renungan yang tajam dia melemparkan pandangan ke arah bukit-bukit hijau dan tanah terbiar yang dahulunya hamparan sawah padi. Dari raut wajahnya itu aku dapat membaca. Memikirkan sesuatu mungkin pengalaman dalam kehidupan. Entahlah. Aku sendiri pun tak pasti. Macam manusia lain juga aku tidak dapat membaca apa yang sedang bermain di hati kecilnya.

          Tanpa disedari lewat petang telah pun menjelma. Sebahagian daripada perjalanan hidup hari ini telah pun dilalui. Dengan tiba-tiba sahaja aku teringatkan ungkapan kalau kita berasa tidak berjaya hari ini usah kecewa. Mungkin esok Tuhan sudah sediakan hari berjaya untuk kita. Dalam sekali kata-kata itu dan tinggi pengertian falsafah kehidupan yang ingin disampaikannya kepada kita manusia untuk diambil teladan dalam menuju kejayaan. Maizah pun memohon diri untuk pulang dan aku memerhatikan sahaja langkah yang diaturnya meninggalkan halaman rumah.

BAB 8

          Tanah ini menjadi saksi keringat yang mengalir daripada tubuh mudaku tanpa hentinya saban hari. Panas dan hujan tak kuhiraukan. Apa yang kugenggam hanyalah semangat yang membara. Di tengah rimbunan pohon-pohon dan daun-daun hijau seakan-akan melagukan irama keazaman untuk terus melangkah ke hadapan. Dalam perjuangan hidup ini seperti insan lain dalam pendakian ke menara kejayaan. Itulah tekad bersama azimat yang segar bersemadi menyirami jiwaku setiap waktu dan ketika.

          Aku seorang anak muda yang memilih pertanian buat selama-lamanya sebagai kerjaya. Biarlah orang beranggapan kerjaya murni yang aku pilih ini tidak sesuai dan ketinggalan dalam arus pembangunan pesat yang silih berganti. Manusia memang sudah naluri telah ditentukan gemar memberi tanggapan yang bukan-bukan pada kerjaya yang tidak lagi wujud pada hari ini. Kebebasan untuk bersuara sedemikian adalah hak mereka dan aku tidak mahu menjadikannya sebagai perkara untuk dibahaskan dan menjadi perhatian.

          Apa yang penting aku harus buktikan bahawa kemajuan dan kesenangan hidup di bandar besar adalah setanding dengan di kampung dalam persaingan yang sihat. Hidup perlu ada persaingan. Untuk terus maju dan melangkah ke hadapan tanpa mengira apa jua kerjaya yang dipilih. Baru atau lama bagi aku bukan itu persoalan utama. Yang penting daya usaha dan kegigihan tanpa mengenal putus asa dan penat lelah itulah kunci utama dalam menggenggam sesuatu kejayaan.

          "Tok betul-betul kagum dengan Rosli ni," Tok Ketua bersuara.

          "Kagum apa, tok?" tanyaku pula sebaliknya.

          "Yalah. Tak ramai anak-anak muda zaman sekarang yang mengikut jejak langkah Rosli membuat kerja-kerja kampung. Maklumlah apa yang ada sangat dengan kerja-kerja kampung ni. Berbanding dengan kerja di bandar besar tu. Ditawarkan gaji yang lumayan," jelas Tok Ketua padaku.

          "Di kampung ni macam-macam boleh buat, Tok. Pokok pangkalnya rajin aje. Dapatlah dituai hasilnya nanti," aku menambah.

          "Betul kata Rosli tu. Tok dah lama tinggal di kampung ni. Ringan tulang aje silap-silap lebih tinggi pendapatan daripada orang yang makan gaji di bandar tu," sokong Tok Ketua.

          Matahari kelihatan cerah di kaki langit biru bersama gumpalan awan tebal memutih menyinari suasana petang. Aku ada janji dengan Abang Osman. Peniaga pasar tani untuk memborong pisang di kebun. Angin tidak terasa bertiup. Aku duduk di pondok sampai memandang pokok-pokok pisang. Bertandan-tandan buahnya. Tak lama kemudian kelihatan Abang Osman. Dia lantas memberi salam dan aku menjawab sambil berjabat tangan dengannya.

          "Banyak betul ya buah pisang. Hah inilah yang dikatakan kalau berbudi pada tanah inilah hasilnya," Abang Osman bersuara.

          "Memang betul kata abang tu. Semuanya dah masak. Tak perlu diperam lagi," kataku.

          "Elok benarlah tu, Rosli. Ramai yang suka pisang ni. Lemak manis. Mana Rosli dapat benih pisang ni?" Abang Osman menyoal.

          "Saya ambil daripada Pak Akop. Pisang ni memang sedap bila digoreng. Abang Osman dah rasa ke?" ujarku.

          "Dah!" angguk Abang Osman dengan pantas bila aku bertanya.

          "Manalah tahu. Asyik jual aje pada orang. Tak dapat merasa," usikku.

          Abang Osman dan aku lantas ketawa. Dia kemudiannya membayar harga buah pisang yang diborong. Aku membantu Abang Osman memasukkan buah pisang ke dalam guni dan meletakkan ke dalam bonet keretanya. Selepas kereta Abang Osman meninggalkan kebun aku mengatur langkah pulang ke rumah. Kelihatan sebuah kereta mewah. Rasa-rasanya aku kenal kereta siapa ni.

          "Azman!" aku menegur sebaik-baik sahaja melihat dia sedang duduk di pangkin depan halaman rumah.

          "Dah lama sampai ke?" ulangku lagi.

          "Tak jugak. Kau dari mana ni?" soalnya.

          "Dari kebun. Janji dengan Abang Osman nak ambil pisang. Jual di pasar tani besok," jawabku.

          "Naiklah ke rumah. Buat apa berbual di bawah. Nanti makcik buatkan air," ibu mencelah dengan tiba-tiba dari atas rumah.

          "Tak apalah, makcik. Di bawah ni pun boleh," Azman membalas sebaliknya sambil memandang ibu.

          "Kalau ya pun marilah naik ke atas dulu," ajakku.

          "Bawah ni ajelah. Lagipun aku tak boleh lama ni. Tapi sebab nak jumpa kau aku datang jugaklah," terang Azman.

          "Macam ada perkara mustahak aje. Apa dia, Azman?" Aku mengangkat kepala melihat mukanya.

          "Taklah mustahak sangat!" Dengan cepat Azman menggeleng-gelengkan kepala.

          "Dah tu?" aku menyambung dengan pantas.

          "Begini kau tahu kan aku sekarang dah naik pangkat. Jadi jawatan aku sekarang kosong. Apa kata kau ambil tempat aku," Azman berkata.

          "Tak apalah, Azman. Aku ucapkan banyak-banyak terima kasih di atas tawaran kerja kau tu. Tapi aku tetap dengan keputusan aku. Tak mahu makan gaji. Aku lebih senang hidup sebagai petani di kampung ni. Maafkan aku kerana selalu mengecewakan kau," aku menolak dengan lembut.

          "Pelik betullah aku dengan kau ni. Orang zaman sekarang susah cari kerja. Kau pulak orang nak beri kerja. Itu pun kau tolak. Sebagai kawan aku memang nak tolong kau. Jangan kau menyesal satu hari nanti," Azman mengingatkan aku.

          "Rasa menyesal kerana menolak peluang untuk makan gaji yang kau tawarkan tak pernah ada dalam hati aku, Azman. Aku sendiri yang pilih untuk jadi petani. Tak ada siapa pun yang mempengaruhi aku. Kau carilah anak-anak muda yang lain dan perlukan pekerjaan untuk menggantikan tempat kau," aku sebaliknya membalas.

          "Hei, susah orang macam kau nilah. Dahlah. Aku balik dulu!" rengus Azman.

          "Eh! Nak ke mana tu, Azman. Marilah naik dulu. Makcik dah buat air ni," pelawa ibu pula.

          "Tak apalah, makcik. Terima kasih ajelah. Saya balik dululah. Dah janji dengan kawan nak jumpa," Azman berdalih.

          "Kenapa dengan Azman tu? Macam ada yang tak kena aje," ujar ibu sambil melihat Azman masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin kemudian pantas meninggalkan rumahku.

          "Entahlah, mak!" aku menjawab.

          "Rosli bergaduh dengan dia ke?" teka ibu pula.

          "Eh! Mana ada? Saya dengan dia kan ke kawan baik sejak dari kecil lagi. Sama sekolah dan tak pernah bergaduh," jelasku pada ibu.

          "Habis tu? Takkanlah dia nak balik cepat sangat. Selalunya dia bersembang lama dengan kau. Maklumlah kawan baik. Ini tidak macam tak puashati dia aje nampak. Baik Rosli beritahu mak. Apa yang sebenarnya terjadi ni?" ibu mendesak seperti tahu apa yang berlaku. Menyebabkan Azman terus balik tanpa naik ke rumah. Untuk menikmati minuman yang telah ibu sediakan.

          "Dia suruh saya gantikan tempat dia di kilang tempat dia bekerja tu. Kosong sebab dia dah naik pangkat. Tak nak cari orang lain. Suruh saya jugak ambil tempat dia," aku memberitahu ibu perkara yang sebenarnya berlaku.

BAB 9

          Jiwa aku sudah tersurat sebagai jiwa petani. Dari arwah datuk, arwah nenek sehinggalah ibu. Darah mengalir dalam tubuh aku ini adalah darah petani jua. Mana mungkin padam selama-lamanya. Macam api yang akan terus menyala hingga ke akhirnya. Hembusan angin petang jelas terasa dingin dan nyaman. Membelah suasana kampung yang indah dan damai. Bersama irama syahdu bisikan pohon-pohon dan daun-daun hijau.

          Nafas yang panjang kutarik. Cuaca kelihatan cerah di kaki langit biru dan awan tebal memutih. Terbayang keriangan dan kegembiraan bersama dengan Azman dan kawan-kawan sewaktu zaman yang dipanggil kanak-kanak dahulu. Macam-macam permainan kami main waktu itu. Senapang buluh, galah panjang, baling buah kelapa dengan tin entah berbagai-bagai lagi tak ingat aku. Tersenyum sendirian aku bila teringatkan semua itu.

          Memang indah bila dikenangkan saat-saat itu. Tapi ia tak akan kembali semula. Cuma tinggal memori segar yang terpahat di ingatan. Memang baik niat Azman itu. Aku sanjung setinggi-tinggi nilai persahabatan yang ditunjukkannya. Tapi adat dalam dunia persahabatan ketawa memang ramai bila menangis seorang diri. Berada di puncak kejayaan dikenal sebagai kawan sejati namun apabila berada di ambang kegagalan dikeji itulah jawapannya.

          Suasana redup memayungi suasana petang. Di kaki langit tidak nampak sebarang tanda hujan akan turun. Angin bertiup perlahan. Pohon-pohon dan daun-daun meliuk-liuk lemah mengikut rentak tiupan angin. Demikianlah indahnya alam semesta ciptaan Tuhan. Untuk kita yang bernama manusia. Menikmati kedamaian dan ketenangan mewarnai desa tercinta. Hati aku benar-benar terpaut erat dengan segala yang ada di sini.

          "Sesuatu yang cantik Tuhan anugerahkan perlu kita jaga dan pelihara," Maizah bersuara.

          "Tapi kita manusia mudah lupa. Akibat terlalu mengejar pembangunan alam yang subur menghijau menjadi mangsa," aku mencelah.

          "Itu memang tidak dapat dinafikan. Sayang sekali. Kalau apa yang kita miliki percuma selama ini dimusnahkan angkara kemajuan," ucap Maizah pula.

          "Tak salah kita mengutamakan pembangunan. Sememangnya itulah yang dituntut. Kita tak boleh sentiasa menoleh ke belakang dalam hidup. Terus maju ke depan. Tapi alam yang cantik ini tak boleh kita musnahkan dengan sewenang-wenangnya. Semata-mata menuntut pembangunan yang sejati," kataku.

          "Hebat Rosli ni!" Dengan cepat Maizah mengangguk-anggukkan kepala.

          "Saya tak anggap diri saya hebat, Maizah. Ada orang lain yang lebih hebat daripada saya. Apa yang saya perkatakan ini hanyalah rasa kesedaran agar menghargai dan menjaga alam yang subur menghijau ini," aku sebaliknya membalas.

          "Awak seorang pemuda kampung berjiwa pencinta alam," ujar Maizah kepada aku.

          Aku merenung jauh akan perjalanan hidup ini dan keindahan alam semulajadi. Seperti irama dan lagu. Macam ombak dan pantai. Sukar untuk dipisahkan selagi masih lagi melihat matahari di siang hari dan rembulan di malam hari. Sesungguhnya kehidupan yang dilalui dihiasi dengan pelbagai corak dan warna. Terserah kepada kita manusia untuk memilihnya.

          Memilih jalan yang baik penuh dengan keberkatan. Jalan yang buruk penuh dengan kesengsaraan. Itulah yang ditentukan oleh Tuhan. Dalam kehidupan hambanya di atas dunia yang sementara waktu ini sahaja. Aku merenung sejauh-jauhnya akan hakikat itu. Bersama suara deruan angin petang yang lemah-gemalai. Mengusapi segar dan dingin seluruh kampung yang permai dan indah. Dalam keredupan cuaca dan matahari yang jelas kelihatan di kaki langit tanpa sinaran cahaya menerangi seluruh desa tercinta yang indah dan permai.

          Bagi aku alam yang subur menghijau tak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Nyanyian pohon-pohon dan daun-daun yang diusapi tiupan angin adalah irama keindahan yang dimiliki daripada anugerah Tuhan untuk makhluknya yang bernama manusia di dunia ini. Bersama kehalusan suara deruan air sungai yang mengalir tanpa hentinya setiap ketika. Tanpa rasa jemu dan bosan sebagai pengorbanan yang besar kepada manusia untuk menikmati akan keindahan alam semulajadi ciptaan Tuhan.

          "Saya sedih apabila melihat sungai tercemar dan hutan menjadi mangsa pembalakan secara haram," keluh Maizah.

          "Itulah kelemahan kita sebagai manusia. Tidak menjaga dan menghargai alam sekitar. Bila dah ditimpa bencana seperti banjir barulah sedar. Pencemaranlah yang menjadi punca segala-galanya berlakunya musibah ini," aku menyokong.

          "Rasa kesedaran dan mencintai alam sekitar perlu ada dalam diri kita sebagai manusia. Kalau alam sekitar dah musnah susah nak dicari ganti," Maizah bersuara lagi.

          "Memang benar sekali apa yang Maizah cakapkan tu. Sama dengan keindahan alam semula jadi yang terdapat di kampung ni. Tak dapatlah saya bayangkan kalau satu hari nanti benar-benar terjadi. Macam apa yang sedang kita fikirkan. Harap-harap ia tak akan terjadi dan terus kekal buat selama-lamanya," aku mencelah.

          Tak dapatlah aku bayangkan sekiranya keindahan alam semulajadi yang mewarnai kampung yang permai dan indah ini dengan tiba-tiba musnah ditelan pencemaran. Tentulah kesunyian bersama irama lemah dan tak bermaya sahaja yang dapat digambarkan. Macam padang jarak padang terkukur. Begitulah dahsyatnya bencana yang menimpa kampung ini dengan tiada lagi dapat melihat kecantikan dan kesuburan hijau alam semulajadi. Hanya jiwa yang pasrah meratapi kedukaan akibat kehilangan sesuatu yang amat berharga pernah dimiliki dalam hidup ini sahaja yang mampu aku gambarkan. Sekiranya perkara yang memilukan ini terjadi dan bukannya dipinta.

          Apabila memikirkannya maka semangat umpama seorang pejuang membakar diri mudaku supaya mempertahankan keindahan dan kesucian alam sekitar di kampung ini daripada pencemaran. Dengan tiba-tiba sahaja semakin kuat perasaan menghargai dan menghayati akan kesuburan alam menghijau bersama hutan dan bukit-bukau yang menjadikan pemandangan indah dan ketenangan jiwa di kampung sekuat bat uterus bertapak di jiwa aku. Bersama deruan angin yang tiba-tiba bertiup kencang seolah-olah menjadi pembakar semangat untuk aku terus hidup di kampung ini tanpa beralih arah haluan memburu kesenangan hidup di kota. Di kaki langit cuaca masih lagi tak berubah nampak redup. Maizah kelihatan diam sambil melemparkan pandangan sejauh-jauhnya ke arah hadapan rumah aku yang dahulunya hamparan sawah padi yang menguning. Tapi sekarang telah bertukar menjadi tanah terbiar dan dipenuhi dengan semak-samun. Entah apa yang sedang difikirkannya aku tak pasti. Apa yang tersirat dalam hati seseorang manusia itu sukar untuk dibaca.

          Namun aku hanya dapat membuat andaian yang dia sedang memikirkan sesuatu tentang kehidupan yang dilalui dari raut wajahnya yang jelita dan ayu itu. Gadis yang berasal dari bandar dan bertugas sebagai guru di kampung ini memang gemar bertandang ke rumah aku bila ada kelapangan. Malahan ibu dah menganggap Maizah macam anaknya sendiri. Begitu juga dengan Maizah yang tambahan tidak mempunyai saudara-mara di kampung ini. Ibu dah dianggapnya macam ibunya sendiri.

          "Maizah rupanya. Ingat siapa yang datang. Dengar suara orang berbual di luar rumah," tegur ibu pula sambil senyuman nampak di wajah tuanya itu.

          "Ya, makcik!" Maizah sebaliknya membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala sambil bersalaman dan berpelukan dengan ibu dengan penuh rasa kasih dan sayang. Mungkin untuk melepaskan rindu pada ayah dan ibunya yang berada di bandar.

          "Apa khabar, makcik?" soal Maizah lagi sambil memandang dalam-dalam wajah ibu. Seperti pandangan seorang anak pada ibunya.

          "Alhamdulillah, baik. Maizah pulak macam mana?" ibu menjawab.

          "Baik, makcik. Tapi sejak akhir-akhir ni sibuk sikit. Maklumlah banyak kerja kat sekolah tu nak kena buat. Ni bila ada kelapangan saya datanglah tengok makcik," jelas Maizah pada ibu.

          "Makcik minta maaf. Tak sedar Maizah datang sebab sibuk kat dapur tu," ibu berkata.

          "Tak apalah, makcik," ujar Maizah pula.

          "Marilah naik ke rumah. Makcik ada buat kuih kesukaan Maizah. Lepat pisang," ibu bersuara.

          "Susah-susah aje makcik ni," Maizah berkata.

          "Tak ada susahnya. Kebetulan dah rezeki Maizah datang ke rumah makcik. Dahlah tu. Mari kita naik!" pelawa ibu.

          Selepas menikmati minum petang Maizah memohon diri untuk pulang kerana hari sudah memasuki lewat petang. Ibu juga membekalkan Maizah kuih lepat pisang. Aku segera membersihkan diri dan pergi ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib. Sementara menunggu waktu Isyak masuk aku berbual dengan Tok Ketua, Tok Imam dan beberapa orang penduduk kampung di anjung masjid.

          "Nampaknya harga getah semakin naik sekarang," Tok Ketua bersuara.

          "Rezeki orang yang menoreh, Tok. Syukur alhamdulillah. Tengok Rosli ni. Patut anak-anak muda di kampung ni contohi dia. Tak semestinya kerja di bandar dapat duit. Tapi kerja di kampung ni pun apa kurangnya. Dapat duit jugak," Pak Rahman mencelah.

          "Betul kata Rahman tu. Rezeki ni sebenarnya ada di mana-mana sahaja. Asalkan rajin berusaha dapatlah hasilnya nanti. Insya-Allah," tambah Tok Imam pula.

          "Pujian yang Pak Rahman berikan tu terlalu besar buat diri saya. Sedangkan bukan niat saya hendak menunjuk-nunjuk kepada kawan-kawan yang sebaya dengan saya. Apa yang penting saya lakukannya ikhlas semata-mata sebagai ibadah untuk memajukan dan memakmurkan bumi Tuhan ini," aku sebaliknya menjawab.

          Biarlah merendah diri dan tidak merasa bangga apabila dipuji. Begitu juga apabila sudah mencapai kejayaan. Janganlah berasa terlalu megah kerana sudah Berjaya membuktikan kemampuan diri yang sebenar. Bagi aku walaupun sudah berjaya tak semestinya sudah mencapai kepuasan diri dalam hidup ini. Perlu berusaha dan terus berusaha. Kerana perjalanan hidup yang dilalui ini sentiasa penuh dengan ujian dan cabaran. Walaupun apa yang kita idamkan selama ini dalam hidup telah tercapai.

          Sebaliknya kita harus terus berusaha dan bekerja. Demi kesejahteraan dan kemajuan agama, bangsa dan negara. Bagi aku ia adalah amanah di bahu yang harus dipikul dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Aku adakalanya dibuai dengan rasa ketakutan apabila pujian dan kejayaan yang datang boleh melekakan dan menimbulkan rasa sombong dan bongkak. Tidak lagi menoleh ke belakang dan lupa asal usul akan kesusahan yang dilalui sebelum menikmati kejayaan dalam hidup ini.

          Sedangkan apa yang kita miliki dalam hidup ini sebenarnya bukan untuk kita buat selama-lamanya. Semuanya adalah dipinjamkan oleh Tuhan kepada kita. Tidak kekal dan bila-bila masa boleh diambil kembali Tuhan yang berkuasa ke atas segala-galanya dalam dunia ini apabila kita sebagai manusia menuju ke jalan kemungkaran yang dilarangnya. Aku memunajatkan doa ke hadrat Tuhan agar sentiasa mendapat kebaikan dan kesejahteraan hidup dengan mentaati segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya dengan menjadikan keimanan dan ketakwaan sebagai pegangan hidup.

          "Hah, dah masuk waktu isyak pun," ujar Tok Imam dengan tiba-tiba dan serta-merta perbualan rancak Tok Ketua, Pak Rahman dan beberapa penduduk kampung lantas terhenti. Tok Imam kemudiannya menyuruh Bilal Tahir agar melaungkan azan isyak.

BAB 10

          Mendung kelihatan menyinari pagi ini. Angin bertiup lemah. Tak pasti hujan akan turun atau tidak. Seperti biasa aku melangkah ke kebun getah Pak Rahman. Bagi aku dalam apa jua keadaan bekerja dan kehidupan mesti diteruskan. Rasa syukur yang tak terhingga ke hadrat Tuhan itulah yang perlu diucapkan apabila pagi menjelma kerana dikurniakan hari baru untuk meneruskan perjalanan hidup ini dan tenaga yang sihat untuk bekerja demi kemajuan dan kemakmuran bumi yang subur dan bertuah ini.

          Sudah pasti akan berasa kerugian apabila lebih banyak menghabiskan perjalanan hidup ini yang diumpamakan seperti perjuangan dengan tidak bermanfaat dan tanpa haluan. Kesempatan hidup di dunia yang diberikan oleh Tuhan ini seharusnya diisi dengan beramal dan berbakti dan bukannya disia-siakan dengan begitu sahaja. Adaketikanya kita sebagai manusia mudah tenggelam dengan keseronokan hidup sehingga lupa akan Tuhan yang mencipta kita dan mengurniakan kenikmatan dunia. Demikianlah yang bernama manusia begitu juga dengan aku.

          Kadangkala aku diusik dengan gambaran kejayaan mencapai kesenangan hidup. Bebas daripada belenggu kemiskinan yang selama ini membayangi hidup aku sejak dari kecil lagi sehinggalah aku mencecah ke alam dewasa seperti sekarang. Memikirkan nikmat kesenangan hidup yang jauh bezanya kalau dibandingkan dengan keperitan hidup akibat ditakdirkan miskin. Jauh sekali aku menyesali hidup yang telah ditentukan oleh Tuhan dan sebaliknya bersyukur kerana masih lagi dapat meneruskan kehidupan. Dengan rezeki bergantung hanya pada menoreh getah di kebun Pak Rahman dan upah membuat kerja-kerja kampung.

          Selagi namanya hidup selagi itulah kita yang bernama manusia akan terus mencurahkan bakti dan sumbangan demi kejayaan dan pembangunan negara yang tercinta. Tenaga muda seperti aku dan kawan-kawan sebaya yang lain ditagih sebagai harapan negara dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan milik negara berterusan. Pokok-pokok getah di kebun Pak Rahman dan apa jua yang terdapat dalam kampung ini juga besar sumbangannya kepada rakyat di negara ini dalam menikmati kemajuan hidup di negara yang bertuah dengan diwarnai suasana aman dan damai dengan hidup bersatu padu dalam pelbagai kaum, agama dan bangsa.

          Apabila memikirkan tentang negara maka dengan tiba-tiba sahaja aku teringatkan arwah Datuk yang gemar bercerita akan kisah zaman sebelum negara menikmati kemerdekaan seperti pada hari ini. Dengan penuh semangat arwah Datuk bercerita akan susah payah perjuangan generasi terdahulu menentang British, Jepun dan komunis dalam memastikan generasi hari ini dapat hidup bebas tanpa cengkaman penjajah. Masih lagi jelas terbayang akan rasa pilu dan sayu wajah arwah Datuk apabila bercerita tentang kekejaman Tentera Jepun sewaktu memerintah negara ini.

          Ketika itu arwah Datuk masih kecil lagi. Memang susah hidup dalam zaman perang. Nasi tiada hanya makan ubi kayu sahaja. Zaman darurat juga masih lagi segar dalam ingatan arwah Datuk. Ramai yang menjadi mangsa pembunuhan kejam komunis. Sesungguhnya sejarah banyak mengajar dan teladan dalam hidup kita. Suka atau tidak kita harus menerima sejarah. Kerana ia adalah catatan silam yang benar-benar terjadi dan bukannya rekaan semata-mata.

          Hakikatnya sejarah akan terus hidup subur dalam kehidupan kita. Walaupun silih berganti peredaran zaman. Aku berasa amat bersyukur dapat hidup dalam zaman merdeka hasil pengorbanan perjuangan generasi terdahulu. Tidak seperti arwah Datuk hidup dalam zaman peperangan dan kekacauan. Apa yang diceritakan oleh arwah Datuk bagi aku adalah pesanan agar meneruskan perjuangan generasi terdahulu dalam membangunkan negara yang tercinta. Bukan senang untuk mencapai kemerdekaan. Ada negara yang terpaksa menumpahkan darah untuk mencapai kemerdekaan dengan senjata. Kita amat bertuah kerana tiada pertumpahan darah sehingga mengorbankan rakyat untuk mencapai kemerdekaan. Sebaliknya dengan rundingan.

          Di kaki langit awan yang tadinya mendung bertukar menjadi hitam. Hujan nak turun nampaknya. Tak lama kemudian hujan pun turun. Aku lalu berhenti daripada menoreh dan pergi ke pondok untuk berteduh. Pokok-pokok getah dan mangkuk-mangkuk tempat mengisi susu basah oleh hujan. Menjelang tengah hari barulah hujan berhenti dan aku pulang ke rumah.

          "Hari ni tentu kau rugi ya, Rosli?" kata Pak Long sewaktu bertemu dengan aku di jalan.

          "Apa nak buat, Pak Long? Hujan turun. Tiga batang pokok aje yang dapat saya toreh hari ni," aku sebaliknya menjawab.

          "Itulah kan aku dah cakap dulu. Kau tak nak dengar. Jadi penoreh ni pendapatannya berapa sangat. Harap waktu harga getah naik aje. Bila harga getah turun susah balik. Tambahan pulak sekarang barang semuanya. Harga getah tak menentu. Hah, hari ni pulak hujan. Langsung kau tak dapat menoreh. Separuh aje. Macam mana duit nak masuk. Tulah kau kerja dengan Mizzuan kan ke senang. Bulan-bulan kau balik kampung beri duit pada emak kau. Taklah susah macam ni. Dahlah bangun pagi tapi hasilnya tak menentu," Pak Long bersuara dengan panjang lebar. Dari raut wajahnya itu aku dapat membaca. Nyata dia masih lagi berasa kecewa kerana menolak tawaran bekerja dengan anaknya Mizzuan.

          "Tak apalah, Pak Long. Saya sendiri yang memilih untuk jadi penoreh. Hari ni tak ada rezeki sebab hujan. Mungkin esok ada. Sabar ajelah. Tuhan yang menentukan semuanya ini. Saya sebagai manusia hanya mampu merancang aje dalam hidup ini," aku sebaliknya menjawab dalam nada suara yang tenang. Walaupun dalam hati terasa juga dengan kata-kata Pak Long itu. Yang macam membantah dan tidak menyokong aku menjadi penoreh getah yang padanya tak ada jaminan hidup masa depan. Disebabkan harga getah yang sekejap naik yang sekejap turun. Tak macam anaknya Mizzuan yang bergaji mewah bekerja di bandar.

          Sampai sahaja di rumah ibu menyuruh aku mengambil pucuk ubi di belakang rumah. Tengah hari ini ibu buat sambal belacan. Sudah tentulah mesti ada pucuk ubi rebus. Sungguh berselera ibu dan aku menikmati hidangan tengah hari pada hari ini. Gulai ikan tenggiri salai masak lemak cili api campur dengan bacang dan ulam petai. Selepas makan tengah hari dan menunaikan solat Zuhur macam biasa aku berehat di anjung rumah. Matahari tidak kelihatan di kaki langit. Mungkin kesan daripada hujan yang turun tadi.

          "Petang ni tak ada ke Rosli ambil upah menebas," ujar ibu.

          "Tak ada pulak, mak. Kenapa?" tanyaku.

          "Saja aje tanya. Hah, teringat pulak mak. Semalam mak jumpa Pak Long waktu beli barang dapur di kedai Pak Leman," kata ibu pula.

          "Dia minta tebas kebun dia ke, mak?" aku pura-pura menyoal. Macam tak berjumpa dengan Pak Long. Sedangkan baru tadi aku berjumpa dengan dia. Dilemparkan dengan kata-kata yang menyentuh hati disebabkan hujan turun pagi ini aku sebagai penoreh getah tak ada rezeki. Namun aku simpan dalam hati. Tak aku ceritakan pada ibu. Takut ibu sama terasa hati. Biarlah aku seorang saja yang menanggungnya.

          "Tak adalah. Dia suruh mak pujuk Rosli kerja dengan Mizzuan. Pada mak baiklah Rosli terima kerja tu. Lagipun Mizzuan harap sangat Rosli kerja dengan dia. Tak baik hampakan orang. Lebih-lebih lagi Pak Long tu. Dia pun berharap Rosli mengikut jejak langkah anaknya. Berjaya dalam hidup dengan bekerja di bandar tu," jelas ibu padaku.

          "Mak …." Aku mengeluarkan nada suara yang lembut.

          "Kalau saya kerja dengan Mizzuan di bandar siapa yang nak jaga mak. Saya nilah satu-satunya anak mak adik-beradik tak ada. Ayah pulak dah lama berpisah dengan mak. Siapa pulak yang nak jaga mak nanti bila dah uzur dan tak sihat," sambungku lagi.

          "Tentang tu tak usahlah Rosli bimbangkan. Mak tahulah nak jaga diri. Demi masa depan Rosli pergilah bekerja di bandar tu. Ikut jejak langkah Mizzuan dan kawan-kawan Rosli yang lain punya gaji besar dan pakai kereta," tambah ibu pula.

          "Biarlah, mak. Dah rezeki dia orang kerja di bandar tu. Rezeki Rosli biarlah di kampung ni. Lagipun kalau semua anak muda pergi ke Bandar untuk bekerja tak ada pulak anak muda di kampung ni. Untuk membantu memajukan kampung ni dan biarlah Rosli tinggal seorang aje di kampung ni." Aku memberikan jawapan pada ibu. Dia kemudiannya diam sambil senyuman jelas nampak di mukanya. Mungkin dia berasa gembira dengan jawapan yang kuberikan itu. Terus menjaganya dan menabur bakti di kampung ini. Walaupun tidak menghalang malahan menggalakkan aku menerima tawaran bekerja dengan Mizzuan sepupuku di bandar.

          "Kalau dah itu keputusan Rosli mak doakan Rosli berjaya seperti Mizzuan dan kawan-kawan lain yang bekerja di bandar tu," ibu berkata. Mendengar sahaja kata-kata ibu aku berasa gembira dan semakin bersemangat untuk memajukan kampung ini dan sekaligus menyumbang kepada tuntutan pembangunan negara yang sejati dan padu.

          "Terima kasih, mak. Bagi Rosli mak orang yang paling Rosli sayang di dunia dan akhirat. Insya-Allah. Rosli akan jaga mak walaupun dah kahwin nanti," janjiku sambil mencium tangan dan memeluk ibu dengan penuh rasa sayang dan kasih seorang anak terhadap insan yang terpaksa bertarung nyawa melahirkannya ke dunia. Sukar untuk aku melupakan belaian kasih sayang yang dicurahkannya dan pengorbanannya dalam membesarkan aku sehingga meniti ke alam dewasa pada hari ini.

          "Cakap pasal kahwin pulak. Dah ada calon ke. Tak lama lagi mak terima menantu dan timang cuculah jawabnya," ibu sebaliknya bergurau.

          "Tak adalah,  mak. Lagipun siapalah yang nakkan Rosli ni. Kerja kampung aje. Lainlah macam Mizzuan anak kesayangan Pak Long tu," ucapku pula sambil ketawa dan begitu juga dengan ibu yang turut ketawa apabila aku membangkitkan soal kahwin alam yang akan aku lalui satu hari nanti sekiranya ada jodoh yang telah ditentukan oleh Tuhan buat aku.

          Petang ini aku bercadang untuk mengerjakan kebun di belakang rumah memandangkan tak ada kerja menebas di kebun. Bagi aku tak ada kerja tak semestinya kita harus duduk saja di rumah. Tunggu kerja datang. Sebaliknya kerja mesti dicari atau dibuat sendiri. Selepas menunaikan solat Asar aku pun mengerjakan kebun di belakang rumah yang ditanam dengan sayur-sayuran kampung dan buah-buahan. Pokoknya rajin berusaha dapatlah hasilnya nanti. Dalam soal rezeki kita harus berusaha untuk mendapatkannya dengan pelbagai cara. Seperti yang dijanjikan oleh Tuhan rezeki yang halal akan mendapat berkat dalam hidup ini. Rezeki dengan cara yang haram ditegah dan dilarang Tuhan tidak akan mendapat berkat dan sebaliknya susah yang datang dalam hidup ini disebabkan cara yang tidak diredhai.

          Selain daripada membersihkan kebun aku juga membubuh baja pada sayur-sayuran kampung dan buah-buahan. Nampaknya sayur-sayuran kampung dan buah-buahan menjadi terutama cili api, daun serai, daun kunyit, keledek, terung, limau kasturi, nangka, sukun, keladi dan pisang kapas. Bolehlah dimakan nanti dan dijual kepada Abang Osman peniaga pasar tani yang selalu memborong pisang di kebun. Sedang aku asyik mengerjakan kebun tiba-tiba ibu datang dan memberitahu yang Pak Akop datang hendak berjumpa dengan aku.

          "Rajin betul kau ni, Rosli. Tak reti duduk diam. Ada aje kerja yang kau buat. Kalau ramai anak muda macam kau ni kan ke bagus. Sekurang-kurangnya tak adalah buang masa dengan perkara yang tak berfaedah. Sehingga merosakkan nama agama, bangsa dan negara seperti pada hari ni," kata Pak Akop pula.

          "Apa yang saya buat ni adalah ibadah sepertimana yang dituntut oleh Tuhan. Dengan cara berkebun sekurang-kurangnya tanah kosong yang ada di belakang rumah tu terisi dengan tanam-tanaman. Dapat jugaklah merasa hasilnya nanti," balasku.

          "Memang betul apa yang kau cakapkan tu, Rosli. Begini. Aku datang ni nak minta tolong dengan kau. Bantu aku menebas di kebun buah-buahan aku tu. Upahnya nanti aku berilah. Boleh tak?" Pak Akop menerangkan tujuan sebenarnya datang berjumpa dengan aku.

          "Boleh, Pak Akop!" aku pantas mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda setuju memenuhi permintaan Pak Akop itu.

          "Kita buat sebelah petang. Aku faham. Sebelah pagi kau tak dapat. Sebab menoreh di kebun Pak Rahman," Pak Akop menambah lagi.

          "Yalah, Pak Akop. Petang besok lepas menoreh saya ke kebun Pak Akop," aku berjanji pada Pak Akop.

          "Baiklah kalau macam tu. Aku balik dulu!" mohon Pak Akop sambil bersalaman dengan aku.

          "Marilah naik ke rumah dulu Pak Akop," aku sebaliknya mempelawa.

          "Tak apalah, Rosli. Lain kali ajelah. Lagipun aku kena balik cepat ni. Sebab ada hal nak diuruskan di rumah tu. Assalamualaikum!" dia memberi salam sebelum meninggalkan rumah aku.

          "Waalaikumsalam," aku menjawab.

BAB 11

          Hujan yang turun mencurah-curah sejak malam tadi tidak berhenti sehingga ke pagi ini. Aku tak dapat pergi menoreh. Inilah nasib yang harus diterima oleh penoreh getah macam aku. Tak ada rezeki lagi hari ini. Seperti juga semalam sebab hujan turun. Kenalah bersabar kerana rezeki adalah di tangan Tuhan. Bagi penoreh getah macam aku ini bila hujan dah turun tanpa hentinya maka menjadi halangan untuk aku keluar macam biasa pergi ke kebun Pak Rahman. Aku duduk di anjung rumah sambil memandang ke arah luar dengan pohon-pohon dan daun-daun hijau basah oleh air hujan yang tak tahu bila akan berhenti.

          Nampaknya hari ini aku hanya dapat membuat kerja menebas seperti yang dijanjikan dengan Pak Akop petang nanti. Harap-harap hujan taklah berlarutan sehingga ke petang. Tak dapatlah menebas bersama dengan Pak Akop di kebun itu jawabnya. Mungkin dah rezeki aku agaknya. Pagi ini tak dapat menoreh sebab hujan. Sebaliknya dapat upah membantu Pak Akop menebas di kebunnya. Itupun kalau tak hujan. Aku menarik nafas panjang. Maka aku terbayang akan nasib penoreh-penoreh getah yang lain apabila hujan. Terutama sekali yang mempunyai anak yang ramai. Hanya bergantung dengan menoreh getah untuk menyara hidup keluarga dan persekolahan anak.

          Semakin kuat ingatan aku mengenangkan sewaktu masih kecil dahulu bila hujan turun ibu tidak dapat pergi menoreh dan makan nasi hanya berlaukkan ikan kering, sardin dan sayur-sayuran kampung. Ibu tidak dapat membekalkan duit belanja sebaliknya hanya pisang goreng, keledek goreng atau ubi rebus untuk mengalas perut waktu rehat di sekolah. Dalam soal duit ibu amat berjimat cermat dan menyimpan duit hasil daripada menoreh di kebun getah Lebai Daud. Setahu aku ibu tak pernah kesusahan tanpa duit dalam menyara hidup dan persekolahan dan tak pernah meminta atau meminjam duit daripada sesiapa pun. Ibu juga rajin bercucuk tanam di belakang rumah sebagai tambahan pendapatan dengan menjual hasilnya di kedai runcit Pak Leman untuk menyara hidup dan tidak bergantung kepada menoreh getah sahaja.

          "Tak dapatlah Rosli pergi menoreh pagi ni. Hujan tak berhenti nampaknya." Dengan tiba-tiba sahaja aku dikejutkan daripada lamunan dengan suara ibu yang muncul dari dapur.

          "Apa nak buat, mak. Dah dua hari tak ada rezeki menoreh. Sabar ajelah," aku berkata sambil memandang wajah ibu.

          "Kalau tak silap mak hari ini Pak Long dan Mak Long ke Kuala Lumpur," ucap ibu lagi.

          "Ke Kuala Lumpur? Pak Long dan Mak Long buat apa kat sana, mak?" tanyaku dengan rasa penuh minat.

          "Dia beritahu masa jumpa di kedai Pak Leman hari tu. Mizzuan ajak datang. Dia dah beli rumah," ibu menjelaskan kepada aku.

          "Baguslah tu, mak. Kita pun tumpang gembira. Melihat Mizzuan dapat beli rumah dengan bekerja di bandar tu," aku sebaliknya menambah.

          Dah rezeki Mizzuan dapat beli rumah dan sudah tentu Pak Long merasa gembira dan bangga. Anaknya bukan sahaja dapat beri dia duit belanja setiap bulan dan pakai kereta malahan juga mampu beli rumah. Kalau aku ikut Mizzuan kerja di Bandar dah tentu aku macam dia juga. Dapat beli rumah dan senanglah hidup ibu. Tapi aku dah nekad. Walau susah baik senang macam mana pun di kampung inilah tempat untuk aku mencari rezeki dan berjaya dalam hidup. Biarlah apa orang nak kata. Usia muda macam aku ini nak aku buktikan boleh menjadi petani yang berjaya. Asalkan ada kesungguhan dan kemahuan untuk mencapai kejayaan. Macam mereka yang sanggup meninggalkan kampung mencari rezeki di kota. Dalam memburu impian berjaya dalam hidup ini dan mengubah diri keluar daripada belenggu kemiskinan.

          Bagi aku tak semestinya mencari rezeki di bandar dapat mengubah nasib untuk berjaya dalam hidup. Apa kurangnya di kampung tempat asal usul kita dilahirkan dan dibesarkan. Andainya aku berjaya dengan hidup bertani di kampung bukanlah kejayaan aku seorang. Kejayaan untuk ibu tercinta dan seluruh penduduk kampung. Namun aku tetap berdoa agar tidak menjadi seperti Si Tanggang yang lupa diri dan menderhaka pada ibu yang melahirkannya ke dunia apabila sudah menjadi kaya. Memang benar kita harus ingat pada pepatah yang menyebut yang baik dijadikan teladan dan yang buruk kita jadikan sempadan.

          Hidup mestilah banyak ditaburkan dengan jasa dan budi. Bukannya minta dikenang orang dan mendapat nama. Dengan bertani juga sumbangan disemai demi kemajuan negara umpama benih di ladang dan mengeluarkan hasil untuk dinikmati oleh semua orang. Demikianlah pendapat aku dalam menyemai bakti di tanah bertuah dan subur milik Tuhan. Berusaha dan sentiasa mengerah kudrat setiap ketika dan waktu demi kemakmuran dan kesejahteraan kampung yang dipenuhi dengan warna-warna keindahan dan ketenangan subur menghijau alam semulajadi menjadi pendamai jiwa apabila direnungkan dan dihayati sedalam-dalamnya memilih kehidupan di kampung.

          Nampaknya hari semakin masuk tengah hari. Hujan masih lagi belum berhenti. Tiada yang sukar dalam mencapai kejayaan hidup. Kalau orang lain boleh berjaya dalam bidang pertanian kenapa aku tidak boleh. Semangat dan keazaman yang tinggi adalah kunci utama dalam mencapai sesuatu kejayaan. Kesusahan dan kemiskinan memang ada di mana-mana dalam hidup manusia. Tapi ia bukanlah untuk dirintih dan dikeluhkan. Kerana susah hidup miskin sedangkan orang lain senang hidup kaya-raya punya wang yang banyak dan harta bertimbun-timbun.

          Dengan wang segala-galanya boleh dibeli termasuk berkuasa dan orang miskin selalunya dipandang rendah dan hina. Tanpa wang hanya penderitaan dan air mata dimiliki oleh orang miskin dan sentiasa merasa tertindas dan menjadi hamba kepada orang kaya. Aku tidak pasti akan kebenaran kata-kata itu pada zaman yang moden ini. Mungkin disebabkan aku banyak membaca buku kisah-kisah orang kaya dan miskin semasa bersekolah rendah dahulu menjadikan aku berfikiran sedemikian.

          Namun bagi aku kemiskinan tidak boleh menjadi halangan dan rintangan untuk berjaya dalam hidup ini dan boleh menjadi kaya pada satu hari nanti asalkan bekerja kuat. Tuhan tidak membezakan manusia antara kaya dan miskin. Semuanya sama di sisi cuma dibezakan dengan amal ibadat sepertimana yang diperintahkannya kepada semua manusia yang hidup di dunia ini. Aku benar-benar menginsafi akan kenyataan bahawa hidup manusia di dunia diperintahkan melakukan banyak kebaikan dan menjauhi keburukan. Begitu juga dalam bekerja perlu dilakukan dengan rasa penuh amanah dan perlu dilaksanakan dengan baik sebagai ibadah di samping mendapat ganjaran untuk menyara kehidupan.

          "Apahalnya Pak Akop datang semalam jumpa dengan Rosli?" ibu menyoal pula.

          "Dia minta Rosli bantu menebas di kebun buah-buahannya petang ni," aku sebaliknya membalas.

          "Eloklah tu. Dapat jugak duit nanti," celah ibu.

          "Alhamdulillah, mak. Rezeki kita tak dapat menoreh pagi ni dapat rezeki menebas di kebun Pak Akop," aku membalas.

          Ibu kemudiannya beredar ke dapur untuk menyiapkan hidangan tengah hari. Aku terus mengelamun jauh memikirkan perjalanan hidup ini dalam menuju puncak kejayaan bersama titisan hujan yang mencurah-curah menyirami seluruh kampung. Macam mana titisan hujan yang turun tak henti-henti dari langit begitu jugalah azam dan semangat aku mengalir untuk membuktikan kejayaan hidup di kampung hanya dengan bertani dan menoreh getah setanding dengan bekerja di bandar bergaji mewah mampu memiliki kereta dan rumah. Bagi aku tiada yang mustahil untuk dilakukan dalam hidup ini dan aku seperti mereka yang bekerja di bandar boleh memiliki kereta dan rumah asalkan rajin dan kuat bekerja sebagai petani dengan bermandikan embun di waktu pagi dan dibakar panas terik matahari di kampung ini.

 BAB 12

          Sungguh indah dan permai apabila melihat kehijauan suasana yang mewarnai seluruh kampung. Bersama bukit-bukau, pohon-pohon dan tenang deruan air sungai yang mengalir. Lalu hatiku dibisikkan dengan perasaan kasih dan sayang yang mendalam pada tanah yang menjadi saksi kelahiran dan membina kehidupan di dunia ini. Tak tergambar akan rasa keazaman dan semangat yang mengalir dalam jiwa muda aku berkorban dan memakmurkan tanah yang subur ini berharap kesinambungan generasi aku selepas ini akan berterusan.

          Deru angin umpama irama lagu yang mendendangkan jiwa bersama gemersik alunan setia pohon-pohon dan daun-daun menghimpunkan kedamaian dan ketenangan hidup yang dimiliki di sini. Hari demi hari bersama setiap langkah yang diatur bersama semangat waja dalam memastikan bumi bertuah ini terisi dan subur dengan pelbagai tanaman untuk dinikmati bukan sahaja penduduk kampung ini sahaja malahan juga menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara tanpa hentinya. Biarlah kusemai rasa cinta yang abadi dengan bekerja sebagai petani buat selama-lamanya di kampung ini. Demikianlah lafaz dalam hati kecilku pada tanah yang merdeka dan aman hasil hadiah pejuang terdahulu sebagai membalas segala pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan dalam membebaskan negara daripada rantai penjajah.

          "Rosli tentu mempunyai cita-cita dalam hidup ni," Maizah bersuara.

          "Berjaya dalam kerjaya sebagai seorang petani." Aku memberikan jawapan pada soalan yang diberikan oleh Maizah itu.

          "Itu saja?" soal Maizah pula sebaliknya sambil mengangkat kepala tinggi sedikit melihat muka aku.

          "Ya!" aku membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

          "Maizah pulak?" aku sebaliknya menyoal.

          "Sejak dari kecil lagi saya bercita-cita untuk menjadi seorang guru. Sekarang cita-cita saya dah pun tercapai. Tambah pulak saya ditempatkan di kampung ini yang penuh dengan ketenangan dan keindahan. Saya berazam. Untuk melahirkan anak-anak kampung ini berakhlak mulia dan berilmu pengetahuan tinggi dan berbakti pada agama, bangsa dan negara," ujar Maizah yang dari raut wajahnya yang jelita dan ayu itu penuh dengan semangat.

          "Saya kagumi Maizah. Punya semangat dan cita-cita tinggi untuk mendidik anak kampung ini menjadi insan yang dapat menyumbangkan tenaga dalam pembangunan negara," aku menambah pula.

          "Bukankah itu sudah menjadi tugas seorang pendidik macam saya. Walau apa sekalipun cabaran yang datang saya mesti harungi agar cita-cita murni itu tercapai," jelas Maizah lagi.

          Ternyata Maizah bukan sahaja cantik wajahnya juga halus budi pekerti dan bersopan santun yang sewajarnya ada dalam diri seorang gadis. Dalam kelembutan dirinya ada semangat yang membara dan penuh amanah memikul tanggungjawab yang diberikan. Hidup dengan berilmu pengetahuan ibarat cahaya yang menerangi kegelapan. Tapi sekiranya hidup tanpa ilmu macam dibayangi kegelapan dan teraba-raba tanpa arah haluan.

          Sesungguhnya pengorbanan seorang guru itu amat besar dalam mendidik anak bangsanya. Insan ini sering diumpamakan sebagai lilin yang membakar diri dan rela berkorban menerangi orang lain yang kegelapan dan tiada apa yang lebih menggembirakan selain daripada melihat anak bangsa yang didiknya berjaya menjadi insan yang berguna menjadi cendekiawan yang terbilang dan mengharumkan nama negara. Tak pernah minta jasanya dibalas. Cukuplah dengan sekadar hanya mencurahkan ilmu pengetahuan sebagai harta yang tinggi nilainya untuk dimiliki oleh anak bangsanya dari satu generasi ke satu generasi yang lain.

          Betapa murninya tugas sebagai seorang pendidik. Memastikan anak bangsanya dapat membaca, menulis dan mengira. Betapa sabarnya seorang pendidik dalam memastikan anak bangsanya berakhlak mulia dan berbudi pekerti tinggi dalam arus cabaran dunia hari ini yang terdedah dengan pelbagai gejala sosial dan umpama penyakit yang boleh meruntuhkan negara disebabkan kelekaan dan keseronokan remaja dalam kegiatan merempit. Biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan namun tidak pernah didengar guru patah semangat dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan tercapai sepenuhnya malahan penuh dengan keazaman yang jitu dan semangat yang tinggi menghadapi apa jua yang datang demi melahirkan anak bangsa yang berguna dan berdaya cemerlang dalam semua bidang.

          "Maizah berdepan dengan cabaran mengajar anak kampung ni?" Entah mengapa. Aku sendiri pun tak tahu. Dengan tiba-tiba sahaja aku mengajukan pertanyaan itu kepada Maizah. Seorang guru muda wanita yang ditugaskan mengajar sekolah rendah di kampung ini. Senyuman sebaliknya terukir di wajah Maizah yang penuh dengan kehalusan itu. Semakin cantik dan ayu bagi aku sebagai seorang lelaki apabila memandangnya.

          "Cabaran memang ada dalam semua bidang. Sama jugak dengan bidang pertanian. Betul tak?" Maizah bersuara memberikan jawapan.

          "Apa yang Maizah cakapkan tu memang benar dan memang saya tak dapat nafikan. Bagi saya cabaran memang perlu ada dalam hidup ini. Kalau tak mana datangnya kesungguhan dan semangat untuk berjaya dalam hidup ini. Tak tahulah sama ada Maizah setuju atau tidak dengan pandangan budak kampung macam saya apabila bercakap tentang cabaran," aku berkata dengan panjang lebar.

          "Rosli nampaknya seorang yang merendah diri," Maizah sebaliknya dengan pantas mencelah.

          "Merendah diri bukankah sifat yang mulia di sisi agama," aku mengingatkan Maizah.

          "Betul!" angguk Maizah pula.

          "Tapi terlalu merendah diri pun tak boleh jugak," sambung Maizah lagi.

          "Saya seorang yang suka berterus terang dan tak suka berpura-pura dalam hidup ini. Apa yang saya tahu saya akan cakap. Apa yang saya tak tahu saya tak akan cakap," kataku.

          Suasana petang diwarnai dengan cuaca cerah. Demikianlah keadaan yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini. Sekejap panas dan sekejap hujan. Namun kita sebagai manusia harus bersyukur. Tak kira panas mahupun hujan. Semuanya adalah kuasa Tuhan dan asalkan kita dapat meneruskan kehidupan seharian dengan bekerja dengan mencari rezeki di bumi ciptaan Tuhan ini. Setibanya di rumah selepas balik daripada menebas di kebun Pak Akop nampak dari jauh seorang pemuda di halaman rumah sedang berbual-bual dengan ibu.

          "Hah, itupun Rosli dah balik," ujar ibu pada pemuda itu sebaik-baik sahaja aku mematikan enjin motosikal.

          "Arshad rupanya. Dah lama sampai," aku menegur dan bersalaman dengannya.

          "Baru aje, bang. Apa khabar?" ucapnya lagi sambil memegang lembut bahu kananku dengan rasa penuh mesra dan hormat.

          "Alhamdulillah, baik. Arshad pulak?" tanyaku.

          "Pun begitu jugak, bang," dia membalas.

          "Marilah naik ke rumah, Arshad. Lagipun kau dah lama tak berjumpa dengan Abang Rosli. Boleh cerita panjang," pelawa ibu pula.

          "Betul tu, Arshad. Marilah!" ajakku.

          "Yalah!" dia membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala dan naik ke rumah.

          "Mana Arshad pergi selama ni? Lama tak nampak?" aku bertanya.

          "Lepas SPM saya terus kerja di Kuala Lumpur," terangnya padaku.

          "Sekarang ni masih lagi kerja di sana?" soalku.

          "Tak, bang!" Arshad menggeleng-gelengkan kepala.

          "Saya kena berhenti kerja," jelas Arshad.

          "Kena berhenti kerja?" Aku mengangkat kepala melihat wajah anak muda itu kerana berasa terkejut apabila mendengar dia diberhentikan kerja.

          "Ya, bang!" Dengan cepat Arshad mengangguk-anggukkan kepala.

          "Kenapa Arshad kena berhenti kerja?" Aku amat berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi punca dia diberhentikan kerja.

          "Jemput minum, Arshad!" Ibu muncul dari dapur sambil membawa dulang berisi dua cawan air teh dan sepinggan pisang goreng yang masih panas lagi.

          "Susah-susah aje makcik ni," ujar Arshad pula sebaliknya.

          "Apa pulak susahnya. Rezeki Arshad ni. Datang ke rumah makcik," ibu menjawab sambil meletakkan minuman dan makanan di atas meja.

          "Minumlah, Arshad. Pisang goreng ni pun tengah panas. Nanti sejuk tak sedap pulak," pelawa aku pada Arshad.

          "Marilah minum sekali, makcik," dia mengajak ibu sambil menghirup sedikit air teh.

          "Minumlah! Makcik masuk ke dalam dulu, ya. Ada kerja nak buat di dapur tu," mohon ibu sambil membawa dulang kosong. Aku dan Arshad sama-sama menikmati air teh dan pisang goreng dan memang sedap di petang-petang begini. Di luar bunyi pohon-pohon dan daun-daun disapu angin petang yang datang dari arah bukit berhadapan dengan rumah jelas kedengaran memecahkan suasana.

          "Balik pada cerita tadi saya kena berhenti kerja sebab syarikat tempat saya bekerja tak mampu nak tampung pekerja yang ramai. Abang faham ajelah keadaan ekonomi sekarang," terang Arshad.

          "Habis, tak sambung belajar lagi?" soalku.

          "Nak sambung macam mana, bang. Keputusan SPM yang saya dapat tak memuaskan. Lainlah abang sampai STPM," jawab Arshad.

          "Bukankah elok kalau usia muda macam Arshad ni diisi dengan belajar mengambil semula SPM. Manalah tahu kalau ada rezeki Tuhan lulus dengan cemerlang," aku menambah memberi dorongan kepada anak muda ini agar belajar lagi demi masa depan.

          "Tak apalah, Abang Rosli. Lupakan saja semua tu. Sebenarnya saya datang ni ada perkara mustahak nak bincang dengan abang," terang Arshad.

          "Mustahak?" aku mendongakkan kepala kerana berasa hairan dengan apa yang diperkatakannya itu. Perkara apa agaknya ya, tu? Sehingga dia sanggup datang berjumpa dengan aku. Hati kecil aku berbisik.

          "Pasal persatuan belia di kampung kita ni, bang," jelas Arshad.

          "Setahu abang persatuan belia di kampung kita ni dah tak bergiat aktif. Yalah! Pengerusinya Abang Hashim. Kawan sekolah abang. Dia pun dah bertugas sebagai guru di Terengganu. Ahli-ahlinya pulak ramai dah bekerja di Kuala Lumpur. Tinggal abang seorang aje yang masih lagi menetap di kampung ni," aku bersuara.

          "Kita gerakkan balik persatuan belia di kampung ni. Sekarang ni ramai anak-anak muda di kampung ni yang tak bekerja. Sekurang-kurangnya dengan adanya persatuan belia mereka dapatlah membuat kegiatan yang berfaedah. Taklah membuang masa dengan membuat perkara yang boleh merosakkan nama baik kampung ni," Arshad mencelah dengan pantas.

          "Abang pun fikir begitu jugak, Arshad. Tapi sebelum nak gerakkannya banyak perkara yang perlu kita buat. Lebih-lebih lagi kena kumpulkan semua anak-anak muda di kampung ni dan adakan mesyuarat pemilihan pengerusi dan ahli jawatankuasanya," cadangku.

          "Itu abang jangan risau serahkan saja pada saya," Arshad membalas.

          "Sama-samalah kita berdoa, Arshad. Semoga apa yang kita lakukan ini akan direstui Allah SWT dan berjaya," ucapku.

          "Insya-Allah, bang!" angguk Arshad.

          Selepas Arshad pulang aku melemparkan pandangan ke arah tanah yang dahulunya sawah padi berhadapan dengan rumah aku. Tapi apabila sawah tidak lagi menjadi dan kering-kontang ia dipenuhi dengan semak-samun. Sayang kalau tanah ini dibiarkan begitu sahaja tanpa diusahakan. Bukankah elok kalau diusahakan dengan tanaman sayur-sayuran. Cadang aku dalam hati kecil.

          Sememangnya hasrat murni Arshad untuk menghidupkan semula persatuan belia di kampung ini sewajarnyalah disokong. Anak-anak muda di kampung ini harus diberi peluang untuk membuktikan kewibaan untuk memajukan kampung ini. Nampaknya aku tak sendirian dalam perjuangan malahan dibantu oleh anak-anak muda dan aku yakin dalam hidup ini tidak mustahil untuk mencapai apa yang diimpikan asalkan berganding bahu dalam melakukan sesuatu bertepatan sekali dengan ungkapan yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing.

          Tiada kekusutan yang tidak dapat diungkaikan sekiranya hidup mengamalkan permuafakatan dan saling bantu-membantu. Umpama aur dengan tebing. Sebesar mana pun sesuatu masalah itu pasti ada jalan penyelesaiannya dengan susah senang menghadapinya bersama. Tak boleh seorang manusia itu hidup bersendirian dan melakukan sendiri sesuatu pekerjaan. Perlu saling sandar-menyandar dan pasti kerja yang serumit dan sesukar mana sekalipun dapat diselesaikan. Sesungguhnya hidup ini banyak mengajar akan erti kesepakatan dan dalam agama mengajar semuanya bersaudara demi menegakkan kejayaan syiar Islam dan dipandang mulia oleh manusia lain di dunia ini yang tak seagama dengan kita.
  
BAB 13

          Kata orang perkara yang baik mesti disegerakan kalau dilambatkan takut nanti datang keburukan. Maka sewaktu keluar daripada rumah pada awal pagi menuju ke kebun getah Pak Rahman keputusan aku ambil untuk berjumpa dengan Tok Ketua petang ini. Menyatakan hasrat Arshad untuk menubuhkan semula persatuan belia di kampung ini dan mengusahakan tanah terbiar berhadapan dengan rumah aku yang dahulunya sawah padi terbentang luas dengan projek tanaman semula sayur-sayuran dengan melibatkan anak-anak muda yang menjadi ahli persatuan belia di kampung ini. Sekurang-kurangnya menjadi langkah pertama dan percubaan untuk menggerakkan kegiatan persatuan belia di kampung ini yang sudah lama terhenti.

          Dalam hidup ini tak salah kita melakukan percubaan. Berjaya atau tidak bukan menjadi ukuran. Yang penting kita mencuba dan berusaha. Kalau takut mencuba sesuatu maka jawabnya tak ke manalah kita. Berani mencuba pasti kejayaan dalam genggaman. Itulah yang aku pegang. Sudah banyak aku mendengar akan kejayaan mengusahakan projek tanaman semula di tanah terbiar. Maka aku mahu melakukannya bersama-sama dengan anak-anak muda di kampung ini.

          Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan yang dilalui ini tak semudah apa yang disangkakan sesuatu yang dilakukan itu akan mudah dan berjaya. Pastilah ada rintangan dan cabaran setinggi gunung yang menanti. Di sinilah kita belajar akan usaha gigih dan tidak mengenal erti jemu sebagai pegangan untuk berjaya dalam hidup ini. Kejayaan tidak akan mudah datang bergolek. Sabar dan tidak mengalah dengan cabaran yang datang itulah yang perlu ada dan ditanamkan ke dalam diri anak-anak muda di kampung ini.

          "Bagus sekali cadangan kau untuk mengusahakan tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar tu. Tambahan pula dengan melibatkan persatuan belia di kampung ni tok amat bersetuju sekali dan menyokong usaha baik yang kau cadangkan ni," Tok Ketua berkata apabila berjumpa dengannya di rumahnya.

          "Saya dan Arshad akan buat kertas kerja untuk memohon bantuan daripada jabatan pertanian," aku menambah.

          "Eloklah tu. Kau buatlah apa yang patut. Tok tak ada halangan. Demi kebaikan bersama dan kemajuan kampung kita ni," ucap Tok Ketua lagi.

          "Sama-samalah kita berdoa, tok. Semoga apa yang kita usahakan ini akan berjaya," aku bersuara.

          "Insya-Allah!" Tok Ketua membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          Aku berdiri memandang seluruh kawasan tanah terbiar dan menoleh ke kanan dan kiri. Deru suara angin yang datang dari arah bukit berhampiran dengan kawasan tanah terbiar jelas kedengaran memecahkan suasana seluruh alam yang subur menghijau mewarnai hampir keseluruhan kampung bersama dengan rumah-rumah kayu yang jelas kelihatan. Nyaman dan segar jelas terasa angin menyapu tubuhku. Nafas yang panjang kutarik. Jelas terasa kenikmatan dibuai angin yang berlagu irama halus menyanyikan alam semesta yang permai dan indah.

          Maka bangkitlah kenangan silam yang indah pernah dimiliki di tanah tempat aku berdiri ini pada suatu ketika dahulu. Kegembiraan dan keseronokan arwah datuk, arwah nenek dan ibu kuperhatikan sahaja dari pondok yang bertiangkan dan berlantaikan buluh dan beratapkan nipah di tengah sawah bersama dengan orang-orang kampung tanpa menghiraukan lumpur dan pacat yang melekat di kaki. Alangkah indahnya apabila dikenangkan semula waktu yang telah lama berlalu pergi itu. Ibarat kata penyair dalam bait-bait puisi yang pernah kubaca catatan waktu yang ditinggalkan itu diperumpamakan kapal yang berangkat pergi meninggalkan pelabuhan.

          Kalau boleh aku ingin membangkitkan semula kenangan silam yang indah itu. Tapi apakan daya. Semuanya telah berlalu pergi dalam kehidupan ini. Sama ada suka atau tidak zaman sentiasa berubah. Datang dan pergi silih berganti dalam arus hidup ini. Tiada lagi di pandangan hamparan sawah padi yang subur menghijau dan menguning di pandangan. Hanya tinggal dalam kenangan bersemadi dalam ingatan. Tetap dikenang sampai bila-bila dan sukar dilupakan akan kehidupan dan perahan keringat di sawah padi bawah terik panas matahari.

          Biarlah aku dan generasi muda di kampung ini meneruskan perjuangan dahulu yang bersawah padi tapi kini diteruskan dengan projek tanaman semula sayur-sayuran. Teringin aku kembali semula permuafakatan dan semangat hidup bersatu yang dimiliki oleh penduduk kampung ini suatu ketika dahulu diteruskan oleh aku pula bersama dengan anak-anak muda yang bersemangat waja dan penuh keazaman tinggi demi kemakmuran dan kemajuan kampung yang tercinta ini. Memang benarlah sesuatu perjuangan itu tak pernah berakhir dan akan berterusan dalam hidup ini selagi tidak ditemui sinar kejayaan.

          "Macam mana, Arshad? Dapat kumpulkan semua kawan-kawan untuk kita adakan mesyuarat persatuan belia?" tanyaku sambil melihat wajah mudanya itu. Dia sebaliknya tidak pantas menjawab soalan aku itu. Macam ada sesuatu yang berat hendak dikatakannya pada aku. Walau apa yang diperkatakannya aku tetap akan mendengarnya.

          "Susah, bang …!" Arshad nampaknya melepaskan keluhan sambil menggeleng-gelengkan kepala begitu juga kerut nampak di wajahnya.

          "Susah!" Aku pura-pura terkejut sambil tersenyum kecil apabila mendengar jawapan yang diberikannya itu.

          "Ya, bang! Susah!" ulang Arshad lagi dan mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

          "Apanya yang susah, Arshad? Cuba beritahu abang," aku bersuara tenang.

          "Saya dah jumpa dengan semua kawan-kawan. Dah terangkan hasrat baik nak hidupkan semula persatuan belia. Tapi tak ada sambutan," terang Arshad pula.

          "Sabarlah, Arshad. Jangan putus asa. Teruskan usaha pujuk kawan-kawan. Abang yakin. Insya-Allah. Arshad akan berjaya hidupkan kembali persatuan belia di kampung kita. Lagipun abang dah jumpa Tok Ketua untuk buat projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar tu. Sebagai kegiatan persatuan belia sebagai permulaan." Aku memberikan kata-kata perangsang dan semangat kepada Arshad sambil menepuk-nepuk bahunya.

          "Baiklah, bang!" Dengan pantas Arshad menjawab dan mengangguk-anggukkan kepala.

          Sememangnya sudah menjadi lumrah dalam kehidupan ini mudah menyemai harapan tapi untuk menjadi kenyataan bukannya senang. Cabaran sudah pun datang sedangkan projek tanaman semula sayur-sayuran yang aku rancang sebagai kegiatan permulaan persatuan belia di kampung ini belum bermula. Sukar untuk menyatukan semula anak-anak muda di kampung ini kerana aku beranggapan bagi mereka dengan memasuki persatuan belia tidak mendatangkan manfaat. Sedangkan dengan melibatkan diri dalam persatuan belia akan membentuk semangat jati diri dan kejayaan dalam hidup melalui pelbagai kegiatan.

          Penglibatan dalam kegiatan persatuan belia sebenarnya membuka peluang kepada mereka yang usia diibaratkan sehelai daun hijau untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar yang aku ilhamkan. Sudah terbayang oleh aku akan keseronokan bekerja yang akan mereka perolehi nanti. Bekerja bukan sahaja mengajar kita memikul amanah dan berusaha malahan juga kenikmatan dan kegembiraan apabila berjaya melaksanakannya.

          "Memang baik cadangan Rosli untuk mengusahakan projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar tu. Sekurang-kurangnya dapatlah hasilnya nanti. Bagi saya biarpun bidang pertanian tapi tetap menyumbang kepada kemajuan kampung ini," Maizah menyokong.

          "Itulah yang saya harapkan, Maizah. Saya nak teruskan tradisi bertani yang diamalkan sejak dulu lagi di kampung ni bersama dengan anak-anak muda dan membuktikan hidup di kampung boleh berjaya. Macam di bandar. Walaupun terpaksa bermandikan peluh di bawah panas matahari," aku menambah. Semangat aku terasa semakin berkobar-kobar. Apabila dibakar dengan kata-kata perangsang dan semangat daripada gadis yang berasal daripada bandar itu.

          "Saya doakan moga apa yang Rosli impikan akan berjaya," ujar Maizah lagi.

          "Terima kasih, Maizah!" aku sebaliknya menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Saya juga begitu mendoakan Maizah berjaya mendidik anak-anak kampung ini menjadi insan yang cemerlang dan berjasa pada agama, bangsa dan negara," aku mencelah dengan pantas.

          "Kita sama-sama mempunyai peranan dan harapan. Harap ia akan menjadi kenyataan," kata Maizah pula.

          "Dalam hidup ini kita perlu yakin dan jangan terlalu yakin untuk berjaya dalam melakukan sesuatu. Tapi saya berpegang bahawa dengan usaha gigih dan keras kita pasti akan berjaya. Sentiasalah berdoa semoga Tuhan memberkati apa jua yang kita lakukan dalam hidup ini," aku menambah sambil memandang wajah guru muda itu.

          "Sememangnya awak hebat," Maizah bersuara.

          Aku tak pasti apa maksud di sebalik kata-kata Maizah itu. Pujian. Itulah yang dapat aku tafsirkan. Tapi bagi aku jangan mudah tenggelam dengan pujian. Jangan merasa bangga diri apabila dipuji kerana ada kelebihan diri. Mungkin orang yang kurang kelebihan diri memiliki kelebihan lain. Yang tidak ada dalam diri seseorang itu. Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia. Ada yang lebih dan ada yang kurang. Bijak pandai dan kurang ilmu pengetahuan. Walau apa pun yang dimiliki tetap bernama manusia. Ilmu pengetahuan yang ada bukan sahaja perlu dimanfaatkan sepenuhnya malahan disebarkan lagi pada yang tiada memilikinya.

          Kadangkala aku berasa pelik apabila mendengar ada orang yang memiliki ilmu pengetahuan tidak mahu menyebarkannya kepada orang yang tiada ilmu pengetahuan. Dengan beranggapan akan kehilangan ilmu pengetahuan yang dimiliki apabila disebarkan. Sedangkan harus diingat segala ilmu pengetahuan yang ada dalam diri adalah dipelajari terlebih dahulu daripada orang yang mempunyainya terlebih dahulu. Bukan ilmu pengetahuan itu dimiliki bila lahir saja ke dunia ini. Hakikatnya ilmu pengetahuan itu memang harta yang bernilai dalam hidup ini bukan sahaja untuk disimpan macam wang kegunaan masa depan malahan juga diperturunkan dari seorang ke seorang yang lain. Barulah benar-benar terasa kenikmatan ilmu pengetahuan yang ada dalam diri bukan sahaja dimanfaatkan lebih daripada itu kepuasan kerana dimiliki oleh sesama manusia yang lain.

          "Maizah selalu berkata begitu. Terus terang saya katakan. Cukuplah dengan sekadar apa yang saya katakan ini sebagai untuk dikongsi bersama. Bukannya menunjukkan apa yang ada dalam diri saya dan Maizah," ujarku pula.

          "Mudah-mudahan dengan apa yang kita kongsi bersama akan menjadi panduan untuk kita menempa kejayaan dalam hidup ini," Maizah mencelah. Wajahnya semakin jelita dan cantik dengan tudung berwarna biru muda menutupi kepalanya apabila dihembus angin yang datang dari arah bukit.

          Mengenali Maizah bagi aku bukan sahaja seorang guru wanita muda yang bersemangat tinggi untuk membina anak-anak di kampung ini menjadi insan yang cemerlang menyumbangkan tenaga dalam pembangunan negara malahan lebih daripada itu berpandangan jauh dan mempunyai jati diri yang tinggi untuk mencapai puncak kejayaan dalam hidup ini. Perbualan rancak antara aku dan Maizah lantas terhenti apabila ibu muncul. Dia mengajak Maizah naik ke rumah. Tapi Maizah menolaknya dengan penuh sopan. Katanya hari dah lewat petang dan dia memohon diri untuk pulang.

          Ibu juga membekalkan Maizah dengan gulai daging salai masak cili api campur belimbing buluh sebagai hidangan makan malam nanti. Sebelum pulang Maizah menyatakan besok dia akan pulang ke rumahnya di bandar. Cuti sekolah telah bermula. Langit yang tadinya kelihatan cerah sejak dari pagi tadi telah bertukar warna menjadi kelabu. Senja, malam dan seterusnya hari esok. Demikianlah warna-warna yang perlu dilalui dalam kehidupan ini. Nafas panjang kutarik sambil memandang tanah terbiar berhadapan dengan rumah aku. Sudah terbayang sayur-sayuran yang subur menghijau. Semoga ia bukan sekadar angan-angan sahaja sebaliknya menjadi kenyataan! Dalam diam hati kecil aku berkata.

          "Wanita macam Maizah tulah yang elok dijadikan isteri. Dahlah cantik. Sopan dan elok budi bahasa lagi. Bertuah lelaki yang memperisterikan dia," ibu bersuara dalam kedinginan malam yang tenang menyirami seluruh kampung.

          "Rosli dengan dia cuma berkawan aje, mak. Tak lebih dari itu. Lagipun Rosli sedar siapa diri ini. Hanya pemuda kampung aje. Lainlah dia. Datang dari dandar besar dan keluarga berada. Manalah padan, mak," aku sebaliknya membalas.

          "Anak mak ni macam terasa aje bila mak cakap macam tu," celah ibu dengan tersenyum.

          "Tak adalah, mak!" aku menggeleng-gelengkan kepala.

          "Mak jadikan dia sebagai contoh. Kalau Rosli nak cari isteri nanti," ibu cepat memintas.

          "Belum ke situ perginya lagi Rosli, mak. Banyak lagi perkara yang Rosli fikirkan dalam hidup ni. Memanglah Rosli teringin nak hidup berpasangan macam orang lain. Tapi biar Tuhan sajalah yang menentukannya," ulangku lagi.

          "Mak saja usik. Dia dah anggap kita ni dah macam keluarga dia sendiri. Maklumlah nak menumpang kasih kata orang. Keluarga dahlah jauh. Saudara-mara pulak tak ada di sini," ibu berkata.

BAB 14

          Macam yang dirancang aku dan Arshad menyediakan kertas kerja projek tanaman semula sayur-sayuran. Siap sahaja kertas kerja ini aku dan Arshad akan berjumpa dengan pegawai jabatan pertanian. Dengan perancangan yang teliti aku yakin sesuatu yang diusahakan itu akan berjalan dengan baik dan hasil yang membanggakan akan dinikmati bersama di kampung ini. Dalam apa jua bidang pekerjaan yang dilakukan kejayaan pasti dalam genggaman sekiranya semangat kerja berpasukan yang tinggi diamalkan sentiasa. Begitu dalam bidang pertanian projek tanaman semula sayur-sayuran yang aku dan Arshad rancangkan di tanah terbiar pasti akan membuahkan hasil yang lumayan sekiranya anak-anak muda dalam kampung ini berganding bahu dan tenaga menerusi persatuan belia sebagai antara kegiatan utama.

          Namun belum pun usaha murni ini bermula sudah ada dugaan. Kesukaran Arshad untuk mengumpulkan kawan-kawan yang sebaya usia dengannya bagi menghidupkan semula persatuan belia di kampung ini yang sudah lama tidak bergerak. Sudah menjadi lumrah dan asam garam dalam kehidupan yang kita lalui. Tak semestinya apa yang kita rancangkan aku terus menjadi dan termakbul apa yang kita hajati. Ketabahan, kesabaran dan kecekalan perlu ada dalam diri bersama semangat yang tak mahu mengalah. Kata-kata azimat yang kuat kugenggam dalam diri ini. Buktikan kemampuan diri untuk berjaya dalam kehidupan bukan hanya sekadar impian tetapi sebaliknya menjadi kenyataan.

          Sekali aku melangkah ke hadapan aku tak akan berundur lagi. Biarlah apa pun yang akan terjadi. Demi kejayaan sekalipun menemui kegagalan aku akan teruskan jua perjuangan projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar. Keazaman yang tinggi berdetik dalam jiwa mudaku. Begitu harapan aku pada Arshad dan kawan-kawannya dalam persatuan belia. Segala yang dijanjikan mesti dikotakan. Meskipun ada halangan dan rintangan yang menunggu. Semangat inilah yang perlu ada dalam setiap diri anak muda. Sekiranya semua anak muda memiliki semangat ini nescaya agama, bangsa dan negara akan berjaya dan terpelihara buat selama-lamanya.

          "Macam mana dengan projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar tu? Bila nak mula?" Aku dihujani dengan pertanyaan Tok Ketua.

          "Insya-Allah, tok!" anggukku.

          "Saya dengan Arshad sedang buat kertas kerja. Siap nanti saya dan Arshad akan bawa berjumpa dengan pegawai jabatan pertanian," aku menyambung lagi.

          "Baguslah tu, Rosli. Tok doakan semoga usaha murni kau ni mencapai kejayaan," Tok Ketua menambah lagi.

          "Terima kasih, tok. Mudah-mudahan dengan berkat doa tok projek ini akan berjaya," ucapku pula.

          Melalui jendela aku memandang tanah terbiar dalam suasana cuaca yang cerah. Angin petang bertiup lemah-gemalai. Pohon-pohon dan daun-daun seperti kedengaran bernyanyi-nyanyi. Mengikut irama angin yang bertiup. Maka terbayanglah aku anak-anak muda turut sama memerah kudrat di atas tanah mengusahakan tanaman sayur-sayuran. Harap-harap apa yang aku bayangkan ini akan menjadi kenyataan. Bukan hanya khayalan atau sekadar angan-angan sahaja.

          Setelah asyik melayan lamunan yang jauh melayang entah ke mana itu dengan tiba-tiba sahaja aku teringat akan kebun pisang. Apabila teringatkan kebun pisang maka terbayanglah wajah Abang Osman. Minggu lepas dia berpesan hendak membeli pisang. Macam biasalah untuk dijual di pasar tani. Kalau tak silap besok dia datang ambil. Aku pantas bersiap untuk menuju ke kebun pisang. Kalau berjanji mesti ditunaikan. Harapan orang jangan dihampakan. Kedengaran seperti suara berbisik yang mengingatkan aku dalam hati kecil.

          "Nak ke mana ni, Rosli. Nampak tergesa-gesa aje bersiap. Ada hal penting ke?" tegur ibu yang nampak hairan apabila aku keluar dari rumah.

          "Baru teringat, mak. Besok Abang Osman nak ambil pisang. Saya nak ke kebun. Pergi dulu ya, mak," aku memohon diri sambil menghidupkan enjin motosikal.

          "Yalah!" ibu sebaliknya membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          Memang dah dinamakan rezeki. Bertandan-tandan pisang berbuah. Aku lalu menebang dan memotongnya menjadi sisir dan memasukkan ke dalam guni. Kawasan kebun pisang yang nampak semak-samun juga kubersihkan. Hampir lewat petang barulah aku pulang ke rumah. Kelihatan Abang Osman sedang berbual-bual dengan ibu. Aku dapat teka. Kedatangannya ke rumah sudah pasti buah pisang yang dijanjikan untuk diambil besok.

          "Apa khabar Abang Osman?" aku menegur sambil bersalaman dengannya.

          "Alhamdulillah, baik. Abang sebenarnya dari rumah Pak Yassin. Ambil kelapa. Lepas tu singgah kemari. Pasal buah pisang yang janji nak ambil besok. Manalah tahu kau terlupa." Dia mengeluarkan nada suara yang berbunyi mengusik.

          "Ada, Abang Osman!" aku sebaliknya menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala dan tersenyum.

          "Banyak buahnya," ulangku pula.

          "Baguslah macam tu. Abang ambil sekaranglah. Besok tak payah abang datang lagi," kata Abang Osman lagi.

          "Saya tolong masukkan buah pisang ni ke dalam kereta," aku bersuara sambil mengangkat guni yang penuh berisi dengan buah pisang dari motosikal.

          "Yalah! Nanti abang buka bonet," balas Abang Osman.

          Setelah memasukkan buah pisang ke dalam bonet kereta Abang Osman kemudiannya memberi wang. Aku mengajaknya naik ke rumah tapi dia menolak. Hari pun dah dekat nak senja. Malam ni selepas isyak aku dah berjanji dengan Arshad nak siapkan kertas kerja projek tanaman semula sayur-sayuran di rumahku. Aku kemudiannya naik ke rumah dan membersihkan diri untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak di masjid.

          Seperti yang telah dijanjikan aku dan Arshad pun menyiapkan kertas kerja projek tanaman semula sayur-sayuran. Ibu menyediakan air teh dan sepiring biskut sebagai alas perut aku dan Arshad. Sehingga ke lewat pagi barulah kertas kerja disiapkan dan Arshad pun pulang ke rumah. Hari semakin menghampiri ke dinihari tapi mataku masih lagi belum berasa mengantuk. Bersama kedinginan dan kepekatan malam yang pekat entah mengapa dengan tiba-tiba sahaja ingatan aku diusik betapa pentingnya hidup bermuafakat dan bersatu padu dalam masyarakat. Tanpa mengira di mana berada sekalipun. Baik di kampung tempat aku berpijak sekarang ini mahupun di kota besar tempat Mizzuan, Azman dan kawan-kawan sebaya yang lain meraih rezeki.

          Permuafakatan hidup dalam Islam amat dituntut. Bagai aur dengan tebing yang saling sandar-menyandar antara satu sama lain dan bukannya macam enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Bertepatan sekali dengan ungkapan peribahasa itu. Hidup tak boleh bersendirian. Pekerjaan tak boleh dilakukan berseorangan. Perlu ada semangat bersatu dan tolong-menolong. Inilah nak kuterapkan nanti ke diri anak-anak muda dalam persatuan belia. Bukan sahaja dengan masuk persatuan belia mereka dapat dikumpulkan dan mengelakkan daripada membuang masa dengan melakukan perkara yang tidak mendatangkan manfaat dan membinasakan akhlak malahan juga membina semangat permuafakatan dalam hidup dan mulai dari sekaranglah ia perlu disemai seperti yang disebutkan dalam perumpamaan kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.

          Jika hidup dalam masyarakat tidak mementingkan permuafakatan maka kemajuan tidak akan dapat dikecapi dan juga membawa kepada keruntuhan. Untuk mengelakkannya daripada berlaku maka bagi aku amat elok dimulakan dari peringkat muda lagi dengan melibatkan sama peringkat yang lama. Harapan aku demi perpaduan dan kesejahteraan kampung ini apa yang diimpikan akan menjadi kenyataan. Aku menarik nafas dan panjang apabila teringatkan penyatuan dan permuafakatan masyarakat amat penting dalam kehidupan ini.


BAB 15

          Walaupun tidur lewat malam tadi tapi aku tetap bangun awal. Hari ini aku tak pergi menoreh. Sebab dah janji dengan Arshad nak berjumpa pegawai jabatan pertanian. Aku dah beritahu Pak Rahman. Awal pagi lagi Arshad dah datang ke rumah untuk mengambil aku dengan motosikalnya ke jabatan pertanian. Selepas sarapan aku dan Arshad pun menuju ke jabatan pertanian dan sepanjang perjalanan kelihatan cuaca cerah. Aku berdoa semoga kertas kerja yang aku sediakan bersama dengan Arshad ini akan diterima oleh pegawai jabatan pertanian bagi mengusahakan projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar.

          Semasa bersarapan tadi Arshad memberitahu aku yang usahanya untuk memujuk anak-anak muda yang sebaya usia dengannya di kampung ini memasuki persatuan belia masih lagi belum mendapat sambutan. Katanya mereka lebih berminat untuk bekerja di bandar besar yang mewah dengan gaji lumayan. Mengikut jejak langkah Abang Mizzuan, Abang Azman dan abang-abang lain yang sama usia dengan aku. Berbanding dengan masuk persatuan belia dengan menjadikan projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar sebagai kegiatan permulaan dan belum tentu akan mendatangkan hasil yang menguntungkan.

          Macam biasa aku terus memberikan semangat dan dorongan kepada Arshad bagi meneruskan usaha menarik kawan-kawannya memasuki persatuan belia. Dari raut wajahnya yang masih muda itu aku dapat membaca yang Arshad bersemangat tinggi dan tidak berputus asa untuk meneruskan perjuangannya. Aku sentiasa memunajatkan doa ke hadrat Tuhan supaya hati anak-anak muda di kampung ini akan terbuka hatinya bersama Arshad menggerakkan semula persatuan belia yang sekian lama terhenti.

          "Bagus kertas kerja ini!" puji Encik Shamsuddin pegawai jabatan pertanian sambil meneliti helaian kertas kerja yang aku buat dengan Arshad.

          "Macam mana, Encik Shamsuddin? Boleh lulus ke projek ni?" Aku tanpa rasa segan silu bertanya pada Encik Shamsuddin kerana mahu mendapatkan jawapannya.

          "Bagi saya projek semacam ini perlu disokong. Lagipun sekarang ni banyak tanah terbiar yang tidak dihasilkan. Ini adalah satu kerugian. Jabatan pertanian akan memberikan khidmat nasihat termasuk bantuan kewangan untuk menjayakan projek yang Encik Rosli cadangkan ini," kata Encik Shamsuddin lagi. Alangkah gembira bukan kepalang rasanya hati aku apabila mendengar apa yang diperkatakan oleh Encik Shamsuddin itu.

          "Terima kasih, Encik Shamsuddin!" aku membalas sebaliknya.

          "Sama-sama!" jawab Encik Shamsuddin pula dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          Aku dan Arshad kemudiannya bersalaman dengan Encik Shamsuddin sebelum meninggalkan biliknya. Selepas itu aku mengajak Arshad minum di kantin jabatan pertanian. Sebaik-baik sahaja aku dan Arshad duduk pelayan datang untuk mengambil pesanan. Aku memesan air teh dan roti canai. Manakala Arshad pula memesan air Nescafe dan mi goreng.

          "Alhamdulillah, Abang Rosli. Kertas kerja kita diterima. Kita dah boleh mulakan projek tanaman semula tu," Arshad bersuara.

          "Besok kita dah boleh mula. Sementara menunggu benih sayur-sayuran dan bantuan lain jabatan pertanian kita bersihkan dulu semak samun di tanah terbiar tu," aku mencelah.

          "Kita berdua aje ke yang buat, bang?" Arshad berasa sungguh terperanjat apabila mendengar kata-kata aku itu.

          "Ya! Kita berdua. Kenapa?" aku mengangkat kepala memandang muka Arshad yang nampak hairan dan berasa berat untuk melaksanakan permulaan projek tanaman ini.

          "Mana larat kita berdua nak buat, bang?" ujar Arshad pula dengan pantas.

          "Maksud Arshad kena libatkan kawan-kawan?" Aku dapat menangkap apa yang sedang dibayangkannya itu. Takkan aku dan dia sahaja yang nak menggerakkan projek tanaman ini. Sedangkan dalam perancangan penglibatan belia di kampung sebagai permulaan menghidupkan semula kegiatan persatuan belia yang sudah lama tidak bergerak aktif.

          "Yalah, bang!" dia menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Mana larat kalau kita berdua aje yang buat," sambungnya lagi.

          Perbualan rancak aku dengan Arshad pantas terhenti apabila pelayan muncul semula sambil membawa dulang yang berisi makanan dan minuman yang dipesan. Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja. Aku mengucapkan terima kasih dan dia membalas dengan senyuman. Kemudian dia lalu beredar pergi dari situ sambil membawa dulang yang telah kosong. Sebelum menjamah makanan dan minuman aku dan Arshad membaca doa terlebih dahulu di atas kesyukuran rezeki yang telah dikurniakan.

          "Hah, tunggu apalagi, Arshad. Makanlah. Abang Rosli belanja," aku berkata sebaik-baik sahaja selesai doa dibaca.

          "Mentang-mentanglah harga getah naik sekarang ni banyak duit Abang Rosli. Mudah-mudahan Abang Rosli panjang umur dan murah rezeki," tambah Arshad pula.

          "Rezeki Arshad ni. Makanlah," balasku sambil menghirup sedikit air teh panas. Teroleng-oleng nampak asap nipis yang keluar dari air teh naik ke atas dan kemudiannya hilang. Aku dan Arshad sungguh berselera sekali menikmati makanan dan minuman yang dipesan.

          "Saya bukannya apa, bang. Projek tanaman yang nak kita usahakan tu besar. Tentulah perlukan tenaga yang ramai untuk mengusahakannya," dia menyambung semula tajuk perbualan yang terhenti buat seketika.

          "Memang abang akui kita berdua aje yang buat projek ni susah nak berjalan. Tapi tak apa. Kita buat perlahan-lahan. Macam kata orang sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Bila dah nampak hasilnya nanti abang yakin yang anak-anak muda di kampung kita tertarik untuk ikut sama. Yalah. Sekarang mereka tak nampak. Jadi kita buktikanlah dulu," ucapku dengan panjang lebar.

          Arshad kelihatan diam apabila mendengar kata-kata aku itu. Dari raut wajahnya jelas nampak sedang memikirkan sesuatu. Sudah pasti apa yang aku katakan tadi. Nak menarik orang mengusahakan sesuatu yang berhasil tapi bagi mereka tak berhasil bukannya mudah. Kenalah buktikan dahulu. Apabila dah berjaya nanti barulah mereka akan ikut serta. Tambahan pula bidang pertanian. Dalam zaman moden ini tak ramai yang memandangnya. Inikan pula anak-anak muda. Tak menjanjikan apa-apa kesenangan dalam hidup dengan mengusahakan pertanian di kampung. Projek tanaman semula sayur-sayuran mungkin baru dan asing bagi mereka apabila mendengarnya. Lebih diumpan dengan memiliki wang banyak, kereta, motosikal dan rumah sendiri apabila bekerja di bandar.

          Mungkin dalam pemikiran mereka di bandar besar macam-macam pekerjaan boleh dilakukan. Biarpun tidak memiliki kelulusan yang tinggi. Di kampung hanya dengan bertani sajalah yang mampu dilakukan. Mereka sebenarnya tak boleh dipersalahkan kerana lebih tertarik untuk mencurahkan tenaga dengan bekerja di bandar. Usia muda yang dipunyai oleh mereka amat mudah terpengaruh apabila melihat kawan-kawan yang sebaya usia dengan mereka yang bekerja di bandar apabila pulang ke kampung bercerita tentang keseronokan dan kemewahan hidup yang dimiliki hasil daripada bekerja di bandar. Rezeki ini ada di mana-mana sahaja. Tak semestinya di bandar di kampung pun ada rezeki yang menanti. Asalkan sentiasa rajin berusaha dapatlah menuai hasilnya nanti.

          "Yalah, bang! Apa yang abang fikirkan baik saya ikut aje!" Arshad bersuara. Rasa keyakinan sudah kelihatan di wajah mudanya itu. Semakin gembira dan bersemangat apabila aku melihatnya dan senyuman kuberikan padanya untuk menggambarkan apa yang sedang ada dalam perasaan aku ketika ini.

          "Baguslah macam tu, Arshad. Sama-samalah kita berdoa pada Tuhan. Semoga apa yang kita lakukan ini akan diberkati dan berjaya," ucapku pada Arshad yang duduk berhadapan dengan aku.

          Selepas membayar harga makanan dan minuman di kaunter aku dan Arshad pun pulang ke rumah. Tak sabar-sabar rasanya untuk menanti besok. Memulakan projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar bersama dengan anak muda yang sekampung dengan aku bernama Arshad. Tapi aku tetap beringat dalam melakukan pekerjaan tak boleh terlalu gopoh. Perlu dilakukan dengan tenang dan teliti. Barulah dapat hasil yang memuaskan dan baik. Bagi aku itu sudah cukup dan berjaya dengan apa yang diusahakan dalam hidup ini.

          Suasana petang yang diselubungi cuaca cerah benar-benar membangkitkan rasa damai dan tenang di jiwa ini. Alangkah indahnya kehidupan ini anugerah daripada Tuhan. Deru air sungai yang mengalir tenang aku perhatikan sedalam-dalamnya. Betapa merdunya bunyi irama deru air sungai yang tanpa hentinya mengusik perasaan dan menjadi nyanyian buat alam semesta. Sejauh-jauhnya aku selami akan erti sebuah perjuangan yang bakal aku tempuhi bersama dengan Arshad. Hanya dengan mengusahakan projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar.

          Macam biasa sehingga lewat petang aku memancing ikan di sungai. Mungkin dah rezeki namanya. Petang ini lima ekor ikan baung aku dapat. Dah terbayang keenakan masakan yang lazim akan dibuat oleh ibu nanti apabila aku membawa pulang ikan baung. Masak lemak cili api campur dengan bacang.

          Setibanya di rumah aku lalu menyerahkan ikan baung sungai kepada ibu. Malamnya selepas pulang daripada menunaikan solat Maghrib dan Isyak di masjid aku dan ibu menikmati hidangan makan malam gulai ikan baung masak lemak cili api campur bacang dengan penuh berselera sekali. Tambah pula sayur kangkung goreng dan petai celur. Syukur alhamdulillah. Dengan rezeki yang Tuhan kurniakan kepada aku dan ibu malam ini.

          Selepas menikmati hidangan makan malam yang sungguh menyelerakan aku duduk di anjung rumah. Sungguh indah kelihatan kerlipan cahaya rembulan dan bintang-bintang di kaki langit hitam yang gelap dan pekat. Bersama hembusan dingin dan nyaman angin malam terasa membelah seluruh suasana kampung yang permai dan indah. Di luar bunyi pohon-pohon dan daun-daun jelas kedengaran umpama menyanyi-nyanyi disapu angin yang berirama sepoi-sepoi bahasa.

          Dalam kedinginan dan kepekatan malam sambil melemparkan pandangan ke arah luar yang diwarnai kegelapan aku mengelamun jauh memikirkan perjuangan hidup ini sebagai seorang petani. Memilih kerjaya sebagai seorang petani dalam usia muda banyak mengajar aku akan erti kecekalan dan ketabahan di sebalik penderitaan dan tangisan air mata. Semuanya tersirat melalui puisi-puisi yang ditulis oleh beberapa orang penyair dari latar belakang keluarga petani yang pernah aku membaca karya mereka. Meluahkan kepayahan dan kesusahan hidup yang mereka alami namun tetap sabar menghadapinya.

          Paling menyentuh hati aku apabila teringatkan sebuah puisi yang aku lupa tajuk dan nama penulisnya mengenai zaman penderitaan petani yang hidup dibelenggu kemiskinan. Sering menjadi penindasan orang tengah yang tidak berperikemanusiaan. Memerah kudrat dan keringat tua petani untuk mendapat keuntungan dan kemewahan hidup. Membeli hasil pertanian dengan harga yang murah. Menjual dengan harga yang mahal.

          "Bila nak mula tanam sayur di tanah terbiar tu?" ibu bersuara sambil melipat kain dan menonton televisyen. Serta-merta lamunan aku yang jauh melayang hingga ke awangan itu bersama dengan kedinginan dan kepekatan malam pantas terhenti. Aku kemudiannya berpaling melihat wajah tua ibu dan menarik nafas panjang.

          "Besok, mak. Bersihkan semak samun dulu dengan Arshad. Sementara menanti benih yang akan diberi oleh jabatan pertanian," aku menjelaskan pada ibu.
          "Jadi, besok pagi Rosli tak pergi menorehlah?" Dengan cepat ibu mencelah sambil masih lagi melipat kain.

          "Pergi, mak. Saya dan Arshad buat sebelah petang," jelas aku lagi.

          "Eloklah macam tu. Mak dah rasa mengantuk. TV ni Rosli nak tengok ke tidak?" ujar ibu pula sebaliknya.

          "Nanti saya tutup, mak. Lagipun membazir aje tak tengok," aku menjawab. Ibu kemudiannya bingkas bangun dan menuju ke bilik dengan membawa kain yang telah dilipat. Televisyen segera aku tutup.

          Selepas itu aku meneruskan semula lamunan memikirkan nasib penderitaan yang dialami oleh petani pada suatu ketika dahulu. Segala jasa dan pengorbanan yang telah mereka curahkan tak pernah dikenang. Tak siapa yang mengambil tahu akan kebajikan mereka waktu itu. Baik semasa hidup mahupun telah pergi buat selama-lamanya meninggalkan dunia ini.

          Makin tersentuh rasanya hati aku apabila mengenangkan akan derita yang pernah dialami oleh golongan petani waktu negara masih lagi belum mengecapi nikmat kemerdekaan. Mungkin moyang aku dahulu pernah merasainya. Rela menderita dan menangis demi melihat generasi seterusnya dapat menikmati kehidupan yang baik dan sempurna. Kemiskinan hidup dan penderitaan yang ditempuhi tidak dapat mereka ceritakan kepada aku sebagai generasi yang seterusnya. Tiada harta bernilai yang dapat ditinggalkan. Buat cucu-cucu dan cicit-cicit hanya darah warisan bertani yang sentiasa mengalir dalam tubuh dari satu generasi ke satu generasi itu sajalah yang mampu ditinggalkan.

          Sesungguhnya kesinambungan perjuangan yang mereka tinggalkan perlu diteruskan dalam kehidupan ini. Bagai lilin yang membakar diri rela berkorban demi menerangi kegelapan orang lain selagi Tuhan memberikan nafas dalam meniti hidup ini. Demikianlah pengorbanan yang telah mereka lakukan. Macam pejuang kemerdekaan. Menikmati kemakmuran dan kesejahteraan negara yang kita perolehi pada hari ini adalah hasil daripada titik peluh perjuangan mereka. Begitu juga dengan golongan petani yang berjuang bermandikan lumpur dan keringat di bawah panas terik matahari.

          Sekali air laut bah sekali pantai berubah. Memang bertepatan sekali dengan pepatah itu. Zaman sentiasa berubah. Selepas negara merdeka dan dilanda arus pembangunan moden yang pesat nasib golongan petani semakin terbela dan mendapat perhatian. Tiada lagi penderitaan dan penindasan yang dialami dalam kehidupan mereka. Kerajaan melalui jabatan pertanian telah memberikan pelbagai bantuan termasuk kewangan dalam memastikan nasib golongan petani terus terjamin dan terbela. Malahan pengiktirafan kepada golongan petani yang berjaya juga telah diberikan sebagai menghargai segala sumbangan dan jasa yang telah mereka curahkan dalam bidang pertanian di negara ini.

BAB 16

          Suara angin jelas kedengaran membelah seluruh kampung. Dingin dan segar angin yang bertiup jelas terasa menyapu suasana indah dan permai. Dengan diiringi cuaca yang nampak cerah di kaki langit aku meneruskan langkah kehidupan dengan semangat yang membara. Kejayaan yang diharapkan dalam apa jua yang dilakukan dalam hidup ini tidak mudah akan datang bergolek. Tanpa yang dinamakan usaha. Mengingatkan aku betapa menjadi petani bukan sahaja membentuk diri muda ini menjadi cekal dan tabah malahan lebih daripada itu mengajar betapa pentingnya bekerja dan berusaha gigih dalam hidup ini yang bukan sahaja untuk mencari rezeki demi sesuap nasi malahan juga untuk berada di puncak kejayaan dalam hidup ini.

          Pastinya dalam mengharungi perjalanan hidup yang telah diatur oleh Tuhan ini pasti ada rintangan dan cabaran yang menanti. Mengingatkan aku dalam hidup ini tak ada siapa yang dapat mencapai sinar kejayaan dengan mudah. Pahit getir sudah menjadi asam garam yang harus ditempuhi. Tidak kurang pula tangis derita yang menyelubungi diri. Pengorbanan amat dituntut bersama rasa cekal dan sabar yang menggunung tinggi dalam memburu kejayaan dalam hidup ini. Tiada siapa yang dilahirkan ke dunia ini untuk gagal dalam hidup. Kejayaan sentiasa ada. Hakikatnya kegigihan dan usaha adalah kunci utama untuk berjaya dalam perjalanan hidup ini yang diumpamakan sebuah pengembaraan.

          Berpegang pada kata-kata keramat itu semakin menebal semangat dalam diri aku. Perlu buktikan aku dan Arshad bukan hanya sekadar ada semangat saja. Hanya cakap dan senyap apabila tidak mendapat sambutan yang menggalakkan daripada anak-anak muda di kampung ini melalui kegiatan persatuan belia mengusahakan projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar. Aku dan Arshad perlu buktikan walaupun berdua sahaja mengusahakannya boleh berjaya dan menarik minat mereka bersama untuk menyertainya.

          Mungkin mereka tidak yakin dengan projek tanaman semula sayur-sayuran ini akan berjaya. Bagi aku kalau itu anggapan mereka tidak mengapa. Lagipun dalam hidup ini bukan mudah untuk menarik orang dalam melakukan sesuatu perkara yang baik. Berbanding dengan perkara yang buruk. Mudah saja dan itulah yang seboleh-bolehnya mahu aku hindarkan daripada berlaku ke dalam setiap diri anak muda dalam kampung ini. Dalam hal ini bagi aku mereka tidak boleh dipersalahkan dengan begitu mudah sekali. Jauh sekali aku bermaksud hendak menggalakkan atau menyokong anak-anak muda di kampung ini melakukan perkara yang boleh memberikan nama buruk kepada kampung ini. Tapi kita harus ingat. Keperibadian akhlak mulia anak-anak muda sebenarnya terletak di tangan kita untuk mencorakkannya.

          Macam anak-anak yang masih lagi kecil kita sesekali harus menoleh ke belakang semula walaupun mereka tidak lagi berada di alam itu kerana sekarang sudah bergelar sebagai anak muda yang matang dari segi usianya dalam meniti kehidupan ini. Sepertimana yang diketahui anak-anak kecil adalah ibarat kain putih. Terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkan apa jua warnanya. Agar ia menjadi cantik dan menarik bila dipandang. Begitu juga dengan anak-anak muda. Itulah yang mahu aku corakkan pada mereka dengan penglibatan projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar. Maka aku dan Arshad perlu buktikan terlebih dahulu akan kejayaan projek ini untuk menarik penyertaan dan keyakinan mereka yang membawa kepada kejayaan dan kemajuan kampung ini.

          Ketika aku hendak masuk tidur malam tadi dengan tiba-tiba sahaja hujan turun lebat dengan mencurah-curah. Mujurlah hanya sekejap dan tidak berlarutan sehingga ke pagi. Buatnya hujan tak berhenti jawabnya tak dapatlah pergi menoreh. Begitu jugak kalau dibuatnya hujan sampai ke petang. Tak dapat jugaklah aku dan Arshad membersihkan kawasan tanah terbiar itu sebelum memulakan projek tanaman semula sayur-sayuran.

          Dalam melakukan apa jua pekerjaan aku berpegang teguh apa yang dirancangkan esok perlu dilakukan. Kecuali kalau ada halangan yang tak dapat dielakkan. Melihat pada cuaca cerah di kaki langit pagi ini aku berharap ia akan kekal sehingga ke petang. Supaya aku dan Arshad dapat melakukan apa yang telah dirancangkan semalam.

          "Pak Long! Mak Long!" aku menyapa mereka. Sebaik-baik sahaja melihat mereka duduk di kerusi ruang tamu rumah.

          "Apa khabar?" aku berkata lagi sambil bersalaman dengan mereka.

          "Baik!" Pak Long menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Baru balik dari menoreh ke, Rosli?" tanya Mak Long pula.

          "Ya, Mak Long!" Dengan pantas aku mengangguk menjawab pertanyaan itu.

          "Dah lama ke Pak Long dan Mak Long sampai?" ujar aku lagi sambil berdiri memandang wajah mereka silih berganti.

          "Tak jugak baru aje," Pak Long membalas.

          "Asyik berbual aje ni jemputlah abang long, kak long minum air ni," celah ibu yang duduk berhadapan dengan Pak Long dan Mak Long.

          "Pak Long, Mak Long minumlah dulu. Saya nak masuk ke dalam dulu," mohon aku.

          "Kalau ya pun duduklah dulu. Apa kau takut ke Pak Long rasa tak selesa. Bau getah sebab kau baru balik dari menoreh," kata Pak Long. Tak pasti aku sama ada kata-katanya itu untuk mengusik atau menyindir.

          "Duduklah dulu, Rosli. Tak usahlah dikisahkan bau getah tu. Lagipun Mak Long faham. Dah itu kerja kau," celah Mak Long pula sebaliknya.

          "Betul kata Mak Long kau tu. Hah! Tak usahlah tercegat berdiri. Duduklah. Boleh Pak Long ceritakan apa sebenarnya hajat datang dengan Mak Long kau ni," tambah Pak Long lagi.

          "Hajat?" tanyaku sambil duduk di kerusi bersebelahan dengan ibu.

          "Ya!" Pak Long pantas mengangguk-anggukkan kepala.

          "Nak buat kenduri Mizzuan bertunang. Minggu depan," sambung Pak Long.

          "Bertunang dengan siapa, Pak Long?" aku menyoal.

          "Dengan gadis dari Kuala Lumpur. Kau tahu tak. Bertuahnya aku bakal berbisan dengan orang berada. Maklumlah tinggal di bandar besarlah katakana," kata Pak Long dengan megah.

          "Alhamdulillah. Sampai jodoh Mizzuan. Bila kahwinnya?" ujar ibu.

          "Kalau tak ada aral melintang tahun depan," Mak Long membalas.

          "Anak kau ni bila pulak, Siah? Jangan lama-lama sangat. Takut nanti jadi bujang terlajak. Yalah! Asyik menoreh dan berkebun aje. Kau tak teringin ke nak menimang menantu dan cucu," Pak Long berkata. Telinga aku pantas berdesing apabila mendengarnya. Kenapalah agaknya dia memandang hina pada aku sebab kerja kampung? Sehingga membuat tafsiran jadi bujang tua sebab sibuk menjadi petani dan tertutup pintu hati memikirkan untuk mendirikan rumah tangga.

          Tak usahlah diambil hati sangat dengan apa yang dicakapkan oleh Pak Long itu. Bersabar ajelah. Mungkin ada benar jugak apa yang dikatakannya itu. Apabila tiba masanya nanti hidup ini berpasangan. Tidak semestinya keseorangan buat selama-lamanya. Macam Adam dan Hawa. Yang telah ditentukan oleh Tuhan. Ada jodoh nanti kahwinlah aku. Bukan aku tak memikirkannya. Sebagai manusia aku hanya mampu merancang dan berdoa semoga termakbul apa yang dihajati. Namun aku tetap akur malahan redha di tangan Tuhan letaknya ketentuan jodoh pertemuan.

          "Hisy, abang ni. Cakap depan Rosli macam tu. Tak baik. Macamlah tak ada gadis yang nak dengan dia. Mentang-mentanglah kerja kampung," tegur Mak Long.

          "Aku bukannya nak merendahkan dia. Tapi apa yang aku cakap ni betul. Takkanlah kau tak ada keinginan nak kahwin. Hah, kau pulak, Siah. Dah jadi tanggungjawab kau sebagai ibu bila ayah dia tak hidup bersama untuk memberi dia berumahtangga bila dah dewasa dan matang umur macam ni," jelas Pak Long dengan panjang lebar.

          "Tak apalah, Mak Long. Memang benar apa yang Pak Long cakapkan tu. Lagipun apa Pak Long katakan tu saya tak pernah ambil hati pun. Saya anggap Pak Long ni dah macam ayah sendiri. Memberikan nasihat kepada saya sebagai seorang anak," balasku.

          "Eloklah macam tu, Rosli. Apa yang Pak Long tegur dan nasihat adalah untuk kebaikan diri Rosli jugak," ucap ibu.

          "Yalah, mak. Rosli ingat semua tu. Apa yang baik kita perlu sentiasa amalkan dalam hidup ini dan apa yang buruk kita mesti jauhkan. Seperti yang mak selalu pesan," aku sebaliknya menambah.

          Hidup ini harus sentiasa pesan-berpesan, ingat-mengingati dan nasihat-menasihati. Barulah hidup bercahaya dengan budi yang bersinar-sinar dan akhlak mulia. Yang tua memberi panduan kepada yang muda ibarat kapal di tengah lautan. Sampai ke pelabuhan yang dituju. Tidak mudah tenggelam apabila dipukul gelombang ganas. Yang muda perlu sentiasa ingatkan pesan yang tua. Barulah dirasakan nikmat indah dan sejahtera dalam hidup ini.

          Nasihat dan teguran yang tua adalah sebagai tanda kasih dan sayang yang tak terhingga kepada yang muda. Teladan yang ditunjukkan oleh yang tua harus menjadi ikutan dan dipatuhi oleh yang muda. Dalam melakukan apa saja hendaklah ada rasa ikhlas di hati. Bukannya mahu mencari nama jauh sekali minta dibalas. Bagi yang muda itulah perlu diingat selalu walaupun dah mencipta mercu kejayaan dalam kehidupan yang dilalui ini.

          Paling penting yang muda mesti sentiasa hormatkan yang tua dan jangan sekali-kali dilupakan. Sentiasa aku pegang ingatan itu. Lebih-lebih lagi pada ibu. Semenjak dari kecil lagi aku menumpang kasih daripadanya sebagai pengganti ayah yang tidak diketahui puncanya enggan hidup bersama dengan ibu. Dari sehari ke sehari makin usia ibu dimamah tua semakin teballah rasa kasih sayang aku kepadanya. Aku hidup mahupun susah senang bersama dengan ibu. Sampai mencecah usia dewasa sekarang pun aku masih tinggal bersama dengan ibu. Walaupun sepatutnya dalam usia sebegini sudah tiba masanya aku hidup berdikari dengan mengikut jejak langkah kawan-kawan sebaya yang lain mencari rezeki di bandar besar.

          Bukannya tak ada peluang untuk aku bekerja di bandar besar macam mereka. Tapi aku saja yang tolak tuah. Dengan peluang yang datang bergolek dan sepatutnya aku tidak harus melepaskannya. Tambah pulak bukan aku yang mencari pekerjaan. Tapi pekerjaan yang datang kepada aku seperti yang ditawarkan oleh Mizzuan dan Azman. Terima kasihlah banyak-banyak aku ucapkan kepada sepupu dan kawan sekolah aku itu. Namun aku minta maaf. Biarlah ada yang mengatakan aku nama aje dah dewasa tapi masih lagi duduk di bawah ketiak mak. Demi rasa kasih dan sayang yang amat mendalam dan tidak mahu berpisah dengan ibu dan meninggalkan kampung yang indah dan permai ini bersama kenangan indah yang dimiliki sejak daripada zaman kanak-kanak ini maka aku menolak dan tiada sama sekali niat di hati aku untuk menghampakan harapan Mizzuan dan Azman yang bersusah payah mencari pekerjaan untuk aku. Agar dapat mengubah kehidupan aku dan ibu menjadi lebih sempurna dan baik macam orang lain.

          "Dengar cerita kau nak usahakan projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar bersama dengan anak-anak muda di kampung ni," Pak Long berkata.

          "Ya, Pak Long!" aku membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Saya dah pergi jumpa pegawai jabatan pertanian dengan Arshad anak Abang Ahmad. Jabatan pertanian dah bersetuju untuk memberi bantuan dalam projek ni," jelas aku lagi pada Pak Long.

          "Aku bukannya apa. Minta maaf cakap. Projek kau ni susah nak mengeluarkan hasil. Seperti yang kau harapkan. Anak-anak muda sekarang takkan kau tak faham lagi. Mana nak buat kerja-kerja macam tu. Lainlah zaman aku dulu. Baik dia orang ikut macam Mizzuan. Kerja di bandar dah tentu gaji besar," Pak Long menambah.

          Nampaknya Pak Long cuba melemahkan semangat aku. Memang benar apa yang aku duga. Belum pun projek tanaman semula sayur-sayuran bermula aku sudah menghadapi cabaran. Tapi tak mengapa. Aku mesti sahut cabaran itu. Buktikan yang aku dan anak-anak muda boleh melakukannya dan berjaya mengusahakan projek tanaman semula sayur-sayuran di kampung ini.

          Kadangkala aku berasa pelik juga. Apa yang aku buat semuanya tak kena bagi lelaki yang bernama Pak Long ini. Tak pernah dia beri galakan dan sokongan. Megah dengan anaknya Mizzuan. Kerja di bandar dan bergaji besar. Berbanding dengan aku ini. Yang cuma kerja kampung ajelah katakan. Sudahlah. Tak baik menyimpan perasaan begitu. Biarkanlah apa yang dia nak kata. Mungkin cabaran yang perlu aku sambut dalam menuju ke puncak kejayaan bersama dengan anak-anak muda di kampung ini. Kesungguhan dan kemampuan memburu kejayaan perlu dibuktikan. Tekad dalam hati kecil aku.

          Pak Long dan Mak Long kemudiannya memohon diri untuk pulang ke rumah. Mak mengajak Pak Long dan Mak Long makan tengah hari. Tapi Pak Long dan Mak Long menolak dengan penuh sopan. Selepas Pak Long dan Mak Long meninggalkan rumah ibu mengutip cawan minuman yang dihidangkan kepada Pak Long dan Mak Long tadi dengan meletakkannya dalam dulang dan membawanya masuk ke dapur. Aku terus masuk ke dalam bilik untuk menyalin pakaian dan membersihkan diri seperti biasa.

BAB 17

          Kesejahteraan dan kemakmuran yang dimiliki di bumi yang bertuah ini seharusnya dijaga dan dipertahankan supaya dapat dinikmati oleh generasi seterusnya. Ibarat harta yang berharga dan tinggi nilainya. Itulah yang dapat digambarkan mengenai kekayaan dan kesuburan alam semulajadi yang mewarnai kampung ini. Di sini aku belajar mengenal erti kehidupan yang sebenar bersama semangat dan keazaman yang tinggi untuk membuktikan kejayaan dan kecemerlangan ada di mana sahaja asalkan sentiasa gigih dan bekerja keras tanpa mengalah apabila datang cabaran.

          Lambaian pohon-pohon dan daun-daun semakin membangkitkan kehangatan rasa sayang di jiwa muda aku ini supaya meneruskan perjuangan warisan bertani generasi terdahulu kalau mereka masih ada tentu mereka akan berasa gembira dan bangga. Melihat aku dan Arshad mengerah kudrat muda membersihkan tanah terbiar. Zaman mereka hanya dikenali dengan bercucuk tanam. Projek tanaman semula sayur-sayuran. Itulah nama untuk zaman aku dan Arshad lalui sekarang.

          Persamaan antara generasi terdahulu dengan generasi aku kini tetap ada. Memerah keringat dan menabur bakti pada tanah. Bezanya generasi terdahulu terpaksa mengharungi pahit getir dan derita dalam mengharungi kehidupan sebagai petani. Tanpa bantuan dan kewangan jauh sekali. Hanya berbekalkan ketabahan dan keazaman. Demi sebuah kehidupan tanpa menampakkan derita di wajah. Yang ada hanyalah ketenangan dan kesabaran. Tanpa mengharapkan simpati dan tak pernah meminta daripada sesiapa. Menangis di hati tak siapa yang tahu. Berbanding dengan generasi aku kini tiada lagi tangis derita dengan bantuan dan kewangan daripada jabatan pertanian.

          Dengan sejauh-jauhnya aku melemparkan pandangan di balik pohon-pohon dan daun-daun hijau yang bagai menari-nari disapu angin yang datang dari arah bukit-bukau yang subur menghijau. Memikirkan perjalanan hidup ini yang telah ditentukan sebagai petani. Alangkah terasa kerugiannya jika tidak digunakan segala kemudahan dan peluang yang ada sekarang dengan sebaik mungkin. Terutamanya di kalangan anak-anak muda yang tidak mempunyai pekerjaan. Menjadikan bidang pertanian untuk mencapai kejayaan.

          "Alhamdulillah, bang. Cuaca cerah hari ni. Dapatlah kita mulakan langkah awal. Bersihkan kawasan ini," Arshad berkata.

          "Sikit-sikit kita buat. Maklumlah kita berdua aje. Lama-lama nanti siaplah," aku menambah.

          "Betul kata abang tu!" Arshad sebaliknya dengan pantas mengangguk-anggukkan kepala sambil menyapu peluh yang membasahi dahi dan mukanya dengan tuala.

          "Tapi seronok rasanya kalau kawan-kawan turut sama dengan kita. Membersihkan kawasan ni," luah Arshad lagi.

          Entah mengapa. Hati aku dengan tiba-tiba sahaja tersentuh apabila mendengar kata-kata Arshad itu. Seorang anak muda yang bersemangat tinggi. Untuk bersama dengan aku mengusahakan projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar. Mungkin bagi dia penglibatan kawan-kawannya adalah diharapkan bagi membuktikan kemampuan anak-anak muda di kampung ini untuk berjaya dalam bidang pertanian dan seterusnya menjadi contoh kepada kampung lain.

          Sememangnya Arshad bersemangat dan mahu mengubah pemikiran kawan-kawan yang sebaya dengannya agar memilih bidang pertanian sebagai kerjaya yang mempunyai masa depan yang cerah biarpun zaman kini pesat dibanjiri dengan arus permodenan yang tanpa hentinya. Bidang pertanian telah lama bertapak dalam hidup manusia. Generasi terdahulu menjadikan pertanian sebagai pekerjaan utama. Mungkin ada yang kurang setuju dengan apa yang aku dan Arshad lakukan sekarang. Lebih-lebih lagi Pak Long. Yang bagi dia projek tanaman semula sayur-sayuran hanya membuang masa sahaja malahan satu pembaziran.

          Mana mungkin anak-anak muda di kampung ini akan berminat menyertainya. Kerana apabila bercakap saja tentang pekerjaan maka di bandar besarlah jawabnya. Zaman dahulu hanya dengan bertani dan bercucuk tanam untuk mendapatkan rezeki. Tapi sekarang zaman dah berubah. Banyak peluang pekerjaan yang ditawarkan di bandar besar sana. Ini menjadikan hati mereka tertutup rapat sama sekali untuk mencintai dan memilih bidang pertanian untuk mencapai sinar kejayaan yang gilang-gemilang dalam hidup ini.

          "Tak apalah, Arshad. Kita tak boleh paksa mereka. Untuk menyertai projek ni. Walaupun niat kita baik. Berdoa ajelah. Moga satu hari nanti pintu hati mereka akan terbuka bersama dengan kita." Aku memandang wajah Arshad yang dah aku anggap macam adik aku sendiri sambil memegang lembut bahunya.

          "Betul jugak kata abang tu!" Arshad membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Saya tak akan putus asa. Memujuk kawan-kawan untuk menyertai persatuan belia dan mengusahakan projek ni," tambah Arshad lagi.

          "Mungkin dah ditentukan dalam hidup kita yang bernama manusia di dunia ini. Bukan mudah untuk menjadikan sesuatu impian itu menjadi nyata," aku bersuara.

          "Apa yang abang cakap itu saya akui kebenarannya. Sebab saya telah mengalaminya dan menyedari bukan senang untuk mengikut jejak langkah orang lain yang berjaya hidup di kota," kata Arshad. Dengan serta-merta wajah anak muda yang bernama Arshad ini berubah menjadi sayu. Seolah-olah dia pernah mengalami peristiwa pahit sewaktu bekerja di bandar dahulu.

          "Arshad nampaknya seperti ada sesuatu yang tak dapat dilupakan. Maafkan abang. Boleh abang tahu apa sebenarnya yang telah terjadi?" aku menyoal dengan rasa penuh minat. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi sambil memandang mukanya dalam-dalam.

          "Saya hampir-hampir terjebak ke lembah yang hitam, bang," jelas Arshad dengan pantas.

          "Macam mana boleh terjadi sampai begitu sekali?" Aku lalu berasa terperanjat apabila mendengar penjelasan Arshad itu.

          "Semuanya macam yang saya katakan pada abang tadi. Mahu jadi seperti kawan-kawan lain. Berhijrah ke bandar yang menjanjikan pekerjaan dengan gaji yang mewah. Meninggalkan kampung kelahiran ini yang tidak menjanjikan apa-apa dalam kehidupan ini," luah Arshad.

          "Begitu kisahnya!" angguk aku pula sebaliknya.

          "Sampai sahaja di bandar saya bertemu dengan seorang pemuda. Abang Jo namanya sewaktu di Hentian Puduraya. Orangnya nampak baik. Dia tawarkan saya kerja mengedarkan barang. Tanpa usul periksa saya setuju terima tawaran kerja itu. Katanya besok boleh mula. Tapi besoknya saya dapat berita dia kena tangkap. Rupanya dia seorang pengedar dadah." Arshad menceritakan kisah yang hampir mencatatkankan sejarah hitam dalam hidupnya dengan panjang lebar.

          Aku lantas terdiam apabila mendengar apa yang diceritakan oleh Arshad itu. Syukur alhamdulillah ke hadrat Tuhan. Dia tidak mengikut jejak langkah Abang Jo yang dikenalinya. Sewaktu menjejakkan kaki di Kuala Lumpur. Yang cuba memperalatkannya sebagai pengedar dadah. Sememangnya hidup di kota besar perlu berhati-hati. Terutamanya anak-anak kampung yang datang dari kampung. Tiada halangan dan salahnya memburu impian kejayaan dalam hidup ini dengan menjadikan kota besar sebagai tempat. Namun begitu pilihlah apa yang baik dan jauhkanlah segala yang buruk sehingga meruntuhkan akhlak dan merosakkan nama baik keluarga.

          Di kota besar penuh dengan pelbagai rintangan dan dugaan yang perlu ditempuhi. Dengan karenah dan ragam penghuninya yang bermacam-macam. Lebih dahsyat ada yang sanggup berlakon menjadi orang kaya dengan menipu untuk terus hidup. Kehidupan di kota besar yang diwarnai dengan cabaran menjadikan ada segelintir daripada penghuninya sanggup melakukan perkara yang bukan diajar oleh agama Islam.

          Paling menyedihkan Abang Jo yang dikenali oleh Arshad sanggup merosakkan anak bangsanya sendiri dengan dadah. Yang sejak dari dahulu lagi telah menjadi musuh utama negara. Demi menjadi kaya-raya Abang Jo sanggup menjual benda haram itu. Sedangkan dia tahu dadahlah yang merosakkan masa depan belia. Pembangunan dan kemajuan negara yang disandarkan sepenuhnya di bahu para belia tak akan tercapai. Sewajarnyalah pembanterasan gejala dadah ini perlu dilakukan bersama oleh kita dan bukannya diserahkan semata-mata kepada pihak berkuasa saja.

          "Bersyukurlah, Arshad!" aku bersuara dengan mengangguk-anggukkan kepala dan menepuk-nepuk lembut bahunya. Yang kelihatan diam dan duduk bersebelahan dengan aku.

          "Tuhan masih lagi sayangkan Arshad. Menyelamatkan Arshad daripada menjadi seperti Abang Jo," aku menyambung lagi.

          "Peristiwa hitam yang hampir menimpa dalam hidup saya benar-benar memberi pengajaran. Supaya saya lebih berhati-hati dan berwaspada. Dalam mengharungi cabaran hidup di kota. Mujurlah selepas daripada peristiwa itu saya mendapat kerja di sebuah syarikat. Tapi apa nak buat. Dah nasib saya agaknya. Syarikat tu menjadi mangsa kegawatan ekonomi dan saya pula terpaksa diberhentikan kerja," ujar Arshad.

          "Sudahlah tu, Arshad. Apa yang dah terjadi biarkanlah berlalu. Tak usahlah diingatkan lagi. Anggaplah apa yang dah Arshad alami semua tu sebagai pengalaman yang paling berguna dalam hidup muda Arshad seperti hari ini. Bagi abang itu semua adalah asam garam dalam kehidupan. Sentiasa dipenuhi dengan bermacam-macam warna suka dan duka," kata aku pula sebaliknya.

          Arshad sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja apabila mendengar kata-kata aku itu. Dengan renungan tajam dia melemparkan pandangan ke arah pokok-pokok yang terdapat di sekitar kawasan tanah terbiar. Tak tahulah aku apa yang sedang difikirkannya. Deru angin yang datang dari arah bukit terasa bertiup perlahan dan nyaman. Membelah suasana petang yang disinari dengan cuaca cerah di kaki langit biru bersama gumpalan awan tebal memutih. Aku kemudiannya mengajak Arshad menyambung semula kerja membersihkan kawasan tanah terbiar.

          Dengan semangat dan bersungguh-sungguh aku dan Arshad memerah keringat dan tenaga menebas semak samun. Tanpa menghiraukan panas terik matahari yang memancar di kaki langit. Bahangnya yang terasa umpama api yang membakar pedih di kulit tak akau hiraukan. Kerana aku sudah biasa sejak dari kecil lagi tamabahan pula darah bertani yang mengalir dari generasi aku yang terdahulu sentiasa mengalir segar dalam jiwa muda aku ini. Mungkin inilah yang menjadikan sukar untuk dipadamkan dan sama sekali tidak beralih arah dengan menceburi bidang lain. Seluruh hidup dan tenaga aku hanya dicurahkan dengan bertani.

          Bidang pertanian tetap mempunyai masa depan yang cerah. Walaupun ada yang menganggapnya ledakan era sains dan teknologi yang pesat hari ini perlu kita rebut dan tidak dibiarkan begitu saja. Dunia hari ini tidak dapat dinafikan manusia sentiasa bersaing hebat sesame sendiri dalam bidang ini. Memang tak dapat dinafikan lagi. Kemajuan dan kecanggihan dunia sains dan teknologi menguasai perjalanan hidup manusia hari ini.

          Berbanding dengan bidang pertanian. Semakin dipandang sepi. Apabila ini berlaku bagi aku tak siapa boleh dipersalahkan. Zaman tidak sentiasa kekal selamanya. Berubah apabila tiba waktunya. Ibarat usia yang muda akan menjadi tua. Begitu juga umpama sehelai daun hijau. Akan bertukar warna perang dan kering.

          Maka bidang pertanian semakin jauh ditinggalkan. Malahan semakin dilupakan terus. Dari sanubari generasi hari ini. Inilah cabaran utama yang terpaksa aku dan Arshad hadapi. Dalam usaha menarik golongan belia di kampung ini agar meminati dan mencintai bidang pertanian. Meneruskan kesinambungan tradisi warisan bertani generasi mereka terdahulu. Dengan harapan yang disemai supaya tidak luput terus kerana ditelan peredaran zaman yang silih berganti tanpa hentinya.

          Sekali-sekala aku berhenti seketika daripada bekerja. Mendongakkan kepala ke langit cerah. Matahari petang nampaknya masih lagi mengeluarkan bahang panas. Syukur alhamdulillah ke hadrat Tuhan. Yang berkuasa dan mencipta manusia. Begitu juga dengan alam yang terbentang luas dan subur menghijau ini. Biarpun panas terasa bagai api yang menyambar dan pedih menggigit-gigit permukaan kulit kerja yang aku dan Arshad rancangkan dapat dilaksanakan dengan baik.

          Memang itulah yang menjadi amalan dan pegangan aku. Bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan Tuhan tanpa mengira apa jua keadaan yang melanda. Kegembiraan dan kepuasan. Apabila kerja yang dirancang dapat dilaksanakan dan membuahkan hasil seperti yang dihajati. Semangat dan rasa gembira yang membalut diri menjadikan keringat yang membasahi seluruh badan terasa dingin. Andai digambarkan macam air terjun di pinggir kali. Tambah nyaman bila tekak yang haus dibasahi air. Bekerja di bawah sinaran matahari dan penat lelah tidak terasa. Arshad dengan penuh kesungguhan dan semangat tinggi bekerja semakin menguatkan keazaman aku yang membara. Umpama panas terik yang menyinari petang terasa membakar diri aku agar dalam apa jua keadaan sekalipun perlu melakar kejayaan projek ini. Demi kampung halaman yang tercinta.

          "Dah nampak lapang kawasan ni, bang," ucap Arshad yang berhenti daripada menebas sambil menoleh ke kanan dan kiri. Kemudian dia memandang wajah aku.

          "Inilah hasilnya bila sikit-sikit kita buat. Hah, lama-kelamaan semak samun yang menutup seluruh kawasan ni dapat kita bersihkan semuanya," aku sebaliknya membalas.

          "Besok tak banyak lagilah kerja kita nampaknya," tambah Arshad lagi.

          "Yalah! Hari pun nampaknya dah nak masuk lewat petang. Kita berhenti ajelah. Esok kita sambung lagi," ujarku.

          "Kita buat pagi ke petang?" tanya Arshad dengan pantas sekali. Macam tak sabar-sabar lagi nampaknya. Untuk menanti hari esok. Membersihkan sedikit saja lagi semak samun yang terdapat di kawasan tanah terbiar. Bagi memulakan projek tanaman semula sayur-sayuran yang telah dirancang bersama dengan aku.

          "Petang!" aku menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Sebab pagi macam biasalah abang pergi menoreh," terangku pada Arshad.

          "Kalau macam tu yalah. Saya ikut aje abang. Lagipun takkan saya nak buat kerja seorang. Mana jadi," kata Arshad.

          "Memang betul. Setiap kerja yang kita buat macam hidup jugak. Tak boleh seorang. Mesti ada pasangan atau pasukan. Barulah terasa ada permuafakatan dan semangat kerjasama. Kerja yang berat jadi ringan. Susah pun jadi senang," aku menambah.

          "Saya tak akan patah semangat, bang. Dalam berjuang menghidupkan semula persatuan belia di kampung ini dan membuka minat kawan-kawan untuk menyertai projek tanaman semula sayur-sayuran," jelas Arshad dengan bersungguh-sungguh.

          "Insya-Allah, Arshad!" anggukku pula sambil memegang lembut bahunya.

          "Sentiasalah berdoa pada Tuhan. Perkara baik yang kita lakukan pasti akan dimakbulkan. Sepertimana yang kita minta. Eh! Kita ni asyik berbual aje. Hari pun dah semakin nak masuk senja. Sebelum tu, Arshad. Baru abang ingat. Malam ni Khamis malam Jumaat. Jangan lupa. Lepas maghrib nanti macam biasa. Masjid kita ada majlis bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat," ingat aku pula pada Arshad dengan panjang lebar.

          "Hah, kalau macam tu mari kita balik, bang. Nanti terlambat pulak ke masjid," celah Arshad.

          Aku berasa kagum dengan semangat waja yang telah ditunjukkan oleh anak muda kmapung ini yang bernama Arshad. Tidak kenal erti putus asa dan mengalah. Demi mencapai cita-cita murni. Untuk membina semula persatuan belia di kampung ini. Yang seolah-olah telah padam dan seperti aku juga mahu menyemai kembali warisan bertani ke dalam jiwa muda anak-anak kampung ini. Menerusi projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar. Sebagai tapak permulaan untuk menarik minat dan menanamkan rasa kecintaan yang teguh ke dalam diri mereka.

          Sesungguhnya semangat jitu yang ada dalam diri Arshad perlu dimiliki oleh setiap belia. Ia merupakan kunci utama dalam menyandarkan harapan kepada mereka untuk memastikan kemakmuran dan kesejahteraan negara sentiasa berterusan. Sepertimana yang dilakukan oleh generasi hari ini. Sememangnya ke dalam jiwa mereka ditanam sepenuhnya akan rasa menyintai dan tanggungjawab membina kemajuan negara. Dengan ini maka kesinambungan perjuangan generasi hari ini akan mudah terlaksana dan impian yang disemai akan bercambah dengan subur. Demikianlah besarnya harapan ke atas belia sebagai peneraju negara di masa depan.

          "Macam mana dengan projek tanaman semula sayur-sayuran tu, Rosli?" tanya Tok Ketua ketika sedang menikmati jamuan makan malam. Selepas saja majlis bacaan Yassin, tahlil, doa selamat dan solat Isyak.

          "Alhamdulillah, tok!" aku membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Saya dan Arshad dah mula membersihkan kawasan tanah terbiar. Benih sayur-sayuran akan dibekalkan oleh jabatan pertanian. Insya-Allah. Minggu depan dapatlah," aku menjawab.

          "Baguslah macam tu. Bagaimana pulak dengan penubuhan semula persatuan belia di kampung ni dan penglibatan anak-anak muda dalam projek tu?" ucap Tok Ketua lagi.

          "Nampaknya tidak mendapat sambutan, tok. Maklumlah mereka mana ada minat. Nak menceburkan diri dalam projek seperti tu. Tapi saya dan Arshad tak akan putus asa. Memujuk mereka menghidupkan semula persatuan belia dan menyertai projek tanaman semula sayur-sayuran. Yalah. Sekurang-kurangnya mereka taklah membuang masa dengan perkara yang boleh meruntuhkan akhlak. Seperti yang berlaku pada hari ini. Sehingga menjejaskan nama baik kampung ni," aku berkata.

          "Hah, eloklah macam tu. Tok sebagai ketua di kampung ni menyokong penuh apa yang kau dan Arshad lakukan. Tok berdoa mudah-mudahan Tuhan akan merestui dan memberi kejayaan terhadap segala usaha yang kau berdua buat," Tok Ketua menambah.

          "Terima kasih, tok. Insya-Allah. Saya dan Arshad akan lakukan yang terbaik demi kampung ini," janjiku pula.

          "Kita mesti tarik juga anak-anak muda untuk bersama-sama mengimarahkan masjid. Alhamdulillah. Malam ni ramai jemaah yang hadir. Kalau anak-anak muda hadir bertambah ramailah jemaah. Memang bagus sekali dan tersemailah nilai-nilai keagamaan ke dalam diri mereka. Untuk mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh memesongkan akidah," celah Tok Imam.

          "Memang benar apa yang dikatakan oleh Tok Imam tu. Tanggungjawab kita sebagai umat islam dalam mengimarahkan masjid ni bukan sahaja terletak pada tok, Tok Imam dan orang-orang tua di kampung ni yang maklumlah dah tak larat lagi bekerja dan bak kata orang usia dah pun masuk senja. Tapi tugas tu jugak perlu dipikul bersama oleh semua peringkat. Termasuk golongan muda dan barulah terasa syiar islam itu dapat ditegakkan dan dihayati oleh kita sebagai penganutnya," ujar Tok Ketua dengan penuh semangat.

          "Umat Islam akan kukuh dan tidak mudah diruntuhkan oleh musuh-musuh Islam apabila bersatu-padu. Maka masjidlah menjadi tempat untuk kita membina semangat perpaduan selain daripada tempat utama untuk beribadat kepada Tuhan. Anak-anak muda mesti kita didik dan terapkan sepenuhnya ke dalam diri mereka akan kepentingan masjid dalam kehidupan umat Islam," Tok Imam bersuara.

          "Insya-Allah, Tok Ketua, Tok Imam!" Dengan pantas aku mengangguk-anggukkan kepala sambil memandang wajah mereka silih berganti yang duduk bersila berhadapan dengan aku.

          "Saya akan masukkan kegiatan keagamaan ke dalam persatuan belia di kampung ni," aku menyambung lagi.

BAB 18

          Awan tebal memutih dan langit biru jelas kelihatan menyinari pagi. Yang penuh dengan warna-warna ketenangan dan keheningan. Sinar matahari yang cerah lagi terang-benderang yang menyimbah ke seluruh pelusuk desa tercinta menambahkan lagi seri bersama keindahan dan kedamaian yang sentiasa dimiliki dan tak pernah hilang daripada pandangan. Angin yang datang dari arah bukit-bukau yang subur menghijau terasa nyaman dan segar mengusapi alam semesta ciptaan Tuhan. Anugerah yang tak terhingga buat penduduk kampung ini.

          Nyanyian dedaunan dan pepohonan rendang jelas kedengaran menyanyikan irama merdu menghiburkan jiwa. Begitu juga dengan suara gemersik bersama lambaian pohon-pohon kelapa bila ditiup angina menambahkan lagi rasa kesyahduan dan rasa cinta yang mendalam terhadap desa yang menjadi tempat kelahiran dan dibesarkan buat anak-anak muda yang merantau demi mencari rezeki di kota batu yang besar dan hidup dalam dunia moden. Seiring dengan arus perubahan dunia yang dimiliki pada hari ini. Sekali-sekala kedengaran diusik suara di sebalik bunyi desiran pohon-pohon kelapa seakan-akan mengajak anak-anak muda pulang ke kampung halaman tercinta agar menaburkan jasa dan bakti.

          Kebahagiaan dan kegembiraan yang ada di sini adalah segala-galanya dalam kehidupan yang aku lalui. Daripadanya juga mengajar aku sentiasa mensyukuri dengan apa yang telah dikurniakan oleh Tuhan. Pada keindahan tanah yang subur dan bertuah ini di sebaliknya membangkitkan kecekalan dan ketabahan dalam mengharungi liku-liku mahupun dugaan yang datang tanpa hentinya sebagai pejuang warisan bertani.

          "Saya yakin, Rosli. Dengan semangat dan kesungguhan yang Rosli tunjukkan projek tanaman semula sayur-sayuran ini pasti berjaya," Maizah bersuara.

          "Memang itulah yang saya harapkan. Terima kasih, Maizah. Moga dengan berkat dorongan dan sokongan Maizah apa yang saya impikan begitu juga dengan penduduk kampung akan menjadi kenyataan. Dengan menuai kejayaan yang membanggakan," aku sebaliknya menambah.

          "Dalam hidup ini kejayaan sentiasa menanti untuk kita capai. Asalkan ada kemahuan untuk bekerja keras dan rajin berusaha. Tanpa mengenal erti jemu dan penat lelah. Pasti apa yang diidamkan berada dalam genggaman," ucap Maizah lagi.

          "Apa yang Maizah cakapkan tu memang benar dan tak dapat disangkal lagi. Begitu juga dalam menikmati kemajuan dan pembangunan negara. Sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk melaksanakannya. Tidak terkecuali saya yang terlibat dalam bidang pertanian. Perlu memikul tugas itu dengan penuh rasa amanah untuk ditunaikan," kataku.

          "Memang tidak dapat dinafikan lagi betapa besarnya harapan pemimpin utama negara kita meletakkan tanggungjawab yang tinggi itu pada bahu kita sebagai rakyat. Bagi saya kita tak boleh berasa puas dengan kejayaan yang kita nikmati pada hari ini. Kita mesti terus berusaha untuk mencapai kejayaan. Agar negara setanding dan dihormati oleh negara-negara maju lain di dunia ini," ujar Maizah pula.

          "Saya setuju sekali dengan apa yang Maizah cakapkan itu. Selagi hayat masih lagi dikandung badan selagi itulah kita akan terus berjuang. Demi mencapai kejayaan dalam hidup ini. Tanpa mengira apa jua bidang yang kita ceburi. Atas nama negara yang tercinta," aku membalas sebaliknya.

          "Sungguh bersemangat, Rosli. Kalau ramai orang yang macam Rosli ni sudah tentu negara akan teguh dengan pembangunan dan dilimpahi dengan kejayaan. Di persada antarabangsa berkibar megah bendera negara," jawab Maizah.

          "Bagi saya hanya dengan sekadar semangat yang dilaung-laungkan saja tidak cukup untuk mengukir nama kejayaan. Tapi perlu dibuktikan dengan kebolehan untuk menjulang kejayaan negara secara bersama dan berganding tenaga tanpa mengira kaum. Barulah sesuatu kejayaan itu dapat dinikmati dan dikongsi bersama. Sebagai masyarakat majmuk dan harmoni di negara yang aman dan merdeka ini," aku menambah lagi.

          Mengecap nikmat kejayaan adalah sesuatu yang paling indah dalam kehidupan. Hasil daripada usaha dan kerja keras yang dilakukan selama ini. Maka inilah ganjaran yang diterima. Peluh aku yang mengalir di bumi yang indah dan tercinta ini tiada akan hentinya. Terus membasahi tanah yang subur demi meneruskan perjuangan warisan bertani yang ditinggalkan oleh generasi aku yang terdahulu.

          Biarpun kejayaan sudah pun dalam genggaman namun bagi aku ia bukanlah kepuasan. Mahupun jauh sekali menanti titik penamat perjuangan warisan bertani aku selama ini. Teruskan perjuangan untuk kemakmuran dan kesejahteraan di tanah indah dan permai ciptaan Tuhan ini. Dengan harapan perjuangan ini akan berterusan disambung oleh generasi aku yang bakal lahir pada masa akan datang. Supaya rasa kecintaan menebal di hati mereka dan tidak lupa aka nasal usul dari desa yang hidup dan berdarahdagingkan warisan bertani.

          Bahang panas jelas terasa menyirami seluruh kampung pada petang ini. Benih-benih sayur yang dibekalkan oleh jabatan pertanian telah pun sampai. Aku dan Arshad lalu menanamnya di batas yang telah dibuat. Angin yang datang dari arah bukit bertiup segar dan nyaman. Rasa panas yang memijar tidak terasa malahan meniupkan lagi semangat aku dan Arshad untuk terus bekerja sehingga mencapai kejayaan mengusahakan projek tanaman semula sayur-sayuran. Bagi aku dan Arshad tiada rasa penat dan jemu tambahan pula tidak mendapat sokongan daripada anak-anak muda di kampung ini seperti yang diharapkan. Keringat aku dan Arshad yang mengalir turut sama mencurahkan kesetiaan dan rasa kasih yang sedalam-dalamnya pada desa yang sentiasa ditumpahi dengan kecantikan dan kedamaian pada setiap waktu dan ketika dalam melayari kehidupan ini.

          "Saya ada berita baik," Arshad bersuara ketika menanam benih sayur.

          "Berita apa?" aku lantas terhenti apabila mendengar kata-kata Arshad itu dan memandang tepat wajahnya yang dibasahi dengan peluh.

          "Kawan-kawan dah setuju untuk menghidupkan semula persatuan belia di kampung ni," katanya dengan pantas.

          "Ya ke? Alhamdulillah. Berkat kesabaran dan usaha gigih Arshad selama ini akhirnya membuahkan hasil juga. Persatuan belia di kampung kita yang dah lama tidak bergerak dapat dihidupkan kembali." Aku sebaliknya menyambut berita yang disampaikan oleh Arshad itu dengan rasa penuh gembira.

          "Besok mesyuarat akan diadakan. Untuk memilih pengerusi dan ahli jawatankuasa yang baru. Abang turut dijemput sama," Arshad menambah lagi.

          "Eloklah tu. Kita mesti gerakkan aktiviti persatuan belia di kampung ni. Pukul berapa mesyuarat tu, Arshad?" tanyaku pula.

          "Pukul 2.00 petang, bang. Tempatnya di balai raya. Projek tanaman semula sayur-sayuran dengan penglibatan belia adalah agenda utama dalam mesyuarat besar," ujar Arshad.

          "Harap-harap projek tanaman semula sayur-sayuran yang kita rancang demi kebaikan dan kejayaan kampung ini akan mendapat sambutan dan diusahakan bersama oleh anak-anak muda di kampung ni," aku berkata.

          "Insya-Allah, bang! Sama-samalah kita berdoa. Semoga ia akan menjadi kenyataan dan bukannya sekadar cakap kosong sahaja. Kita mesti buktikan. Yang kita boleh membawa anak-anak muda di kampung ni berjaya dalam hidup dan seterusnya menyumbangkan kemajuan pada negara menerusi bidang pertanian yang berasaskan tanaman semula sayur-sayuran," Arshad.

          Rasa kesyukuran dan kegembiraan yang tak terhingga. Hanya itu sajalah yang dapat aku gambarkan. Ada sinar yang terpancar di hujung terowong yang selama ini diselubungi dengan kegelapan. Kejayaan sedang menanti di masa depan. Harus dicapai dengan segera. Anak-anak muda di kampung ini telah dibukakan hatinya oleh Tuhan. Untuk menggerakkan semula persatuan belia di kampung ini. Yang setelah sekian lama dibayangi sepi dan tinggal kenangan saja oleh pengerusi dan ahli-ahli yang terdahulu. Tahniah diucapkan kepada Arshad. Di atas segala usaha gigih dan ketabahannya. Tanpa mengalah dan mengenal erti putus asa dalam jiwa muda yang dimilikinya. Untuk membawa kawan-kawan yang sebaya usia dengannya menyertai projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar.

          Sampai sahaja di rumah aku tidak terus masuk ke dalam sebaliknya melepaskan penat dengan duduk di pangkin yang terletak di halaman rumah. Sambil memandang kawasan yang dahulunya dipenuhi dengan semak-samun berhadapan dengan rumah aku kini bertukar menjadi terang-benderang dengan tanaman sayur-sayuran yang aku usahakan bersama dengan Arshad maka aku sudah dapat membayangkan betapa meriah dan seronoknya dengan pembabitan anak-anak muda di kampung ini melalui kegiatan persatuan belia yang telah dihidupkan semula.

          Dahulu kawasan ini dipenuhi dengan sawah padi dan masih lagi segar terbayang di ingatan aku betapa gembiranya orang-orang kampung hidup dalam suasana permuafakatan erat mengusahakannya di tanah yang tercinta dan bertuah ini kurniaan Tuhan. Tapi zaman tidak selama-lamanya kekal dan sentiasa berubah seperti manusia juga bermula dengan kelahiran sebagai bayi yang menangis apabila melihat dunia ini sehinggalah menempuh alam tua yang menjadi penghujungnya.

          Tapi sekarang sudah bertukar menjadi  tanaman sayur-sayuran dan sawah padi hanya tinggal menjadi kenangan untuk diingati sepanjang hidup ini. Aku lalu menarik nafas panjang. Bersama angin petang yang berhembus lembut menyemarakkan lagi api perjuangan aku yang tak pernah padam walau seketika pun dalam hidup aku. Dengan keazaman dan semangat yang kuat aku menggenggam harapan agar warisan bertani agar terus hidup subur dalam setiap generasi muda di kampung ini sepertimana yang telah aku dan Arshad lakukan.

          "Dah lama balik ke?" tegur ibu dengan tiba-tiba sambil menuruni tangga rumah. Lamunan aku pantas terhenti apabila mendengar suara ibu itu.

          "Baru aje, mak," aku menjawab dengan cepat.

          "Macam mana dengan benih-benih sayur tu? Dah habis tanam ke?" ibu menyoal dengan memandang wajah aku.

          "Tak habis, mak. Banyak yang dibekalkan oleh jabatan perbatian. Tak boleh siap dalam masa sehari. Mungkin mengambil masa dalam 2 hari lagi," ujarku pula sebaliknya.

          "Mak tengok berseri aje nampaknya muka Rosli," usik ibu dengan seyuman jelas terukir di wajahnya yang tua itu.

          "Berseri apa pulaknya ni, mak. Ada-ada ajelah mak ni nak mengusik saya," aku membalas dengan turut tersenyum.

          "Tentu ada yang menggembirakan hati anak mak ni. Lepas jumpa buah hati agaknya tak," teka ibu.

          "Ke situ pulak perginya mak ni. Mana saya ada buah hati. Kan saya dah cakap. Macam saya ni siapalah yang nak. Kerja kampung aje," aku membalas.

          "Habis tu? Apa yang seronok sangat ni?" tanya ibu lagi.

          "Anak-anak muda di kampung ni dah setuju nak hidupkan semula persatuan belia," aku menjelaskan pada ibu.

          "Syukur alhamdulillah kalau macam tu. Sekurang-kurangnya mereka taklah terdedah dengan perkara yang membuang masa dan merosakkan akhlak," sahut ibu dengan turut berkongsi rasa gembira.

          "Memang itulah yang saya harapkan begitu juga dengan Tok Ketua dan penduduk kampung ni. Mula-mula liat jugak mereka nak masuk persatuan belia. Tapi hasil berkat usaha Arshad memujuk mereka akhirnya berjaya juga membuka pintu hati mereka. Dengan menyertai persatuan belia bukan sahaja memberikan peluang kepada mereka untuk memanfaatkan masa muda yang mereka lalui dengan perkara yang berfaedah dan menguntungkan bahkan juga memberikan mereka pekerjaan dan meneruskan warisan bertani yang diwarisi sekian lama oleh penduduk kampung ni melalui projek tanaman semula sayur-sayuran," ucapku pada ibu dengan panjang lebar.

          Hidup di usia muda ibarat sehelai daun yang masih hijau lagi perlu diisi dengan bakti dan sumbangan di tanah yang makmur dan penuh dengan rahmat yang melimpah-ruah daripada Tuhan. Lebih manis lagi apabila kejayaan dinikmati hasil daripada kerja keras dan keringat yang mengalir selama ini. Alangkah ruginya kalau mereka mensia-siakan hidup ini dengan perkara yang tidak bermanfaat dan merugikan.

          Belia yang menjadi tonggak utama dalam mewarnai pembangunan negara pada masa depan. Begitu juga dengan harapan yang disandarkan pada belia di kampung ini untuk membawa kemajuan dan kejayaan biarpun dalam bidang pertanian. Itulah impian yang disemai ke dalam jiwa mereka dengan iringan doa semoga menjadi kenyataan dan bukannya angan kosong cuma.

BAB 19

          Keputusan mesyuarat telah pun dicapai. Aku telah dilantik sebagai pengerusi persatuan belia yang baru. Satu tanggungjawab berat yang perlu aku pikul. Ahli-ahli telah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada aku. Untuk mengemudi persatuan. Membina kejayaan dan membanggakan kepada kampung yang tercinta ini.

          Bukan mudah untuk menjadi seorang pemimpin. Lebih-lebih lagi memimpin persatuan yang dihidupkan semula. Aku sedar tugas yang perlu dilaksanakan. Harapan penduduk kampung untuk melihat anak-anak muda berjaya dalam kehidupan melalui kegiatan berpersatuan terletak sepenuhnya di bahu aku.

          Diperumpamakan seorang nakhoda. Aku perlu cekap mengemudi kapal bersama dengan anak-anak buah. Supaya tidak tenggelam dilambung ombak ganas di tengah lautan dan selamat sampai ke pelabuhan. Begitulah pengerusi persatuan belia yang baru dilantik seperti aku.

          Pengalaman adalah mengatasi segala-galanya dalam hidup ini. Cetek pengalaman sebagai pengerusi persatuan. Akur dengan hakikat itu. Memang aku pernah berpersatuan selama ini. Tapi taklah sampai jadi pengerusi. Cuma ahli biasa saja. Itu sebenarnya cerita lama. Waktu aku masih di bangku sekolah dahulu. Telah lama aku tinggalkan dan tak akan aku lalui semula.

          Sekarang lain kisahnya. Merasakan seolah-olah menempuh kehidupan yang baru. Sebaik-baik sahaja dilantik sebagai pengerusi persatuan belia yang baru di kampung ini. Terima kasih aku ucapkan kepada ahli-ahli. Di atas kepercayaan dan sebulat suara memilih aku. Menang tanpa bertanding.

          Selesai sahaja mesyuarat aku, Arshad dan ahli-ahli persatuan belia melangkah keluar dari balai raya. Langit nampak cerah. Seperti menyemarakkan semangat dan keazaman tinggi ke dalam hati aku. Sebagai tonggak utama persatuan belia untuk memimpin dan membawa ahli-ahli meniti puncak kejayaan. Amat indah apabila dapat dicapai dalam hidup ini.

          "Tahniah, Rosli. Atas pemilihan sebagai pengerusi persatuan belia yang baru di kampung ni," ucap Maizah.

          "Terima kasih!" aku sebaliknya membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Dah lama sampai?" tanyaku lagi. Wajahnya yang cantik dan ayu itu dengan bertudung aku pandang sedalam-dalamnya.

          "Tak jugak!" Dengan cepat dia menjawab pertanyaan aku. Sambil menggeleng-gelengkan kepala.

          "Baru aje!" sambungnya lagi.

          "Marilah naik ke rumah," aku mempelawa.

          "Tak apalah," dia menolak.

          "Naiklah ke rumah dulu. Lagipun tak elok kita berbual di bawah ni. Bukankah adat tetamu mesti dijemput masuk ke dalam rumah." Aku mengingatkan Maizah.

          "Lebih baik di bawah ni aje. Tak manis naik ke rumah. Makcik tak ada," tambah Maizah.

          "Tak ada!" Aku mengangkat kepala memandang tepat wajahnya.

          "Ya, Rosli!" Maizah mengangguk-anggukkan kepala. Aku dan dia saling berbalas pandangan.

          "Puas saya beri salam. Tapi tak berjawab. Agaknya dia keluar tak?" ujar Maizah lagi.

          "Ke mana dia pergi?" kataku pula.

          "Tak apalah, Rosli. Saya datang ni nak pulangkan semula bekas kuih makcik ni. Gulai asam pedas ikan tenggiri. Untuk makcik dan Rosli," terang Maizah menyatakan hajatnya datang ke rumah aku.

          "Terima kasih, Maizah. Buat apalah susah-susah ni. Kuih tu dah rezeki Maizah. Bukannya minta bekas ni diisi," ucapku pula. Dengan tangan aku pantas menyambut bekas yang berisi gulai asam pedas ikan tenggiri. Sedap baunya apabila menusuk hidung dan membangkitkan selera.

          "Susah apa pulaknya, Rosli. Orang berbudi kita berbahasa. Takkanlah nak pulangkan bekas ni kosong," Maizah menambah lagi.

          "Kuih koci tu kan kegemaran Maizah. Mak beri ikhlas. Tak minta dibalas," jawabku pula sebaliknya.

          "Segan jugak rasanya. Bila singgah aje sini macam-macam makcik bekalkan. Lauklah kuihlah. Tapi saya tak beri makcik apa pun. Gulai asam pedas ikan tenggiri ini ajelah yang mampu saya buat. Itupun entah sedap entahkan tidak. Tak macam masakan makcik." Maizah nampaknya merendah diri.

          "Apa yang nak disegankan Maizah. Lagipun saya taka da adik-beradik perempuan. Tambah pulak Maizah seorang diri aje di sini. Jauh dari keluarga di bandar sana tu. Itulah sebabnya dia anggap Maizah macam anaknya sendiri," balasku.

          "Memang saya berasa bersyukur apabila berada di sini. Mula-mula saya berasa takut jugak. Maklumlah bila berada di tempat orang. Tapi lama-kelamaan perasaan itu hilang. Bila dapat menumpang kasih dengan makcik. Yang saya dah anggap macam emak sendiri," jelas Maizah.

          "Semua orang berperasaan macam tu. Bukan Maizah seorang aje yang merasakannya. Maklumlah tempat yang baru. Tak macam tempat yang kita kenal sejak dari lahir lagi. Tentu ada perbezaannya," aku mencelah.

          "Saya setuju sekali dengan apa yang Rosli cakapkan tu. Apa yang penting saya selalu ingat pesan ayah dan ibu. Agar menjaga adat dan sopan," Maizah bersuara.

          Memang benar apa yang dikatakan oleh gadis dari bandar itu. Walau di mana jua kita berada tak boleh lupa asal-usul. Tatasusila dan  adab sopan mesti dijaga selalu. Macam yang dituntut dalam agama. Tambahan pula gadis seperti Maizah.

          Kerinduan memang menggamit apabila berada di perantauan. Tapi itu semua harus diketepikan. Demi mencari rezeki. Mungkin agaknya Maizah tak pernah berpisah dengan keluarga sebelum ini. Itu sebablah diluahkannya. Mujurlah dia dapat bertemu dengan ibu apabila diarahkan mengajar di kampung ini. Sekurang-kurangnya rasa kesunyian dan kerinduan apabila berjauhan daripada keluarga tersayang lantas terpadam.

          Kemesraan antara ibu dengan Maizah memang jelas. Ibu amat menyayangi Maizah macam anaknya sendiri. Begitu juga dengan Maizah. Ibu wanita yang melahirkan aku ke dunia ini sudah dianggapnya seperti emaknya sendiri.

          Kalau Maizah dah lama tak datang ke rumah ibu akan asyik bertanya. Mungkin dia sibuk agaknya. Maklumlah jadi cikgu. Bukan setakat mengajar sahaja. Macam-macam kerja kena buat. Tak macam cikgu zaman dulu. Janganlah mak risau. Nanti ada kelapangan datanglah dia ke rumah kita. Itu jawapan yang aku berikan. Untuk memujuk resah di hati ibu. Apabila anak angkat kesayangannya itu tidak bertemu dengannya.

          Demikianlah rapatnya ibu dengan Maizah. Walhal mereka baru kenal. Seperti yang Maizah katakan. Bila Maizah datang ke rumah ibu melepaskan rindu sepuas-puasnya. Seolah-olah sudah lama tidak bertemu dengan anak angkatnya yang datang dari bandar itu. Begitu tebalnya kasih ibu pada Maizah.

          Selalunya Maizah tak akan pulang dengan tangan kosong. Ada sahaja juadah yang dibekalkan oleh ibu. Nyata sekali keakraban dan kasih sayang yang lahir antara ibu dan Maizah. Sebagai anak kandung aku sedikit pun tak ambil hati dengan kemesraan dan hubungan rapat yang ibu tunjukkan pada Maizah.

          Aku faham dengan perasaan ibu dan Maizah. Kedua-dua wanita itu saling memerlukan dan menumpahkan kasih antara satu sama lain. Bagi ibu dahagakan belaian kasih sayang seorang anak perempuan yang tidak dimilikinya. Hanya akulah satu-satunya anak lelaki yang dia ada di dunia ini. Manakala Maizah pula ibu menjadi tempat untuk melepaskan rasa kehausan pada ibu kandung apabila berada jauh di perantauan.

          Bayu malam yang berhembus dalam nada suara sepoi-sepoi bahasa jelas kedengaran. Membelah suasana kampung dengan rasa penuh nyaman dan dingin. Membangkitkan kesegaran yang tak terhingga menyapu kulit. Menerusi jendela yang terbuka angin malam menerobos masuk menyapu seluruh rumah.

          Dalam kepekatan hitam malam bersama kerlipan indah cahaya rembulan dan bintang di kaki langit deruan bunyi pohon-pohon dan daun-daun di luar rumah dibelai tiupan angin menambahkan lagi seri alam semesta anugerah Tuhan. Kenikmatan yang harus disyukuri. Diberikan Tuhan yang menciptakan makhluk dan segala yang ada di dunia ini secara percuma. Untuk dirasai selagi masih boleh melihat matahari di kala pagi menjelma begitu juga rembulan dan bintang-bintang ketika malam menjelma.

          Sesungguhnya hanya Tuhan saja yang berkuasa sepenuhnya. Di alam fana yang kita jejaki ini. Hanya sementara saja. Nikmat hidup yang kita rasai pada hari ini tiada kekal buat selama-lamanya. Tuhan berkuasa untuk memberi segala keindahan dan kesenangan kepada kita yang bernama manusia.

          Begitu juga sebaliknya. Tuhan berhak menarik semula segala kesenangan dan kenikmatan yang dinikmati. Demikianlah sekuat mana pun dan kekayaan yang kita miliki tidak dapat menandingi kekuasaan-Nya. Rasa takbur dan bongkak apabila kita mendapat nikmat Tuhan kita harus membuang sejauh-jauhnya daripada hati kita.

          Sewajarnyalah jiwa kita insan yang diciptakan oleh Tuhan ini diisi dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Memperhambakan diri dan beribadat pada Tuhan. Sepertimana yang telah diperintahkan ke atas kita sebagai manusia. Rasa keinsafan benar-benar menyelubungi jiwa aku. Apabila mengingatkan semua itu. Maka sebagai hambanya di dunia ini setiap kali selepas sembahyang aku memunajatkan doa. Semoga dijadikan insan yang sentiasa ingat akan kekuasaan Tuhan dan dihindarkan daripada sebarang jalan yang boleh membawa ke arah kemungkaran. Sesungguhnya kesempatan hidup bersama tenaga yang dikurniakan ini haruslah direbut dan diisi sepenuhnya dengan kebaikan berserta amal bakti.

          Sampai sahaja di rumah selepas menunaikan solat Isyak di masjid aku lalu menikmati makan malam bersama dengan ibu. Sudah menjadi kebiasaan. Ibu akan menunggu aku balik dari masjid untuk bersama menjamah hidangan malam. Kecuali kalau aku balik lambat. Itupun kalau ada jamuan di masjid. Aku akan beritahu ibu dan dia akan makan seorang saja.

          Demikianlah kasih seorang ibu pada anaknya. Sanggup menahan lapar semata-mata untuk menunggu anaknya agar dapat makan bersama. Ada jugak aku beritahu ibu. Kalau lapar makanlah dulu. Tak perlulah tunggu. Takut kosong pulak perut tu nanti. Masuk angina sebab lambat makan.

          Susah nanti mak sakit. Aku tak mahu itu berlaku. Kerana aku terlalu menyayangi ibu. Lalu aku mengingatkan dia. Dalam usianya yang begini betapa pentingnya dia agar menjaga kesihatan. Tapi dia menjawab tak mengapa. Tetap menunggu aku pulang dari masjid untuk makan bersama. Mungkin tak berselera bila makan seorang. Dengan makan bersama aku walaupun berdua saja dapat membangkitkan selera.

          Selesai sahaja menikmati hidangan makan malam aku duduk di anjung rumah. Ibu sibuk mencuci pinggan dan mangkuk. Ketenangan dan kedamaian malam sungguh mengasyikkan dengan belaian lembut angin. Rasa dibuai kemerduan dan kedinginan bayu yang berlagu mengusapi seluruh kampung yang gelap pekat benar-benar mengasyikkan dan membuai jiwa aku.

          "Apa yang difikirkan tu. Jauh mengelamun nampak." Suara ibu yang muncul dari arah dapur mengejutkan aku daripada lamunan menikmati gemersik angin yang bertiup. Dia kemudiannya duduk berhadapan dengan aku.

          "Gulai asam pedas ikan tenggiri tadi. Sedap betul ya, mak!" aku menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala dan memandang wajah ibu.

          "Pandai Maizah masak. Macam tulah kalau nak cari isteri." Dengan cepat ibu membalas.

          "Mak ni," ujar aku pula sebaliknya.

          "Apa? Tak betul ke mak cakap." Sekali lagi ibu pantas memotong.

          "Betul, mak," aku berkata.

          "Habis tu? Rosli, memang mak dah anggap Maizah tu macam anak sendiri. Tapi mak rasa lebih gembira kalau dia betul-betul menjadi keluarga kita." Nampaknya ibu meluahkan harapannya dalam bentuk kiasan.

          "Saya faham dengan maksud mak tu. Tapi saya sedar. Jurang pemisah saya dengan dia macam langit dan bumi. Boleh jadi dia sudah ada yang punya," kataku.

          "Itu anggapan Rosli saja. Yang sebenarnya kita tak tahu. Mungkin dia sedang mencari pilihan hati. Agaknya dah bertemu di kampung ni. Manalah tahu agaknya." Ibu mengangkat muka memandang aku. Dalam sekali kata-katanya itu. Penuh dengan maksud yang mudah difahami. Biarpun hanya dengan berkias saja.

          "Takut nanti malu aje, mak. Bertepuk sebelah tangan saya," aku menambah.

          "Kalau kedua-duanya bertepuk macam mana?" ibu menyoal.

          "Mak ni tak habis-habis nak bergurau," celahku.

          "Ini bukannya bergurau, Rosli. Perkara yang baik. Kalau diizinkan Tuhan mak rasa sungguh bersyukur," ucap ibu pada aku.

BAB 20

          Permuafakatan memang penting dalam hidup ini. Tiada masalah yang tak dapat diselesaikan. Pekerjaan yang berat pasti menjadi ringan. Begitulah kalau hidup ini diamalkan dengan muafakat sentiasa. Susah senang bersama.

          Begitu juga dengan yang diajarkan oleh agama. Hidup saling tolong-menolong dan bekerjasama. Demi mencapai kejayaan. Yang lemah dan tak berupaya dibantu. Agar menjadi ringan segala kesusahan dan penderitaan yang dihadapi. Bukannya ditindas.

          Masyarakat yang hidup sempurna dan sejahtera menjadikan kesepakatan sebagai kunci utama untuk meletakkan diri di puncak kejayaan. Bersatu dan saling memerlukan. Bersama melangkah dan berganding tenaga. Dalam melakukan apa jua bidang pekerjaan. Tanpa mengira lama mahupun baru.

          Perlu diterapkan ke dalam jiwa anak-anak muda di kampung ini yang baru dibentuk melalui penglibatan dalam persatuan belia yang dihidupkan semula akan pentingnya bersepakat dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Barulah dapat merasa keseronokan bekerja dan hidup bermasyakarat yang sebenarnya di kampung. Membentuk sentiasa berperasaan hormat-menghormati di antara satu sama lain. Di samping mengamalkan sikap sentiasa membantu agar segala yang sukar diselesaikan menjadi mudah keluar daripadanya.

          Apabila ini diamalkan oleh ahli-ahli persatuan belia maka lahirlah rasa satu hati dan persaudaraan yang erat. Maka timbullah rasa kesedaran di jiwa muda mereka. Akan betapa pentingnya ada sikap perpaduan dan keeratan dalam menjalankan program dan aktiviti yang telah diatur. Melaluinya juga memberi pendidikan sebenarnya kepada mereka. Mengenal kesungguhan dan ketekunan pasti membina kejayaan. Apa jua bidang pekerjaan yang dipilih akan tercapai apa jua yang diharapkan dengan bergerak sebagai satu pasukan.

          Memang itulah yang aku harapkan. Apabila dilantik sebagai pengerusi persatuan belia yang baru di kampung ini. Bukannya megah dengan nama jawatan. Tapi yang paling penting harus membuktikan yang aku mampu memikul dan menunaikan tugas yang telah diamanahkan oleh ahli-ahli yang telah memilih aku untuk memegang jawatan itu.

          Perlu diingat aku bukan sahaja memikul harapan dan impian orang-orang kampung yang menggunung tinggi. Yang mahu melihat agar menerusi keterlibatan anak-anak muda di kampung ini dalam persatuan belia bukan sahaja menghindarkan mereka daripada kegiatan yang tidak sihat malahan yang paling utama membentuk keperibadian dan akhlak mereka sebagai penyumbang tenaga utama memacu kejayaan dan pembangunan negara. Aku perlu tunaikan impian itu. Walaupun ia bukan mudah dan amat berat untuk dilaksanakan.

          Tambahan pula dengan harapan yang turut disandarkan oleh anak-anak muda apabila memasuki persatuan belia juga menjadi cabaran kepada aku sebenarnya. Memang diakui pada awalnya amat sukar untuk menawan hati anak-anak muda di kampung ini untuk memasuki persatuan belia. Namun dengan usaha gigih Arshad mereka akhirnya dibukakan hati untuk menggerakkan semula persatuan belia yang telah bertahun terhenti.

          Langkah awal dalam menghidupkan semula persatuan belia telah pun berjaya. Tapi di sebalik kejayaan awal itu aku sebenarnya tetap dibuai dengan peringatan. Sekadar menghidupkan saja persatuan belia dengan penyertaan ahli-ahli tidak membawa sebarang makna sekiranya gagal membawa faedah yang berguna dalam hidup mereka yang masih muda lagi. Aku menyedari akan hakikat itu. Pada aku mereka mengharapkan agar merancang pelbagai kegiatan mahupun program untuk mereka belajar sesuatu di samping menerbitkan rasa nikmat kepuasan dan keseronokan melalui berpersatuan.

          Untuk memastikan apa yang dihajati oleh penduduk kampung dan ahli-ahli persatuan belia maka aku perlu bekerja keras dan memerah buah fikiran. Demi memastikan apa yang terbaik mampu dilakukan untuk kebaikan dan kejayaan bersama penduduk kampung dan ahli-ahli persatuan belia. Maka aku berdoa pada Tuhan yang menjadikan manusia dan mengatur segala-galanya dalam hidup ini supaya sentiasa diberikan kekuatan dan jalan yang berterusan agar apa yang diimpikan terlaksana.

          Dengan menarik nafas panjang aku memandang sekeliling kawasan yang dahulunya tanah terbiar tapi sekarang telah menjadi kebun sayur-sayuran. Jelas terasa kegembiraan dan kemeriahan menyelubungi suasana petang yang cerah. Tanpa berasa penat dan bersama titisan peluh yang mengalir aku dan ahli-ahli persatuan bekerja membubuh baja dan menggemburkan tanah. Sedang aku asyik memerhatikan mereka mengerah kudrat muda di tanah yang subur dan bertuah ini dengan tiba-tiba sahaja aku dikejutkan dengan bunyi suara orang memberi salam. Yang datang dari arah belakang.

          Suara itu aku kenal rasanya. Macam selalu dengar. Aku pantas menjawab salam itu dan menoleh ke arah suara itu. Tepat sekali sangkaan aku. Tok Ketua rupanya. Aku kemudiannya bersalaman dengan Tok Ketua. Arshad dan rakan-rakannya lalu berhenti daripada bekerja. Melihat saja Tok Ketua datang. Mereka lalu bersalaman dengan Tok Ketua yang sempat bertanyakan khabar. Kemudian mereka meneruskan semula kerja.

          "Dari mana ni, tok?" tanyaku.

          "Baru balik dari pejabat daerah. Ada urusan tanah. Nampak kau dengan ahli-ahli persatuan belia tengah rancak bekerja singgah sini," jelas Tok Ketua pula sebaliknya.

          "Begitu!" aku membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Tok! Mari kita ke pondok sana. Letih berdiri. Lagipun panas tak sedap berbual. Bila di pondok tu dapatlah kita berteduh," aku mengajak Tok Ketua.

          "Yalah!" Tok Ketua mengikut saja ajakan aku itu dengan anggukkan. Aku dan Tok Ketua lalu mengatur langkah ke arah pondok. Dengan diiringi angin petang. Yang datang dari arah bukit-bukau yang subur menghijau. Halus dan nyaman terasa mengusapi seluruh alam semesta.

          "Jemputlah duduk, tok!" pelawa aku dengan penuh hormat. Sebaik-baik sahaja tiba di pondok kayu dan beratapkan zink.

          "Terima kasih, Rosli," kata Tok Ketua sambil duduk.

          "Untung ada pondok ni. Dapat jugak berteduh. Baru buat rasanya ni. Seingat aku sebelum ni tak ada," Tok Ketua menambah. Sambil memandang aku yang duduk bersebelahan dengannya.

          "Betul, tok. Saya dan ahli-ahli persatuan belia bergotong-royong membinanya," ujarku.

          "Baguslah macam tu. Bak kata orang bulat air kerana pembentung bulat kata kerana muafakat. Semua kerja yang dilakukan akan jadi mudah," Tok Ketua bersuara. Dalam nada yang penuh gembira. Dengan apa yang aku dan ahli-ahli persatuan belia tunjukkan. Sebagai permulaan dalam menghidupkan semula persatuan. Selain daripada mengusahakan projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar. Yang pada peringkat awalnya hanya aku dan Arshad saja yang memulakannya.

          Bagi Tok Ketua memang itulah yang diharapkannya. Sebagai pemimpin utama yang dilantik di kampung ini. Mahukan anak-anak buahnya hidup bersatu padu. Menghindarkan perpecahan yang boleh meruntuhkan umat. Sebagaimana yang dilarang oleh agama.

          Dalam hal ini aku memandangnya ibarat satu perjuangan yang suci dan murni. Keutuhan dan kesepaduan yang berdiri atas nama umat Islam perlu dipertahankan. Kejayaan pasti akan jauh daripada genggaman tangan. Malahan sukar dicapai. Biarpun bekerja keras dan berusaha gigih. Angkara mementingkan diri sendiri dan tidak bersatu hati. Begitu juga dengan apa yang diinginkan oleh Tok Ketua. Untuk melihat anak-anak buahnya hidup dalam suasana masyarakat yang teguh dan penuh dengan kesepakatan yang tinggi.

          Tok Ketua tak boleh bersendirian dalam menggalas perjuangan ini. Sewajarnyalah aku harus berganding tenaga membantunya. Menyemai rasa tanggungjawab dan perlunya melangkah seiringan dalam melaksanakan apa jua yang diamanahkan. Dalam kehidupan ini perlu ada sifat itu. Ditanam sepenuhnya ke dalam jiwa setiap anak muda. Bukan setakat di kampung ini saja. Malahan juga ke dalam diri ahli-ahli persatuan belia yang lain.

          "Hidup ni tok mestilah bersepakat. Tambahan pulak macam kita ni. Tinggal di kampung. Barulah membawa berkat dan sejahtera sentiasa," aku menambah.

          "Aku memang bersetuju sekali dengan apa yang kau cakapkan tu, Rosli. Tengoklah tu. Betapa semangatnya anak-anak muda bekerja," Tok Ketua bersuara dengan memandang penuh tajam mereka yang asyik bekerja di kebun sayur-sayuran.

          "Saya pun begitu, tok. Yalah! Tok lihatlah sendiri. Sekurang-kurangnya anak-anak muda di kampung ni belajar mengenal semangat bekerjasama. Biarpun terpaksa mengharungi panas terik matahari. Tapi bagi saya itu bukan halangan. Yang penting mereka tak membuang masa apabila tak bekerja. Walaupun hanya dengan menanam sayur," ucap aku pula sebaliknya dengan panjang lebar.

          "Apa yang kau lakukan ini memang patut dipuji. Bahkan juga dicontohi. Yalah! Kau sendiri tengok kan. Dari menjadi tanah terbiar kawasan ni dah jadi kebun sayur. Diusahakan pulak oleh anak-anak muda kampung ni. Nak harapkan aku dan orang-orang kampung yang lain kau faham ajelah. Dalam usia macam ni mana larat," ucap Tok Ketua.

          "Saya tak harapkan pujian, tok. Terlalu tinggi bagi saya apa yang tok cakapkan tu. Malahan mendatangkan rasa takut kepada saya. Timbul pula rasa riak nanti. Cukuplah dengan apa yang saya lakukan ini sebagai ikhlas. Demi kejayaan dan kemajuan bersama. Untuk kita nikmati di kampung ni," aku membalas.

          "Betul apa yang kau cakapkan tu!" angguk Tok Ketua.

          "Kita memang harus ikhlas dalam melakukan sesuatu. Tapi perkara baik yang kau buat macam ni sepatutnya dipuji. Bagi aku tak salah rasanya aku bercakap ikhlas pada kau," Tok Ketua menambah lagi.

          Apabila mendapat pujian kita seharusnya berasa syukur. Janganlah timbul hendaknya rasa bangga diri. Kerana kejayaan telah dapat dicapai. Hanya melalui pujian. Sedangkan ini hanya baru permulaan. Banyak lagi cabaran dan rintangan yang menanti di hadapan. Perlu ditempuhi dan diharungi. Sebelum benar-benar menikmati kejayaan dalam hidup ini.

          Berpeganglah selalu pada pepatah jadilah resmi padi semakin tunduk semakin berisi. Ingatlah pada Tuhan selalu. Yang berkuasa mengatur apa yang telah ditentukannya kepada kita sebagai manusia dalam hidup ini. Dugaan sentiasa didatangkan. Tanpa mengira kecil mahupun besar. Untuk menguji keimanan dan ketakwaan. Sepertimana yang telah dijanjikan oleh Tuhan ke atas setiap manusia.

          Dari pondok aku dan Tok Ketua memandang anak-anak muda kampung ini bekerja di kebun sayur. Semakin kencang angin petang bertiup semakin rancak mereka bekerja. Tanpa menghiraukan rasa penat dan letih. Begitu juga dengan panas matahari. Yang menyelubungi seluruh alam semesta dan suasana petang. Tak melunturkan semangat muda mereka. Untuk terus bekerja.

          Macam ada satu kuasa semangat yang mewarnai jiwa mereka. Entah dari mana datangnya kekuatan itu tidak diketahui. Bekerja dan terus bekerja. Dengan penuh rasa keriangan. Jelas kedengaran memecah suasana di kebun sayur. Yang kelihatan luas terbentang menghijau.

          Sekali-sekala mereka berhenti. Hanya untuk mengesat peluh yang mengalir di dahi dan melepaskan penat. Bagi aku biarlah mereka mengeluarkan hilai tawa. Sebagai tanda gembira. Sekurang-kurangnya tiadalah tekanan kerja yang mereka rasai.

          Maklumlah berkebun sayur ini tak sama macam kerja di bandar. Walaupun ada kerja berat tapi taklah seberat kerja bertani. Tambahan dalam dunia sekarang. Semakin jauh dari jiwa anak-anak muda untuk mendekati warisan bertani. Yang setelah sekian lama dipusakai daripada nenek moyang mereka dahulu.

          Mungkin tak ramai anak muda dewasa ini yang sanggup mengerah kudrat dan tenaga. Tambahan pula berpanas dan berhujan. Bila menceburi bidang pertanian. Tapi berlainan dengan anak-anak muda kampung ini. Bukannya aku hendak berasa bangga diri. Disebabkan aku anak jati yang lahir dan membesar di sini.

          Tapi ini adalah kenyataan. Anak-anak muda di kampung ini sanggup mengharungi panas dan hujan. Demi memperjuangkan warisan bertani yang setelah sekian lama hidup subur di kampung ini. Di raut wajah Tok Ketua jelas nampak rasa gembira yang menebal. Anak-anak muda meneruskan perjuangan itu dan sudah bersedia menggantikan generasi tua yang ada sekarang di kampung ini.

          "Assalamualaikum!" Kedengaran bunyi suara orang memberi salam. Perbualan rancak antara aku dan Tok Ketua pantas terhenti.

          "Waalaikumsalam!" Aku dan Tok Ketua lalu sama-sama menjawab salam yang dihulurkan itu. Pak Long rupanya.

          "Hah! Kau, Idris. Aku ingatkan siapa tadi," Tok Ketua bersuara. Pak Long kemudiannya menghulurkan tangan dan bersalaman dengan Tok Ketua dan aku.

          "Duduklah, Pak Long!" pelawa aku pula sebaliknya.

          "Hebat kan, tok," kata Pak Long.

          "Apa yang hebatnya ni, Idris?" tanya Tok Ketua sambil tersenyum kecil dan mengangkat kepala memandang tepat muka Pak Long. Yang duduk bersebelahan dengannya.

          "Budak-budak muda kampung ni. Mengusahakan projek tanaman semula sayur-sayuran," Pak Long menambah lagi.

          "Eloklah tu, Idris. Kita mesti beri galakan dan sokongan pada mereka. Buat perkara baiklah katakan. Dapat juga mereka bekerja. Biarpun jadi petani," ujar Tok Ketua.

          "Memang betul apa yang tok cakapkan tu. Tapi saya tetap rasa bimbang," luah Pak Long.

          "Bimbang?" Tok Ketua berasa amat hairan. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut bapa saudara aku itu. Aku sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Mendengar apa yang dibualkan oleh Tok Ketua dan Pak Long.

          "Ya, tok!" Dengan cepat Pak Long menjawab. Sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Kenapa pulak kau cakap macam tu, Idris?" Tok Ketua menyoal.

          "Saya bukannya apa tok takut nanti apa yang dia orang buat ni mula-mula aje panas. Lepas tu sejuk. Lama-lama terus hilang," jelas Pak Long.

          Aku dah biasa dengan sikap Pak Long. Tak pernah beri sokongan. Jauh sekali dorongan dengan apa yang aku lakukan. Ada aje yang tak kena. Tak tahulah aku kenapa dia bersikap begitu. Projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar yang aku usahakan bersama dengan ahli-ahli persatuan belia di kampung ini pun dia tak sokong. Malahan seperti dipatahkan semangat lagikan ada.

          Sudahlah tu tak baik berprasangka macam tu. Mungkin ada benarnya juga apa yang dicakapkan oleh Pak Long itu sebagai ingatan. Projek ini mesti berjaya. Bukan hanya sekerat jalan saja. Seperti yang disebut dalam peribahasa alang-alang menyeluk perkasam biarlah sampai ke pangkal lengan. Walau apa jua halangan dan cubaan yang menanti aku dan anak-anak muda kampung ini akan tetap menghadapinya dalam apa jua keadaan.

          Matlamat aku dan ahli-ahli persatuan belia di kampung ini hanyalah satu. Demi kemakmuran dan kesejahteraan bumi yang bertuah ciptaan Tuhan ini. Dicurahkan segala keringat dan bakti. Ibarat tentera di medan pertempuran. Berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Untuk ibu pertiwi yang tercinta.

          Bezanya aku dan anak-anak muda di kampung ini tidak mengangkat senjata. Tidak menentang musuh yang cuba menghancurkan negara. Sebaliknya berjuang mengusahakan kebun sayur. Mempertahankan warisan bertani. Yang setelah sekian lama bertapak di jiwa penduduk kampung ini. Termasuk dalam diri aku. Hidup subur dan segar. Kalau boleh biarlah ia kekal buat selama-lamanya. Ke generasi berikutnya. Yang bakal lahir di hari muka.

          "Ke situ pulak perginya kau ni, Idris," kata Tok Ketua. Dalam nada suara yang terperanjat. Apabila mendengar apa yang diluahkan oleh bapa saudara aku itu.

          "Tok faham ajelah perangai budak-budak muda zaman sekarang. Tak macam zaman kita dulu. Kalau tak ada kelulusan mana dapat kerja gaji yang tinggi. Hah, kenalah kerja kampung. Tapi sekarang ni dah lain. Tak ada kelulusan pun dapat kerja gaji yang mewah. Tapi kenalah mula dari bawah dulu. Contohnya anak saya Mizzuan. Sekarang dah beli rumah sendiri. Pakai kereta besar di Kuala Lumpur tu," ucap Pak Long pula sebaliknya. Dengan panjang lebar.

          "Apa pulak kaitan anak kau Mizzuan dalam hal ni?" soal Tok Ketua pada Pak Long.

          "Anak-anak muda sekarang mudah cepat rasa bosan bila buat sesuatu kerja. Yalah! Mula-mula ni memanglah semangat. Tapi besok bila dah hari-hari tak tahan asyik dengan panas dan letih mulalah mereka jadi malas. Tambah pulak hasil tak ada. Dalam pada tu ada pulak tawaran kerja yang lebih baik di bandar tu. Hah, apalagi mereka pun pergilah ke bandar. Jadilah semula kawasan ni tanah terbiar," jelas Pak Long.

          "Idris …! Idris …!" Tok Ketua menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum kecil.

          "Ini kenyataan, tok!" potong Pak Long. Sambil mengangguk-anggukkan kepala. Terasa juga hati aku. Dengan apa yang dicakapkan oleh Pak Long itu. Seolah-olah apa yang aku lakukan ini tidak mendatangkan manfaat dan faedah yang besar kepada kampung ni. Begitu sekali anggapannya. Namun begitu macam biasa aku tetap bersabar. Dengan sikap Pak Long terhadap aku. Sebaliknya menganggap sebagai satu cabaran buat aku dan ahli-ahli persatuan belia di kampung ini. Perlu disahut dan membuktikan ia berjaya.

          "Kau ni macam tak menyokong dan tak suka aje. Dengan apa yang dilakukan oleh Rosli dan ahli-ahli persatuan belia di kampung ini," Tok Ketua membalas. Kelihatan senyum kecil jelas terukir di wajahnya. Mungkin sengaja dibuatnya sebagai menggambarkan rasa hairan. Dengan sikap Pak Long yang seperti menentang perkara baik yang aku dan ahli-ahli persatuan belia lakukan. Untuk kejayaan pada kampung ini. Seterusnya pada negara juga.

          "Bukan itu maksud saya, tok. Projek ni pakai duit kerajaan. Kalau gagal nanti tak membazir ke namanya," Pak Long bersuara lagi.

          "Bagi aku projek ni pasti berjaya. Insya-Allah. Melihatkan semangat anak-anak muda bekerja. Tak menghiraukan panas dan letih. Kau sendiri tengokkan. Hah, mereka tu sejak dari tadi tak henti-henti bekerja," Tok Ketua berkata. Jelas menyokong kuat. Dengan apa yang aku dan ahli-ahli persatuan belia lakukan ini.

          "Kau yakin ke Rosli projek ni boleh berjaya?" tanya Pak Long. Sambil mengalihkan pandangan kea rah aku.

          "Insya-Allah, Pak Long. Dalam hidup ni tak ada apa yang tak boleh dicapai. Kalau orang di tempat lain boleh buat mengapa kita di sini tak boleh buat. Yang penting saya dan ahli-ahli persatuan belia di kampung ni perlu bekerja kuat dan bersungguh-sungguh. Dalam menjayakan projek ni," aku membalas. Bersama rasa keyakinan.

          "Aku cukup setuju sekali dengan apa yang kau cakapkan tu, Rosli. Kalau kita kuat bekerja dah tentu kita akan dapat menuai hasilnya. Hah! Tengoklah nanti," celah Tok Ketua pula.

          "Yalah, tok …!" Pak Long mengeluarkan nada suara yang bunyinya macam merengus.

          "Kita tengoklah nanti. Siapa yang betul. Siapa yang salah," sindir Pak Long lagi.

          Tok Ketua dan Pak Long kemudiannya beredar meninggalkan pondok yang terdapat di kebun sayur. Sebab hari semakin memasuki lewat petang. Cuaca masih lagi kelihatan baik. Mungkin hingga ke malam. Tiada tanda-tanda hujan akan turun. Arshad dan rakan-rakannya telah pun bersiap untuk pulang.

          Di sebalik ketenangan dan kedamaian yang tak pernah padam mewarnai suasana kampung aku melemparkan pandangan kea rah batas-batas sayur. Memikirkan perlunya ada cabaran dalam hidup ini. Sepertimana yang dilontarkan oleh Pak Long terhadap aku dan ahli-ahli persatuan belia di kampung ini. Dalam mengusahakan projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar.

          Sememangnya cabaran akan membangkitkan semangat kepada kita. Untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang yang diusahakan. Rasa malu pasti ada apabila kita gagal melakukannya dengan berjaya. Maka untuk mengelak daripada rasa malu akibat gagal melaksanakannya sewajarnyalah kita melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan bersungguh-sungguh.

          Dalam erti kata lain cabaran yang datang dalam apa jua yang kita usahakan dalam melayari hidup ini sebenarnya adalah peringatan kepada kita. Supaya dalam hal bekerja di samping sebagai ibadah dari sudut agama ia juga mengajar kita agar melaksanakannya dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersungguh-sungguh. Bukannya hanya dengan sambil lewa saja.

          Ada hikmah sebenarnya bagi aku di sebalik cabaran Pak Long itu biarpun ada rasa pedih dan sakit hati. Dengan sikapnya yang sentiasa tak kena dan menentang dengan apa yang aku lakukan. Sedangkan perkara yang aku lakukan sentiasa baik. Bukannya perkara buruk. Yang boleh menjatuhkan nama baik keluarga. Termasuk dia di mana aku sebagai anak buah. Begitu juga dengan nama baik kampung ini.

          Bersama rembang petang dengan iringan merdu angina aku mengamati sedalam-dalamnya akan cabaran yang sering datang dalam hidup manusia ini. Semangat aku semakin membara. Untuk membuktikan kejayaan projek ini kepada Pak Long. Bersama-sama dengan ahli-ahli persatuan belia di kampung ini. Dengan iringan doa moga ia menjadi kenyataan. Pada satu hari nanti.

          Bukannya hanya sebagai semangat. Yang mudah ada dalam diri ini. Mahupun sebagai angan-angan. Tidak sukar untuk dipasang dalam setiap jiwa manusia. Seperti juga aku yang hidup di dunia ini. Perlu dibuktikan kejayaan projek ini boleh aku capai bersama dengan ahli-ahli persatuan belia. Sebagai hadiah kepada penduduk kampung ini. Itulah nekad dan azam. Yang aku tanam sepenuhnya. Sebelum pulang ke rumah.

BAB 21

          Kegiatan keagamaan juga menjadi tumpuan dalam persatuan belia di kampung ini. Ternyata cadangan yang aku bangkitkan ini dalam mesyuarat persatuan belia mendapat sambutan yang baik daripada ahli-ahli. Selain daripada itu kegiatan kemasyarakatan dan sukan turut menjadi pengisian utama kegiatan yang dirancang dalam persatuan belia. Sebagai pengerusi persatuan belia aku berharap ahli-ahli akan melaksanakan apa yang telah dibangkitkan dan dipersetujui dalam mesyuarat ini.

          Aku juga tak lupa mengingatkan ahli-ahli persatuan belia. Supaya sentiasa mengamalkan semangat bekerjasama. Saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Sekiranya ada masalah yang timbul di kalangan ahli-ahli persatuan belia perlu diselesaikan. Sebarang bentuk perpecahan yang boleh merosakkan persatuan belia hendaklah dihindarkan.

          Memang penting memberi keutamaan pada perpaduan dalam hidup ini. Tanpa mengira dalam persatuan mahupun masyarakat. Ahli-ahli persatuan belia di kampung ini diingatkan betapa pentingnya menjaga perpaduan. Sekiranya mahu beroleh kejayaan bersama. Demi kampung ini.

          "Hebat! Memang hebat abang ni!" puji Arshad. Sewaktu melangkah keluar dari balai raya. Selepas mesyuarat berakhir.

          "Apa yang hebat ni, Arshad? Bukan main puji lagi. Macam nak minta sesuatu aje. Nak minta belanja makan ke?" usik aku pula sebaliknya. Sambil tersenyum kecil.

          "Bukan itu maksud saya, bang," jelas Arshad.

          "Dah tu?" Dengan cepat aku mencelah.

          "Ucapan abang tadi. Benar-benar membangkitkan semangat ahli-ahli persatuan. Dari cara abang bercakap tadi ikhlas saya katakan. Abang memang layak menjadi seorang ahli politik," kata Arshad lagi.

          "Tak ada hebatnya bagi abang, Rosli. Yang penting kita saling ingat-mengingati. Termasuk diri abang. Menjaga perpaduan dalam persatuan dan kampung kita," aku menambah.

          "Saya sokong apa yang abang cakapkan tu!" Arshad membalas. Dengan mengangguk-anggukkan kepala. Sebagai tanda amat bersetuju sekali dengan apa yang aku perkatakan itu.

          "Yalah! Siapa lagi yang hendak menjaga perpaduan. Kalau bukan kita sendiri sebagai penduduk kampung ni. Marilah kita sama-sama berdoa, bang. Moga Tuhan memberkati. Apa yang kita lakukan ni," ujar Arshad.

          "Insya-Allah, Arshad!" jawabku dengan mengangguk dan memandang wajahnya.

          "Hah, baru abang teringat," aku menyambung.

          "Apa dia, bang?" tanya Arshad dengan pantas. Sambil mengangkat kepala tinggi sedikit. Melihat muka aku.

          "Pasal kertas kerja untuk memohon peruntukan daripada jabatan belia dan sukan. Bagi membiayai aktiviti persatuan belia kita," terang aku pada Arshad.

          "Nanti saya akan siapkan dengan ahli jawatankuasa. Lepas tu abang semaklah. Kalau ada penambahan. Sebelum dihantar kepada jabatan belia dan sukan," Arshad bersuara.

          "Eloklah macam tu. Eh! Dah lama kita asyik berborak aje. Hari pun dah nak masuk tengah hari nampaknya. Orang lain semua dah balik. Tinggal kita berdua aje masih kat sini," aku berkata.

          "Yalah, bang. Hari pun nampak gelap. Nak hujan ni. Marilah kita balik. Buatnya hujan turun nanti duduk sinilah kita lagi," ucap Arshad.

          "Marilah! Kita jumpa petang nanti di kebun sayur," balasku.

          "Yalah, bang!" angguk Arshad.

          Aku dan Arshad pantas menghidupkan enjin motosikal. Angin bertiup kencang. Pohon-pohon dan daun-daun seperti menari-nari. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Mengikut nada angin.

          Langit semakin hitam. Suasana nampak gelap sehingga aku terpaksa memasang lampu motosikal. Walaupun hari masih siang lagi. Kalau macam ni keadaannya mahu hujan turun lebat.

          Sebaik-baik sahaja tiba di rumah memang tepat jangkaan aku. Hujan lalu turun dengan lebatnya. Nasib baik aku cepat sampai di rumah. Kalau tidak sudah tentu aku basah kuyup dalam perjalanan tadi.

          Nampaknya ada orang datang ke rumah. Kelihatan sebuah kereta besar di halaman rumah. Rasa-rasanya aku kenal kereta siapa ni. Kalau tak salah aku ini kereta Mizzuan. Apahal agaknya dia datang kemari? Detik hati kecil aku.

          Selepas meletakkan motosikal di bawah rumah aku pun naik ke atas rumah. Setibanya di ruang tamu rumah memang tepat sekali jangkaan aku. Mizzuan yang datang. Bersama dengan ayah dan ibunya. Perbualan rancak ibu, Pak Long, Mak Long dan Mizzuan lantas terhenti dengan kehadiran aku.

          Salam segera aku berikan. Mereka pun menjawab serentak termasuk ibu. Kemudian aku menghulurkan tangan. Bersalaman dengan tiga beranak itu. Aku juga bertanyakan khabar pada mereka. Lebih-lebih lagi pada Mizzuan. Maklumlah jarang berjumpa. Disebabkan bekerja di Kuala Lumpur. Bandar besar tu. Alhamdulillah. Semuanya berada dalam keadaan baik. Di luar hujan terus turun dengan lebatnya. Mencurah-curah tanpa henti.

          "Sibuk betul pengerusi persatuan belia kampung ni," ucap Pak Long.

          "Pengerusi persatuan belia?" Mizzuan seperti berasa terkejut. Dengan apa yang diperkatakan oleh ayahnya itu. Seolah-olah sesuatu yang hairan baginya. Apabila aku dipilih oleh ahli-ahli persatuan. Untuk memegang jawatan itu.

          "Ya, Mizzuan!" Pak Long menjawab. Sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Sepupu kau ni telah dipilih sebagai pengerusi persatuan belia yang baru di kampung ni. Dia jugak sekarang dah buat projek tanaman semula sayur-sayuran. Di kawasan tanah terbiar. Bersama dengan ahli-ahli persatuan belia," Pak Long menerangkan pada Mizzuan.

          "Patutlah masa lalu di kawasan tu tadi nampak dah bertukar menjadi kebun sayur. Tak macam dulu. Penuh dengan semak-samun. Baguslah macam tu. Taklah kawasan tu terbiar begitu saja," tambah Mizzuan. Dia nampaknya menunjukkan tanda sokongan. Dengan projek yang aku usahakan bersama dengan ahli-ahli persatuan belia di kampung ni.

          "Tak lama lagi jadi taukeh sayurlah sepupu kau ni, Mizzuan," celah Pak Long.

          "Jadi, sekarang kau dah tak menorehlah lagi di kebun getah Pak Rahman tu?" Mizzuan sebaliknya menyoal aku.

          "Menoreh!" anggukku pula dengan pantas.

          "Aku tak boleh tinggalkan kerja tu. Walaupun dah ada kebun sayur. Maklumlah sejak lepas dari sekolah lagi aku dah buat kerja menoreh getah. Dengan menoreh getahlah dapat menyara hidup aku dan mak," aku bersuara.

          "Nampaknya sampai ke tualah kau buat kerja kampung. Tak adalah perubahan dalam hidup kau. Kita mesti ingat, Rosli. Hidup kita ni semakin hari semakin ke depan. Bukannya semakin ke belakang." Mizzuan mengingatkan aku.

          "Mungkin dah ditentukan oleh Tuhan, Mizzuan. Rezeki kau di bandar. Sedangkan rezeki aku pulak di kampung ni," aku berkata pada Mizzuan. Yang duduk berhadapan dengan aku.

          "Itu betul, Rosli. Seperti yang Mizzuan cakap tadi. Kau mesti ingat. Kerja kampung ni sebenarnya tak tetap. Bila hujan lebat macam ni apa yang kau dapat pada hasil menoreh getah. Sekarang pulak kau berkebun sayur dengan ahli-ahli persatuan belia. Buatnya tanaman sayur tak menjadi. Macam mana? Tak ke susah namanya tu," ucap Pak Long.

          Terasa juga hati aku dengan apa yang dicakapkan oleh Pak Long itu. Tapi tak apalah. Kalau begitu sentiasa tanggapan Pak Long terhadap kerja kampung yang aku lakukan biarkanlah saja. Yang penting apa yang aku lakukan membuahkan hasil yang membanggakan. Bukan saja pada kampung ini. Malahan juga negara.

          Dalam hidup ini kita harus menerima hakikat bahawa tak semestinya perkara baik yang kita lakukan akan diterima oleh orang lain. Mungkin mereka ada perkara yang lebih baik untuk dilakukan. Itu sudah menjadi lumrah dalam kehidupan. Memang kita sentiasa mahukan kepuasan hati dan terbaik.

          Oleh yang demikian kita tak boleh menunjuk malahan memaksa orang lain untuk menerima apa yang kita lakukan itu adalah hebat. Tak mampu dilakukan oleh orang lain. Menerima dengan secara terbuka pandangan orang lain mengenai pekerjaan baik yang kita lakukan. Sebenarnya ada hikmah yang tersembunyi buat kita dan menjadi peringatan supaya kita tidak lupa diri. Apabila kita sudah mendapat kejayaan yang dihajati dalam hidup ini.

          Di luar hujan terus turun dengan lebatnya tanpa henti. Bunyi rintik-rintik hujan jelas kedengaran memecahkan suasana. Membasahi zink rumah begitu juga dengan tanah, pohon-pohon dan dedaunan. Angin juga bertiup kencang. Membawa titis-titis hujan yang turun.

          "Dahlah tu abang ni. Tak sudah-sudah. Ada aje yang tak kena dengan apa yang Rosli buat," Mak Long berkata.

          "Saya ni nasihatkan dia aje. Untuk kebaikan dia jugak. Salah ke?" Dengan cepat Pak Long mencelah.

          "Memanglah tak salah," Mak Long sebaliknya menjawab.

          "Habis tu?" potong Pak Long dengan pantas pula.

          "Bunyi cakap awak tu macam nak melemahkan semangat Rosli dan tak yakin kerja yang dia buat tu akan berjaya," balas Mak Long.

          "Tak apalah, Mak Long. Saya terima dengan hati yang terbuka apa yang Pak Long cakapkan tu. Demi untuk kebaikan dan saya ucapkan terima kasih pada Pak Long. Atas nasihat itu. Insya-Allah. Saya akan ingat sentiasa. Agar Berjaya dalam hidup seperti Mizzuan," aku bersuara. Untuk meleraikan perselisihan pendapat. Yang berlaku antara Pak Long dan Mak Long.

          Jelas sekali ada yang menentang. Ada yang menyokong. Pak Long tetap tidak berganjak. Tidak bersetuju dengan apa yang aku lakukan. Seboleh-bolehnya dia mahu aku mengikut jejak langkah Mizzuan. Mak Long pula tiada halangan. Dengan apa yang aku lakukan selama ini.

          Biarkanlah apa jua yang Pak Long dan Mak Long nak tafsirkan. Yang penting apa yang aku lakukan adalah baik dan mendatangkan kejayaan yang cemerlang pada seluruh kampung. Bukannya milik aku seorang saja. Kerana memulakan projek tanaman semula sayur-sayuran di kawasan tanah terbiar. Dengan dibantu oleh Arshad pada peringkat permulaan. Sebelum penglibatan anak-anak muda di kampung ini melalui persatuan belia yang dihidupkan kembali.

          Sementara itu di luar hujan yang tadinya sungguh lebat telah bertukar menjadi perlahan. Kata orang kalau hujan lebat cepat berhenti. Kalau hujan renyai-renyai lambat berhenti. Sejauh mana kebenaran itu aku tidak pasti. Tapi bagi aku semua itu adalah kuasa Tuhan. Kesan daripada hujan yang masih lagi belum berhenti menjadikan rasa dingin jelas terasa membungkus suasana pada tengah hari ini.

          "Sudahlah, tu! Hah, bang. Beritahulah pada Siah dan Rosli. Hajat kita datang kemari," kata Mak Long.

          "Hajat? Tentu besar agaknya," celah ibu pula sambil tersenyum.

          "Memang besar, Siah," ujar Pak Long.

          "Apa dia?" ibu menyoal. Sambil mengangkat kepala tinggi sedikit memandang muka Pak Long. Yang duduk di atas kerusi berhadapan dengannya.

          "Ni hah nak datang menjemput kau dan Rosli aku nak buat majlis kahwin Mizzuan pada 28 September ni. Jangkanya masa majlis bertunang hari tu tahun depan. Tapi keluarga sebelah perempuan minta cepat," jelas Pak Long pada ibu.

          "Eloklah tu, bang. Lagipun perkara baik. Memang patut kita cepatkan. Insya-Allah bang long, kak long. Saya akan bantu sehingga selesai majlis perkahwinan Mizzuan nanti," janji ibu.

          "Itulah yang abang long dan kak long harapkan. Siapa lagi yang nak diharapkan. Bila buat majlis macam ni. Kalau bukan kita adik-beradik," tambah Pak Long.

          "Hah, kau pun Rosli kenalah bantu sama. Jangan pulak kau tak datang nanti. Maklumlah sibuk dengan projek kebun sayur. Sampai sepupu kahwin pun tak dapat tolong," Pak Long bersuara. Aku tak pasti. Apa yang dikatakan oleh Pak Long itu suatu usikan atau sindiran.

          "Insya-Allah, Pak Long!" jawabku dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Saya akan libatkan ahli-ahli persatuan belia untuk membantu majlis tu nanti. Lagipun dapatlah mendedahkan mereka dengan kegiatan kemasyarakatan macam ni. Perkara ni pun dah dibangkitkan dalam mesyuarat tadi," ucapku.

          "Alhamdulillah! Mak Long harap majlis ni berjalan dengan lancar. Bila Rosli libatkan ahli-ahli persatuan belia tambah dengan bantuan orang-orang kampung apa yang Mak Long nampak majlis ni jadi ringanlah nanti. Maklumlah sulung menantulah katakan. Dah tentu ramai orang datang," Mak Long berkata.

          "Dengar tu, Rosli. Mak Long Rosli tu harap sangat Rosli dan ahli-ahli persatuan belia di kampung ni membantu majlis perkahwinan Mizzuan nanti," ucap ibu pula.

          "Insya-Allah, mak!" ulangku lagi.

          "Macam yang mak katakana tadi. Saya dan ahli-ahli persatuan belia di kampung ni akan membantu majli perkahwinan Mizzuan nanti dari awal sampailah akhir," aku menyambung.

          "Terima kasih, Rosli. Di atas kesudian kau dan ahli-ahli persatuan belia kampung ni membantu majlis perkahwinan aku. Bak kata orang ada ubi ada batas. Nanti bila kau kahwin kenalah aku tolong," Mizzuan berseloroh.

          "Ke situ pulak perginya kau ni," celahku.

          "Eh! Betullah apa yang aku cakapkan tu. Hidup ni kenalah tolong-menolong selalu. Tambah pulak kita bukan orang lain. Sepupu. Hari ni kau tolong aku. Esok lusa aku pulaklah tolong kau," Mizzuan memotong dengan pantas sambil senyuman masih lagi jelas kelihatan di wajahnya.

          "Benar apa yang kau cakapkan tu, Mizzuan!" Dengan cepat aku membalas. Sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Tapi bagi aku dalam memberikan pertolongan ni hendaklah ikhlas. Jangan mengharapkan balasan. Biar saja Tuhan yang menentukannya," terangku pada Mizzuan.

          "Kau pastikan nanti, Rosli. Ahli-ahli persatuan belia dapat menjalankan majlis dengan lancar dan teratur. Maklum ajelah keluarga menantu aku tu dari Kuala Lumpur. Jangan bagi malu aku. Dia orang tu hendaklah dilayan dengan baik," ingat Pak Long.

          "Insya-Allah! Pak Long serahkan saja pada saya dan saya akan pastikan majlis Pak Long dan Mak Long ini akan berjalan dengan sempurna. Tanpa menimbulkan rungutan dan tak puashati tetamu yang ramai dan memastikan semua yang datang dapat makan," aku bersuara.

          "Yalah! Aku pegang cakap kau ni, Rosli. Kalau kelam-kabut majlis tu nanti hah aku tak cari orang lain. Kau ajelah yang kena selesaikan. Aku harap kau faham cakap aku ni," kata Pak Long pula.

          "Itu Pak Long jangan risau. Saya akan buat mesyuarat khas dengan ahli-ahli persatuan belia. Untuk membuat pembahagian tugas. Saya yakin bila buat macam tu masing-masing dah tahu peranan dan apa yang patut dibuat dalam majlis tu nanti. Jadi tersusunlah dan baik seperti yang Pak Long dan Mak Long mahukan," aku menjawab sebaliknya.

          Pak Long, Mak Long dan Mizzuan kemudiannya beredar meninggalkan rumah. Sebelum memasuki ke dalam kereta Mizzuan Pak Long juga sempat mengajak aku dan ibu untuk bersama-sama pergi ke rumah pengantin perempuan di Kuala Lumpur bagi majlis akad nikah dan persandingan. Aku dan ibu hanya memberikan jawapan insya-Allah saja. Sekiranya tidak ada aral melintang aku dan ibu akan menerima pelawaan Pak Long itu.

          Kereta Mizzuan pun perlahan-lahan meninggalkan halaman rumah. Aku dan ibu memerhatikan saja kereta itu terus memasuki jalan yang basah akibat daripada hujan yang turun dengan lebat tadi. Langit masih lagi nampak kelabu. Matahari tidak kelihatan. Mungkin kesan daripada hujan yang telah berhenti.

          Aku melemparkan pandangan ke celah-celah dedaunan dan pepohonan hijau di halaman rumah yang masih lagi dibasahi dengan titis-titis hujan. Sambil memikirkan sebagai pengerusi persatuan belia aku harus membuktikan bukan sahaja kepada Pak Long malahan juga penduduk kampung yang anak-anak muda dapat menyumbangkan tenaga dalam menjayakan kegiatan kemasyarakatan seperti bergotong-royong membantu majlis perkahwinan Mizzuan ini. Sesungguhnya ia adalah tapak permulaan yang perlu disahut dan dilakukan oleh ahli-ahli dalam menjadikan persatuan belia di kampung ini tak menang tangan dengan pelbagai kegiatan selain daripada mengusahakan projek tanaman semula sayur-sayuran di kawasan tanah terbiar.
  
BAB 22

          Sudah menjadi kenyataan dalam hidup yang kita lalui ini. Apabila terbit fajar di pagi hari maka pemikiran kita tertumpu untuk bekerja. Meneruskan kehidupan yang telah dikurniakan oleh Tuhan. Dengan kudrat dan tenaga yang telah diberikan. Demi kemakmuran dan kesejahteraan tanah yang penuh dengan warna-warna keindahan dan permai.

          Masuk hari ini sudah sebulan projek tanaman semula sayur-sayuran dijalankan oleh ahli-ahli persatuan belia. Syukur Alhamdulillah. Sayur-sayuran yang ditanam semakin bercambah subur dari sehari ke sehari. Begitu juga dengan semangat anak-anak muda. Yang mengusahakan projek ini melalui persatuan belia yang dihidupkan kembali. Terus bekerja dengan penuh semangat yang membara. Diibaratkan api yang marak menyala dan panas membakar.

          Demikianlah semangat tinggi yang dimiliki oleh anak-anak muda yang lahir dan dibesarkan di kampung  ini. Sukar untuk dipadamkan. Rasa kagum pantas lahir di hati aku. Apabila melihat kesungguhan dan kegigihan yang telah ditunjukkan oleh mereka. Dalam melaksanakan projek pertanian ini.

          Kalau beginilah semangat dan kesungguhan tinggi yang ditunjukkan oleh anak-anak muda di kampung ini aku yakin kejayaan akan dapat dicapai. Keyakinan ini aku luahkan atas pegangan bahawa rajin dan usaha yang gigih adalah tangga utama dalam meniti sinar puncak kejayaan. Semangat permuafakatan yang tersemai dan terjalin erat yang telah mereka tunjukkan menguatkan lagi rasa yakin dalam diri aku yang cahaya kegemilangan sedang menanti anak-anak muda di kampung ini. Hanya menanti masa dan ketika saja untuk dicapai.

          Dalam pada itu Arshad juga membawa berita gembira. Bahawa jabatan belia dan sukan telah menerima kertas kerja yang telah dihantar berkenaan permohonan peruntukan untuk kegiatan bersukan dalam persatuan belia di kampung ini. Melalui aktiviti bersukan akan menambahkan dan memperkukuhkan lagi permuafakatan yang telah sedia terjalin antara anak-anak muda di kampung ini dalam bentuk pertandingan di samping dapat membentuk badan yang sihat dan minda yang cergas.

          Kegiatan keagamaan yang dibangkitkan dalam mesyuarat persatuan belia turut dijalankan di masjid. Ceramah agama untuk membentuk akhlak dan akidah dalam jiwa yang masih muda telah dipilih sebagai tajuk permulaan pada bulan ini. Ternyata sambutan daripada ahli-ahli persatuan belia di kampung ini amat membanggakan dan menggalakkan sekali. Begitu juga dengan penduduk kampung. Ramai yang datang termasuk ibu dan Maizah.

          Penceramah yang diundang dalam program ini adalah Ustaz Hamzah. Bekas pegawai jabatan agama islam dan pernah dianugerahkan Tokoh Ma'al Hijrah peringkat negeri. Bukan sekadar mendengar ceramah sahaja malahan ahli-ahli persatuan belia turut sama berganding tenaga dan bergotong-royong dengan penduduk kampung menyediakan jamuan makan malam untuk ceramah ini. Jelas menunjukkan permuafakatan hidup bermasyrakat di kampung ini tanpa mengira tua dan muda.

          Selepas menikmati jamuan makan malam sebaik-baik sahaja ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Hamzah berakhir dan diikuti pula dengan solat Isyak berjemaah ahli-ahli persatuan belia termasuk aku sebagai pengerusi bersama-sama mengemaskan pinggan mangkuk. Tugas masing-masing dipecahkan mengikut keputusan mesyuarat khas bagi program keagamaan ini. Arshad telah dilantik untuk mengetuai kumpulan mengemaskan pinggan mangkuk hingga selesai.

          Dari awal program keagamaan ini bermula sehinggalah akhirnya berjalan dengan teratur dan baik. Ahli-ahli persatuan telah memberikan kerjasama bukan sahaja kepada penduduk kampung malahan juga sesama mereka. Walaupun aku yang mengatur perancangan tugas ahli-ahli persatuan belia untuk program keagamaan ini aku tidak hanya berpeluk tubuh dan melihat mereka menjalankan tugas yang telah diarahkan. Aku turut sama membantu mereka agar semangat kerjasama dalam pasukan benar-benar dihayati dan diterapkan dalam persatuan belia di kampung ini dan mengenepikan rasa sebagai pengerusi hanya mengarahkan tugas yang telah diberikan kepada ahli-ahli. Bagi aku apa yang penting dapat merasakan kegembiraan dan berganding tenaga dengan ahli-ahli persatuan belia di kampung ini menjayakan program keagamaan yang telah dirancang.

          "Tahniah, Rosli!" Yang Berhormat Dato' Jamil bersuara. Sambil menepuk-nepuk lembut bahu aku.

          "Tahniah apa pulak ni, Dato'?" aku sebaliknya menjawab sambil memandang wajahnya.

          "Program keagamaan seumpama ini anjuran persatuan belia di bawah pimpinan Rosli selaku pengerusi baru yang dilantik benar-benar berjaya. Tambah pulak ramai jemaah yang datang. Awak memang hebat, Rosli. Bukan senang nak tarik anak-anak muda mendekatkan diri dalam kegiatan keagamaan melalui ceramah yang diadakan pada malam ni," jelas Yang Berhormat Dato' Jamil.

          "Sebenarnya kejayaan program ini adalah untuk Yang Berhormat Dato'," balasku.

          "Eh! Kenapa pulak saya? Rosli bersama dengan ahli-ahli persatuan belia dan penduduk kampung yang bertungkus-lumus untuk menjayakan program ni. Takkan saya pulak yang dapat nama," ucap Yang Berhormat Dato' Jamil sambil ketawa.

          "Yalah! Tanpa sokongan Dato' program ni takkan berjaya," aku menambah.

          "Betul kata Rosli tu. Saya dan penduduk kampung mengucapkan berbanyak terima kasih. Di atas peruntukan yang Dato' beri untuk membiayai ceramah agama ni," celah Tok Ketua.

          "Hanya pada Allah SWT jualah kami penduduk kampung ini berdoa. Moga kebaikan yang Dato' taburkan akan mendapat ganjaran pahala," Tok Imam berkata.

          "Apa yang saya lakukan ni ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Bukannya mengharapkan pujian mahupun ganjaran pahala. Lagipun sebagai wakil rakyat di kampung ni sudah menjadi tanggungjawab saya menyokong segala kegiatan keagamaan macam ni dan memberi manfaat kepada semua. Tanpa mengira tua atau muda," ujar Yang Berhormat Dato' Jamil.

          "Harap-harap ceramah agama seperti ini akan terus diadakan di masjid ni. Agar orang-orang kampung dan ahli-ahli persatuan belia dapat mengimarahkan masjid. Di samping sama-sama beribadat dan mengukuhkan perpaduan," kata Tok Ketua dengan penuh harapan.

          "Insya-Allah, tok!" Dengan cepat aku mengangguk-anggukkan kepala. Apabila mendengar kata-kata Tok Ketua itu.

          "Saya akan pastikan ceramah keagamaan menerusi persatuan belia akan diadakan pada setiap bulan di masjid kampung ni," aku menyambung lagi.

          "Alhamdulillah! Mudah-mudahan Allah SWT merahmati dan memberkati apa yang kita lakukan ni," balas Tok Ketua. Dengan rasa penuh kegembiraan.

          "Eloklah tu!" sambut Yang Berhormat Dato' Jamil pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Kalau perlukan apa-apa bantuan nanti beritahulah saya. Insya-Allah! Saya akan beri peruntukan untuk menjayakan kegiatan keagamaan di masjid kampung ni," janji Yang Berhormat Dato' Jamil pula.

          "Terima kasih, Dato'! Segala budi baik yang Dato' berikan hanya Allah SWT sajalah yang akan membalasnya," Tok Ketua mencelah.

          "Sama-sama, tok! Hah, saya minta diri dulu. Jumpa lagi. Assalamualaikum!" dia memberi salam.

          "Waalaikumsalam!" jawab Tok Ketua, Tok Imam, aku dan beberapa orang penduduk kampung dengan serentak.

          Setelah bersalaman dengan Tok Ketua, Tok Imam, aku dan beberapa orang penduduk kampung Yang Berhormat Dato' Jamil pun masuk ke dalam kereta. Sebaik-baik sahaja pintu ditutup kereta Mercedes Benz milik Yang Berhormat Dato' Jamil lalu perlahan-lahan bergerak meninggalkan masjid. Tok Ketua dan Tok Imam kemudiannya bersalaman dengan aku dan bermohon diri untuk pulang ke rumah.

          Begitu juga dengan jemaah yang lain. Sudah beransur-ansur meninggalkan masjid. Suasana di masjid yang tadinya penuh dengan jemaah untuk mendengar ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Hamzah tadi kini bertukar menjadi lengang. Cuma aku, ibu, Maizah dan ahli-ahli persatuan belia yang masih tinggal sedikit sahaja untuk menyelesaikan kerja-kerja mengemas pinggan dan mangkuk yang masih lagi belum pulang ke rumah.

          Rasa kesyukuran yang tak terhingga aku lafazkan dengan setinggi-tingginya dalam hati. Kegiatan ceramah yang menjadi antara aktiviti utama persatuan belia di kampung ini selain daripada pertanian, sukan, kemasyarakatan dan lain-lain lagi berjaya dilaksanakan. Sewajarnyalah program keagamaan semacam ini sentiasa diterapkan ke dalam diri anak-anak muda. Supaya menjadikan agama sebagai pegangan hidup dan membentuk keperibadian akhlak yang tinggi.

          Semangat aku semakin bertiup kencang. Umpama angina yang datang dari arah bukit. Dengan memperolehi kejayaan awal melalui program ceramah keagamaan ini. Yang mendapat sokongan padu dan kuat daripada ahli-ahli persatuan belia di kampung ini. Boleh dikatakan semuanya hadir. Ditambah lagi dengan kehadiran Yang Berhormat Dato' Jamil berserta dengan penduduk kampung.

          Alangkah gembiranya hati aku bukan kepalang. Kegiatan ini benar-benar dihayati dan mendapat sokongan daripada ahli-ahli persatuan belia dan orang-orang kampung baik lelaki mahupun perempuan. Kelihatan memenuhi seluruh ruang masjid malam ini.

          Tak lama kemudian muncul ibu dan Maizah. Dengan berpakaian telekung. Berjalan beriringan melangkah keluar dari masjid. Sambil rancak berbual-bual bersama dengan senyuman. Entah apa yang mereka bualkan tak tahulah aku. Sampai sahaja di tempat aku berdiri di halaman masjid ibu dan Maizah berhenti daripada berjalan. Begitu juga dengan berbual-bual sebaliknya mereka sama memandang muka aku. Yang sedang memeluk tubuh. Kerana dibungkus rasa dingin angina malam yang bertiup sederhana kencang. Membelah seluruh kampung yang diwarnai dengan suasana hitam pekat. Tanpa kelihatan rembulan dan bintang-bintang menghiasi dada langit yang dibaluti kegelapan malam.

          "Kan saya dah cakap. Anak makcik ni memang hebat. Itu sebablah dia dilantik sebagai pengerusi persatuan belia di kampung ni," usik Maizah sambil tersenyum manis. Ibu yang berada di sebelahnya hanya mendiamkan diri sahaja dan sebaliknya hanya membalas senyuman yang dilemparkan oleh Maizah itu.

          "Maizah …! Maizah …!" Aku menggeleng-gelengkan kepala dan tersenyum apabila mendengar kata-katanya itu.

          "Apa yang hebat ni? Takut saya mendengarnya. Bila Maizah cakap macam tu," aku membalas lagi.

          "Memang tak dapat dinafikan lagi. Itu sebablah saya kata Rosli hebat. Tengoklah ceramah agama malam ni anjuran persatuan belia. Ramai yang datang. Bukankah itu satu kejayaan namanya bagi Rosli?" jelas Maizah.

          "Bagi saya kejayaan malam ini adalah untuk seluruh penduduk kampung dan ahli-ahli persatuan belia. Lagipun saya minta sangatlah pada Maizah. Janganlah mengatakan yang saya ni hebat dan terlalu memuji. Kerana ramai peserta yang datang ke masjid mala mini untuk mendengar ceramah agama," tambahku pula.

          "Betul kata Rosli tu, Maizah. Dalam melakukan sesuatu perkara yang baik ini dan diredhai oleh Allah SWT kita hendaklah ikhlas sentiasa dan bukannya menunjuk-nunjuk. Silap-silap timbul pula riak nanti," ingat ibu sebaliknya.

          "Apa yang makcik cakap tu memang saya bersetuju sekali. Tapi penduduk kampung ni seharusnya merasa bangga. Kerana Rosli sebagai pengerusi persatuan belia di kampung ini tidak lupa untuk mendedahkan anak-anak muda dengan didikan agama," ucap Maizah.

          "Sudah jadi tanggungjawab saya, Maizah. Sebagai ketua dalam persatuan belia di kampung ni perlu memastikan ahli-ahli sentiasa mengikuti panduan dan ajaran yang telah ditetapkan dalam Islam. Demi hidup yang sempurna dan diberkati oleh Allah SWT," jelas aku pada Maizah.

          "Sama-samalah kita berdoa. Moga ilmu yang kita dapat melalui ceramah ni memberi manfaat dan faedah sepenuhnya. Demi mendapat kesejahteraan hidup kita di dunia ni," Maizah bersuara.

          "Insya-Allah, Maizah!" anggukku dengan pantas. Apabila mendengar kata-katanya itu.

          "Mudah-mudahan Allah SWT merestui dan memberkati apa jua kebaikan yang kita lakukan. Demi kebaikan semua penduduk kampung ni," aku menambah lagi.

          "Setiap perkara yang baik pasti akan mendapat rahmat dan diberkati Allah SWT. Saya yakin. Usaha murni berterusan Rosli pasti akan membuahkan hasil kejayaan. Dengan memupuk jiwa anak-anak muda di kampung ini mencintai agama dan bersama-sama dengan penduduk kampung mengimarahkan masjid," kata Maizah.

          "Benar sekali apa yang Maizah katakan tu. Paling penting sekali mereka sentiasa berpegang kuat dengan ajaran agama dan tidak mudah lalai dan hanyut dengan kemungkaran yang boleh merosakkan dan menyesatkan hidup mereka," ucap aku pada Maizah.

          "Kita ni asyik berbual aje kat sini. Orang lain semua dah balik. Hari pun dah nak masuk lewat malam. Hah, marilah kita balik," celah ibu pula dengan tiba-tiba.

          "Yalah, mak!" aku menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Maizah balik naik apa?" tanyaku sambil mengangkat kepala memandang wajahnya.

          "Kereta!" dia membalas.

          "Naik kereta siapa?" aku menyoal Maizah.

          "Kan saya dah beli kereta. Takkan nak tumpang orang pulak," terang Maizah dengan ketawa kecil jelas kelihatan di wajahnya yang sungguh ayu dan jelita itu. Ibu yang berada di sebelahnya juga ketawa kecil. Bila mendengar soalan yang aku ajukan itu pada Maizah.

          "Lupa pulak saya. Maizah dah beli kereta," balas aku sambil tertawa kecil dan tersipu-sipu malu.

          "Apalah Rosli ni. Muda-muda lagi dah mudah lupa. Kan ke mak datang tadi naik kereta Maizah," tegur ibu.

          "Banyak perkara nak ingat, mak. Kebun sayur kegiatan persatuan belia dan macam-macam lagi yang Rosli fikirkan. Hah, macam mana tak lupa," terangku sambil masih lagi ketawa kecil.

          "Makcik balik naik kereta Maizah, ya!" dia mempelawa ibu.

          "Tak apalah, Maizah. Susah-susah Maizah aje nak hantar makcik balik nanti. Biar ajelah makcik balik naik motor dengan Rosli," ibu sebaliknya menolak pelawaan Maizah itu dengan penuh sopan.

          "Betul tu, Maizah. Makcik balik dengan saya. Terima kasihlah atas pelawaan Maizah tu," celahku pula.

          "Apa pulak susahnya, makcik. Lagipun rumah makcik dan rumah saya tak jauh. Marilah!" ajak Maizah lagi. Ibu jadi serba salah. Dia memandang wajah aku dan faham apa yang dia mahukan daripada aku. Keputusan untuk balik bersama dengan aku. Atau dengan Maizah.

          "Mak baliklah dengan Maizah." Dengan cepat aku memberikan kata putus.

          "Ya, makcik!" Maizah memotong dengan pantas. Apabila mendengar keputusan aku.

          "Saya yang bawa makcik datang dan saya jugalah yang harus menghantar makcik pulang," Maizah menyambung.

          "Kalau macam tu makcik ikut ajelah," ibu berkata.

          "Mari, makcik!" ujar Maizah dengan rasa penuh gembira. Apabila ibu menerima pelawaannya itu.

          Kereta yang dipandu oleh Maizah lalu bergerak meninggalkan masjid. Aku yang menunggang motosikal mengikut keretanya dari belakang. Sampai sahaja di rumah aku tidak terus masuk ke dalam bilik. Sebaliknya duduk di atas kerusi di ruang tamu rumah.

          Ibu terus masuk ke dalam bilik. Penat agaknya. Maklumlah dia dan Maizah bersama dengan kaum wanita di kampung ini turut membantu menyediakan jamuan makan malam yang dihidangkan selepas solat Isyak dan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Hamzah tadi.

          Bunyi cengkerik yang bersahut-sahutan jelas kedengaran. Memecah kesunyian malam. Bersama angin yang bertiup lembut dan merdu. Di luar bunyi pepohonan dan dedaunan yang bergeseran antara satu sama lain sungguh merdu dan mengusik jiwa apabila didengar. Menghiasi suasana malam yang terasa hening dan damai dalam kedinginan yang membungkus seluruh alam yang gelap pekat.

          Sekali-sekala terasa angin malam yang tiba-tiba bertiup kencang menerobos masuk di celah-celah dinding papan rumah. Sambil tersandar di kerusi aku lalu teringat cadangan aku mengemukakan pada Tok Ketua untuk mengecat semula masjid dengan penglibatan ahli-ahli persatuan belia di kampung ini agar menjadi tambah nilai dalam kegiatan kemasyarakatan ketika sedang menikmati jamuan makan malam. Ternyata cadangan aku ini disambut baik dan mendapat sokongan daripada Tok Ketua, Tok Imam dan ahli jawatankuasa masjid. Malahan Yang Berhormat Dato' Jamil bersetuju untuk menyalurkan peruntukan kepada persatuan belia di kampung ini bagi menjalankan kegiatan tersebut.

          Sepanjang malam rasa kegembiraan menyelubungi seluruh jiwa aku. Hingga ke dinihari mata aku masih lagi belum berasa mengantuk. Kerana rasa seronok dan tidak sabar untuk melebarkan lagi kegiatan kemasyarakatan dilakukan oleh ahli-ahli persatuan belia di kampung ini.

BAB 23

          Sejak dari awal pagi lagi semua ahli persatuan belia telah berkumpul di perkarangan masjid. Hari ini mereka akan menjalankan kegiatan kemasyarakatan dengan mengecat masjid. Sepertimana yang telah dirancang. Nampaknya kegiatan persatuan belia di kampung ini berterusan dan pelbagai. Bukan tertumpu hanya pada satu kegiatan sahaja.

          Bermula dengan kegiatan utama mengusahakan projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar. Kemudian diikuti pula dengan ceramah agama di masjid. Seterusnya mengecat semula masjid dengan Yang Berhormat Dato' Jamil membiayai kegiatan ini seperti yang telah dijanjikan.

          Dari raut wajah ahli-ahli persatuan belia jelas kelihatan rasa semangat yang tinggi untuk melaksanakan kegiatan kemasyarakatan ini. Aku sebagai pengerusi berasa amat gembira sekali apabila melihat anak-anak muda di kampung ini begitu seronok sekali melakukan pelbagai aktiviti dan yang paling penting tidak berasa bosan apabila masuk persatuan belia yang diberi nafas semula. Bukan sahaja ahli-ahli persatuan belia yang hadir untuk melakukan kegiatan yang telah dirancang malahan juga penduduk kampung yang lain. Termasuk Tok Ketua, Tok Imam dan ahli jawatankuasa masjid.

          Kehadiran mereka jelas membuktikan sokongan kuat terhadap program yang dijalankan oleh persatuan belia di kampung ini. Mereka datang bukan sahaja untuk melihat ahli-ahli persatuan belia membuat kegiatan kemasyarakatan dengan mengecat tetapi mahu bersama-sama menghulurkan tenaga bagi menjayakan program yang nyata memberikan kebaikan bersama kampung ini. Yang nyata permuafakatan erat yang ditunjukkan oleh penduduk kampung ini pasti akan menyumbangkan kejayaan dan kesejahteraan hidup sepertimana yang diimpikan oleh setiap manusia di dunia ini.

          Sebelum program bermula ahli-ahli persatuan belia dan penduduk kampung mendengar taklimat yang aku sampaikan. Ahli-ahli persatuan belia dan penduduk kampung yang menyertai gotong-royong ini dibahagikan kepada dua kumpulan. Aku mengetuai kumpulan pertama yang mengecat bahagian luar masjid. Manakala Arshad pula mengetuai kumpulan kedua yang mengecat bahagian dalam.

          "Syukur alhamdulillah. Dapat jugak masjid ni dicat. Terima kasihlah atas bantuan ahli-ahli persatuan belia dan penduduk kampung," Tok Ketua berkata.

          "Dah lama masjid ni tak dicat. Itu pun cadangan Rosli. Memang banyak perubahan yang kau bawa, Rosli. Sejak menerajui persatuan belia di kampung ni," celah Tok Imam pula.

          "Betul tu, Tok Imam!" angguk Tok Ketua sebaliknya dengan pantas. Apabila mendengar kata-kata Tok Imam itu.

          "Rosli telah berjaya membentuk budi pekerti dan akhlak anak-anak muda di kampung ni melalui kegiatan macam ni ke arah kebaikan dan besar sekali manfaatnya bagi mereka. Yalah! Tok sendiri faham kan. Sekarang ni anak-anak muda terdedah dengan macam-macam gejala yang tidak sihat. Yang boleh memusnahkan masa depan mereka. Seperti dadah, lumba haram, minum arak dan macam-macam lagi. Bila mereka dah masuk persatuan belia tak adalah mereka nak melibatkan diri dengan kegiatan yang tak elok tu," tambah Tok Imam lagi. Dengan panjang lebar sambil memandang silih berganti wajah aku dan Tok Ketua. Yang duduk berhadapan dengannya.

          "Saya sokong dengan apa yang Tok Imam cakapkan tu. Satu hari nanti anak-anak muda di kampung nilah yang akan mengambilalih kepimpinan yang kita amalkan sekarang ni. Hah, bermula dari sekaranglah kita harus mendidik dan membentuk mereka agar mempunyai rasa sayang dan tanggungjawab untuk membina kejayaan bukan setakat di kampung ni saja. Malahan juga untuk agama, bangsa dan negara," ucap Tok Ketua.
         
          "Kita seharusnya berasa bangga mempunyai anak kampung seperti Rosli ni!" Tok Imam mengangkat kepala memandang muka aku.

          "Bangga? Apa yang nak dibanggakan dengan diri saya ni, tok. Macam orang lain jugak di kampung ni. Tak ada yang istimewanya!" Aku buat-buat berasa terkejut. Apabila mendengar apa yang dicakapkan oleh Tok Imam itu. Namun begitu aku sebenarnya mengerti dengan apa yang dimaksudkan oleh Tok Imam itu yang lain tak bukan untuk memuji. Dengan apa yang telah aku lakukan di kampung ini. Menerusi penglibatan anak-anak muda dalam persatuan belia bersama dengan penduduk kampung.

          "Yalah! Kalau tidak dengan bermacam-macam kegiatan yang lahir sendiri daripada buah fikiran kau tak terasalah meriahnya perpaduan ukhwah penduduk kampung ni. Sebagaimana yang dituntut dalam agama kita," jelas Tok Imam.

          "Itu sudah menjadi tanggungjawab saya, Tok Imam. Macam jugak Tok Ketua yang dilantik untuk memimpin penduduk kampung ni. Begitu juga dengan Tok Imam. Yang diamanahkan untuk memimpin penduduk kampung ini agar patuh dan taat pada ajaran agama. Manakala saya sebagai pengerusi persatuan belia yang dilantik oleh anak-anak muda di kampung ini sudah menjadi tugas saya untuk memastikan mereka mendapat manfaat dengan menyertai kegiatan kemasyarakatan yang kita buat pada hari ini," kataku pada Tok Imam dan Tok Ketua.

          "Sama-samalah kita berdoa. Moga Allah SWT memberikan ganjaran pahala. Dengan usaha yang kita lakukan ini. Tambahan pulak kita dapat mengimarahkan masjid. Walaupun hanya dengan mengecat saja," celah Tok Ketua.

          "Memang itulah harapan saya tok apabila dilantik sebagai pengerusi persatuan belia di kampung ni. Bagi saya dalam mengimarahkan masjid ni bukan setakat dengan menunaikan solat berjemaah dan mengadakan ceramah agama saja. Macam yang tok cakapkan tadi kegiatan dengan mengecat masjid juga boleh kita anggap sebagai satu imarah dan membina perpaduan mantap di kalangan penduduk kampung. Itulah yang nak saya ketengahkan kepada ahli-ahli persatuan belia. Supaya mereka contohi dan amalkan apabila mereka memegang tampuk kepimpinan di kampung ini satu hari nanti. Macam yang Tok Ketua cakapkan tadi," aku bersuara.

          "Baguslah macam tu. Harap-harap kegiatan macam ni akan berterusan. Sebagai ketua di kampung ni seronok rasanya melihat anak-anak buah tanpa mengira tua dan muda berkumpul di masjid ni. Berganding tenaga menjayakan gotong-royong mengecat masjid," luah Tok Ketua.

          "Insya-Allah, tok!" aku menjawab dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Kegiatan seumpama ini akan sentiasa diadakan. Supaya ahli-ahli persatuan belia berasa gembira dan menikmati faedah sepenuhnya apabila melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan," janji aku pula sebaliknya.

          "Kita ni asyik berbual aje dari tadi. Waktu zuhur pun dah masuk. Hah, Rosli. Suruh dia orang ambil wuduk. Boleh kita sembahyang jemaah," ujar Tok Imam padaku.

          "Yalah, Tok Imam!" Aku bingkas bangun dan memberitahu pesan Tok Imam kepada ahli-ahli persatuan belia dan penduduk kampung yang terlibat dalam gotong-royong mengecat masjid.

          Tak lama kemudian kedengaran azan zuhur yang dilaungkan oleh Bilal Tahir. Selepas menunaikan solat Zuhur secara berjemaah Tok Ketua, Tok Imam, aku, ahli-ahli persatuan belia dan penduduk kampung menikmati makan tengah hari. Hidangan nasi beriani dengan lauk ayam masak merah, dalca dan air sirap bandung. Yang dihantar oleh sebuah restoran dari pekan.

          Pembiayaan jamuan makan tengah hari juga termasuk dalam sumbangan Yang Berhormat Dato' Jamil dan terima kasih diucapkan atas sumbangan yang telah dihulurkan. Bagi membiayai kegiatan persatuan belia bersama dengan penduduk kampung. Moga Allah SWT akan memberkati dan memberikan ganjaran dengan amal kebajikan Yang Berhormat Dato' Jamil berikan demi kesejahteraan dan kemakmuran untuk dinikmati bersama oleh penduduk kampung ini. Doa aku hulurkan kepada Yang Berhormat Dato' Jamil.

          Begitu berselera sekali Tok Ketua, Tok Imam, aku, ahli-ahli persatuan belia dan penduduk kampung menikmati hidangan nasi beriani. Maklumlah bila dah bekerja kuat maka perut pun terasa lapar. Selesai menikmati hidangan tengah hari ahli-ahli persatuan belia termasuk aku dan penduduk kampung menyambung semula kerja-kerja mengecat masjid.

          Tak kelihatan langsung rasa penat dan letih di wajah masing-masing. Baik ahli-ahli persatuan belia mahupun penduduk kampung. Malahan dengan penuh semangat mereka meneruskan kerja-kerja mengecat masjid. Yang bermula sejak dari pagi tadi.

          Cuaca sepanjang hari ini syukur alhamdulillah kelihatan cerah dan baik. Dari pagi sehinggalah ke petang matahari bersinar indah di kaki langit biru. Bersama awan tebal memutih dan cahaya matahari yang panas memijar menyelubungi seluruh kampung yang sentiasa diwarnai dengan penuh ketenangan dan kedamaian.

          Angin berhembus perlahan nyaman membelai pohon-pohon dan daun-daun hijau yang berhampiran dengan masjid. Mujurlah cuaca kelihatan cerah dan tak nampak tanda-tanda hujan akan turun. Kalau tidak sudah pasti kerja-kerja mengecat masjid yang menjadi antara kegiatan utama persatuan belia di kampung ini tidak akan dapat dilaksanakan sepertimana yang telah diaturkan. Sehingga lewat petang barulah ahli-ahli persatuan belia dan penduduk kampung berhenti daripada melakukan kerja-kerja mengecat masjid sebagai kegiatan kemasyarakatan bersama.

          "Dengar cerita kahwin Mizzuan nanti ahli-ahli persatuan belia akan turut membantu," Tok Ketua bersuara. Sewaktu melangkah bersama dengan aku dan Tok Imam menuju ke tempat meletak motosikal yang terdapat di perkarangan masjid.

          "Ya, tok! Saya dan ahli-ahli persatuan belia dah buat mesyuarat untuk pembahagian tugas. Bagi memastikan majlis itu nanti berjalan dengan lancar dan baik. Seminggu sebelum majlis tu berlangsung saya akan buat mesyuarat sekali lagi. Agar ahli-ahli persatuan belia faham dengan tugas masing-masing pada hari majlis tu berlangsung nanti," aku menerangkan pada Tok Ketua.

          "Hah, elok benarlah tu, Rosli. Dalam kita mengadakan majlis macam ni memang perlu ada pembahagian tugas bagi mereka yang terlibat. Barulah berjalan dengan sempurna dan baik," celah Tok Imam.

          "Insya-Allah, Tok Imam!" aku membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Saya dah pun berjanji dengan Pak Long dan Mak Long. Akan memastikan ahli-ahli persatuan belia membantu penduduk kampung menjayakan majlis perkahwinan Mizzuan tu nanti," aku menyambung lagi.

          "Yalah, Rosli. Kau dengan Mizzuan bukan orang lain. Sepupu. Kenalah kau tolong bila dia buat kerja kahwin. Lepas ni kau pulak agaknya," usik Tok Ketua pula dengan tiba-tiba sambil tersenyum kecil memandang wajah aku.

          "Tok ni sampai begitu sekali perginya. Jangan samakan saya dengan Mizzuan. Dia berjaya dalam hidup. Memang dah boleh dia kahwin. Lainlah macam saya ni tak nampak apa pun yang boleh dikatakan hidup dilimpahi dengan kejayaan," jawabku.

          "Dalam soal mendirikan rumah tangga ni Rosli bukannya perlu berjaya atau tidak dalam hidup. Kalau dah berkenan dan sampai jodoh namanya hah kahwinlah. Seperti yang ditekankan dalam ajaran agama supaya hidup berpasangan," ujar Tok Ketua.

          "Memang benar kata Tok Ketua tu, Rosli. Perkahwinan itu adalah perkongsian hidup antara seorang lelaki dengan seorang wanita mengikut cara yang telah dihalalkan oleh Islam. Bila ada kemampuan maka amat digalakkan seseorang lelaki itu menikahi perempuan yang dikasihinya," kata Tok Imam pula sebaliknya.

          "Bukan saya tak fikirkan semua tu, Tok Ketua, Tok Imam. Mak pun suruh saya kahwin. Tapi biarlah saya mencapai cita-cita untuk berjaya dalam hidup ni dulu. Bila dah dapat apa yang saya hajati nanti insya-Allah saya akan kahwin. Saya juga sering memohon pada Allah SWT moga ditemukan dengan isteri yang solehah dan berpegang teguh pada ajaran agama. Macam yang ditekankan dalam Islam seperti yang dikatakan oleh Tok Ketua tadi agar hidup yang dikongsi bersama berkekalan dengan kebahagiaan selamanya," jelas aku. Dengan silih berganti memandang muka Tok Ketua dan Tok Imam yang berdiri berhadapan dengan aku.

          "Mudah-mudahan Allah SWT akan memakbulkan doa kau, Rosli." Tok Ketua menepuk-nepuk lembut bahu aku. Macam seorang ayah dengan anaknya.

          "Terima kasih, tok! Semoga dengan berkat doa tok segala yang saya hajati dalam hidup ini akan direstui oleh Tuhan jua hendaknya," aku membalas.

          "Dahlah tu. Hari dah semakin nak masuk lewat petang. Marilah kita pulang. Malam nanti kita nak datang balik sembahyang Maghrib berjemaah," Tok Imam berkata.

          Tok Ketua, Tok Imam dan aku lalu menghidupkan enjin motosikal. Matahari yang tadinya meninggi kelihatan perlahan-lahan terbenam di kaki langit dan bertukar warna kuning seperti kulit buah pinang masak. Tanpa disedari waktu begitu pantas sekali datang dan pergi. Rasanya subuh baru saja menjelma kemudian berganti pula dengan pagi. Seterusnya tengah hari, petang dan kini sudah hampir memasuki senja. Berikutnya datang pula malam dan esok hari baru akan bermula dalam hidup ini.

          Apabila tiba hari baru setelah semalam yang kita lewati terpaksa ditinggalkan sama ada suka atau tidak maka kita harus meneruskan kehidupan dengan apa yang telah dirancang dan berusaha dengan lebih keras demi mencapai kejayaan selama kita merentasi perjalanan hidup ini. Walaupun aku dan ahli-ahli persatuan belia sibuk mengusahakan kebun sayur dan kegiatan kemasyarakatan yang lain di kampung ini namun seperti biasa aku tetap menoreh getah di kebun Pak Rahman. Pernah juga Pak Rahman menyatakan kebimbangan aku tidak mahu menoreh getah di kebunnya lagi. Maklumlah harga getah sekarang telah turun tetapi aku memberikan jawapan pada Pak Rahman tetap akan menoreh getah di kebunnya. Selagi dia tidak menebang kesemua pokok getah di kebunnya itu atau menjualkannya kepada orang lain.

          Nyata Pak Rahman berasa gembira dengan jawapan yang telah aku berikan itu. Memang dia mengharapkan aku terus menoreh di kebun getahnya. Dengan duit hasil daripada menoreh getah di kebunnya itulah yang menampung kehidupan Pak Rahman yang tinggal berdua saja dengan isterinya.

          "Rosli masih lagi menoreh getah di kebun Pak Rahman tu?" tanya ibu apabila melihat aku bersiap macam biasa selepas menunaikan solat Subuh.

          "Ya, mak!" aku sebaliknya menjawab pertanyaan ibu dengan mengangguk-anggukkan kepala sambil memandang wajahnya.

          "Ingatkan Rosli dah berhenti daripada menoreh getah di kebun Pak Rahman. Maklumlah kebun sayur yang Rosli usahakan bersama dengan ahli-ahli persatuan belia di kampung ni dah menjadi," ulang ibu.

          "Sebenarnya Rosli nak tolong Pak Rahman tu. Dia dah tua. Manalah larat nak menoreh getah. Lagipun Rosli tak boleh lupa jasa Pak Rahman yang mengupah untuk menoreh getah di kebunnya itu. Melalui duit menoreh getah di kebun dialah kita hidup selama ni," ucapku.

          "Baguslah macam tu, Rosli. Sekurang-kurangnya kita ingat dan tak boleh melupakan orang yang menolong kita. Rosli teruslah menoreh getah di kebun Pak Rahman tu. Selagi mana yang dia perlukan," sokong ibu.
          "Insya-Allah, mak. Rosli akan sentiasa ingat pesan mak tu dan terus bekerja menoreh getah di kebun Pak Rahman. Biarpun satu hari nanti jika ada rezeki dari Tuhan hidup yang kita lalui pada hari ini bertukar menjadi senang," aku berjanji pada ibu.

          "Alhamdulillah!" sambut ibu pula sebaliknya dengan rasa penuh gembira apabila mendengar kata-kata aku itu.

          "Ni mak ada bekal buat Rosli." Ibu menghulurkan bungkusan plastik yang berisi makanan dan minuman kepada aku. Rasanya masih panas lagi. Biarpun tidak kleihatan asap nipis kerana ditutup.

          "Apa ni, mak?" aku menyoal sambil cepat menyambut bungkusan plastik yang dihulurkan oleh ibu itu.

          "Air teh dengan goreng pisang," ibu membalas.

          "Terima kasih, mak. Sebelum saya terlupa. Nanti Abang Osman datang. Mak suruh dia ambil guni bawah rumah tu. Saya dah isi dengan cili api, ubi kayu, pucuk ubi, serai, keladi dan pisang. Dia nak jual besok di pasar tani. Duitnya nanti mak ambillah," aku berpesan pada ibu.

          "Baiklah, Rosli!" Ibu mengangguk dengan pantas.

          "Saya pergi dulu, mak," aku bersuara sambil melangkah keluar dari rumah dengan menghidupkan enjin motosikal menuju ke kebun getah Pak Rahman.

          "Yalah!" sahut ibu yang tercegat berdiri di muka pintu sambil melihat aku berlalu pergi meninggalkan halaman rumah.

          Dalam pada itu seperti yang dikatakan oleh ibu sayur-sayuran yang ditanam seperti sawi, bayam, bendi, terung, kacang panjang, timun, cili besar dan lain-lain lagi hidup dengan subur dan sudah boleh dipetik. Ramai peniaga-peniaga dari bandar termasuk Abang Osman membeli sayur-sayuran. Mereka membeli dalam jumlah yang besar. Hasil daripada keuntungan yang diperolehi diagihkan sama rata kepada ahli-ahli persatuan belia. Selebihnya dimasukkan ke dalam tabung persatuan. Untuk menampung program dan aktiviti yang lain.

          Manakala aku pula menyimpan duit hasil daripada jualan sayur-sayuran demi masa depan. Bak kata orang sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Sebahagian daripada duit itu juga aku simpan untuk ibu. Kalau diizinkan Tuhan aku bercadang untuk menghantar dia ke Makkah bagi menunaikan fardhu haji.

          Aku turut menasihatkan ahli-ahli persatuan belia agar tidak boros berbelanja hasil daripada wang yang diperolehi setelah bekerja keras dan mengerah kudrat tenaga muda untuk mengusahakan projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar. Berbelanja mengikut keperluan dan jangan lupa menabung demi jaminan masa depan. Perlu mengamalkan perbelanjaan berhemah dan berjimat cermat sentiasa. Hindari pembaziran seperti yang ditegah dalam agama di mana ia adalah perbuatan syaitan.

          Nasihat ini aku tujukan bukan sahaja kepada ahli-ahli persatuan belia malahan juga kepada diri aku sendiri sebagai pengerusi yang telah dilantik oleh mereka. Memang kita akan rambang mata apabila tiba-tiba dapat duit yang banyak. Menjadikan kita mudah lupa dengan melakukan pembaziran yang tidak mendatangkan manfaat tetapi sebaliknya adalah kerugian.

          Bagi aku Tuhan akan sentiasa menguji hambanya yang hidup di atas dunia dalam pelbagai rupa dan bentuk. Termasuk diberikan kemewahan dengan wang yang banyak. Melimpah-limpah tanpa hentinya macam air sungai yang mengalir. Untuk melihat sejauhmana keimanan yang kita miliki sama ada berasa syukur atau tidak.

          Apabila teringatkan semua itu maka benar-benar menerbitkan rasa keinsafan yang mendalam dan ketakutan dalam diri aku. Kerana Tuhan adalah berkuasa di atas segalanya dalam memberikan kesenangan dan kemewahan hidup kepada kita sebagai manusia. Boleh mengambil semula kenikmatan yang diberikan andainya kita lupa dan lalai. Sehingga tidak ingat pada Tuhan yang menjadikan manusia dan alam semesta ini. Bergelumang dengan dosa dan lembah maksiat yang tidak sepatutnya kita lakukan hasil daripada duit titik peluh kita sendiri.
         
          Semoga Tuhan akan melindungi dan menghindari aku dan ahli-ahli persatuan belia daripada menjadi golongan yang suka membuat pembaziran dan sentiasa mensyukuri akan nikmat yang telah dikurniakan. Sesungguhnya dengan bersyukur nikmat yang telah diperolehi akan berlipat kali ganda. Tetapi apabila ada sifat kufur dan riak dengan nikmat yang telah diberikan oleh Tuhan maka menjurus kepada jalan kemungkaran dan mendapat kesusahan hidup. Doa aku pohon agar Tuhan menjadikan aku dan ahli-ahli persatuan belia selalu bersyukur dengan apa yang dimiliki dan menggunakan rezeki yang telah dikurniakan ke arah jalan kebaikan supaya hidup sejahtera dan diberkati.

          "Assalamualaikum!" Kedengaran suara orang memberi salam.

          "Waalaikumsalam!" Aku dan Arshad lantas menjawab salam yang dihulurkan itu. Ketika salam itu diberi aku dan Arshad sedang berbincang di pondok mengenai penjagaan sayur-sayuran sepertimana yang telah ditetapkan oleh jabatan pertanian. Lantas aku tertanya-tanya siapa yang datang. Pertanyaan itu lalu terjawab dengan munculnya Abang Osman yang menuju ke arah aku dan Arshad yang sedang duduk berbincang di pondok kebun sayur.

          "Hah, Abang Osman! Apa khabar?" aku lalu menyapa.

          "Alhamdulillah, baik!" Abang Osman membalas. Dengan mengangguk-anggukkan kepala dan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan aku dan Arshad.

          "Baiklah, bang. Saya nak tengok sayur-sayur yang dah boleh dipetik. Besok ada peniaga yang dah janji nak datang ambil," pinta Arshad.

          "Yalah, Arshad! Pergilah selesaikan apa-apa kerja yang patut," ujarku pula sebaliknya.

          "Abang Osman berbuallah dengan Abang Rosli. Banyak kerja saya yang belum selesai lagi. Bukan setakat nak tengok sayur-sayur yang boleh dipetik saja," jelas Arshad.

          "Eloklah tu, Arshad. Kerja bertangguh ni tak bagus. Nanti datang pulak kerja yang baru susah jadinya. Hah, selesaikanlah kerja-kerja yang belum siap tu," kata Abang Osman pada Arshad.

          "Saya minta diri dulu Bang Osman, Bang Rosli!" mohon Arshad dengan penuh sopan sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Yalah!" anggukku dengan cepat dan memerhatikan Arshad meninggalkan pondok dan melangkah ke kebun sayur.

          "Abang Osman dari mana ni?" soalku sambil memandang dia yang sedang duduk bersila di atas lantai kayu yang beralaskan dengan tikar mengkuang.

          "Dari bandar. Singgah sini nak jumpa dengan kau," terang Abang Osman.

          "Ada hal mustahak ke, bang?" tanyaku lagi.

          "Begini, Rosli. Abang dapat gerai menjual sayur," jelas Abang Osman padaku.

          "Di mana tu, bang?" aku menyoal dengan penuh minat.

          "Pasar yang baru dibina di bandar. Tadi abang pergi tengok gerai tu. Besar jugak. Jadi abang nak beli sayur-sayur dari kebun kau dalam jumlah yang banyak. Maklumlah dulu berniaga kecil-kecilan aje di pasar tani. Sebab itulah abang beli sedikit aje sayur-sayur kau. Modal tak banyak. Berapa sangatlah untung dapat. Lepas tolak harga beli sayur-sayur kau tu," jawab Abang Osman dengan panjang lebar.

          "Syukur alhamdulillah, bang. Rezeki dapat berniaga sayur di pasar tu. Mudah-mudahan Tuhan kurniakan rezeki abang berlipat kali ganda," aku menambah pula.

          "Terima kasih, Rosli atas doa kau tu. Abang jugak begitu semoga Tuhan terus melimpahi berkat dan rahmat agar hasil kebun sayur yang kau usahakan bersama dengan ahli-ahli persatuan belia di kampung ini terus berkekalan dan sentiasa mengeluarkan hasil yang banyak," ujar Abang Osman.

          "Insya-Allah, bang!" Dengan pantas aku mengangguk-anggukkan kepala dan melihat mukanya yang duduk berhadapan dengan aku. Sekali-sekala terasa hembusan angin yang datang dari arah bukit berhampiran dengan kebun sayur. Nyaman dan dingin. Jelas terasa menyapu permukaan kulit. Sayur-sayur yang tumbuh subur meliuk-liuk. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Mengikut rentak tiupan angin.

          "Saya akan pastikan anak-anak muda di kampung ini akan sentiasa tertanam di jiwa mereka rasa cinta dan semangat untuk terus mempertahankan warisan bertani. Yang setelah sekian lama dipusakai oleh datuk nenek moyang mereka dulu. Walaupun dunia yang mereka lalui pada hari ini semakin banyak berubah. Berbanding dengan dunia yang diwarisi oleh datuk nenek moyang mereka," janjiku.

BAB 24

          Kata orang ikan di laut asam di darat. Dalam periuk bertemu juga. Kalau dah jodoh tak ke mana. Akhirnya hari yang ditunggu-tunggu selama ini oleh Mizzuan dan pasangannya tiba. Setelah sekian lama memadu kasih.

          Perkahwinan bermaksud menempuh kehidupan yang baru. Bagi seorang lelaki dan seorang perempuan setelah disatukan sebagai suami dan isteri. Dahulu hidup seorang tapi sekarang dah berdua.

          Dalam Islam setelah seseorang lelaki itu selamat diijabkabulkan dengan pasangannya maka tanggungjawabnya adalah berat. Sebagai ketua keluarga yang memimpin bahtera rumah tangga. Bukan sekadar perkongsian hidup sahaja. Malahan untuk mendapatkan zuriat. Agar terus berkembang generasi seterusnya.

          Doa aku munajatkan pada Tuhan semoga Mizzuan dan isterinya hidup bahagia selama-lamanya sehingga ke anak cucu. Sepertimana yang diidamkan oleh setiap pasangan pengantin apabila memasuki gerbang perkahwinan.

          Wajah Mizzuan dan pasangannya nampak sungguh indah dan berseri-seri. Umpama pinang dibelah dua. Sama cantik dan sama padan. Bila bersanding di pelamin damai. Sambil dikelilingi oleh kaum keluarga dan rakan-rakan. Ditaburi beras kunyit dan bunga rampai juga dicicah inai. Adat yang sekian lama telah dipusakai sejak zaman-berzaman tidak dilupakan.

          Rasa keriangan jelas kelihatan di wajah Pak Long dan Mak Long. Tak cukup dengan itu dua ekor lembu ditumbangkan. Untuk dijamu kepada tetamu yang datang. Berduyun-duyun tanpa hentinya. Maklumlah sulung menantulah katakan. Tahun depan jika diizinkan Tuhan menimang cucu pula. Bertambah bahagialah hidup Pak Long dan Mak Long sekeluarga.

          Seperti yang telah dijanjikan aku dan ahli-ahli persatuan belia bersama dengan orang-orang kampung yang lain sibuk menguruskan majlis perkahwinan Mizzuan. Yang berlangsung pada hari ini. Semangat permuafakatan antara penduduk kampung dengan ahli-ahli persatuan belia yang berakar umbi sejak melaksanakan kegiatan kemasyarakatan semakin mengggembirakan aku. Sebagai pengerusi yang dilantik dan diamanahkan untuk memimpin persatuan belia di kampung ini.

          Begitu juga dengan Tok Ketua. Selaku tampuk utama di kampung ini rasa kegembiraan nampak di wajahnya yang tua itu. Melihat anak-anak buahnya tanpa mengira daripada golongan lama dan baru sama-sama berganding tenaga dan bekerjasama. Dalam menjayakan majlis seumapama ini tanpa mengira penat dan lelah.

          Hidup dalam semangat yang sentiasa tolong-menolong memang dituntut dalam agama. Begitu juga dengan kehidupan bermasyarakat. Barulah umat menjadi kuat dan teguh tanpa dapat dimusnahkan oleh musuh yang mahu membinasakan agama yang menjadi pegangan kita selama ini.

          Semoga Tuhan akan terus merahmati dan memberkati semangat perpaduan ukhwah yang terjalin erat antara penduduk kampung ini dengan ahli-ahli persatuan belia. Hendaknya berkekalan sentiasa. Supaya segala usaha yang dilakukan di kampung ini dapat mencapai kejayaan bersama. Juga berharap sebarang masalah yang dihadapi dapat diselesaikan tanpa lahir perpecahan yang seharusnya dihindari. Sepertimana yang ditegah dan dilarang keras dalam agama. Demikianlah doa yang aku pohon.

          Bermula dengan mendirikan khemah, memasak, menghidangkan makanan dan lain-lain lagi semuanya berjalan dengan lancar dan sempurna dilakukan bersama oleh aku, ahli-ahli persatuan belia dan penduduk kampung. Ibu dan Maizah turut membantu penduduk kampung dan ahli-ahli persatuan belia menyiang daging dan memotong ayam serta menyediakan ramuan masakan.

          Pembahagian tugas yang telah ditentukan kepada ahli-ahli persatuan belia dalam majlis perkahwinan Mizzuan sepertimana yang diputuskan dalam mesyuarat seminggu sebelum ia berlangsung dapat dilaksanakan dengan baik oleh mereka. Tambah pula dibantu oleh penduduk kampung. Maka bersesuaian dengan kata-kata yang sering kita dengar bila wujud semangat muafakat yang teguh dan padu maka mudahlah kerja yang berat menjadi ringan.

          Ahli-ahli persatuan belia dan penduduk kampung bukan sekadar bekerja pada permulaan majlis perkahwinan Mizzuan malahan juga mengemaskan pinggan mangkuk dan menurunkan khemah sebaik-baik sahaja selesai. Pak Long dan Mak Long berasa sungguh gembira sekali apabila ahli-ahli persatuan belia dan penduduk kampung bekerja keras membantu menjayakan majlis perkahwinan anak lelaki mereka. Yang diadakan buat pertama kalinya. Kenduri kahwin tak sama dengan kenduri-kenduri yang lain. Jemputannya ramai ada saudara-mara dan kenalan yang datang jauh. Bukan sekadar jiran sekampung. Jadi kenalah dipastikan mereka mendapat layanan yang baik dan makanan dan minuman yang dihidangkan secukupnya.

          Apa yang diharapkan oleh Pak Long dan Mak Long sebagai tuan rumah tidak dihampakan dan dapat ditunaikan oleh ahli-ahli persatuan belia dan penduduk kampung yang menjadi penggerak utama dalam majlis ini. Dari raut wajah tetamu yang hadir jelas kelihatan rasa gembira dan puashati dengan layanan yang diberikan baik oleh ahli-ahli persatuan belia mahupun penduduk kampung. Baik dari segi sambutan, tempat duduk dan jamuan. Bukan sahaja Pak Long dan Mak Long berasa lega begitu juga dengan aku selaku pengerusi persatuan belia yang telah membuat pembahagian tugas untuk dilaksanakan oleh ahli-ahli. Sebagaimana yang telah dirancang dalam majlis perkahwinan Mizzuan ini.

          "Syukur alhamdulillah. Dah langsung perkahwinan Mizzuan. Barulah dapat berehat. Sejak dari tengah hari sampai ke petang ni tak henti-henti orang datang. Saudara-mara dan kawan-kawan Mizzuan. Rasa penat badan ni tak boleh nak cakap," kata Pak Long yang memakai baju Melayu lengkap dengan bersongkok dan bersampin. Setelah semua tetamu jemputan pulang. Tinggallah ahli-ahli persatuan belia dan beberapa orang penduduk kampung yang masih lagi berada di rumahnya. Untuk membantu mengemaskan peralatan yang digunakan semasa majlis perkahwinan anak lelakinya.

          "Biasalah, Pak Long. Namanya pun kenduri perkahwinan. Dah tentulah besar. Lagipun inilah buat pertama kalinya Pak Long dan Mak Long menerima menantu," balasku pula sebaliknya.

          "Memang Mak Long setuju sekali dengan apa yang kau cakapkan tu, Rosli!" Dengan pantas Mak Long mencelah. Sambil mengangguk-anggukkan kepala dan memandang wajah aku.

          "Dah banyak Mak Long pergi majlis perkahwinan. Kalau sulung menantu namanya beginilah keadaannya. Tak putus-putus tetamu yang diundang datang. Ada tu sampai ke malam," tambah Mak Long lagi.

          "Sebenarnya aku risau masa majlis tadi berlangsung. Tak tenteram dibuat rasanya hati ini," luah Pak Long.

          "Kenapa pulak risau, Abang Long? Kan semuanya dah selamat dan selesai. Mizzuan dan tunangnya dah pun sah bergelar suami isteri. Apa nak difikirkan lagi, Abang Long?" ibu menyampuk dengan tiba-tiba.

          "Betul tu, Siah! Apa yang aku risaukan jemput tetamu ramai. Mungkin ada yang datang jauh dan dari luar kampung ni. Semata-mata untuk meraikan majlis perkahwinan Mizzuan. Tak dapat layanan baik dan memuaskan. Terutama sekali dari segi makan tak cukup. Maklumlah orang datang tak dapat ditahan. Buatnya mereka balik sebab tak dapat makan dan jadi buah mulut pada orang lain kerana rasa tak puashati. Kan malu namanya tu. Yang terpaksa aku tanggung," jelas Pak Long pada ibu. Dengan panjang lebar.

          Sekali-sekala perbualan rancak antara Pak Long, Mak Long, ibu dan aku dikejutkan dengan suara angina yang mendayu-dayu dari arah luar. Syukur alhamdulillah juga cuaca sepanjang hari ini kelihatan cerah. Majlis perkahwinan Mizzuan yang setelah sekian lama dirancang oleh keluarganya berjalan dengan sempurna dan baik.

          Bayangkanlah dibuatnya hujan semasa majlis berlangsung. Mungkin boleh terjejas sedikit kehadiran tetamu jemputan dan perjalanan majlis yang telah dirancang. Sedangkan hujan atau panas bukan kehendak kita sebagai manusia untuk menentukannya. Tapi semuanya datang dari Tuhan.

          Sebagai manusia jangan sesekali kita merungut mahupun mengeluh andainya ditakdirkan hujan turun sewaktu mengadakan majlis perkahwinan. Kita harus menerima apa jua keadaan cuaca pada ketika itu. Panas dan hujan adalah rahmat yang diturunkan oleh Tuhan kepada kita semasa mengadakan majlis seumpama ini. Harus diterima dengan rasa kesyukuran yang tak terhingga. Sebagai antara kenikmatan hidup untuk dirasai dalam dunia ini. Selain daripada kesenangan dan kemewahan.

          Bagi memastikan perjalanan majlis perkahwinan Mizzuan tidak terjejas sekiranya hujan turun maka aku dan ahli-ahli persatuan belia telah mengatur rancangan khas untuk menanganinya. Namun begitu rancangan itu hanya menjadi simpanan saja apabila hujan tidak turun. Sebaliknya rancangan yang telah diatur sepenuhnya digunakan semasa berlangsungnya hari yang penuh bersejarah dalam hidup Mizzuan dan isterinya bergelar raja sehari.

          Keluarga sebelah pengantin perempuan pun ramai yang datang dari Kuala Lumpur. Untuk memeriahkan lagi majlis sebelah pengantin lelaki. Terima kasih diucapkan kepada mereka. Di atas kesudian mereka datang ke kampung ini. Dengan mengambil kesempatan melalui majlis perkahwinan Mizzuan. Setelah majlis di rumah pengantin perempuan diadakan pada minggu lepas.

          "Pak Long tak usah bimbang. Alhamdulillah. Seperti yang telah saya janjikan ahli-ahli persatuan belia dan penduduk kampung telah menjalankan tugas masing-masing dengan baik dan teratur. Perjalanan majlis Pak Long berjalan dengan cantik. Dari semua segi sebelum bermula sehinggalah ke penamatnya," terang aku.

          "Terima kasihlah pada kau Rosli, ahli-ahli persatuan belia dan penduduk kampung kerana telah menghulurkan tenaga dan bantuan untuk melaksanakan majlis perkahwinan Mizzuan. Tanpa bantuan kau orang semua susah juga jadinya," Pak Long membalas.

          "Itulah abang hah dulu tak percaya ahli-ahli persatuan belia boleh membantu orang-orang kampung dalam kenduri kahwin anak kita. Sekarang abang tengok sendiri dia oranglah yang bekerja keras dan bertungkus-lumus menolong kita. Yang dipimpin oleh Rosli selaku pengerusi persatuan belia di kampung ni. Anak buah kita sendiri. Tulah bang lain kali  jangan merendah-rendahkan kebolehan orang lain. Dengan menganggap diri tu bagus sangat. Hah, sekarang siapa yang malu!" tegur Mak Long. Diluahkannya habis-habis. Mungkin kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh suaminya sebelum ini.

          "Dahlah tu, Mak Long. Tak usahlah diungkit-ungkit lagi. Yang penting semuanya dah selesai dan selamat. Majlis berjalan dengan teratur dan sempurna. Sepertimana yang telah kita rancang bersama," ucapku.

          "Betul apa yang Rosli cakapkan tu, Abang Long!" angguk ibu pula sebaliknya. Sambil memandang muka Pak Long yang sama dimamah tua dengan usianya.

          "Sebagai adik-beradik kita kenalah tolong-menolong bila buat majlis macam ni. Tak bolehlah kita serah sepenuhnya pada orang-orang kampung dan ahli-ahli persatuan belia. Jadi saya dengan Rosli macam tuan rumah jugaklah. Tapi tak bolehlah lebih sangat daripada Abang Long. Nanti dikata orang pulaklah lebih sudu daripada kuah," usik ibu pula sebaliknya sambil tersenyum kecil. Boleh jadi dia mahu memadamkan rasa kesal yang jelas nampak di wajah Pak Long. Apabila mendengar kata-kata yang diluahkan oleh isterinya itu.

          "Aku bukannya apa, Siah. Sebenarnya aku rasa malu pada Rosli …." Pak Long mengeluarkan bunyi suara yang perlahan.

          "Malu apa pulak, Pak Long?" Aku berasa terperanjat dengan apa yang diperkatakan oleh Pak Long itu. Sambil mengangkat kepala tinggi sedikit memandang mukanya.

          "Barulah aku sedar apa yang kau buat selama ni memang besar manfaat dan faedahnya pada kampung ni. Tadi besan aku dari Kuala Lumpur tu tanya pasal kebun sayur yang kau usahakan dengan ahli-ahli persatuan belia. Dia tahu ni dari Mizzuan dan lihat sendiri waktu dalam perjalanan ke rumah ni. Kau tahu tak dia benar-benar kagum dan puji projek ni yang lahir dari buah fikiran dan berjaya mengajak anak-anak muda menyertainya. Bagi dia apa yang kau lakukan ini sewajarnyalah dicontohi oleh anak-anak muda yang lain," luah Pak Long. Dalam suasana hari yang beransur-ansur memasuki lewat petang. Bersama dengan ketenangan dan kedamaian yang mewarnai seluruh desa dan bumi yang bertuah ciptaan Tuhan. Tempat aku dan ahli-ahli persatuan belia mengerah kudrat muda demi kejayaan dan kemakmuran bersama penduduk kampung. Yang setelah sekian lama hidup dalam masyarakat yang bersatu padu dan saling bermuafakat dalam apa jua yang dilakukan.

          "Pak Long …. Semua yang saya lakukan semata-mata demi kebaikan bersama di kampung ni. Saya tak minta pujian atau untuk mendapat nama. Macam setengah orang apabila melakukan sesuatu. Tak kiralah besar mahupun kecil. Bukankah itu riak atau menunjuk-nunjuk namanya tu. Sifat yang tidak disukai oleh Tuhan. Untuk kita melakukannya. Sedangkan apa jua yang kita usahakan dalam mengharungi perjalanan hidup di dunia ini hendaklah ikhlas dan menganggapnya sebagai ibadah semata-mata …," aku berkata dengan lembut pada Pak Long. Yang duduk berhadapan dengan aku. Di atas kerusi di ruang tamu rumahnya. Aku juga sempat mencuri pandang di luar. Kelihatan ahli-ahli persatuan belia dan penduduk kampung yang masih lagi berada di rumah Pak Long sibuk mengemaskan peralatan yang telah digunakan. Setelah majlis perkahwinan anaknya selesai. Keriuhan suara mereka jelas kedengaran. Memecahkan suasana di halaman rumah Pak Long pada petang ini.

          "Yalah! Memang betullah seperti yang dicakapkan oleh Mak Long kau tadi …!" Pak Long terhenti seketika sambil menarik nafas yang panjang.

          "Selama ni aku sentiasa merendah-rendahkan kebolehan kau dan menganggap apa yang kau lakukan untuk kampung ini adalah sia-sia dan tak berhasil. Menganggap Mizzuan yang bekerja di bandar besar Kuala Lumpur tu dengan gaji yang mewah lebih berjaya. Jika nak dibandingkan dengan kau yang hanya kerja kampung. Tapi hari ni kau dapat buktikan dengan tenaga muda kau dan berjaya membentuk diri anak-anak muda di kampung ini melakukan kerja-kerja yang berfaedah dan mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik yang mudah menyerang mereka dan apabila mereka masuk persatuan belia yang kau hidupkan kembali dapat membentuk keperibadian tinggi dan semangat bekerja dalam diri mereka. Demi kemajuan kampung ni. Aku benar-benar bangga mempunyai anak buah seperti kau, Rosli. Apa yang telah kau lakukan bersama dengan ahli-ahli persatuan belia benar-benar telah membawa perubahan pada kampung ni dan mendapat pujian daripada orang-orang kampung. Rosli …. Aku minta maaf kalau kau berasa hati dengan sikap aku selama ini." Pak Long mengeluarkan kata-kata yang penuh dengan penyesalan. Terharu dan tersentuh juga hati aku apabila mendengarnya.

          "Sudahlah tu, Pak Long. Saya tak pernah ambil hati dengan sikap Pak Long terhadap saya selama ini. Pak Long tak ada buat salah dengan saya. Tak perlu minta maaf. Bagi saya memang patut Pak Long menegur dan mengingatkan saya dalam melakukan sesuatu sehingga mencapai kejayaan yang diidamkan jangan mudah lupa diri dan terus berusaha dengan gigih. Kerana rintangan dan cabaran tak pernah terhenti dan banyak lagi yang menunggu di hadapan. Yang harus saya tempuhi dan harungi. Dalam usia muda sebegini banyak lagi yang harus saya pelajari dan tidak boleh mudah berasa puashati dengan kejayaan yang telah diperolehi." Aku sebaliknya sengaja memberikan jawapan begitu. Untuk menenangkan hati bapa saudara aku itu. Supaya tidak berterusan berasa pilu dan sayu dengan penyesalan di atas sikap yang telah ditunjukkannya kepada aku selama ini.

          "Benar tu, Abang Long!" Ibu pula mencelah dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Tak ada salah yang Abang Long dah buat pada Rosli. Lagipun saya selalu pesan pada Rosli agar ingat sentiasa apa yang Abang Long tegur dan jadikan ia sebagai semangat daripada seorang ayah kepada anaknya demi kebaikan dan untuk mencapai kejayaan yang dihajati dalam hidup ini," sambung ibu lagi.

          "Aku pun dah anggap Rosli ni macam anak aku sendiri, Siah. Walaupun aku ada anak lelaki dan perempuan. Namanya pun kita ni adik-beradik. Bak kata orang air dicincang tak akan putus. Darah daging kau darah daging aku jugak. Macam mana sekalipun Rosli ni tetap seperti anak aku kerana aku adalah bapa saudaranya," Pak Long bersuara.

          "Yalah, Abang Long. Sejak dari kecil lagi Rosli tak macam orang lain. Rindukan belaian kasih sayang daripada seorang ayah. Jadi pada Abang Longlah tempat untuk dia mencurahkan segala-galanya," ucap ibu pula sebaliknya. Dengan rasa sedih jelas kelihatan membalut wajahnya yang telah dimamah usia tua itu. Kerana berasa pilu dan sebak apabila mengenangkan aku satu-satunya anak lelaki yang ada dalam hidupnya tanpa dapat bermesra dan bermanja dengan seorang lelaki yang bernama ayah.

          "Aku doakan semoga apa jua yang kau dan ahli-ahli persatuan belia lakukan akan memberikan kebaikan dan kejayaan yang dapat menaikkan nama kampung ni dan seterusnya dicontohi oleh kampung-kampung lain dengan matlamat demi kemajuan agama, bangsa dan negara yang kita cintai," tambah Pak Long dengan penuh impian dan harapan yang menggunung tinggi. Sudah menjadi tanggungjawab aku dan ahli-ahli persatuan belia di kampung ini untuk menunaikannya.

          "Insya-Allah, Pak Long!" Dengan cepat aku mengangguk-anggukkan kepala. Sebab berasa semangat dengan kata-kata perangsang dan dorongan yang telah diberikan oleh Pak Long itu. Agar meneruskan usaha murni untuk memastikan kampung yang menjadi tempat aku dan ahli-ahli persatuan belia dilahirkan dan dibesarkan beroleh kemajuan dan kejayaan seiring dengan hasrat negara yang mahu rakyatnya tanpa mengira di mana jua berada baik di bandar mahupun di desa mencapai pembangunan sepenuhnya.

          "Saya dan ahli-ahli persatuan belia di kampung ni akan bekerja dengan lebih keras dan gigih lagi untuk memastikan apa yang Pak Long dan orang-orang kampung harapkan dapat dipenuhi." Demikianlah janji yang aku berikan pada Pak Long. Yang di wajahnya terlukis sedikit senyuman kecil dan mengangguk-angguk diam. Di raut wajahnya dapat aku baca akan lahir rasa keyakinan yang aku dan ahli-ahli persatuan belia dapat menunaikan impian yang disemainya bersama dengan orang-orang kampung yang sudah memasuki usia tua. Sama dengan Pak Long, Mak Long dan ibu. Di bahu muda akulah dan ahli-ahli persatuan belia harus dipikul amanah itu dan membuktikan kejayaan sepertimana yang diharapkan oleh mereka akan terlaksana. Bukan sekadar janji saja. Tapi perlu dibuktikan dapat melakukannya. Dalam agama itulah sifat mukmin yang sejati apabila dapat mengotakan dan menunaikan janji. Pada Tuhan aku berdoa semoga diberikan sifat yang mulia ini ke dalam diri aku dan ahli-ahli persatuan belia.

          "Syukur alhamdulillah. Abang dah mula sedar dan insaf. Hah, baru Mak Long ingat, Rosli. Banyak kau hantar sayur-sayur untuk kenduri ni. Berapa harganya?" ujar Mak Long. Yang duduk bersebelahan dengan suaminya. Sambil mendongakkan kepala melihat muka aku yang duduk bersebelahan dengan ibu.

          "Ya tak ya jugak. Banyak lagi sayur tu nampaknya. Belum lagi dimasak. Cakaplah berapa harganya, Rosli. Boleh aku bayar sekarang. Takut lama-lama nanti lupa pulak nak bayar duit sayur kau tu," kata Pak Long.

          "Tak apalah Pak Long, Mak Long," aku membalas.

          "Eh, jangan begitu, Rosli. Dengan sayur-sayur tulah yang menjadi sumber rezeki kau dan ahli-ahli persatuan belia di kampung ni. Dahlah bekerja keras untuk majlis perkahwinan sepupu kau ni. Bayaran tak dapat. Beri percuma sayur-sayur yang dia orang tanam. Nanti apa pulak kata mereka," Pak Long mengingatkan aku.

          "Betul kata Pak Long kau tu, Rosli. Takkan kau nak beri percuma sayur-sayur yang banyak tu. Sekurang-kurangnya dapat jugak bayar upah pada ahli-ahli persatuan belia," sokong Pak Long pula.

          "Sebenarnya saya dah berpakat dengan ahli-ahli persatuan belia untuk beri sayur-sayur tu percuma dalam majlis ni. Selain daripada bantuan tenaga. Sayur yang lebih tu Mak Long simpanlah untuk masak. Soal bayaran upah ahli-ahli persatuan belia tak usahlah Pak Long dan Mak Long risaukan. Duit persatuan hasil daripada jualan sayur-sayuran masih banyak lagi dan dapat menampung upah kerja mereka dalam majlis kahwin Mizzuan ni. Lagipun saya faham. Pak Long dan Mak Long dah banyak keluar duit dalam kenduri ni," jelas aku.

          "Terima kasihlah, Rosli. Banyak kau membantu dalam kenduri kahwin Mizzuan," tambah Pak Long.

          "Sama-sama, Pak Long. Macam yang Pak Long dan mak katakan tadi. Bila dah keluarga namanya kita patutlah bantu dengan ikhlas apabila buat majlis perkahwinan macam ni," aku bersuara.

          Rasa kesyukuran yang tak terhingga aku panjatkan ke hadrat Tuhan bersama dengan rasa gembira kerana Pak Long telah berubah. Dapat menerima apa yang aku lakukan selama ini adalah demi kebaikan dan menaikkan nama kampung ini juga. Di samping menjadi teladan untuk diikuti oleh yang lain melalui usaha pertanian dan kegiatan kemasyarakatan yang telah dijalankan oleh anak-anak muda di kampung ini menerusi kegiatan persatuan belia.

          Dengan perubahan diri Pak Long ini sebenarnya telah menjadi pencetus semangat yang membara untuk aku dan ahli-ahli persatuan belia bagi meneruskan perjuangan memperolehi kejayaan yang cemerlang di kampung ini. Terima kasih, Pak Long. Walaupun selama ini Pak Long membangkang dan tidak menyokong dengan apa yang saya lakukan bersama dengan ahli-ahli persatuan belia di kampung ini namun ia ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya di mana telah menambahkan lagi kekuatan dan mengajar erti ketabahan yang sebenarnya dalam mengharungi apa jua rintangan dan cabaran yang mendatang dalam hidup ini sebelum berjaya menggenggam kejayaan yang diimpikan. Hati kecil aku berbisik.

          Pada ahli-ahli persatuan belia aku berharap agar terus setia bersama dengan aku di kampung ini. Meningkatkan lagi usaha dalam pelbagai bidang. Tidak hanya tertumpu pada bidang pertanian dan kemasyarakatan saja. Bagi aku itulah sebenarnya erti kejayaan untuk dinikmati dalam usia muda ini. Harus diingatkan juga dalam diri mereka termasuk aku juga agar sentiasa bersyukur apabila warna-warna kejayaan telah menyinari kehidupan di dunia ini.

          Semoga Tuhan akan menjadikan aku dan ahli-ahli persatuan belia dalam usia muda sebegini sebagai insan yang sentiasa bersyukur dengan kejayaan dan nikmat yang telah dikurniakan. Kita perlu ingat kalau sekarang kita berasa gembira kerana telah senang maka kita jangan lupa suatu ketika dahulu kita pernah menangis kerana kesusahan hidup yang dialami.

          Darinyalah yang sebenarnya telah mengajar kita akan erti kegigihan dan semangat untuk terus berusaha sehingga ke akhirnya untuk menikmati kejayaan sepertimana yang kita perolehi pada hari ini. Apabila sudah berjalan jauh ke depan tak usahlah mendabik dada. Ingatlah itu adalah sifat yang tidak disukai oleh Tuhan. Sebaliknya sentiasalah menoleh ke belakang. Mengimbas kembali liku-liku dan ranjau yang diharungi sebelum berada di puncak kejayaan. Sesungguhnya Tuhan suka akan sifat itu apabila ada dalam diri kita dengan ingat asal usul dan mengetepikan sama sekali rasa megah dan bangga. Nikmat yang berlipat kali ganda akan dikurniakan oleh Tuhan. Insya-Allah!

          Setelah lama berbual dengan Pak Long, Mak Long dan ibu aku kemudiannya memohon diri untuk membantu penduduk kampung dan ahli-ahli persatuan belia mengemaskan peralatan yang digunakan semasa majlis perkahwinan Mizzuan berlangsung. Tidak kelihatan rasa penat dan letih baik di raut wajah penduduk kampung mahupun ahli-ahli persatun belia yang telah bekerja keras sejak dari awal pagi tadi lagi sampai ke lewat petang ini untuk menjayakan majlis yang diadakan di rumah Pak Long. Bagi aku, ahli-ahli persatuan belia dan penduduk kampung kerja-kerja ini adalah satu amanah yang harus ditunaikan sehingga selesai. Memasuki lewat malam barulah kerja-kerja mengemas berakhir di rumah Pak Long. Aku, penduduk kampung dan ahli-ahli persatuan belia yang terlibat dalam majlis ini menerima ucapan terima kasih yang tak terhingga di atas bantuan yang telah diberikan. Sewaktu meninggalkan rumah Pak Long untuk menuju pulang ke rumah masing-masing rasa riang dan gembira yang amat sangat menyelubungi perasaan aku bersama dengan penduduk kampung dan ahli-ahli persatuan belia. Satu lagi kegiatan kemasyarakatan telah berjaya dilaksanakan di kampung ini biarpun dalam majlis perkahwinan saja dan berharap ia berterusan dalam majlis yang lain pula.

BAB 25

          Rezeki hasil daripada jualan sayur-sayuran yang aku usahakan bersama dengan ahli-ahli persatuan belia di kampung ini dari sehari ke sehari semakin bertambah-tambah. Syukur alhamdulillah. Kalimah suci Allah SWT itu sentiasa aku ucapkan bersama dengan ahli-ahli persatuan belia setiap waktu dan ketika. Permintaan sayur-sayuran daripada peniaga-peniaga di bandar sentiasa tinggi. Begitu juga dengan Abang Osman yang telah mula berniaga di pasar baru.

          Tak menang tangan bak kata orang melayan permintaan mereka. Peniaga-peniaga termasuk juga Abang Osman membeli sayur-sayuran dengan tunai tanpa hutang. Bagi aku dan ahli-ahli persatuan belia telah mencapai kata semuafakat menjual sayur-sayuran dengan harga yang berpatutan tanpa mahu mengaut keuntungan yang berlebihan.

          Dalam agama batas untuk mendapatkan keuntungan yang lumayan hasil daripada perniagaan perlu diikuti. Supaya memperolehi keberkatan dan rezeki yang halal daripadanya. Juga jangan dilupakan untuk mengeluarkan zakat hasil daripada keuntungan yang telah diperolehi dalam perniagaan yang telah dijalankan. Seperti yang disyariatkan dalam agama Islam. Untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh golongan yang tidak bernasib baik.

          Sifat tamak haloba dalam mencapai cita-cita dan impian bagi mendapatkan kesenangan dan kemewahan hidup menerusi keuntungan hasil daripada perniagaan hendaklah dihindari. Agama telah mengingatkan kita sebagai penganutnya bahawa hidup yang berkat dan senang adalah datang daripada punca rezeki yang halal. Manakala hidup yang tidak berkat dan mendapat kesusahan sentiasa adalah datangnya daripada punca rezeki yang didapati dengan cara yang haram.

          Moga aku dan ahli-ahli persatuan belia akan dibukakan hati sentiasa oleh Tuhan dengan mendapatkan rezeki melalui cara yang diredhai dan diberkati. Mohon agar dijauhkan daripada sebarang jalan yang tidak direstui dan membawa kepada kemungkaran. Doa yang aku pohon ke hadrat Tuhan Yang Esa.

          Sewaktu hendak melangkah keluar dari rumah untuk pergi ke kebun sayur ibu mengingatkan pesan Maizah yang datang ke rumah petang semalam. Aku tidak berjumpa dengan dia ketika dia datang ke rumah kerana aku seperti biasa berada di kebun sayur. Kata ibu dia pesan sawi, kacang panjang, terung, timun, kangkung, cili besar dan bayam. Nanti petang dia datang ke kebun untuk mengambil sayur-sayur itu.

          Setibanya di kebun aku lalu memetik sayur-sayur yang telah dipesan oleh Maizah dan memasukkannya ke dalam beg plastik. Arshad pula kelihatan sibuk menguruskan sayur-sayur yang diminta oleh peniaga-peniaga dari bandar. Abang Osman dah datang mengambilnya semalam. Khabarnya rezeki Abang Osman sejak meniaga sayur-sayuran di pasar baru di bandar itu semakin bertambah-tambah. Macam hasil jualan sayur-sayuran yang aku usahakan bersama dengan ahli-ahli persatun belia di kampung ini.

          Syukur alhamdulillah aku tujukan kepada Abang Osman. Aku pun tumpang gembira. Apabila mendengar Abang Osman dah berjaya dalam perniagaan sayur-sayur di pasar di bandar itu yang dibelinya daripada kebun yang diusahakan bersama oleh ahli-ahli persatuan belia di kampung ini dan aku. Doa aku semoga Abang Osman terus dimurahkan rezeki oleh Tuhan dan berjaya mendapat keuntungan yang lumayan hasil daripada jualan sayur-sayuran. Begitu juga aku tujukan kepada peniaga-peniaga yang lain. Sekarang Abang Osman dah pakai van besar. Kata dia senang nak angkut sayur-sayuran yang dibeli dalam jumlah yang banyak.

          Ahli-ahli persatuan belia seperti biasa menjalankan kerja-kerja mengikut pembahagian kumpulan yang telah ditetapkan. Semangat kerja berpasukan yang setelah sekian lama tersemai di kalangan mereka sejak mengusahakan projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar benar-benar dihayati dan berakar teguh. Inilah rahsia kejayaan yang dicapai bersama oleh ahli-ahli persatuan belia di kampung ini. Keseronokan bekerja dan menikmati hasil daripada usaha yang dilakukan jelas terpancar di raut wajah ahli-ahli persatuan belia yang masih lagi muda itu. Ibarat sehelai daun hijau yang melekat kuat di ranting pokok.

          Sehingga kini tak pernah aku mendengar keluhan dan rungutan daripada ahli-ahli persatuan belia yang terpaksa mengerah keringat muda di bawah pancaran terik matahari bekerja di kebun sayur. Sebaliknya penuh dengan semangat dalam melakukan kerja-kerja membersihkan pangkal pokok sayur, membubuh baja dan menyiram sayur-sayur yang ditanam begitu juga mengangkat sayur-sayur yang telah dipetik dan dimasukkan ke dalam bekas besar yang kemudiannya dipunggah ke lori-lori milik peniaga-peniaga dari bandar.

          Setiap hari itulah kerja-kerja yang mereka lakukan di kebun sayur ini. Bukan sahaja mereka bekerja dengan penuh semangat malahan juga dengan rasa gembira dan riang. Pantas mengingatkan aku pada suatu ketika dahulu tanah yang kini telah menjadi kebun sayur adalah bekas tanah sawah padi yang subur menguning dan menghijau. Maka dengan pantas di ingatan aku yang masih muda ini terbayang dengan kemeriahan musim menuai padi di mana arwah datuk, arwah nenek dan ibu sama-sama membanting tulang dan tenaga bersama dengan orang-orang kampung untuk mengerjakan tanah yang sungguh subur dan bertuah kurniaan dan anugerah Tuhan di kampung yang sungguh permai dan indah ini. Waktu itu aku masih kecil lagi dengan memerhatikan saja dari pondok mereka bekerja. Adaketikanya di waktu petang aku membuat kerja sekolah di pondok sambil menemani arwah datuk, arwah nenek dan ibu bekerja di sawah.

          Masih lagi aku terbayang akan tiupan angin yang segar dan nyaman membuai-buai padi yang menguning bersama daun dan tangkainya yang menghijau. Belaian tiupan angin yang mengusapi hamparan hijau dan kuning sawah padi adalah pemandangan indah untuk dinikmati dalam kehidupan di desa yang tercinta ini. Bersama dengan iringan suara angin yang tidak menentu adakalanya bertiup lembut dan adaketikanya bertiup kencang menjadikan buah-buah padi yang menguning dan daun-daunnya yang menghijau seperti menari-nari apabila dilihat. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri.

          Memang indah dan cantik apabila melihat tarian buah-buah padi yang menguning dan daun-daunnya yang menghijau. Tambah pula desiran irama buah-buah padi dan dedaunan yang bersentuhan antara satu sama lain apabila ditiup angin sungguh merdu apabila didengar sehingga mengusik jiwa. Andainya pada ketika itu duduk sendirian di pondok sambil memandang hamparan sawah padi yang menguning hijau untuk melepaskan hati yang dilanda duka mahupun kesepian maka apabila mendengar bisikan irama itu ia lalu bertukar menjadi kegembiraan yang sedalam-dalamnya menusuk kalbu.

          Tapi sebagai manusia yang hidup di atas dunia ciptaan Tuhan ini sama ada kita mahu atau tidak harus menerima kenyataan bahawa setiap keindahan yang kita miliki apabila tiba ketikanya pada satu hari nanti ia akan tinggal menjadi kenangan saja untuk diingati buat selama-lamanya. Demikian jugalah dengan tanah tempat aku dan ahli-ahli persatuan belia di kampung ini mengusahakan projek tanaman semula sayur-sayuran. Setelah tidak lama kedengaran suara keriuhan bercampur nada kegembiraan generasi terdahulu mengerjakan sawah padi kini telah bertukar kepada ketawa riang pewaris generasi hari ini menggantikan tempat mereka dengan bekerja di kebun sayur yang subur menghijau dan memberikan pulangan yang lumayan.

          Perjuangan warisan bertani generasi terdahulu tidak pernah putus dan padam di kampung ini. Alangkah bangganya mereka sekiranya ditakdirkan masih lagi dapat bersama-sama dengan cucu-cicit yang lahir pada hari ini terus berjuang mempertahankan warisan bertani demi mengecapi kemakmuran dan kesejahteraan tanah yang sentiasa mengeluarkan budi untuk dinikmati bersama oleh rakyat dalam sebuah negara yang sejak lepas merdeka hidup dengan penuh aman dan damai. Bagi generasi terdahulu yang masih lagi diberikan kesempatan oleh Tuhan untuk bersama-sama dengan generasi hari ini biarpun kudrat dan tenaga tak mampu disumbangkan kerana batas usia namun boleh tersenyum gembira apabila melihat baik cucu mahupun cicit terus berjuang menggantikan tempat mereka. Kalau begini caranya aku yakin warisan bertani yang setelah sekian lama menjadi budaya kehidupan di kampung ini akan terus bertahan kukuh dan diwarisi oleh generasi seterusnya.

          Namun begitu bukanlah maksud aku menidakkan kecemerlangan anak-anak yang masih lagi di bangku sekolah di kampung ini dalam bidang pelajaran. Aku juga berdoa moga akan lahir golongan cerdik pandai dari kampung ini dan seterusnya menyumbangkan tenaga dan bakti terhadap pembangunan dan kemajuan negara. Sekurang-kurangnya mereka menghargai dan tidak melupakan warisan bertani yang sentiasa segar dan subur di persekitaran hidup mereka sejak dari masih kecil lagi sehinggalah ke dewasa dan dapat menjejakkan kaki di puncak menara gading.

          Sedang aku asyik bekerja di kebun sayur dengan tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi suara wanita memberi salam. Aku cukup kenal dengan suara yang datang dari arah belakang itu. Lebih-lebih lagi aku biasa mendengarnya. Pantas aku berhenti daripada bekerja dan menoleh ke belakang. Seperti yang diberitahu oleh ibu Maizah datang untuk mengambil sayur-sayur yang telah dipesannya.

          Salam yang dihulurkan oleh Maizah segera aku jawab sambil lengan kananku mengesat peluh yang mengalir di dahi. Melihat saja Maizah perlahan-lahan mengatur langkah menghampiri aku lalu senyuman kecil aku ukirkan buat wajahnya yang sentiasa jelita dan ayu itu. Dia juga membalas senyuman itu.

          "Saya dah petik sayur-sayur yang Maizah minta tu," aku berkata. Sebaik-baik sahaja Maizah berhenti dan berdiri memandang wajah aku.

          "Terima kasih, Rosli. Saya datang ni nak ambil sayur-sayur yang diusahakan oleh seorang petani muda yang hebat di kampung ni," Maizah sebaliknya menjawab dengan bergurau dan ketawa.

          "Maizah ni …!" aku menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum.

          "Asal jumpa saya mesti nak mengusik," sambungku lagi.

          "Usik-mengusik tu kata orang kan ke membawa bahagia. Lagipun hidup ni mesti selalu gembira. Barulah diri nampak muda selalu," tambah Maizah.

          "Betul tu hai maklumlah cikgu katakan. Tinggi ilmu pengetahuan. Berbanding dengan saya ni. Hah, pekebun sayur aje." Aku lebih senang untuk memilih merendah diri. Antara sifat yang paling terpuji dalam agama.

          "Jangan cakap begitu, Rosli. Bagi saya semua manusia sama saja. Tak kiralah berilmu atau tidak," Maizah menjawab.

          "Saya memang setuju sekali dengan apa yang Maizah cakapkan tu!" anggukku.

          "Tapi cakap pasal gembira tadi memang tak salah kita harus rasa gembira selalu. Asalkan jangan terlalu berlebihan takut duka jadinya nanti," aku menyambung lagi.

          "Rosli memang hebat bila berfalsafah. Saya ingin nak belajar dari Rosli. Maklumlah ada orang berkata falsafah juga menjadi guru yang paling berguna dalam hidup ini. Selain daripada pengalaman. Yang mengajar erti kehidupan sebenar di dunia ini," ujar Maizah.
          "Maizah sebenarnya tak perlu belajar daripada saya mengenai falsafah kehidupan. Saya yang seharusnya belajar daripada Maizah. Kerana mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi. Sewajarnyalah saya menghormati Maizah sebagai orang yang berilmu," kataku.

          "Kenapa sampai begitu sekali, Rosli? Saya tak minta semua itu. Sepatutnya Rosli yang perlu dihormati. Sebab memiliki buah fikiran yang cantik dan saya yakin ini pasti akan mencapai kejayaan pada satu hari nanti. Hasil daripada ilham yang Rosli jelmakan dan akan menjadi contoh kepada kampung-kampung lain untuk mengikutinya," Maizah sebaliknya membalas pula.

          "Sudahlah tu, Maizah. Dah banyak pujian yang saya dengar. Naik rimas dan takut saya jadinya. Cukuplah dengan apa yang ada dalam diri saya sekarang ini. Saya menerima dengan hati yang terbuka. Sekiranya ada yang berpandangan kegiatan pertanian dan kemasyarakatan yang dilakukan dalam persatuan belia demi kebaikan bersama kampung ini sebenarnya masih lagi ada kekurangan dan belum lagi tercapai matlamat sepenuhnya," ujar aku dengan panjang lebar sambil melihat wajah ayu dan jelita Maizah yang diseliputi tudung malahan juga diusapi dengan angin petang. Yang datang dari arah bukit yang subur menghijau. Bersama irama yang sepoi-sepoi bahasa. Terasa sungguh nyaman dan dingin menyapu permukaan kulit. Biarpun bahang panas terik matahari menyinari suasana petang ini di seluruh kampung yang sentiasa nampak permai dan tenang.

          "Kenapa Rosli cakap macam tu?" Maizah sebaliknya berasa terperanjat apabila mendengar kata-kata aku itu.

          "Jawapannya mudah aje, Maizah," jawabku.

          "Apa dia? Saya suka untuk berkongsi sama," balas Maizah dengan cepat.

          "Mungkin kerana penduduk kampung memberikan sokongan termasuk Tok Ketua terhadap kegiatan yang saya rancang selama ini yang menyebabkan mereka tidak berani untuk membuat teguran. Yang boleh jadi di pandangan mereka ada kelemahan dan kekurangan. Jadi mereka memendamkan saja dalam diam," aku menerangkan pada Maizah.

          "Sampai begitu sekali pandangan, Rosli?" tanya Maizah dengan rasa penuh minat. Sambil mengangkat kepala tinggi sedikit dan dengan sopan melihat muka aku.

          "Sebenarnya perkara ni penting, Maizah. Kita tak boleh menganggap apa yang kita lakukan adalah yang paling terbaik dan sempurna. Tak boleh ditandingi oleh orang lain. Yang juga manusia seperti kita. Sedangkan teguran itu adalah untuk membina dan kebaikan bersama juga," jelasku.

          "Dalam soal bekerja ni bagi saya kita sebagai manusia harus memikulnya sebagai tanggungjawab yang harus dilaksanakan. Soal berjaya atau tidak bukan kita sendiri yang membuat penilaian. Biarlah orang lain yang memutuskannya. Bagi saya bila baik pada anggapan mereka maka kita jadikannya sebagai pencetus semangat dan rangsangan untuk terus meningkat lagi. Dalam kerja yang kita usahakan. Hindari daripada memiliki sifat riak dan megah apabila mendapat pujian dan kejayaan. Tapi apabila orang memberikan teguran atau tidak memandang dan menilai kerja yang kita lakukan bukanlah bermakna mereka berasa benci dan tidak suka dengan kerja kita itu. Sebaliknya ia adalah tanda rasa sayang mereka pada kita agar mengambilnya sebagai tapak permulaan untuk mencipta kejayaan dan seterusnya memperbaiki kelemahan yang ada dalam diri," Maizah memberikan penjelasan kepada aku.

          Keriuhan suara ahli-ahli persatuan belia bekerja di kebun sayur jelas kedengaran memecahkan suasana petang yang diwarnai dengan penuh ketenangan dan kedamaian. Bersama cahaya matahari yang kelihatan terang-benderang melatari awan memutih tebal dan kaki langit membiru.

          Semangat mereka yang membara dan berkobar-kobar umpama bala tentera yang rela mempertahankan tanah air yang tercinta di medan perang turut diiringi dengan tiupan angina yang tadinya lembut dan halus dengan tiba-tiba saja bertukar menjadi kencang. Begitu juga dengan pokok-pokok sayur yang tumbuh subur dan menghijau kelihatan macam menari-nari inang. Sungguh indah apabila dilihat dan suara angin yang jelas kedengaran menghiburkan jiwa.

          Semuanya menjadi azimat kepada mereka agar mengambil kesempatan sepenuhnya dalam melayari usia muda ini supaya sentiasa bekerja kuat dan berusaha gigih dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran bumi ciptaan Tuhan yang penuh dengan rahmat dan bertuah ini dapat dicapai sepenuhnya. Bermula dari sekaranglah mereka harus membina tapak untuk berjaya. Sinar cahaya kejayaan sentiasa menanti di hadapan. Dengan kesungguhan dan semangat yang tinggi dengan diiringi bersama perancangan yang rapi dan teratur untuk meningkatkan kemajuan dalam diri maka ia menjadi amat mudah dan tidak sukar untuk dicapai.

          "Benar apa yang Maizah cakapkan tu!" angguk aku pula sebaliknya.

          "Saya juga tak terkecuali dalam hal ni. Macam yang saya katakan tadi. Mungkin Maizah seperti juga mereka yang melihat ada kelemahan dan kekurangan dalam kegiatan belia yang saya pimpin di kampung ini. Tapi kerana sebagai seorang kawan Maizah rasa takut untuk memberitahu. Maklumlah agaknya nanti saya akan berkecil hati atau persahabatan kita menjadi renggang. Bagi saya itulah yang saya harapkan. Daripada seorang sahabat yang sejati seperti Maizah," ulangku lagi.

          "Jangan berprasangka seperti tu, Rosli!" Maizah dengan pantas menjawab sambil menggeleng-gelengkan kepala.

          "Ikhlas saya katakan. Apa yang saya lihat segala kegiatan persatuan belia di kampung ini tiada pun yang kurangnya mahupun ada kelemahan. Malahan juga besar manfaat dan faedahnya telah dinikmati bersama oleh penduduk di kampung ni. Saya yakin ia akan terus berkekalan selagi Rosli masih lagi memegang jawatan pengerusi persatuan," tambah Maizah.

          "Terima kasih, Maizah!" aku mengangguk-anggukkan kepala.

          "Sebagai seorang sahabat yang sejati kerana memberikan pandangan begitu. Harapan saya agar kita sentiasa ingat-mengingati dan bantu-membantu. Dalam apa jua usaha dan kerja yang dilakukan. Demi kebaikan bersama seiring dengan hasil yang telah dinikmati oleh penduduk kampung dan ahli-ahli persatuan belia seperti sekarang ini," sambungku.

          "Insya-Allah, Rosli!" angguk Maizah.

          "Memang itu jugalah yang saya harapkan sama. Semoga Tuhan akan terus memberkati dan memberikan jalan kepada kita untuk memperolehi kecemerlangan dan kejayaan dalam hidup ini. Eh, kita ni asyik berbual aje dari tadi. Tak sedar pulak hari dah semakin nak masuk lewat petang. Mana sayur-sayur yang saya pesan tu," Maizah bersuara.

          "Ada! Saya simpan di pondok tu. Maizah tunggu kejap, ya. Saya pergi ambil," kataku.

          "Yalah!" jawab Maizah dengan mengangguk-anggukkan kepala. Aku pun pantas mengatur langkah untuk menuju ke arah pondok dan mengambil bungkusan plastik yang berisi dengan sayur-sayuran yang dipesan oleh Maizah.

          "Ini dia sayur-sayur yang Maizah minta tu." Aku menghulurkan bungkusan plastik yang berisi dengan sayur-sayur kepada Maizah yang menyambutnya dengan pantas. Dia kemudiannya menundukkan kepala untuk melihat bungkusan plastik yang berisi dengan sayur-sayuran itu.

          "Kalau tak cukup saya tambah lagi," aku berkata.

          "Cukup!" Maizah membalas sambil perlahan-lahan mengangkat muka semula dan memandang muka aku.

          "Berapa harga semuanya sayur ni, Rosli?" Maizah menyoal.

          "Saya tak jual. Sayur-sayur ni semua saya beri ikhlas pada Maizah." Aku memberikan jawapan pada soalan yang diberikan oleh Maizah itu.

          "Jangan bergurau, Rosli. Banyak ni takkan beri percuma. Ternyata dia tidak dapat menerima jawapan yang telah aku berikan itu sambil senyuman kecil jelas kelihatan terukir di wajahnya yang sungguh jelita dan ayu apabila dipandang.

          "Betul, Maizah. Mana boleh kita bergurau dalam membuat keikhlasan," aku menambah.

          "Terima kasih banyak-banyak, Rosli. Nanti saya masakkan sayur-sayur ni dan beri pada makcik dan Rosli," Maizah bersuara.

          "Sama-sama, Maizah. Tentu sedap tu. Tak sabar-sabar saya untuk merasanya," usikku pula sambil tersenyum.

          "Mana ada sedapnya, Rosli. Saya masak biasa saja. Jangan nak memuji. Sedap lagi masakan makcik. Hah, saya minta diri dululah, ya. Kirim salam pada makcik bila balik nanti," kata Maizah dengan tangan kanannya menjinjing bungkusan plastik yang berisi dengan sayur-sayuran.

          "Insya-Allah, Maizah!" anggukku.

          "Assalamualaikum!" Maizah memberi salam sebelum berlalu pergi dari situ.

          "Waalaikumsalam!" aku menjawab salam yang diberikan oleh Maizah.

          Aku memerhatikan saja gadis yang berasal dari bandar itu yang datang ke kampung ini untuk menabur bakti sebagai pendidik menyusun langkah dengan sopan menepati ciri-ciri dan sifat gadis Melayu meninggalkan kebun sayur. Setibanya di kereta dia terus menghidupkan enjin dan meneruskan perjalanan untuk pulang ke rumah. Sebaik-baik sahaja kereta yang dipandu oleh Maizah hilang daripada pandangan mata aku pun meneruskan semula kerja-kerja di kebun sayur sehingga selesai.

          Dalam pada itu dari sehari ke sehari hasil jualan sayur semakin bertambah-tambah dan meningkat. Inilah yang dikatakan murah rezeki. Kesyukuran tak lupa aku dan ahli-ahli persatuan belia ucapkan. Aku dan ahli-ahli persatuan belia sentiasa ingat bahawa semakin banyak kita bersyukur semakin banyak kenikmatan yang dikurniakan oleh Tuhan. Nyata ia dapat aku rasai kini bersama dengan ahli-ahli persatuan belia di kampung ini.

          Segala keringat dan titik peluh yang aku curahkan bersama dengan ahli-ahli persatuan belia selama ini telah berjaya memperolehi habuan dan kentungan yang berganda lumayannya. Memang bertepatan sekali dengan ungkapan yang sering kita dengar kalau berbudi pada tanah maka akan dapat menuai hasilnya nanti dan kini aku dan ahli-ahli persatuan belia berterusan menikmati kejayaan hasil daripada kesungguhan dan kerja keras yang telah dilakukan selama ini. Rasa kegembiraan dan kepuasan jelas menyelubungi aku dan ahli-ahli persatuan belia apabila projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar yang diusahakan selama ini telah menyumbang kepada kejayaan dalam usia yang masih muda lagi.

          Umpama menanam sepohon pokok dengan setiap hari dijaga dengan disiram dan dibubuh baja pasti akan subur merendang bersama dengan buah yang masak ranum untuk dinikmati. Demikianlah yang aku terapkan ke dalam setiap jiwa ahli-ahli persatuan belia agar sentiasa ada kesungguhan dan semangat yang tinggi demi memastikan projek tanaman semula sayur-sayuran yang dibantu peruntukannya oleh jabatan pertanian adalah tidak sia-sia dan merupakan satu pembaziran. Buktikan kita mempunyai kemampuan dan kebolehan untuk mencipta kejayaan dalam bidang pertanian yang jarang diceburi oleh anak-anak muda pada zaman moden ini. Itulah antara kata-kata dorongan dan semangat yang aku berikan pada mereka dalam mesyuarat khas yang diadakan sebelum projek ini bermula.

          Selain daripada itu semangat permuafakatan dan kerjasama erat yang ditunjukkan di kalangan ahli-ahli persatuan belia juga telah menyumbang kepada kejayaan yang telah dicapai. Ternyata inilah yang menjadi kunci utama kejayaan projek tanaman semula sayur-sayuran di kampung ini. Ditambah pula dengan sokongan kuat daripada Tok Ketua dan seluruh penduduk kampung. Memang tidak dapat dinafikan lagi sokongan daripada mereka amat diperlukan untuk menaikkan lagi semangat muda mereka dengan harapan untuk membawa kejayaan di kampung ini biarpun hanya dalam bidang pertanian dengan mengusahakan kebun sayur.

          Ahli-ahli persatuan belia telah mencapai kesepakatan untuk menyumbangkan sebahagian daripada hasil pendapatan sayur-sayuran yang diperolehi kepada tabung masjid di kampung ini. Diharapkan melalui sumbangan ini akan dapat membantu untuk membiayai kegiatan keagamaan dalam pelbagai bentuk.

          "Aku bagi pihak ahli jawatankuasa masjid kampung ni mengucapkan terima kasih di atas sumbangan ini. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT terus melimpah rahmat dan kebaikan terhadap segala usaha yang telah dilakukan oleh persatuan belia," ujar Tok Ketua. Semasa menerima sumbangan yang aku sampaikan di masjid.

          "Sama-sama, tok. Insya-Allah. Saya dan ahli-ahli persatuan belia akan terus bekerja keras. Untuk kemajuan dan kemakmuran bersama kampung ni," ikrarku.

          "Syukur alhamdulillah. Sememangnya inilah yang dituntut dalam agama. Sentiasa menghargai rezeki kurniaan Tuhan. Dengan sumbangan ni dapatlah membantu kita untuk mengadakan bermacam-macam kegiatan keagamaan dan bertambah imarahlah lagi masjid di kampung kita ni," Tok Imam mencelah.

          "Mudah-mudahan begitulah, Tok Imam. Saya sebagai ketua di kampung ni bukan saja berharap anak-anak muda yang telah Berjaya dibentuk dengan semangat rajin bekerja menerusi persatuan belia berterusan membawa kejayaan pada kampung ini malahan juga akan berpegang kuat pada ajaran agama. Sebagai panduan hidup untuk mendapat keberkatan sepertimana yang telah dijanjikan oleh Tuhan," Tok Ketua bersuara.

          "Insya-Allah, tok. Saya selaku pengerusi persatuan belia yakin apabila mereka menyertai pelbagai kegiatan agama yang diadakan oleh ahli jawatankuasa masjid ni pasti akan dapat membentuk mereka menjadi insan yang memiliki akidah yang mulia dan sempurna. Macam yang terkandung dalam ajaran agama. Yang setelah sekian lama kita pegang selama ini," aku membalas pula sebaliknya.

          "Saya sokong dengan apa yang dicakapkan oleh Rosli tu. Kita mesti tarik mereka selalu untuk mendekatkan diri dengan masjid. Bukan setakat bila kita buat majlis agama saja mereka datang. Setakat ni apa yang saya tengok nampaknya alhamdulillah. Ahli-ahli persatuan belia datang jugak ke masjid ni untuk sembahyang berjemaah," ucap Tok Imam.

          "Baguslah macam tu. Harap-harap mereka akan sentiasa mencintai masjid dan menjadi muslimin yang sejati. Sama-samalah kita berdoa semoga Tuhan akan memakbulkan harapan kita ni," Tok Ketua menambah.

          "Insya-Allah, tok!" ulang aku dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Selagi saya masih lagi menjadi pengerusi persatuan belia saya akan pastikan anak-anak muda akan mengikuti sepenuhnya ajaran agama dan tidak terpesong daripada akidah yang telah ditetapkan," janjiku.

          "Alhamdulillah kalau macam tu. Aku yakin kau sebagai pengerusi persatuan belia di kampung ni akan dapat melakukannya," Tok Ketua menjawab.

          "Betul tu saya sokong dengan apa yang tok cakapkan tu. Kewibawaan kau sebagai pengerusi persatuan belia di kampung ni memang terbukti apabila anak-anak muda begitu bersemangat tinggi dan berjaya melaksanakan kegiatan pertanian dengan menanam semula sayur dan kemasyarakatan. Kau telah berjaya membentuk dan membimbing mereka menjadi manusia yang berguna pada agama, bangsa dan negara," balas Tok Imam.

          "Itu dah jadi tanggungjawab saya sebagai pengerusi persatuan belia di kampung ini. Perlu memastikan ahli-ahli dapat menyumbangkan tenaga muda dan sentiasa ingat pada agama demi menjaga nama baik kita bersama," aku menerangkan pada Tok Ketua dan Tok Imam.

          "Aku harap anak-anak muda di kampung ini akan terus menumpahkan kesetiaan selamanya. Tak dapat nak aku gambarkan betapa gembira dan bangganya aku apabila apa yang anak-anak muda lakukan menerusi persatuan belia menjadi sebutan dan pujian daripada kampung-kampung lain. Malahan ada yang berminat untuk menghantar persatuan belia mereka ke kampung ini bagi mempelajari kegiatan pertanian dan kemasyarakatan yang telah dilaksanakan dengan jayanya oleh ahli-ahli persatuan belia di kampung kita," jelas Tok Ketua yang duduk berhadapan dengan Tok Imam dan aku.

          "Hah, eloklah tu. Melalui cara tu jugak akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan memupuk semangat kerjasama antara ahli-ahli persatuan belia di kampung ni dengan kampung-kampung lain. Demi kemajuan dan kejayaan kampung masing-masing." Tok Imam yang duduk bersebelahan dengan aku menyatakan sokongan dengan apa yang telah diperkatakan oleh Tok Ketua itu.

          "Saya sedia menerima mereka dengan hati yang terbuka sekiranya mereka benar-benar hendak mencontohi dengan apa yang telah dilakukan oleh anak-anak muda di kampung ni. Bak kata orang kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan. Demi kejayaan bangsa sendiri," aku mencelah.

          "Hah, baguslah macam tu, Rosli. Kemahiran dan ilmu yang kita miliki sebaik-baiknya hendaklah kita sebarkan pada orang lain. Supaya kejayaan dalam hidup ini dapat dikongsi bersama. Seperti projek tanaman semula sayur-sayuran di tanah terbiar. Yang diusahakan oleh ahli-ahli persatuan belia di kampung ini. Kejayaannya bukan sahaja menjadi bualan penduduk di kampung ini malahan juga kampung-kampung lain sehingga dijadikan contoh pula," Tok Ketua berkata dengan rasa penuh gembira.

          Perbualan rancak antara Tok Ketua, Tok Imam dan aku lantas terhenti apabila Arshad muncul. Memberitahu yang jauman ringan telah siap dihidangkan. Aku lalu mengajak Tok Ketua, Tok Imam dan ahli jawatankuasa masjid yang hadir untuk menikmati jamuan ringan yang telah disediakan.

          Sebagai tanda kesyukuran di atas kurniaan Tuhan yang terus melinpah-limpah hasil daripada jualan sayur-sayuran aku dan ibu juga telah mengadakan kenduri selepas solat Maghrib pada minggu yang berikutnya. Ramai penduduk kampung yang datang termasuk ahli-ahli persatuan belia. Begitu juga dengan Pak Long dan Mak Long sekeluarga dan Maizah turut hadir dalam majlis kesyukuran ini. Maizah telah membantu ibu dan penduduk kampung memasak hidangan yang bermula sejak dari petang lagi.

          Selepas kenduri Maizah tidak terus pulang ke rumah malahan membantu penduduk kampung dan ahli-ahli persatuan belia mengemas pinggan mangkuk yang telah digunakan untuk kenduri ini. Ibu juga membekalkan Maizah dengan makanan untuk dibawa pulang.

          Dalam pada itu tahun hadapan Pak Long, Mak Long dan ibu akan berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji. Aku berasa sungguh bersyukur sekali kerana telah dapat menghantar ibu ke Tanah Suci hasil daripada wang yang aku simpan melalui jualan sayur. Zakat juga tidak lupa dikeluarkan apabila keuntungan yang diperolehi hasil daripada jualan sayur-sayuran dari sehari ke sehari semakin banyak. Persatuan belia di kampung ini juga telah memenangi Anugerah Belia Terbaik peringkat daerah. Kejayaan ini dihadiahkan kepada seluruh penduduk kampung yang selama ini telah memberikan sokongan kuat terhadap kegiatan pertanian dan kemasyarakatan yang telah dijalankan.

          Berita kejayaan persatuan belia di kampung ini telah mendapat liputan meluas di dada akhbar dan tv. Tambah mengggembirakan aku dan ahli-ahli persatuan belia apabila pasukan futsal telah berjaya menjadi johan futsal belia yang dipertandingkan di peringkat daerah dan terpilih mewakili negeri. Kegembiraan aku dan ahli-ahli persatuan belia berterusan apabila kertas kerja untuk menternak ikan air tawar dan kambing telah diluluskan bersama dengan peruntukan oleh jabatan pertanian. Aku sebagai pengerusi persatuan belia berasa yakin selepas ini ahli-ahli akan semakin bersemangat dan seronok dengan kedua-dua bidang yang baru ini dan peluang pekerjaan sebegini akan menjadikan mereka terus kekal untuk menaburkan bakti di kampung ini.

          Kini aku boleh tersenyum gembira. Kejayaan hidup yang aku inginkan melalui warisan bertani telah pun berada dalam genggaman. Setelah beberapa tahun berlalu kehidupan ibu dan aku telah berubah dengan berjaya keluar daripada kemiskinan yang dialami selama ini. Rumah yang dahulunya kayu kini telah bertukar menjadi batu. Motosikal yang dahulunya menjadi kenderaan setia yang membawa aku ke sana dan sini untuk mencari rezeki telah bertukar kepada kereta. Syukur alhamdulillah ke hadrat Tuhan yang telah memberikan rahmat dan kesenangan hidup kepada ibu dan aku.

         

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home