Monday 16 June 2014

KAMPUNG TELUK PINANG

BAB 1

          Laut membiru. Dia memandangnya dalam-dalam. Tenang. Bersama desiran ombak yang menghempas pantai. Diiringi angin yang bertiup halus dan sepoi-sepoi bahasa.

          Pohon-pohon yang tumbuh di tepi-tepi pantai bagai menari-nari. Mengikut rentak tiupan angin. Yang datang dari arah laut. Sekejap ke kanan. Sekejap ke kiri. Daun-daun yang bergeseran jelas  kedengaran. Membelah seluruh alam dan mengusik jiwa.

          Kehidupan. Seperti juga laut biru itu. Pasang surut silih berganti. Penuh dengan warna-warna suka duka.

          Dia menarik nafas panjang. Sambil pandangannya terus melekat pada laut yang membiru. Dengan deruan ombak yang tak putus-putus menghempas pantai. Buih-buih memutih. Berapungan membasuh butiran pasir halus dan batu-batu kecil.

          Matahari bersinar indah di kaki langit. Cahayanya jelas Nampak terang-benderang. Menyimbah ke seluruh alam.

          "Segala-galanya dah berakhir," Adnan bersuara tenang.

          "Kau nampaknya mudah mengalah," kata Jamil pula sebaliknya.

          "Ini adalah hakikat yang terpaksa aku terima," dia membalas.

          "Adakah ini keputusan muktamad yang kau ambil?" tanya Jamil. Dengan mengangkat kepala melihat muka Adnan.

          "Ya!" angguknya dengan pantas.

          "Aku akan tinggalkan semuanya. Pergi ke satu tempat. Untuk mencari ketenangan," sambungnya lagi.

          "Ke mana?" soal Jamil.

          "Itu kau tak perlu tahu," balas Adnan.

          Suara desiran ombak menghempas pantai jelas kedengaran. Nyaman dan dingin. Bayu laut yang berhembus. Jelas sekali terasa menyapu permukaan kulitnya.

          Cabaran. Memang sentiasa datang dalam hidup ini. Suka atau tidak harus diterima. Bukan hidup namanya kalau tanpa cabaran. Selagi diberi kesempatan oleh Tuhan untuk terus hidup di dunia ini.

          Tiba-tiba saja dia teringat kata-kata itu. Entah dari mana datangnya. Dia tidak tahu.

          Dahulu dia hidup mewah sebagai seorang ahli perniagaan. Tapi kini semuanya telah hilang. Syarikat Jati Holdings Sdn. Bhd. Yang pernah menjadi kemegahan dan kebanggaan kepadanya telah jatuh bankrap.

          "Saya dah ambil keputusan!" Kata-kata keras yang dikeluarkan oleh isterinya Faridah.

          "Keputusan apa?" ucapnya.

          "Awak dah tak boleh beri kemewahan hidup pada saya. Jadi saya terpaksa tinggalkan awak. Untuk mencari orang lain. Yang dapat memenuhi kehendak hati saya," jelas isterinya.

          Hancur berkecai hatinya. Umpama kaca yang terhempas ke batu. Apabila isterinya membuat keputusan.

          "Kalau itu yang awak pilih saya relakan …," dia menjawab. Dalam nada suara yang lembut dan rasa penuh sabar.

          Faridah. Wanita yang pertama dan terakhir yang dicintainya dalam hidup ini. Memang dia menyayangi wanita itu. Dengan sepenuh jiwa dan raganya.

          Tapi apakan daya. Sudah ditakdirkan oleh Tuhan. Jodohnya dengan wanita bernama Faridah setakat di sini saja.

          "Eloklah Idah buat keputusan macam tu. Aku pun tak sanggup lihat anak aku hidup susah. Kau dah tak guna lagi sekarang. Syarikat kau dah lingkup. Nasib baik kau tak ada anak. Kalau tidak kebulurlah jawabnya cucu aku!" Pedih sekali kata-kata yang dilemparkan oleh Datin Maria itu. Ibu mentuanya. Seperti ditikam sembilu tajam rasanya. Menusuk dalam hingga ke kalbu.

          Adnan memeluk seerat-erat tubuhnya. Sambil berdiri memandang laut. Mengimbau kembali peristiwa pahit yang pernah menimpa dirinya.

BAB 2

          Kesejukan alat penghawa dingin jelas terasa mengepung seluruh ruang bilik mewah itu. Dato' Zainal kelihatan sedang membaca dan meneliti kertas kerja pembinaan hotel mewah bertaraf lima bintang di Kampung Teluk Pinang. Sebuah perkampungan nelayan.

          Sedang dia asyik meneliti kertas kerja itu tiba-tiba kedengaran telefon berbunyi. Dia pantas berhenti daripada membaca kertas kerja itu dan mengangkat gagang telefon. Untuk menjawab panggilan.

          "Hello!" kata Dato' Zainal. Yang duduk tersandar di kerusi pusing. Segak berkot dan bertali leher. Kena dengan gayanya sebagai Pengarah Urusan Syarikat Kenanga Holdings Sdn. Bhd.

          "Hello, Dato'. Encik Jamil nak jumpa Dato'. Dia nak bincang pasal kertas kerja yang dia beri pada Dato' tu." Kedengaran suara Norain setiausahanya.

          "Bagus!" dia mengangguk-angguk dengan pantas. Sambil melekapkan gagang telefon di telinganya. Kesejukan alat penghawa dingin jelas terasa mengepung seluruh ruang bilik mewah itu.

          "Saya pun memang nak jumpa dia. Suruh dia masuk!" arah Dato' Zainal lagi.

          "Baik, Dato'!" jawab Norain. Kemudian perlahan-lahan meletakkan semula gagang telefon di tempat asalnya.

          "Encik Jamil, Dato' suruh masuk," ujarnya dengan penuh hormat pada penolong pengarah urusan syarikat itu.

          Tanpa berlengah lagi dia pantas mengatur langkah ke bilik Dato' Zainal. Pintu lalu diketuk.

          "Masuk!" Suara Dato' Zainal kedengaran dari dalam. Tombol pintu segera ditarik oleh Jamil.

          "Hah, Jamil! Duduklah!" Dia menyambut kedatangan pegawai syarikatnya itu dengan penuh rasa gembira.

          "Terima kasih, Dato'!" balas Jamil.

          "Saya dah baca kertas kerja yang awak buat tu," Dato' Zainal menambah.

          "Jadi, macam mana, Dato?" Dia bagaikan tidak sabar-sabar lagi pantas memotong. Bagi mengetahui keputusan yang akan diberikan oleh Dato' Zainal. Hasil daripada kerja yang telah dilakukannya itu.

          "Saya memang puashati dengan kertas kerja yang awak buat ini. Bila saya baca saya dapat andaikan yang awak ni memang seorang yang hebat. Projek ni akan memberikan pulangan yang sungguh lumayan pada syarikat ni. Saya sungguh bertuah dapat pekerja macam awak." Dato' Zainal menghamburkan kata-kata pujian dengan panjang lebar padanya.

          "Kalau saya tak hebat takkan saya dapat musnahkan Syarikat Jati Holdings Sdn. Bhd. Termasuk Adnan, pengarah urusannya," ujarnya dengan rasa penuh riak.

          "Begitu?" Dato' Zainal memandang tepat muka Jamil. Yang duduk berhadapan dengannya.

          "Saya sungguh terhutang budi pada awak. Kerana telah memusnahkan musuh saya dalam dunia perniagaan," ulangnya lagi.

          "Dendam saya pun dah terbalas," jelas Jamil pada Dato' Zainal.

          "Dendam?" Dato' Zainal menyoalnya.

          "Ya, Dato'!" angguknya dengan cepat.

          "Sebab?" soal Dato' Zainal pendek bertubi-tubi kali.

          "Merampas Faridah dari tangan saya!" akuinya.

          "Nampaknya matlamat kita dah sama-sama tercapai." Nada suara Dato' Zainal berbunyi gembira.

          "Benar, Dato'!" dia mengangguk-anggukkan kepala lagi.

          Mereka lantas ketawa terbahak-bahak. Sebagai tanda meraihkan kejayaan. Kerana dapat menjatuhkan Adnan.
  
BAB 3

          Kampung Teluk Pinang. Deretan bot-bot dan rumah-rumah nelayan yang tersusun jelas kelihatan di sepanjang pantai. Tidak jauh dari perkampungan nelayan ini terdapat rumah-rumah peranginan yang terletak di atas bukit.

          Menangkap ikan adalah pekerjaan utama penduduk di kampung ini. Dengan pantainya yang indah dan alunan ombak yang menghempas pantai benar-benar mendamaikan jiwa. Apabila melihatnya.

          Bagi penduduk Kampung Teluk Pinang laut benar-benar mengajar mereka erti ketabahan dalam hidup ini.

          Menempuh gelombang ganas ketika menangkap ikan di laut sudah menjadi lumrah dalam hidup mereka. Musim tengkujuh adalah keperitan yang terpaksa dihadapi.

          Ketika bersiar-siar di tepi pantai untuk menghirup bayu laut yang segar dan ketenangan jiwa sepertimana yang diinginkan Adnan telah bertemu dengan Pak Sudin.

          Mereka berbual mesra. Pak Sudin dapat menduga. Adnan tidak pernah dilihatnya selama ini. Sudah pasti dia orang luar yang tidak diketahui dari mana datangnya. Yang datang ke kampung ini.

          Pak Sudin berhajat untuk mengetahui siapa dia yang sebenarnya. Namun begitu pertanyaannya itu dipendamkan sahaja kerana berasakan tidak sesuai ditanya ketika berbual-bual di tepi pantai.

          Lantaran dia mengajak Adnan ke rumah.

          Dia sebaliknya tidak menolak ajakan orang tua yang baru dikenalinya itu. Rumah Pak Sudin hanya beratapkan zink dan berdindingkan papan. Masih kukuh dan tidak kelihatan uzur. Dengan jaring yang digunakan untuk menangkap ikan tergantung di hadapan rumahnya.

          "Maafkan Pak Sudin kalau bertanya?" Pak Sudin menyoal. Seorang nelayan tua di Kampung Teluk Pinang.

          "Tak mengapa, Pak Sudin. Apa dia?" Wajah tua Pak Sudin dengan rambutnya yang dipenuhi uban memutih direnungnya dalam-dalam.

          "Adnan datang dari mana dan apa tujuan datang ke sini?" Pertanyaan yang keluar daripada mulut Pak Sudin. Sambil menghisap rokok daun. Kelihatan asap memutih berkepul-kepul. Apabila dia menghembuskannya keluar daripada mulut dan hidung.

          "Dari Kuala Lumpur. Datang ke sini untuk mencari ketenangan," terangnya pada Pak Sudin.

          "Adnan kerja apa dan ketenangan apa yang sebenarnya dicari di sini?" tanya Pak Sudin lagi.

          "Saya sebenarnya seorang ahli perniagaan, Pak Sudin. Punya sebuah syarikat yang besar. Tapi malangnya syarikat saya jatuh bankrap. Sebab itulah saya datang ke sini. Untuk mencari ketenangan. Melupakan peristiwa hitam yang telah menimpa diri saya." Nada suaranya tenggelam bersama deruan ombak yang menghempas pantai.

          Langit nampak cerah. Bersama cahaya matahari yang kelihatan terang-benderang. Menyinari seluruh Kampung Teluk Pinang. Sebuah perkampungan nelayan.

          "Begitu kisahnya …," sambut Pak Sudin perlahan dan mengangguk-angguk kecil. Bersimpati dengan nasib malang yang menimpa diri Adnan.

          Tak lama kemudian muncul Hasmah membawa dulang berisi dua cawan air kopi dan sepinggan pisang goreng yang masih panas lagi.

          Cantik orangnya dan bertambah ayu apabila mengenakan tudung berwarna merah jambu. Dengan penuh sopan dia meletakkan minuman dan makanan di atas tikar mengkuang.

          "Hah, kenalkan ini Hasmah anak Pak Sudin. Hasmah, ini Adnan. Dia datang dari Kuala Lumpur," ucap Pak Sudin.

          "Apa khabar?" Dia melihat wajah Hasmah yang sememangnya mempunyai ciri-ciri perwatakan sebagai seorang gadis kampung.

          "Baik!" Hasmah membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala dan tersenyum kecil.

          "Ayah, Encik Adnan jemputlah minum …," pelawanya dengan lemah lembut.

          "Terima kasih!" angguk Adnan dengan pantas sambil turut membalas senyuman yang diberikan oleh Hasmah itu.

          "Ayah, saya masuk dulu, ya. Banyak lagi kerja yang belum siap di dapur tu," mohon Hasmah dengan penuh sopan.

          "Yalah!" Pak Sudin memberikan jawapan dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          Hasmah kemudiannya berlalu pergi ke dapur sambil membawa dulang.

          "Hah, Adnan jemputlah minum," ajak Pak Sudin.

          Air kopi yang masih panas itu lalu dihirup perlahan-lahan oleh Pak Sudin dan Adnan.

BAB 4

          Dari jauh kelihatan bangunan-bangunan tinggi menjulang. Sehingga mencakar langit. Bersama terik panas bahang matahari. Jalan raya penuh sesak dengan kenderaan.

          Pekikan hon membingitkan telinga. Demikianlah rutin kehidupan penghuni yang hidup di bandar besar. Bernama Kuala Lumpur. Saban hari masing-masing sibuk dengan tugas dan urusan yang mewarnai kehidupan.

          Kedengaran bunyi telefon bimbit. Faridah tertanya-tanya akan pemanggilnya. Nombor yang tiada dalam telefonnya.

          Jari tangan kanannya yang lembut itu lantas menekan punat telefon. Untuk menjawab panggilan itu.

          Suara lelaki. Jamil pantas memperkenalkan dirinya. Dia mengajak Faridah keluar makan tengah hari. Mulanya Faridah menolak. Tetapi atas desakan kuat Jamil dia akhirnya bersetuju untuk menerima pelawaan lelaki itu. Masanya pukul 12.30 tengah hari.

          Tempatnya ialah di Restoran Bunga Kenanga. Sebuah restoran mewah dan terkenal dengan pakar-pakar masakan bertaraf antarabangsa.

          Apahal pulak Jamil ni? Tiba-tiba aje dia ajak aku keluar makan? Hei, entahlah …. Pertanyaan yang tak henti-henti menendang benaknya.

          Jam di tangan tepat menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. Dia pun bersiap dan terus memandu ke tempat yang dijanjikan. Untuk makan tengah hari bersama dengan Jamil.

          Faridah sampai dahulu di Restoran Bunga Kenanga.

          Tak lama kemudian muncul Jamil. Dia pantas meminta maaf. Kerana membiarkan Faridah menunggu agak lama juga. Biasalah kesesakan lalu-lintas. Jawapan yang diberikannya.

          Dia kemudiannya duduk. Bertentang mata dengan Faridah. Pelayan lalu menghampiri mereka. Tanpa dipanggil. Mengambil pesanan makanan dan minuman.

          Setelah mengambil makanan dan minuman pelayan lalu beredar pergi dari situ. Jamil pun memulakan perbualan. Menyatakan hasratnya yang sebenar pada Faridah.

          "Apa? Kau nak kahwin dengan aku?" kata Faridah. Dengan penuh rasa terkejut.

          "Betul!" angguk Jamil pula sebaliknya.

          "Kau jangan nak bergurau, Mil!" Faridah seakan-akan tidak percaya dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh Jamil itu. Yang benar-benar ingin melamar dia menjadi isterinya.

          "Sungguh! Aku tak bergurau, Idah. Memang dah lama aku menaruh hati pada kau. Tapi …. Yalah …. Apa nak buat. Siapalah aku ni di hati kau. Sebab itulah kau pilih Adnan," sindirnya.

          "Ke situ pulak perginya kau. Lagipun kau tak malu ke apa orang kata nanti," tambah Faridah.

          "Nak malu apa pulak ni, Idah …!" keluh Jamil. Seperti tidak berasa senang. Dengan apa yang diperkatakan oleh Faridah itu.

          "Ramai lagi gadis-gadis dalam dunia ni yang boleh kau jadikan isteri. Kau tu pulak bujang. Aku ni pulak janda. Dah tentu jadi bualan orang," ingatnya pada Jamil.

          "Pedulikanlah apa yang dia orang nak cakap. Yang nak kahwin kita. Asalkan kita bahagia, sudah." Dia mengambil mudah dalam perkara ini.

          "Senangnya kau bercakap …!" rengus Faridah sambil memandang muka Jamil yang duduk di hadapannya. Segak dan kacak. Berbaju lengan panjang dan bertali leher.

          Perbualan mereka yang rancak lantas terhenti. Pelayan membawa makanan dan minuman yang dipesan.

          Makanan barat menjadi pilihan mereka. Maklumlah restoran mewah. Hanya jenis makanan itu sajalah yang disajikan kepada pelanggan. Dari kalangan yang berpendapatan tinggi dan hidup dengan penuh kemewahan.

          Umpama kata orang melimpah-ruah macam air sungai yang mengalir tanpa hentinya. Cuma minuman yang mereka pilih saja berbeza.
          Faridah memesan minuman kegemarannya. Air fresh orange. Manakala Jamil pula memesan air teh 'o' ais limau.

          "Terima kasih!" ucap Jamil pada pelayan yang memakai suit putih dan hitam.

          Dari raut wajahnya jelas nampak masih muda lagi. Mungkin berusia dalam lingkungan awal 20-an.

          "Sama-sama! Ada apa-apa lagi pesan, cik?" dia membalas sambil memandang silih berganti wajah Jamil dan Faridah.

          "Tak ada!" geleng Jamil dengan pantas.

          "Kalau ada apa-apa nanti saya panggil," sambungnya lagi.

          "Baiklah, cik!" pelayan menjawab dengan anggukkan.

          "Selamat menjamu selera!" tambahnya dengan penuh mesra.

          Jamil dan Faridah sebaliknya membalas dengan mengangguk-angguk diam. Dia kemudiannya berlalu pergi dari situ. Meninggalkan Jamil dan Faridah untuk menikmati hidangan yang dipesan.

          "Hah, lebih baik kita makan. Lepas makan nanti kita sambung balik pasal cerita tadi," cadang Jamil pada wanita yang ingin dijadikannya isteri itu.

          Tanpa berlengah lagi mereka sama-sama menikmati hidangan yang dipesan.

          Maklumlah dah tengah hari. Perut pun sudah mula melagukan irama keroncong. Minta diisi.

          Suasana di restoran kedengaran riuh-rendah dengan bunyi suara pelanggan. Yang nampaknya semakin ramai memenuhi kerusi dan meja. Bagi menjamu selera.

          Pelayan restoran semakin sibuk mengambil dan menghantar makanan yang dipesan oleh pelanggan.

          Rasa kesejukan yang dikeluarkan oleh alat penghawa dingin jelas terasa memenuhi seluruh ruang restoran yang mewah ini. Meja empat segi tempat Jamil dan Faridah menjamu selera dilitupi dengan alas kain berwarna ungu. Sebuah vasu kecil bersama dengan sekuntum bunga ros merah juga menghiasi meja. Irama muzik yang sentimental jelas kedengaran mengusik jiwa pelanggan yang sedang menjamu selera.

          "Macam mana dengan lamaran aku tadi?" Jamil menyambung semula perbualan. Setelah selesai menikmati hidangan yang dipesan.

          "Entahlah …. Susah aku nak beri keputusan …," dia bersuara perlahan. Macam serba salah nampaknya.

          "Atau kau masih lagi tak dapat melupakan Adnan," ujar Jamil.

          "Sudah! Sudah! Jangan lagi kau sebut pasal dia!" bantahnya dengan pantas. Apabila Jamil menyebut nama lelaki yang pernah menjadi suaminya rasa kemarahan terus memuncak dalam dirinya.

          Tiba-tiba kedengaran bunyi telefon bimbit Jamil.

          "Siapa pulak ni? Orang tengah-tengah sedap berbincang berbunyi pulak dia …." Dia mengeluarkan bunyi suara yang mengeluh. Merasa kurang senang apabila menerima panggilan telefon.

          "Hello! Hah, siapa? Harun? Ada apa? Pasal projek tu. Nak jumpa? Boleh! Kau tunggu aku di tempat biasa. Setengah jam lagi aku sampai. Ok!" Demikianlah antara bait-bait perbualannya. Menerusi telefon bimbit.

          "Baiklah!" angguk Jamil sambil memandang wajah Faridah. Yang duduk berhadapan dengannya.

          "Aku beri kau peluang untuk berfikir. Tentang lamaran aku ini. Aku harap kau tak akan memberikan jawapan yang menghampakan. Aku kena pergi sekarang. Nak jumpa kawan," dia menambah.
  
BAB 5


          Selepas membayar harga makanan dan minuman, Jamil bergerak menuju ke tempat yang dijanjikannya untuk bertemu dengan Harun. Manakala Faridah pula pulang ke rumah semula.

          Tempat Jamil dan Harun bertemu ialah di sebuah restoran mamak. Harun kelihatan sedang duduk menunggu kedatangan Jamil. Sambil menghisap rokok.

          Dia juga memesan air Nescafe panas. Sesekali dia melihat jam di tangan. Kemudian menoleh ke kiri dan kanan. Lama juga dia menanti Jamil. Tapi tak kunjung tiba.

          Jangan katakan muka bayang dia pun tak nampak. Hei …! Mana dia pergi ni? Jangan-jangan dia nak kelentong aku, tak? Aku memang harap sangat nak jumpa dia. Selain daripada nak bincang pasal projek tu … aku harap adalah nanti dia hulur. Barulah berjalan apa yang dirancangkan! Antara kata-kata yang berdetik di hati kecil Harun.

          Setelah puas menunggu akhirnya Jamil muncul dan terus duduk di kerusi.

          Pelayan kemudiannya muncul untuk mengambil pesanan makanan dan minuman. Tapi Jamil menolak. Maklumlah dia dah kenyang. Baru saja lepas makan tengah hari. Bersama dengan Faridah.

          Sebaik-baik saja pelayan berlalu pergi Harun pun memulakan perbualan sambil memadamkan rokoknya yang telah menjadi puntung ke dalam bekas yang terletak di atas meja.

          "Susahlah, Mil …," Harun mengeluh. Mukanya jelas kelihatan berkerut. Memikirkan masalah yang dihadapinya.

          "Susah apa pulak ni, Run? Bukannya berat sangat kerja kau. Macam pikul batu. Kerja kau cuma pujuk orang-orang kampung setuju pindah dari tempat tu. Projek ni untungnya besar tahu, tak. Kau pun akan dapat bahagiannya nanti," desak Jamil pula sebaliknya. Dengan panjang lebar.

          "Itu aku tahu, Mil …." Dia tak henti-henti merengus.

          "Dah tu?" Jamil bagaikan tidak sabar-sabar lagi cepat mencelah.

          "Dia orang tetap tak nak pindah. Walaupun dijanjikan dengan pampasan yang lumayan!" tegas Harun.

          "Aku tahu apa yang kau nak. Supaya rancangan ini berhasil!" tekanya.

          Jamil lalu menarik dompet dari seluarnya dan kemudiannya menghulurkan wang kertas RM 1,000.00 kepada Harun.

          Terbeliak biji mata Harun. Yang berasal dari Kampung Teluk Pinang. Apabila melihat wang sebanyak itu.

          "Cukup?" tanya Jamil.

          "Errr … cukup …! Cukup …!" kata Harun dengan terketar-ketar dan terkejut. Tak pernah dia mendapat duit dalam jumlah ribu. Inilah pertama kali dia mendapatnya daripada Jamil. Selama ini jumlah duit yang diterimanya adalah dalam puluh dan ratus ringgit sahaja.

          "Kalau tak cukup aku tambah lagi," ujarnya.

         "Lebih daripada cukup!" Harun membalas dengan senyuman lebar. Sehingga menampakkan barisan giginya yang kehitam-hitaman. Kesan daripada tabiatnya yang kuat merokok.

          "Nah ambil duit ni!" Dia lalu menghulurkan wang dalam jumlah yang banyak itu kepada Harun.

          "Terima kasih, Mil! Aku memang perlukan duit!" Harun yang seperti orang mengantuk disorongkan bantal pantas menyambut wang yang diberikan oleh Jamil itu.

          "Huh! Main judi?" dia menyoal Harun. Dalam nada suara dan muka yang keras.

          "Kau faham-faham ajelah, Mil," sahutnya pula dengan rasa penuh gembira.

          "Tapi ingat!" Jamil mengangkat jari telunjuk tangan kanannya ke arah Harun. Sebagai tanda amaran.

          "Walau apa cara sekalipun kau mesti pastikan orang-orang kampung akan tinggalkan tempat tu. Dan projek ni mesti berjalan dengan segera!" ingatnya lagi.

          "Kau jangan bimbanglah, Mil. Apa yang kita rancangkan ni pasti berjaya." Harun memberi keyakinan.

          "Bagus!" dia membalas jawapan yang diberikan oleh Harun itu dengan anggukkan.

          "Aku pergi dulu. Banyak lagi kerja di pejabat tu yang belum selesai. Apa-apa hal nanti kau telefon aku," pesannya pada Harun.

          Dia kemudiannya bingkas bangun dan berlalu pergi dari situ meninggalkan Harun yang masih lagi duduk di kerusi restoran.

BAB 6

          Suara sang ombak menghempas pantai sayup-sayup kedengaran. Laut seperti biasa tenang membiru. Di kaki langit biru matahari semakin meninggi. Jalur-jalur cahayanya kelihatan lurus menyinari butiran pasir yang halus berkilauan seperti sutera pagi. Sekawan camar putih bebas berterbangan ke sana sini di angkasa nan luas. Keheningan suasana di tepi pantai bergema dengan suara riang sang camar putih. Di sepanjang pantai dipenuhi dengan pohon-pohon kelapa yang bagai menyanyi-nyanyi ditiup angin yang datang dari arah laut. Pelepahnya yang bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu mengusik jiwa dan melambai-lambai seolah-olah mengajak perantau yang tinggal di kota agar pulang.

          Desiran suara angin jelas kedengaran menyanyikan lagu sepoi-sepoi bahasa.

          Bayu yang berpuput terasa segar dan teroleng-oleng selembut sutera. Kampung Teluk Pinang. Menjadikan jiwa Adnan benar-benar tenteram dan damai di sini. Walaupun dia tidak dilahirkan dan dibesarkan di perkampungan nelayan ini namun dia berasakan seolah-olah Kampung Teluk Pinang tempat dia mencari ketenangan untuk melupakan segala peristiwa hitam yang telah menimpa dalam hidupnya adalah umpama kampung halamannya sendiri. Diwarnai dengan penuh keriangan dan kedamaian seperti yang pernah dilaluinya pada zaman yang bernama kanak-kanak.

          "Mak cik mana, Pak Sudin? Dari semalam saya tak nampak," dia bersuara.

          "Dia dah lama tak ada …," jawab Pak Sudin pula sebaliknya. Dengan menyucuhkan api pada rokok daun.

          "Oh, begitu!" Adnan membalas dengan anggukkan.

          "Maafkan saya, Pak Sudin. Kerana bertanyakan hal itu," ulangnya lagi.

          "Tak mengapa!" geleng Pak Sudin. Rokok daun dihisapnya. Asapnya dihembus keluar.

          "Pak Sudin tinggal berdua saja dengan Hasmah," ucap Adnan.

          "Ya, Nan!" dia mengangguk-angguk dengan pantas. Apabila mendengar kata-kata Adnan itu.

          "Dialah satu-satunya anak perempuan Pak Sudin," jelasnya sambil membuang habuk rokok daun ke dalam bekas.

          Tak lama kemudian Hasmah muncul dari dalam. Pak Sudin dan Adnan yang sedang rancak berbual-bual lantas terhenti dan sama-sama memandang Hasmah.

          “Ayah saya nak keluar sekejap. Nak ke rumah Mak Bedah,” mohonnya dengan penuh sopan.

          “Yalah!" jawab Pak Sudin pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Nanti sampaikan salam ayah pada Pak Latip dan Mak Bedah," sambungnya lagi.

          “Insya-Allah, ayah! Saya pergi dulu. Assalamualaikum!" Hasmah berkata dengan berjalan tunduk di depan ayahnya dan Adnan.

          “Waalaikumsalam!” Pak Sudin membalas salam yang dihulurkan oleh anaknya itu.

          Di luar angin yang tadinya bertiup perlahan tiba-tiba bertukar rentak menjadi kencang. Menyapu seluruh Kampung Teluk Pinang. Yang penduduknya hidup dengan laut membiru. Ditempuhi dengan penuh ketabahan dan kesabaran demi mengharungi kehidupan. Sejak dari satu generasi ke satu generasi dan zaman-berzaman bermain dengan laut biru yang adakalanya didatangi gelombang ganas. Sehingga nyawa terpaksa menjadi pertaruhan.

          "Macam mana Nan tahu kampung ni?" Pak Sudin menyambung semula perbualan. Setelah Hasmah meninggalkan rumah.

          "Saya ada membeli sebuah rumah di kawasan peranginan di atas bukit tu. Selalu juga saya dan isteri datang bercuti ke sini. Sekarang saya menetap rumah tu," terangnya.

          "Isteri dan anak-anak Nan pun ikut pindah sekalilah, ya," celah Pak Sudin.

          Rasa kesedihan serta-merta membaluti wajah Adnan. Sebaik-baik sahaja Pak Sudin menyebut isterinya. Wanita yang dicintainya. Tapi kini tidak lagi hidup bersamanya.

          "Tidak, Pak Sudin …!" Dia mengeluarkan nada suara yang lemah dan menggeleng-gelengkan kepala. Amat berat untuk dia menjawab pertanyaan Pak Sudin itu. Namun digagahinya juga untuk memberikan jawapan. Sekurang-kurangnya dia dapat berkongsi perasaan pilu dengan Pak Sudin. Yang dianggapnya senasib dengannya.

          Kehilangan seorang wanita yang bernama isteri dalam hidup ini. Cuma bezanya Pak Sudin kehilangan isteri yang meninggal dunia. Manakala Adnan pula kehilangan Faridah yang tidak mahu lagi hidup bersama dengan dia disebabkan tidak boleh memberikan kebahagiaan kepadanya apabila syarikatnya jatuh bankrap.

          "Kenapa mereka tak ikut berpindah sekali ke sini?" tanya Pak Sudin pada Adnan. Dengan rasa penuh minat. Sambil memandang mukanya dalam-dalam. Yang duduk bersila berhadapan dengannya.

          "Saya dah berpisah dengan isteri saya. Dia yang minta cerai. Bila syarikat saya dah tak boleh mendatangkan keuntungan," ucapnya.

          "Macam mana pulak dengan anak-anak?" Pak Sudin tak henti-henti menyoal.

          "Saya tak ada anak, Pak Sudin …," dia bersuara perlahan.

          Pak Sudin lantas terdiam apabila mendengar apa yang diperkatakan oleh Adnan itu. Dia kemudiannya menghisap rokok daun yang tinggal sedikit sahaja lagi dan menghembus asapnya keluar. Puntung rokok daun lalu dicucuhkannya ke dalam bekas.

          "Sabarlah, Nan. Ini semua adalah ujian Tuhan. Harus diterima dengan penuh redha." Pak Sudin memberikan kata-kata semangat pada dia.

          "Saya suka tempat ni, Pak Sudin. Saya dah ambil keputusan. Untuk menetap di sini. Saya tak akan kembali semula ke Kuala Lumpur. Saya dah berazam untuk membina kehidupan baru di sini," ujarnya.

          "Bak kata orang kecil tapak tangan nyiru Pak Sudin tadahkan. Pak Sudin terima Nan dengan rasa penuh gembira. Harap Nan sudilah menganggap Pak Sudin macam ayah sendiri. Maklumlah Pak Sudin ni tak ada anak lelaki." Jawapan yang diberikan oleh Pak Sudin.

          "Terima kasih Pak Sudin kerana sudi menerima kehadiran saya. Ibarat anak dagang saya di sini. Tiada keluarga tiada saudara-mara untuk menumpang teduh. Hanya pada Pak Sudin sajalah tempat untuk saya mengadu," Adnan menambah.

          Sementara itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah Hasmah bertemu dengan Harun. Dia memang sudah lama menaruh hati pada anak gadis Pak Sudin ini.

          "Dari mana ni, Hasmah?" tegurnya dengan memandang wajah gadis kampung yang penuh dengan keayuan dan kesopanan itu.

          "Dari rumah Mak Bedah," dia membalas.

          "Kau buat apa pergi rumah dia?" Harun dengan pantas bertanya.

          "Kenapa kau nak tahu pulak?" Ternyata Hasmah tidak berasa senang dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh Harun itu.

          "Salah ke aku nak tahu?" Harun bersuara.

          "Aku balik dululah. Nanti risau pulak ayah aku." Dia memberikan alasan untuk mengelak daripada terus berbual dengan pemuda yang tidak disukainya.

          "Tunggu dulu, Mah. Buat apa nak balik. Kita berbual-buallah dulu," tahan Harun pula sebaliknya.

          "Aku minta maaf, Run. Bukan aku tak mahu berbual dengan kau. Tapi aku kena balik. Banyak lagi kerja kat rumah tu yang belum selesai. Lain kali ajelah, ya," tolaknya dengan baik.

          "Sekejap pun tak boleh?" desak Harun tak putus-putus sambil mengangkat kepala memandang wajahnya.

          "Aku pergi dulu ya, Run. Assalamualaikum!" kata Hasmah dengan cepat mengatur langkah meninggalkan Harun yang duduk di atas motosikal.

          Harun melihat Hasmah berjalan menuju ke rumahnya dengan perasaan tidak puashati kerana gadis idamannya tidak memenuhi permintaannya untuk berbual-bual dengannya dan dia ingin meluahkan rasa hatinya yang setelah sekian lama terpendam menyukai Hasmah untuk dijadikan pasangan hidup.

          "Sombong kau, ya. Tak apa. Kau belum kenal lagi siapa Harun. Satu hari nanti kau akan menjadi milik aku," nekad Harun dan kemudiannya lalu menghidupkan enjin motosikal.
  
BAB 7

          Dengan kemewahan boleh menjadikan seseorang itu berkuasa ke atas segala-galanya di dunia ini. Walhal dia lupa bahawa Tuhan sahaja yang berkuasa terhadap manusia dan dunia ciptaannya. Walau sehebat mana dan kaya sekalipun namun namanya tetap tidak akan dapat menandingi Tuhan Yang Maha Esa.

          Jamil lupa semua itu. Benar-benar telah hanyut dengan keduniaan. Hatinya telah tertutup untuk mendapat keberkatan melalui rezeki yang halal dan diredhai oleh Tuhan. Sebaliknya dia lebih senang memilih untuk mendapatkan kesenangan hidup menerusi cara yang penuh dengan kemungkaran dan haram di sisi agama.

          Pagi lagi dia sudah berada di pejabat pegawai yang meluluskan tender pembinaan taman perumahan di Bukit Mewah. Temu janji telah awal dibuatnya iaitu seminggu yang lepas. Pegawai yang ingin ditemuinya Encik Baharin. Dalam fikirannya sudah terbayang akan keuntungan yang besar sekiranya Syarikat Kenanga Holdings Sdn. Bhd. berjaya memperelohi tender yang berharga jutaan ringgit ini.

          "Macam mana dengan tender tu, Encik Baharin?" dia bersuara.

          "Masih lagi dalam peringkat pemilihan. Lepas tu pihak kami akan bermesyuarat. Untuk memilih syarikat yang dapat projek tu," terang Encik Baharin pada Jamil.

          "Banyak ke syarikat yang masuk dalam tender dalam projek ni?" ulangnya lagi.

          "Banyak, Encik Jamil. Sebab itulah pihak kami kena buat penelitian betul-betul supaya syarikat yang terpilih nanti dapat menjalankan projek tu dengan baik dan memuaskan." Dia sebaliknya memberikan penjelasan kepada Jamil.

          "Bagaimana dengan tender yang syarikat saya hantar? Boleh dapat ke?" Dengan rasa tidak segan dia bertanya pada Encik Baharin.

          "Macam yang saya katakan tadi. Pihak kami mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Saya harap Encik Jamil faham," ujarnya.

          "Mungkin Encik Baharin perlukan habuan agaknya dalam perkara ini. Encik Baharin cakap. Berapa saja yang Encik Baharin minta saya akan beri," dia mendesak.

          Mendengarkan sahaja kata-kata Jamil itu membuatkan Encik Baharin pegawai yang dipertanggungjawabkan dalam tender perumahan di Bukit Mewah ketawa kecil.

          "Kenapa? Encik Baharin tak percaya dengan saya. Ini buktinya." Dia lalu menghulurkan sampul yang berisi wang yang banyak kepada Encik Baharin.

          "Encik Jamil …! Encik Jamil …!" sahutnya sambil menggeleng-gelengkan kepala.

          "Salah cara yang Encik Jamil buat ni. Begini ajelah. Biarlah saya berterus terang. Rasuah adalah satu perbuatan yang terkutuk sehingga boleh merosakkan negara. Jadi, tak usahlah Encik Jamil menggunakan cara yang kotor ni untuk mendapatkan tender tu. Saya mohon Encik Jamil simpan ajelah duit tu. Sebelum saya laporkan perkara ini kepada pihak berkuasa elok rasanya Encik Jamil tinggalkan bilik ni," sambung Encik Baharin lagi dengan panjang lebar.

          Jamil meninggalkan bilik Encik Baharin dengan rasa marah dan kecewa. Dia gagal mengumpan Encik Baharin dengan habuan yang lumayan. Bagi mendapatkan tender perumahan itu.

          Namun dia bertekad dalam hati. Walau apa cara sekalipun aku akan dapatkan tender tu. Projek mewah semacam ini rugi besar kalau tak dapat. Dia berazam akan berusaha habis-habisan untuk mendapatkan tender tu. Demikianlah dahsyatnya Jamil. Sanggup melakukan apa sahaja sehingga sanggup melanggar agama dan undang-undang. Demi memenuhi kehendak hati dan kesenangan dalam hidup.

          Dalam pada itu Harun terus menjalankan peranannya untuk mempengaruhi penduduk kampung supaya berpindah dari Kampung Teluk Pinang. Supaya pembinaan pembinaan hotel mewah bertaraf lima bintang sepertimana yang dirancang oleh Syarikat Kenanga Holdings Sdn. Bhd. dapat dilaksanakan dengan segera.

          "Apa? Ada syarikat dari Kuala Lumpur nak buat kawasan peranginan di sini?" Pak Sudin berasa amat terperanjat bila diberitahu oleh Harun. Orang kuat Jamil dalam projek ni.

          "Ya, Pak Sudin!" angguknya dengan pantas.

          "Syarikat tu akan beri duit yang tinggi. Asalkan Pak Sudin dan orang-orang kampung tinggalkan kampung ni," Harun menambah lagi.

          "Kenapa pulak harus pindah, Run? Kau pun tahu bukan. Di kampung nilah kita dibesarkan dan di kampung ni jugaklah kita akan mati. Bagi orang tua macam aku ni wang yang diberikan tinggi mana sekalipun tak akan dapat mengubah pendirian aku. Begitu jugak dengan orang-orang kampung yang lain," dia menjawab.

          "Pak Sudin jangan tolak tuah. Pindah aje dari kampung ni. Lagipun peluang untuk dapat duit yang banyak ni bukan selalu datang. Tak payah susah-susah nak turun ke laut lagi," pujuk Harun.

          "Selama ni laut tulah tempat untuk aku mengisi perut. Termasuk penduduk kampung yang lain. Hidup aku dah sebati dengan laut. Tak mungkin aku dapat meninggalkannya. Dengan memulakan penghidupan di tempat yang baru." Pak Sudin mempertahankan pendiriannya.

          "Tapi ini semua untuk kesenangan hidup anak cucu Pak Sudin jugak pada masa yang akan datang. Takkan mereka nak mengikut jejak langkah Pak Sudin jadi nelayan," tekannya lagi.

          "Memang itu yang aku harapkan, Run. Semoga cucu cicit aku yang bakal lahir akan meneruskan perjuangan sebagai nelayan. Yang setelah sekian lama diwarisi dari arwah moyang, datuk dan ayah aku," ujar Pak Sudin pada Harun.

          "Susah betullah nak pujuk Pak Harun dengan orang-orang kampung ni. Dah ada orang nak beri hidup senang pun tak nak. Apa susah sangat? Terima ajelah permintaan syarikat dari Kuala Lumpur tu supaya pindah dari kampung ni. Bukannya pindah macam tu aje. Dapat duit lumayan pulak lagi. Hei! Tak fahamlah saya!" keluhnya.

          "Begini ajelah, Run. Kau pesan pada orang dari Kuala Lumpur kami penduduk kampung ni masih sayangkan lagi Kampung Teluk Pinang ni. Biar ditukar dengan emas setempayan sekalipun namanya untuk kami berpindah dari kampung ni tidak sekali-sekali," ingat Pak Sudin.

          Wajah kecewa jelas kelihatan di wajah Harun. Masih lagi gagal untuk mempengaruhi orang-orang kampung supaya berpindah dengan segera dari Kampung Teluk Pinang. Maka serentak dengan itu juga terbayang muka Jamil. Apa yang hendak dicakapkannya nanti apabila semua yang dirancangkan tidak menjadi. Wang sudah dihulur tapi hasilnya tiada. Sudah pasti ini akan membangkitkan kemarahan Jamil kerana melambatkan kerjanya untuk memburu keuntungan yang lumayan melalui projek ini.

BAB 8

          Desiran ombak tenang menghempas pantai. Suasana petang di Kampung Teluk Pinang diselubungi dengan cuaca cerah walaupun tidak kelihatan cahaya matahari di kaki langit. Deru angin yang bangkit dari arah laut jelas terasa kesegarannya. Adnan memandang laut membiru dengan tenang. Sambil menarik nafas yang panjang dia melayani fikirannya yang diusik dengan perjalanan hidup yang ditempuhinya ketika ini.

          Andai kita tak merasa bahagia hari ini usah kecewa kerana mungkin Tuhan sudah sediakan esok hari bahagia untuk kita. Bukan hidup namanya kalau tanpa dugaan. Suka atau tidak kita harus menerimanya. Walaupun kita tidak memintanya. Kerana semua itu adalah ketentuan daripada Tuhan buat kita. Yang hidup buat sementara waktu sahaja di dunia ini. Dia akur dengan semua itu.

          Perjalanan hidup ini juga ibarat roda. Sekejap berada di atas. Sekejap berada di bawah. Dahulu dia benar-benar berada di puncak kemewahan. Berdiri atas nama sebagai Pengarah Syarikat Jati Holdings Sdn. Bhd.

          Tapi kini tidak ada lagi semua itu. Hilang dalam sekelip mata sahaja. Kenikmatan hidup yang dimilikinya telah ditarik semula oleh Tuhan. Itulah hakikat yang harus diterimanya. Hidup ini tak semestinya indah selalu.

          Manis dan pahit adalah rencah utama dalam kehidupan ini. Bila ketawa ramai kawan yang bersama. Namun bila menangis hanya seorang sahaja yang menanggungnya.

          Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan yang dilalui di atas dunia ini. Tak semua orang yang akan berasa gembira apabila melihat anda berjaya. Tapi sebaliknya ramai yang akan berasa gembira apabila melihat anda gagal. Entah mengapa. Dengan tiba-tiba sahaja dia teringatkan kata-kata itu. Di sebalik desiran ombak dan buih-buih memutih yang berapungan membasuh gigian pantai. Dalam keheningan petang yang mewarnai seluruh Kampung Teluk Pinang.

          Sekelumit pertanyaan lantas menjelma dalam dirinya. Dari mana datangnya kata-kata hikmat itu? Seingatnya dia mendapatnya daripada buku. Dia tak pasti apa tajuk buku yang pernah dibacanya itu. Cuma apa yang dia tahu buku itu berkaitan bagaimana cara-cara untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Siapa penulis buku yang hebat dalam dunia korporat itu pun dia sudah lupa namanya.

          Lamunannya yang jauh melayang sehingga ke awangan itu lalu terhenti apabila kedengaran suara wanita memberi salam yang tenggelam bersama deruan ombak yang menghempas pantai. Adnan lantas menoleh ke arah suara itu. Hasmah rupanya. Dia lalu menjawab salam yang dihulurkan oleh Hasmah itu sambil mengukir senyuman.

          "Maafkan saya kerana mengganggu ketenangan Encik Nan …," Hasmah bersuara lembut.

          "Tak mengapa!" gelengnya.

          "Encik Nan nampaknya sedang memikirkan sesuatu," duga Hasmah lagi.

          "Tak payahlah berencik-encik dengan saya. Panggil saja Nan. Kan lebih mesra tak nampaklah perbezaan antara kita berdua," pinta Adnan pula sebaliknya.

          "Sebagai tanda hormat boleh tak kalau saya panggil Abang Nan?" tanyanya pada Adnan.

          "Itulah yang sebaiknya. Lagipun saya dah anggap Pak Sudin dan Hasmah macam ayah dan adik saya sendiri. Walaupun dah baru kenal di kampung ni," tambahnya pula.

          "Abang Nan selesa berada di kampung ni?" tanya Hasmah dengan memandang muka Adnan.

          "Kenapa Hasmah kata begitu?" dia menyoal.

          "Maklumlah abang ni datang dari Kuala Lumpur. Tentu berbeza dengan di kampung ni," balas Hasmah. Wajahnya semakin cantik apabila disapu oleh angin petang yang bertiup halus.

          "Maksud Hasmah abang tak dapat menyesuaikan keadaan di sini?" tekanya.

          "Manalah tahu, kan?" Hasmah mencelah dengan pantas.

          "Keputusan apa?" ucapnya.

          "Terus terang abang katakan. Abang suka tempat ni. Cantik dan tenang," Adnan menjawab.

          "Ayah dah cerita pada Hasmah. Kisah sedih yang menimpa diri abang. Hasmah benar-benar simpati. Dengan apa yang telah terjadi pada abang …," dia bersuara perlahan.

          Adnan lantas terdiam sebaik-baik sahaja mendengar apa yang diluahkan oleh Hasnah itu. Dia kemudiannya lalu mendongakkan kepala memandang laut biru. Yang berhadapan dengannya sambil melemparkan sejauh-jauh catatan duka yang telah menyelubungi hidupnya. Di sebalik alunan ombak yang setia dan tidak mengenal erti jemu menghempas pantai.

          Anak gadis Pak Sudin itu juga jadi terdiam. Bila melihat Adnan asyik memandang laut biru. Dari raut wajah Adnan itu dia dapat membaca. Sedang memikirkan sesuatu yang jawapannya sudah pasti mengenang peristiwa pahit umpama hempedu yang telah menyelubungi hidupnya. Sehingga dia membawa diri ke kampung ini. Untuk melupakan peristiwa yang pedih itu.

          Dia kemudiannya lalu menarik nafas yang panjang. Rasa segar dan dingin jelas terasa. Apabila menghirup angin petang di tepi pantai. Wajah Hasmah dipandangnya dalam-dalam.

          "Apa nak buat, Hasmah. Dah nasib abang jadi begini. Dalam hidup ni kita kenalah banyak bersabar. Bila diuji oleh Tuhan dan abang redha menerima apa yang telah ditentukannya kepada abang," ujarnya pula dengan tenang.

          "Selalulah berdoa pada Tuhan, bang. Moga pada satu hari nanti mendung hitam yang membayangi hidup abang akan berlalu pergi dan disinari dengan kilauan cahaya yang indah," kata Hasmah.

          "Terima kasih, Hasmah!" dia sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Kerana memberikan abang kata-kata semangat!" ulangnya lagi.

          Hidup ini sebenarnya adalah satu perjuangan. Penuh dengan liku-liku dan rintangan yang perlu dihadapi. Adnan mengerti dengan semua itu. Sekali jatuh bukan bererti terus jatuh. Sebaliknya harus bangun dan meneruskan kehidupan selagi diberikan kudrat oleh Tuhan.

          Jangan mudah berasa kecewa dan putus asa apabila dilanda kegagalan dalam hidup ini. Jadilah pengalaman yang dilalui pada masa lalu sebagai guru untuk menjadikan hidup ini lebih baik daripada yang terdahulu. Dengan tiba-tiba sahaja dia teringatkan kata-kata pujangga itu. Dia harus membina kehidupan baru di sini. Melupakan kisah sedih yang telah menimpa dirinya. Biarkanlah ia berlalu pergi ibarat air yang mengalir dan tak usahlah dikenangkan kembali.

          "Hasmah dari mana ni?" Dia mengalih tajuk perbualan.

          "Dari rumah. Tunggu ayah balik dari laut," jawabnya.

          "Bila dia ke laut?" soal Adnan lagi.

          "Padi tadi," Hasmah membalas.

          Tanpa disedari Adnan dan Hasmah diperhatikan oleh Karim. Salah seorang daripada kawan bermain judi Harun. Melalui celah-celah pokok sambil mengangguk-angguk diam sebagai tanda akan memberitahu kepada Harun yang Hasmah gadis pujaannya ada hubungan dengan lelaki yang tidak pernah dilihatnya selama ini. Dia kemudiannya lalu berlalu pergi dari situ. Untuk memberitahu perkara ini dengan segera kepada Harun.

          Lewat petang barulah Pak Sudin pulang dari laut bersama dengan hasil tangkapan ikan. Kepulangannya disambut dengan rasa penuh gembira oleh Hasmah dan Adnan.

BAB 9

          Harun benar-benar berasa marah apabila diberitahu oleh Karim yang dia terserempak dengan Hasmah yang sedang berdua-duaan dengan seorang lelaki di tepi pantai. Rupanya dia dah ada kekasih hati. Patutlah selama ini cinta yang dihulurkannya kepada Hasmah tidak berbalas. Bertepuk sebelah tangan saja. Berani lelaki tu menghalang niat aku untuk memperisterikan Hasmah. Detik hati kecilnya.

          Bukan setakat memberitahu saja. Karim juga mereka-reka cerita yang Hasmah dan lelaki itu bukan main mesra lagi. Tidak segan silu memadu kasih dan berpegang-pegang tangan. Ibarat api yang dicurahkan minyak. Semakin terbakar dibuatnya Harun bila mendengar apa yang dicakapkan oleh Karim itu. Padahal ia tidak dilakukan oleh Hasmah dan lelaki yang dianggapnya seperti abangnya sendiri. Cuma fitnah semata-mata yang ditaburkan oleh Karim.

          Rasa marah bercampur geram semakin meluap-luap dalam diri Harun. Mahu dicarinya lelaki itu sekarang juga. Dapat nanti tahulah dia mengajarnya. Dia tak boleh berdiam diri. Hasmah adalah miliknya seorang. Walau apa pun yang terjadi namanya untuk jatuh ke tangan orang lain tidak sekali-kali akan dibiarkannya.

          "Betul, Run. Takkan kau tak percaya cakap aku ni. Depan mata aku sendiri aku tengok Hasmah yang nampak baik di depan tapi di belakang rupanya terang-terang buat perkara yang tak baik dengan lelaki tu," kata Karim.

          "Jahanam!" dia melepaskan geram dengan menumbuk tangannya.

          "Kau mesti buat sesuatu sebelum terlambat. Kalau tak melepas kau nanti. Aku pun pelik. Kenapalah Hasmah boleh terpikat dengan orang yang tak tentu asal usulnya. Tak pernah aku tengok dia di kampung ni," Karim menambah lagi.

          "Maksud kau dia orang luar?" soalnya sambil mengangkat kepala memandang muka Karim.

          "Ya! Mana boleh kita biarkan orang luar merosakkan gadis-gadis di kampung ni. Terutama sekali Hasmah yang kau gila-gilakan tu," ujar Karim.

          Karim sebaliknya hanya mendiamkan diri. Apabila mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Karim itu. Melalui jendela yang terbuka luas dia melontarkan pandangan sejauh-jauhnya ke arah pohon-pohon yang tumbuh di halaman rumahnya. Bersama api kepanasan yang meletup-letup umpama tumpahan lahar gunung berapi.

          Karim memerhatikan saja Harun yang tercegat berdiri di tepi jendela sambil mengangkat kepala memandang laut.

          "Kau tak perlu beritahu aku semua itu. Tahulah apa yang aku nak buat nanti!" Harun mengeluarkan nada suara keras.

          Selepas menunaikan solat Isyak di masjid Pak Sudin mengajak Adnan ke rumah untuk bersama menikmati makan malam. Suasana malam disinari dengan kerlipan indah cahaya rembulan dan bintang-bintang di kaki langit yang hitam. Kedinginan angin malam jelas terasa segar membungkus seluruh Kampung Teluk Pinang. Bunyi cengkerik yang bersahut-sahutan turut menghiasi keheningan suasana malam yang pekat.

          "Sedap gulai asam pedas ikan tenggiri tadi. Pandai Hasmah masak, Pak Sudin," puji Adnan.

          "Ikan segar memang sedap dibuat gulai. Tak kena air batu. Terasa manis isinya," celah Pak Sudin pula sebaliknya.

          "Pak Sudin tentu dah lama bergelumang dengan laut," ucapnya. Di luar sayup-sayup kedengaran deruan ombak menghempas pantai memecah kesunyian malam.

          "Sejak dari kecil lagi Pak Sudin sudah diajar oleh arwah ayah turun ke laut," Pak Sudin membalas sambil menyucuhkan api pada rokok daun.

          "Tentu banyak pengalaman yang Pak Sudin tempuhi dalam menjalani kehidupan sebagai nelayan," tambahnya.

          "Memang banyak, Nan. Laut mengajar Pak Sudin supaya menjadi kuat dan tenang dalam menghadapi perjalanan hidup ini," dia terhenti seketika sambil menghisap rokok daun. Kemudiannya dihembusnya keluar asap perlahan-lahan.

          Dari raut wajahnya yang kian dimamah usia itu jelas kelihatan dia cuba untuk mengingatkan peristiwa yang menakutkan yang pernah dialaminya sewaktu mencari rezeki di tengah laut.

          "Pak Sudin pernah dipukul gelombang ganas. Ketika itu Pak Sudin hanya mampu berdoa semoga Tuhan melindungi Pak Sudin. Syukur alhamdulillah. Pak Sudin terselamat," dia menyambung.

          "Bagaimana pulak dengan kawan-kawan Pak Sudin yang lain?" tanya Adnan yang memakai songkok, berbaju Melayu dan berkain pelikat dengan penuh minat.

          "Alhamdulillah!" angguknya sambil menghisap rokok dan terbatuk-batuk kecil.

          "Mereka juga selamat," ujar Pak Sudin lagi sambil membuang habuk rokok di dalam bekas.

          Tak lama kemudian muncul Hasmah sambil membawa dulang yang berisi dua cawan air kopi dan sepinggan biskut. Setelah meletakkannya di atas tikar mengkuang dia kemudiannya masuk ke dalam semula sambil membawa dulang yang kosong.

          "Hah! Jemputlah minum, Nan. Malam-malam begini lepas makan pekena air kopi dengan biskut memang sedap," pelawa Pak Sudin.

          "Susah-susah aje Pak Sudin ni. Dahlah kenyang makan nasi. Beri minum air kopi lagi pulak. Segan saya dibuatnya bila datang ke rumah Pak Sudin," dia bersuara.

          "Segan apa pulaknya, Nan. Bak kata orang rezeki jangan ditolak musuh jangan dicari. Hah! Mari kita minum. Tengah air kopi masih lagi panas ni. Nanti sejuk tak sedap pulak," gesa Pak Sudin pada Adnan. Yang duduk bersila berhadapan dengannya.

          "Yalah, Pak Sudin!" Adnan menurut ajakan Pak Sudin itu sambil mengangkat cawan dan kemudiannya perlahan-lahan meletakkannya semula di atas piring yang menjadi alas.

          "Besok Pak Sudin turun ke laut?" dia menyoal.

          "Turun!" Pak Sudin menjawab setelah menghirup air kopi.

          "Boleh saya ikut? Saja nak cari pengalaman turun ke laut," pintanya.

          "Boleh! Apa salahnya. Pak Sudin rasa gembira bila mendengar Nan nak ikut turun ke laut. Lepas solat Subuh nanti kita pergi," jelas Pak Sudin.

          "Insya-Allah, Pak Sudin!" dia pula sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Besok pagi selepas solat Subuh saya tunggu Pak Sudin di pantai," ulangnya lagi.

          Dia kemudiannya memohon diri untuk pulang. Kedinginan malam terus dibasahi dengan alunan suara ombak menghempas pantai.

BAB 10

          Bagi Jamil projek pembinaan hotel mewah bertaraf lima bintang di Kampung Teluk Pinang mesti dilaksanakan walaupun mendapat tentangan daripada penduduk kampung. Dia berasa amat yakin dengan menaruh kepercayaan kepada Harun untuk memujuk orang-orang kampung supaya berpindah projek yang telah dirancangkan akan berjaya juga akhirnya. Dunia sekarang dunia wang. Dengan wang baginya dia boleh membeli segala-galanya untuk memenuhi impiannya terus menikmati kemewahan hidup. Sekarang aje mereka menolak wang. Tapi satu hari nanti mereka akan terima jua. Siapa yang tak nak duit dalam dunia? Katanya dalam hati.

          Setibanya dia di pejabat dia diberitahu oleh Norain yang Dato' Zainal mahu berjumpa dengannya. Ini mesti pasal projek tu. Dia sudah dapat meneka. Tanpa berlengah lagi dia terus menuju ke bilik Dato' Zainal.

          "Apa perkembangan terkini tentang projek tu?" dia menyoal Jamil.

          "Masih menunggu orang-orang kampung untuk berpindah," dia menjawab.

          "Mereka masih belum pindah lagi?" Dato' Zainal sebaliknya berasa amat terkejut apabila mendengar penjelasan yang diberikan oleh Jamil itu.

          "Kenapa perkara ni tak selesai lagi, Jamil. Awak kata tak ada masalah nak suruh orang-orang kampung berpindah. Awak tahu, kan. Mengikut perancangan yang kita susun projek ni dah boleh mula pada bulan ni. Jadi, macam mana sekarang ni, Jamil? Awak sebagai pegawai projek yang telah saya tugaskan mesti cepat bertindak. Kalau tidak rugi kita nanti. Disebabkan tak dapat buat projek mewah ni," ungkit Dato' Zainal lagi dengan panjang lebar.

          Rasa kekecewaan jelas nampak di muka tokoh korporat itu. Disebabkan kelewatan Jamil untuk menjalankan projek ini.

          Jamil lantas terdiam sebaik-baik sahaja mendengar kata-kata yang kurang senang yang dilemparkan oleh Dato' Zainal kepadanya. Mati akal dia dibuatnya untuk memberi jawapan yang dapat memuaskan hati Dato' Zainal berhubung dengan perkara ini. Melalui jendela kaca di bilik Dato' Zainal dia mencuri pandang ke luar. Untuk mencari jawapan yang dapat diterima oleh Dato' Zainal berkenaan dengan projek mewah di Kampung Teluk Pinang.

          Cuaca cerah kelihatan menyinari seluruh bandar raya Kuala Lumpur. Namun tiada kecerahan buat dirinya. Yang ketikanya menjadi ketidaktentuan kerana ditegur oleh Dato' Zainal angkara projek pembinaan hotel mewah bertaraf lima bintang belum lagi dilaksanakan mengikut rancangan dalam kertas kerja yang telah dibuatnya.

          Bunyi telefon bimbit Dato' Zainal tiba-tiba kedengaran. Dia lalu menjawab panggilan yang diterimanya itu.

          "Panggilan daripada Mr. David. Ahli perniagaan daripada Australia. Dia amat berminat untuk melabur dalam hotel mewah yang kita nak bina tu," katanya selepas sahaja berbual dengan usahawan daripada negara luar itu.

          "Dia sekarang berada di sini ke, Dato'?" duga Jamil.

          "Ya!" Dato' Zainal mengangguk-anggukkan kepala sambil meletakkan telefon bimbitnya di atas meja.

          "Dia datang ke sini untuk bercuti. Tengah hari ni saya akan makan tengah hari dengan dia di hotel tempat dia menginap. Sambil tu akan bincang tentang pelaburan di hotel mewah tu. Saya harap peluang sebegini jangan dilepaskan. Faham!" sambung Dato' Zainal lagi. 

          "Saya faham, Dato'. Dalam dunia yang bernama bisnes kita mesti cepat bertindak. Kalau tidak kita akan keciciran," dia menambah.

          "Baguslah kalau awak beranggapan macam tu. Saya serahkan kepada kebijaksanaan awak untuk menangani masalah orang-orang kampung yang enggan berpindah yang menjadi halangan dalam projek kita ni," ucap Dato' Zainal.

          "Dato' jangan bimbang. Projek ni pasti akan  berjaya." Dia memberi keyakinan kepada Dato' Zainal.

          Kesyahduan belaian angin benar-benar terasa mendamaikan jiwa. Suara gemersik sang ombak bersama nyanyian merdu sang camar yang bebas berterbangan ke sana sini membangkitkan rasa ketenteraman di hati. Demikianlah indahnya anugerah Tuhan untuk penduduk di sebuah perkampungan nelayan. Bernama Kampung Teluk Pinang.

          "Macam mana rasanya turun laut ke tadi?" tanya Pak Sudin.

          "Seronok, Pak Sudin. Lebih-lebih lagi Pak Sudin mengajar saya cara-cara menangkap ikan dengan menggunakan pukat. Banyak juga ikan kita dapat hari ini," dia menjawab.

          "Dah rezeki kita, Nan. Syukur alhamdulillah. Yalah! Rezeki nelayan macam Pak Sudin ni tak menentu. Hari ni dapat ikan banyak. Esok belum tentu lagi. Tambah pulak musim tengkujuh. Langsung tak dapat turun ke laut," jelas Pak Sudin.

          Begitulah cabaran hidup yang dihadapi oleh mereka yang dipanggil nelayan. Mengharungi lautan yang kadangkala dilambung gelombang memang tidak dapat dipisahkan dalam hidup mereka. Selagi masih diberi kesempatan untuk melihat sang mentari di siang hari dan rembulan di malam hari.

          "Saya suka tengok laut. Tenang. Bersama ombak yang tabah menghempas pantai," luahnya.

          "Demikianlah ibaratnya kehidupan kita. Biar apa jua dugaan yang datang kita harus kuat menghadapinya. Bukannya mudah berasa putus asa dan tidak dapat menerima ketentuan takdir Tuhan," Pak Sudin berkata.

          Sedar-sedar matahari yang tadinya cerah lalu bertukar warna seperti buah pinang masak. Menandakan senja akan melabuhkan tirainya menyambut malam. Tak lama kemudian kedengaran azan maghrib berkumandang yang dilaungkan oleh bilal masjid. 

BAB 11

          Lamaran Jamil untuk menjadikannya isteri benar-benar membuatkan Faridah berada dalam keadaan serba salah. Siang dan malam dia jadi tidak menentukan. Memikirkan niat Jamil untuk berkongsi hidup yang buatnya kali yang kedua. Saban hari Jamil menghubunginya untuk mendapatkan jawapan namun dia meminta lelaki itu bersabar dan memberi peluang kepada dia untuk memikirkan perkara ini semasak-masaknya sebelum memberi keputusan kepada Jamil sama ada untuk menerima atau menolak lamarannya itu.

          "Tak usah fikir panjang-panjang, Idah. Terima ajelah lamaran Jamil tu!" Datin Maria mendesak.

          "Mama ni senang aje suruh Idah terima lamaran Jamil tu. Kahwin ni bukan satu hari, mama. Idah tak nak pisang berbuah dua kali," jelasnya pula.

          "Itu mama tahu. Hei! Kau ingat mama ni apa. Dulu lagi makan garam daripada kau. Apa kurangnya Jamil tu. Orangnya berada. Dah tentu hidup kau senang nanti," ibunya menambah lagi.

          "Memang itu yang Idah mahukan, mama. Suami yang boleh memberi kesenangan dalam hidup ini. Sebab itulah Idah minta cerai daripada Adnan bila syarikat dia jatuh. Buat apa bersuamikan Adnan yang dah papa kedana dan memalukan mama aje sebagai ibu mentua yang bergelar datin," ujar Faridah.

          "Hah, tahu pun! Dah tu buat apa fikir lama-lama? Buatnya Jamil tu dah bosan menunggu kau yang tak beri kata putus. Dicarinya pulak perempuan lain. Melepas kau. Baru rasa menyesal. Kau nak jadi macam tu ke?" ingat ibunya.

          "Entahlah, mama. Makin difikirkan perkara ini makin buntu Idah dibuatnya. Tak tahulah apa yang Idah nak buat," terangnya.

          "Idah, perkara ni tak berat sebenarnya. Kau yang buatnya berat. Bagi mama senang aje. Kahwin sajalah dengan Jamil. Kalau nak hidup tu senang. Tapi kalau kau masih lagi sayangkan Adnan jawabnya menjandalah kau buat selama-lamanya," ucap Datin Maria pula sebaliknya.

          Kedengaran bunyi motosikal memasuki halaman rumah Pak Sudin. Dia yang sedang menjahit jaring yang koyak lantas terhenti dan menoleh ke arah bunyi motosikal itu. Untuk melihat siapa yang datang. Harun lalu mematikan enjin motosikal dan menuju ke arah Pak Sudin yang memegang jaring sambil menghisap rokok daun.

          "Hah, kau rupanya, Run. Ingatkan siapa yang datang tadi. Hah! Jemputlah naik ke rumah," sambut Pak Sudin.

          "Tak payah, Pak Sudin. Kat bawah ni ajelah," balasnya.

          "Ada apa ni, Run? Macam ada perkara mustahak aje yang kau nak beritahu." Pak Sudin dapat membaca riak wajah Harun yang nampak macam ada rasa tidak senang untuk diberitahu kepadanya.

          "Sebab itulah yang saya nak beritahu Pak Sudin," katanya dengan pantas.

          "Apa dia?" Pak Sudin menyoal Harun.

          "Saya dapat tahu yang Pak Harun sekarang dah ada anak angkat. Adnan namanya. Datang dari Kuala Lumpur," jelasnya.

          "Betul!" angguk Pak Sudin. Apabila mendengar kata-kata Harun itu.

          "Kenapa dengan dia?" sambungnya lagi sambil memandang wajah Harun yang berdiri berhadapan dengannya.

          "Pak Sudin ni senang-senang aje terima dia. Dahlah tu Karim beritahu yang dia berdua-duaan dengan Hasmah di tepi pantai. Kan tak elok namanya tu. Buat nama buruk kampung ni aje!" Dia melepaskan rasa tidak puashati pada Pak Sudin.

          "Niat dia datang ke kampung ni baik. Tak elok bersangka buruk pada dia, Run. Dia dan Hasmah menunggu aku pulang dari laut. Tak ada dia orang buat perkara yang melanggar batas agama.

          "Sebab itulah yang saya nak beritahu Pak Sudin," katanya dengan pantas.

          "Apa dia?" Pak Sudin menyoal Harun.

          "Saya dapat tahu yang Pak Harun sekarang dah ada anak angkat. Adnan namanya. Datang dari Kuala Lumpur," jelasnya.

          "Betul!" angguk Pak Sudin. Apabila mendengar kata-kata Harun itu.

          "Kenapa dengan dia?" sambungnya lagi sambil memandang wajah Harun yang berdiri berhadapan dengannya.

          "Pak Sudin ni senang-senang aje terima dia. Dahlah tu Karim beritahu yang dia berdua-duaan dengan Hasmah di tepi pantai. Kan tak elok namanya tu. Buat nama buruk kampung ni aje!" Dia melepaskan rasa tidak puashati pada Pak Sudin.

          "Niat dia datang ke kampung ni baik. Tak elok bersangka buruk pada dia, Run. Dia dan Hasmah menunggu aku pulang dari laut. Tak ada dia orang buat perkara yang melanggar batas agama," Pak Sudin bersuara.

          "Sedapnya Pak Sudin bercakap!" Harun sebaliknya menggeleng-gelengkan kepala bila mendengar jawapan yang diberikan oleh Pak Sudin itu. Sebagai tanda tidak dapat menerima apa yang dikatakannya itu adalah kebenaran dan bukannya membuat tuduhan secara melulu tanpa membuat usul periksa terlebih dahulu.

          "Buatnya terjadi sesuatu yang tak elok hah siapa yang susah nanti?" Dia mendongakkan kepala tinggi memandang muka Pak Sudin sambil menunjukkan rasa angkuh dengan berkcekak pinggang. Seolah-olah merasakan apa yang dikatakannya itu adalah betul belaka dan Pak Sudin harus menerimanya bulat-bulat dan bukannya membuat pertikaian.

          "Pak Sudin juga yang susah. Dah tentu seluruh orang kampung akan bercerita. Pak Sudin nak ke perkara macam ni berlaku?" Harun mengeluarkan nada suara keras.

          "Begini ajelah, Run. Tak usah kita panjang-panjangkan perkara ni. Jauhkanlah daripada kerja menabur fitnah ni. Tak ada faedahnya. Dosa pulak dapat. Marilah kita turun ke laut. Mencari rezeki," nasihatnya.

          Harun benar-benar rasa tercabar dan marah apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Pak Sudin itu.

          "Pak Sudin tengoklah nanti. Pasti Pak Sudin akan menyesal satu hari nanti. Angkara anak angkat Pak Sudin yang datang dari Kuala Lumpur tu!" Dia memberi peringatan dan kemudiannya lalu menghidupkan enjin motosikal dan meninggalkan halaman rumah Pak Sudin.

          "Kenapa dengan Harun tu, ayah? Datang marah-marah aje?" Hasmah yang muncul dari dalam rumah lalu bertanya kepada ayahnya yang berada di halaman. Mungkin dia telah mendengar perbualan ayahnya dengan Harun.

          "Entahlah, Mah. Kau faham-faham ajelah perangainya tu," dia berkata.

BAB 12

          Suasana pagi di Kampung Teluk Pinang dibungkus dengan rasa kedinginan. Mungkin kesan daripada hujan yang turut lebat malam tadi. Langit nampak kelabu. Matahari tidak kelihatan menampakkan sinarnya.

          "Pak Sudin tak ke laut ke hari ni?" dia menyoal.

          "Turun?" Pak Sudin mengangguk-anggukkan kepala menjawab pertanyaan Adnan itu.

          "Kenapa? Nak ikut ke?" dia menyambung sambil memandang wajah Adnan.

          "Ya, Pak Sudin!" angguk Adnan pula sebaliknya.

          "Bila ikut Pak Sudin ke laut saya benar-benar berasa gembira dan dapat melupakan peristiwa hitam yang telah menimpa diri saya," jelasnya.

          "Maksud Nan bila menangkap ikan di laut dapat memberikan ketenangan di jiwa, Nan?" Nada suara Pak Sudin tenggelam bersama hembusan bayu laut yang mengalunkan irama sepoi-sepoi bahasa.

          "Benar, Pak Sudin. Laut mengajar saya supaya menjadi kuat dan tabah. Tidak mudah putus asa bila gagal dalam hidup ini," katanya.

          Deruan angin yang tadinya bertiup halus tiba-tiba bertukar menjadi kencang. Pohon-pohon yang tumbuh di tepi pantai mengangguk-angguk. Seolah-olah turut merestui dengan apa yang dikatakan oleh Adnan itu. Sebuah penghidupan baru telah ditemuinya di sini. Kampung Teluk Pinang. Di mana penduduknya menabur bakti dengan turun ke laut. Menangkap ikan sebagai rezeki kurniaan Tuhan yang mereka syukuri nikmatnya dalam kehidupan ini.

          "Pak Sudin kagum dengan Nan," ujarnya.

          "Kagum?" Dia berasa hairan apabila mendengar kata-kata Pak Sudin itu.

          "Benar!" angguk Pak Sudin pula sebaliknya.

          "Nan cepat menyesuaikan diri dengan keadaan di sini," terang Pak Sudin.

          "Bagi saya bila dah suka sesuatu itu bukan halangan untuk menerimanya walaupun ia adalah baru dalam kehidupan saya," dia membalas.

          Harun mendapat panggilan telefon daripada Jamil. Dia nak jumpa Harun besok. Mesti berkenaan dengan projek tu. Suruh orang-orang kampung berpindah dengan segera. Sebab menjadi pengacau sehingga projek pembinaan hotel mewah lima bintang seperti yang dirancangkan oleh Jamil tidak dapat dijalankan. Dia dapat membaca semua itu yang akan dicakapkan oleh Jamil nanti.

          "Macam mana ni, Run? Hari-hari dato' tanya aku bila nak mula projek tu. Tapi kau tak buat jugak apa yang aku suruh!" tegasnya.

          "Bukan aku tak buat, Mil …," Harun terhenti.

          "Dah tu? Sampai sekarang orang-orang kampung tak pun berganjak. Kau ni buat ke tidak kerja yang aku suruh!" dia pantas memotong.

          "Dengar dulu, Mil. Kau jangan tuduh aku tak buat apa yang kau suruh," celah Harun pula.

          "Alasan apalagi yang kau nak beri ni," keluh Jamil. Seperti berasa bosan apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh orang suruhannya itu. Supaya memujuk penduduk Kampung Teluk Pinang berpindah.

          "Kena ambil masa jugak nak suruh orang-orang kampung ni berpindah. Bukannya senang. Sekali cakap dia orang dengar. Kau kenalah faham," jelasnya pada Jamil.

          Tiba-tiba kedengaran bunyi telefon bimbit Jamil. Dengan pantas dia menjawab panggilan itu. Panggilan daripada Borhan. Nak berjumpa dengannya. Untuk berbincang dengan perniagaan di tempat yang ditentukan oleh Borhan. Dia bersetuju. Selesai sahaja bercakap dengan Borhan dia memandang semula muka Harun.

          "Dah! Aku tak mahu dengar apalagi alasan kau. Aku tahu orang-orang kampung pindah dari tempat tu. Macam mana yang kau nak buat suruh dia orang pindah kau fikirlah. Faham!" ingatnya dalam nada suara yang keras. Kerana marah pada Harun yang gagal menjalankan peranannya untuk memujuk orang-orang kampung supaya keluar daripada perkampungan nelayan itu. Bagi membolehkan projek mewah yang untungnya besar dapat dibuat dengan segera.

          "Yalah! Yalah!" angguk Harun beberapa kali. Sambil mengerutkan mukanya. Sebagai tanda tidak senang apabila mendengar kata-kata keras yang dilemparkan oleh Jamil kepadanya.

          "Aku tahulah apa nak buat," ulangnya.

          "Jangan pandai cakap aje. Buktikan pada aku. Kau boleh suruh dia orang pindah. Ingat tu!" Jamil menunjukkan jari telunjuk tangan kanannya pada Harun sebagai tanda peringatan.

BAB 13

          Kereta mewah milik Jamil kelihatan memasuki tempat pertemuan yang telah diatur oleh Borhan. Wajahnya nampak bengis dan berkepala botak. Badannya yang besar dan bermisai nampak menggerunkan bagi mereka yang bersemuka dengannya. Dua orang kuatnya juga bersama dengan dia menunggu kedatangan Jamil.

          "Kau datang tepat pada masanya," Borhan bersuara.

          "Aku perlukan barang tu," katanya.

          "Boleh!" Dengan pantas Borhan mengangguk-anggukkan kepala. Tanda setuju dengan permintaan Jamil itu.

          "Mana wangnya?" ulangnya lagi sambil mengangkat kepala memandang muka Jamil yang berdiri berhadapan dengannya.

          "Ada! Nanti aku ambil," Jamil membalas.

          Dia kemudiannya lalu mengatur langkah ke kereta dan mengambil sebuah beg dan menyerahkannya kepada Borhan.

          "Tengoklah. Cukup atau tidak?" ujarnya pula.

          "Cukup!" Borhan menjawab sambil menganggukkan kepala. Dia lalu menyerahkan beg yang berisi wang itu kepada Tahir. Manakala seorang lagi yang bernama Salim menyerahkan bungkusan besar kepada Jamil.

          "Macam mana? Puas hati?" tanya Borhan pada Jamil yang sedang meneliti bungkusan yang berisi dadah.

          "Memang kena dengan bayarannya," sahutnya pula dengan rasa penuh gembira.

          Sudah terbayang di kepalanya keuntungan yang akan didapatinya nanti hasil daripada menjual benda yang menjadi musuh utama negara itu. Tanpa memikirkan apa akibatnya nanti.

          "Baiklah! Aku pergi dulu. Kalau kau perlukan barang ni lagi beritahu aku. Tapi kita jumpa di tempat lain. Supaya polis tidak dapat mengesan kita!" pesan Borhan.

          "Ok! Aku faham!" angguknya.

          Bayu laut berhembus perlahan dan nyaman. Gema suara sang camar putih yang bebas riang berterbangan di angkasa nan luas jelas kedengaran memecahkan suasana di tepi pantai. Nyanyian deru ombak yang menghempas pantai sungguh indah mengalunkan jiwa apabila didengar.

          "Dalam hidup ini biar kita kalah asalkan jangan mengalah," ujar Adnan.

          "Menarik sekali kata-kata itu. Saya tak pernah mendengarnya. Dari mana abang mendapatnya?" Hasmah menyoal dengan rasa penuh minat.

          Dia tidak menjawab pertanyaan Hasmah itu. Laut yang nampak tenang dengan desiran ombak yang tak putus-putus menghempas pantai bersama buih-buih memutih yang berapungan membasahi gigian pantai direnungnya dengan penuh dalam.

          Hasmah memerhatikan sahaja gelagat Adnan yang melihat tajam laut yang membiru itu. Mungkin dia sedang memikirkan jawapan pada pertanyaan aku tadi. Teka hati kecil Hasmah.

          Adnan lantas menarik nafas panjang dan memalingkan mukanya pada Hasmah yang kelihatan semakin ayu wajahnya apabila disapu angin laut yang bertiup lembut dan nyaman. Semakin cantik dan berseri lagi apabila dia bertudung yang melitupi kepala dan berbaju kurung dan berkain batik.

          "Abang gemar membaca buku yang berunsurkan falsafah," akuinya.

          "Tentu abang ni seorang yang mempunyai banyak ilmu pengetahuan. Yalah! Rajin membacalah katakan," puji Hasmah pula sebaliknya.

          Dia lalu ketawa kecil apabila mendengar Hasmah berkata begitu. Sebenarnya dia berasa tidak senang apabila mendengar pujian itu.

          "Ramai lagi orang yang berilmu. Bukan selalu abang membaca. Sekali-sekala aje. Itu pun bila ada kelapangan. Maklumlah dunia abang ni siang dan malam sibuk dengan dunia perniagaan," terangnya pada Hasmah.

          "Tapi sekurang-kurangnya abang ada membaca jugak, kan?" celah Hasmah sambil memandang muka Jamil.

          "Bagi abang membaca amat penting dalam hidup ini. Tak kira siapa. Ilmu pengetahuan bagi abang adalah harta yang amat bernilai dan orang yang kaya dengan ilmu di dada sentiasa dipandang tinggi," jelasnya.

          Selepas menunaikan solat Maghrib dan bersalaman dengan Tok Imam dan orang-orang kampung Pak Sudin lalu mengatur langkah untuk pulang ke rumah.

          Langkahnya pantas terhenti apabila kedengaran suara orang memanggil namanya. Datangnya dari arah belakang. Pak Sudin lalu menoleh ke belakang untuk melihat orang yang memanggil namanya.

          "Tok yang panggil saya rupanya. Ingatkan siapa tadi," dia menjawab.

          "Boleh kita bercakap sekejap?" tanya Tok Ketua.

          "Boleh!" Pak Sudin dengan cepat mengangguk-anggukkan kepala.

          "Apa salahnya, tok? Cakaplah. Apa dia?" ujarnya lagi sambil memandang Tok Ketua yang memakai songkok, berbaju Melayu dan berkain pelikat.
          "Begini, Din. Aku dengar kau sekarang dah ada seorang anak angkat lelaki. Datang dari Kuala Lumpur," Tok Ketua berkata.

          "Benar, tok. Ada apa yang tak kena dengan dia ke, tok?" Dia sengaja menduga Tok Ketua dengan mengajukan pertanyaan itu.

          "Harun ada beritahu aku yang dia nampak anak kau Hasmah buat dengan dia selalu buat perkara yang tak elok di tepi pantai," tambah Tok Ketua.

          "Jadi, tok percayalah dengan cakap si Harun tu?" Jawapan yang diberikan oleh Pak Sudin terhadap tohmahan yang dilemparkan oleh Harun terhadap anak gadisnya dan Adnan.

          "Aku taklah bermaksud begitu. Bagi aku sebagai ketua di kampung ni aku harus menjalankan kewajipan untuk menegur sesuatu perkara yang tidak baik dengan seadilnya dan menyiasat terlebih dahulu. Sama ada benar atau tidak. Bukannya bertindak secara melulu. Tambah pulak apa yang dicakapkan oleh Harun tu tak aku lihat sendiri dengan mata aku," kata Tok Ketua dengan panjang lebar.

          "Alhamdulillah tok berfikiran begitu. Insya-Allah, tok. Saya akan pastikan nama baik kampung ni tak akan tercemar disebabkan perbuatan anak saya dan anak angkat saya dari Kuala Lumpur tu," janjinya.

          "Itulah yang sebaik-baiknya, Din. Marilah kita sama-sama berdoa semoga kampung ni sentiasa dihindari daripada perkara yang tidak baik dan mendatangkan kemungkaran," ujar Tok Ketua.

          Dia kemudiannya memohon diri untuk pulang ke rumah sambil bersalaman dengan Pak Sudin. Sebelum mengatur langkah meninggalkan masjid dia memberi salam dan dijawab dengan anggukan oleh Pak Sudin yang tercegat berdiri memerhatikan Tok Ketua berlalu pergi dari situ dengan menaiki motosikal.

          Angin malam bertiup lembut membasahi seluruh Kampung Teluk Pinang bersama sayup-sayup suara desiran ombak membelah pantai dalam kesamaran suasana yang diwarnai hitam yang pekat.

BAB 14

          Selepas bermesyuarat dengan kakitangan Syarikat Kenanga Holdings Sdn. Bhd., Dato' Zainal lalu meninggalkan pejabat menuju ke Hotel Impiana. Dia ada temu janji makan tengah hari bersama dengan Dato' Badrul, Pengarah Urusan Syarikat Cendanapura Corporation Sdn. Bhd.

          "Macam mana dengan bisnes kau sekarang, Nal?" Dato' Badrul menyoal sambil menikmati hidangan tengah hari.

          "Banyak jugak aku dapat projek. Tapi projek yang paling besar pembinaan hotel bertaraf lima bintang di Kampung Teluk Pinang," jelasnya.

          "Tengah berjalan ke sekarang?" Dato' Badrul bertanya sambil melihat wajah Dato' Zainal yang duduk berhadapan dengannya.

          "Belum lagi?" dia menjawab sambil menggeleng-gelengkan kepala.

          "Projek tu ada masalah. Tapi aku yakin ia dapat diatasi," terangnya sambil melekatkan straw pada bibir dan menyedut air teh 'o' ais limau.

          "Apa masalahnya?" Dato' Badrul bertanya dengan rasa penuh minat.

          "Penduduk kampung tak nak pindah. Sebab itulah projek tu tak dapat dijalankan," jelasnya lagi.

          "Besar masalah tu, Nal," kata Dato' Badrul pula sebaliknya.

          "Memang masalah besar, Bad. Namun aku tetap yakin. Seperti yang aku cakapkan tadi. Masalah ini akan selesai juga akhirnya," dia menambah.

          "Kau jangan terlalu yakin, Nal. Masalah orang kampung pun kau tak dapat selesaikan sampai sekarang. Inikan pulak projek yang kau rancangkan nak berjaya," nasihat Dato' Badrul pula pada rakan perniagaannya itu.

          "Aku dah serahkan sepenuhnya projek ini kepada Jamil untuk menjalankannya. Aku rasa kau kenal dia," dia bersuara.

          "Jamil yang bekerja dulu dengan Syarikat Jati Holdings Sdn. Bhd. kepunyaan Adnan," ujar Dato' Badrul.

          "Ya!" angguknya.

          "Kau tahu kan yang syarikat Adnan tu dah bankrap. Jadi aku ambil dia bekerja. Dia yang buat kertas kerja projek ni," dia menyambung.

          Dari jauh kelihatan bot yang dinaiki oleh Pak Sudin dan Adnan terbuai-buai dipukul oleh ombak di tengah laut.

          "Tak banyak kita dapat ikan hari ni, Pak Sudin," ucapnya.

          "Yalah! Dah tu banyak rezeki kita. Syukur jugaklah. Walaupun sikit dapat jugak kita ikan," Pak Sudin menjawab sambil tangan kanannya menyeka peluh yang membasahi dahinya. Akibat dibakar terik bahang mentari.

          "Samalah jugak masa saya berniaga dulu. Ada harinya mewah dengan untung. Ada harinya pedih dengan rugi," katanya.

          "Itu dah jadi lumrah dalam dunia berniaga. Tak semua hari-hari kita akan berjaya. Ada juga hari kita akan gagal," sokong Pak Sudin pula.

          "Saya amat bersetuju sekali dengan apa yang Pak Sudin cakapkan tu. Walaupun syarikat saya besar dan berpengaruh tapi akhirnya jatuh juga," luahnya.

          "Kenapa syarikat Nan boleh jatuh dengan tiba-tiba?" Pak Sudin menyoal sambil mengangkat kepala tinggi sedikit melihat muka Adnan.

          "Entahlah, Pak Sudin. Saya sendiri pun tak tahu kenapa ia boleh terjadi. Saya menjalankan perniagaan dengan cara yang baik. Mungkin dah nasib saya agaknya. Syarikat yang menjadi tempat saya mencari rezeki selama ini jatuh …." Adnan mengeluarkan nada suara yang perlahan tapi jelas didengar oleh Pak Sudin.

          "Mungkin ada hikmahnya di sebalik semua itu," tambah Pak Sudin pula sebaliknya sambil memegang lembut bahu Adnan.

          Dia terus terdiam. Memikirkan nasib malang yang tanpa diduganya tiba-tiba saja menimpa dirinya. Dahulu dia duduk dalam bilik yang berhawa dingin. Sebagai Pengarah Urusan Syarikat Jati Holdings Sdn. Bhd.

          Namun sekarang semuanya telah berubah dalam sekelip mata saja. Mengikut Pak Sudin yang menjadi ayah angkatnya di Kampung Teluk Pinang tempat dia membawa diri untuk melupakan peristiwa pilu yang telah melanda dirinya dengan turun ke laut untuk mengubah kerjaya daripada seorang ahli perniagaan kepada seorang nelayan.

          Sebagai orang tua yang kaya dengan pengalaman hidup, Pak Sudin dapat membaca apa yang sedang membelenggu di wajah Adnan itu yang kelihatan tunduk ke bawah. Sudah tentu dia mengenangkan kembali peristiwa sepahit hempedu yang terpaksa ditelannya walaupun bukan itu yang dipintanya. Namun sudah tertulis sebagai suratan takdir dari Tuhan yang harus diterimanya dengan rasa penuh sabar dan redha.

          Pak Sudin tidak mahu anak angkatnya itu berterusan melayan rasa kekecewaan di hati.

          "Sudahlah tu, Nan. Apa yang telah terjadi tak usahlah dikenang kembali. Anggaplah ia sebagai dugaan hidup yang harus ditempuhi. Sentiasalah berdoa pada Tuhan moga diberikan kekuatan untuk menempuhi hari-hari yang bakal mendatang." Pak Sudin memberikan kata-kata semangat dan perangsang kepada Adnan.

          Pabila mendengar kata-kata itu lantas memberikan kekuatan kepadanya untuk melupakan peristiwa sedih yang telah menimpa dirinya dan membuka lembaran baru untuk meneruskan kehidupan selagi diberikan kesempatan oleh Tuhan di atas dunia ciptaannya ini.

          "Marilah kita balik. Hari pun dah nak lewat petang ni," ajak Pak Sudin pula sebaliknya.

BAB 15

          Tok Ketua kelihatan sedang membaca akhbar di ruang tamu rumah. Tiba-tiba kedengaran suara orang memanggil namanya dari bawah rumah. Dia lantas terhenti daripada membaca akhbar dan menuju ke pintu untuk melihat siapa yang datang.

          "Hah! Kau rupanya, Run. Hah, naiklah!" jemputnya sambil berdiri di muka pintu.

          Harun pun naik ke rumah dan bersalaman dengan Tok Ketua. Dia kemudiannya mengarahkan isterinya untuk membuat minuman.

          "Saya datang ni ada perkara mustahak nak minta tolong dengan tok," jelas Harun.

          "Tolong apa, Run?" dia bertanya.

          "Sebagai ketua di kampung ni tok mesti tolong saya supaya pengaruhi orang-orang kampung keluar dari tempat ni," terang Harun lagi.

          "Keluar dari kampung ni?" Tok Ketua berasa amat terkejut sekali seperti berpura-pura tidak mengerti apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Harun itu.

          "Ya, tok!" Harun menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Eh, kenapa pulak orang-orang kampung harus keluar dari tempat ni. Kalau pindah nanti mana mereka nak tinggal. Lagipun kita dah lama tinggal di kampung ni. Apa sebenarnya ni, Run? Yang kau beria-ia sangat suruh orang-orang kampung tinggalkan tempat yang banyak memberikan kita rezeki selama ni," kata Tok Ketua pula sebaliknya pada Harun dengan panjang lebar.

          "Begini, tok. Ada syarikat dari Kuala Lumpur nak buat hotel bertaraf lima bintang di kampung kita ni. Untungnya sangat besar, tok," terangnya.

          "Untung besar apa yang kau maksudkan ni, Run?" tanya Tok Ketua.

          Isteri Tok Ketua muncul sambil membawa dulang berisi minuman dua cawan air teh 'o' dan sepinggan kuih koci. Selepas meletakkannya di atas meja dia masuk semula ke dalam sambil membawa dulang. Tok Ketua kemudiannya menjemput Harun untuk menikmati minuman dan makanan yang dihidangkan.

          "Orang-orang kampung bukan disuruh pindah kosong, tok. Mereka diberikan tempat baru dan pampasan yang tinggi. Hah! Bila dah dapat duit banyak nanti tok dan orang-orang kampung tak payah bersusah payah lagi turun ke laut," jelasnya pada Tok Ketua.

          "Run! Run!" Tok Ketua menggeleng-gelengkan kepala apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Harun itu.

          "Apa? Tok tak percaya dengan cakap saya ni?" dia membalas dalam nada suara yang berbunyi kehairanan.

          "Senang aje kau bercakap. Kau ingat dengan mengumpan wang ringgit dari orang kaya dari Kuala Lumpur kami penduduk kampung ni akan berpindah. Tidak sekali-kali, Run. Biar dicincang lumat sekalipun kami akan tetap tinggal di kampung ni. Sehinggalah berakhirnya nafas ni!" Tok Ketua membantah.

          "Tapi, tok …," ujar Harun.

          "Sudah! Perkara ni aku sendiri dah dengar dari orang-orang kampung. Sebelum kau datang berjumpa dengan aku. Mereka dah sebulat suara dan bersetuju tidak akan berpindah dari kampung ni. Aku harap kau faham apa yang aku cakapkan ni!" putus Tok Ketua dengan tegas.

          Harun bingkas bangun dan meninggalkan rumah Tok Ketua. Dia benar-benar berasa marah dan kecewa dengan keputusan Tok Ketua itu. Yang tidak mahu memberikan kerjasama kepadanya untuk menyuruh orang-orang kampung berpindah agar projek pembinaan hotel mewah bertaraf lima bintang seperti yang dirancangkan oleh Jamil dapat dijalankan dengan segera.

          Tak fahamlah aku dengan Tok Ketua ni. Sama aje dengan orang-orang kampung. Degil! Tak nak pindah. Apalagi yang aku nak cakapkan pada Jamil ni. Hei! Buntu aku dibuatnya. Buntu! Dalam hati kecil Harun berkata. Dia kemudiannya lalu menghidupkan enjin motosikal dan pantas meninggalkan halaman rumah Tok Ketua.

BAB 16

          Deruan suara ombak menghempas pantai jelas kedengaran memecah suasana yang penuh dengan ketenangan dan kedamaian di Kampung Teluk Pinang.

          "Apa? Abang dah buat keputusan untuk menjadi nelayan dan meninggalkan dunia perniagaan?" Hasmah seperti berasa tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Adnan itu.

          "Benar, Hasmah!" Dia menarik nafas panjang sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Sekali abang buat keputusan, abang tak akan berubah," dia menyambung.

          Pohon-pohon yang tumbuh di tepi pantai kelihatan menangguk-angguk apabila disapu oleh angin yang tiba-tiba bertiup kencang yang datang dari arah laut yang membiru. Seakan-akan mengerti dan merestui pendirian Adnan itu.

          "Eloklah macam tu, bang. Hidup ni mesti ada pendirian. Barulah boleh berjaya. Bukannya jadi lalang. Itulah yang Hasmah pegang …," katanya dalam nada suara yang lembut.

          "Abang bersetuju sekali dengan apa yang Hasmah katakan itu. Orang akan menghormati pendirian yang kita pegang. Menjadikan kita kuat dalam menempuh cabaran dalam hidup ini," Adnan menambah.

          "Kita mempunyai latar kehidupan yang berbeza, bang." Entah kenapa. Dengan tiba-tiba sahaja Hasmah mengeluarkan kata-kata itu. Dia sendiri pun tidak tahu. Serta-merta hatinya tergerak untuk berkata begitu.

          Adnan tidak berasa hairan apabila mendengar apa yang dicakapkan oleh Hasmah itu. Dia sebaliknya memandang wajah anak gadis Pak Sudin yang cantik itu dengan tenang.

          "Beza apa yang Hasmah maksudkan?" dia menyoal.

          "Hidup abang penuh dengan kemewahan. Suatu ketika dahulu sebagai ahli perniagaan. Sedangkan Hasmah lebih mengenali erti penderitaan. Sebagai anak nelayan," Hasmah bersuara.

          "Bagi abang tiada bezanya antara kita berdua," balasnya.

          "Tapi ini adalah kenyataan, bang," celah Hasmah pula.

          "Memang benar apa yang Hasmah cakapkan tu. Kita sebenarnya sama saja. Sebab kita adalah makhluk ciptaan Tuhan. Tiada bezanya antara hidup kaya dan miskin. Lihatlah apa yang terjadi pada abang. Kekayaan yang abang miliki tidak kekal lama. Hanya Tuhan saja yang berkuasa ke atas segalanya," dia menjawab.

          Sementara itu Jamil meminta Datin Maria agar memujuk Faridah untuk menerima lamarannya.

          "Saya dah jumpa Faridah dan beritahu yang saya benar-benar ikhlas nak berkahwin dengan dia," nyatanya.

          "Saya tahu semua tu. Saya dah suruh dia terima lamaran Jamil tu. Tapi macam-macam alasan dia beri. Saya pun tak faham. Kenapa dia berat sangat nak terima Jamil," Datin Maria membalas.

          "Tolonglah saya, datin!" rayunya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Pujuklah Faridah tu. Janganlah hampakan harapan saya," ulangnya lagi.

          "Bak kata orang pucuk dicita ulam mendatang. Saya berasa amat senang sekali apabila mendengar Jamil sudi untuk memperisterikan Faridah. Saya yakin. Faridah akan hidup bahagia dengan Jamil. Tambah pulak Jamil seorang usahawan yang berjaya," Datin Faridah berkata.

          "Saya sebenarnya dah lama menaruh hati pada Faridah. Tapi …. Yalah …. Dia pilih Adnan. Mungkin pada waktu tu bagi dia siapalah saya di hatinya …. " Jamil mengeluarkan nada suara yang perlahan.

          "Sudahlah tu. Janganlah disebut nama tu. Terus terang saya katakan. Saya amat berasa benci apabila mendengar nama tu. Memalukan saya aje. Bila syarikatnya jatuh bankrap. Itu sebablah saya suruh Faridah minta cerai dengannya. Ternyata Datin Maria merasa amat tidak senang sekali apabila Jamil menyebut nama bekas menantunya itu.

          "Maafkan saya, datin!" pintanya pula dengan mengangguk-anggukkan kepala. Bila melihat raut wajah Datin Maria berubah menjadi marah apabila terdengar saja nama Adnan.

          Datin Maria tidak menyedari bahawa punca syarikat Adnan jatuh disebabkan oleh Jamil sendiri yang ingin mengahwini anaknya.

          Perbualan rancak Datin Maria dan Jamil lantas terhenti apabila kedengaran bunyi telefon bimbit Jamil.

          "Sebentar, Datin," katanya sambil menekan butang telefon bimbit dan menekap ke telinga untuk menjawab panggilan itu.

          "Saya minta maaf, datin. Saya ada urusan dengan rakan perniagaan. Saya harap sangat datin dapat pujuk Faridah," ucapnya selepas bercakap dengan orang yang memanggilnya menerusi telefon bimbit.

          "Baiklah, Jamil!" angguk Datin Maria dengan cepat.

          "Saya akan pujuk Faridah supaya berkahwin dengan Jamil. Tak usahlah bimbang. Tahulah saya nanti macam mana nak buat dia supaya menerima Jamil sebagai suami," janjinya.

          "Terima kasih, datin. Saya pergi dulu!" mohon Jamil.

          Inspektor Firdaus kelihatan sedang meneliti fail kes jenayah. Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu diketuk. Dia lalu menyuruh orang mengetuk pintu itu masuk.

          "Tuan!" kata Sarjan Daud sambil tercegat berdiri.

          "Hah, sarjan. Duduklah," arahnya.

          Sarjan Daud lalu menarik kerusi yang berada di depan meja Inspektor Firdaus dan duduk.

          "Apa perkembangan kes pengedaran dadah tu?" soalnya.

          "Kita sedang giat menjalankan siasatan tuan. Untuk mengenalpasti suspek yang terlibat dan cara mereka bergerak," terang Sarjan Daud pada ketuanya.

          "Baguslah macam tu. Kita mesti selesaikan kes ni dengan cepat. Sebelum menjadi lebih teruk lagi," dia membalas.

          "Baik, tuan!" angguk Sarjan Daud.

          "Saya harap awak sentiasa melaporkan dari semasa ke semasa tentang perkembangan kes ini. Itu saja yang saya nak beritahu awak," tambah Inspektor Firdaus.

          Sarjan Daud kemudiannya bangun dan meninggalkan bilik Inspektor Firdaus.

          Selepas menikmati hidangan makan malam, Pak Sudin duduk di ruang tamu rumah sambil menghisap rokok daun. Sesekali dia terbatuk-batuk kecil apabila menghembus keluar asap. Di luar kedengaran bunyi angin yang bertiup lembut menghiasi malam yang pekat.

          "Hasmah!" panggilnya.

          "Ya, ayah!" sahut Hasmah dengan pantas.

          "Mari sekejap," katanya lagi.

          "Baiklah, ayah!" Hasmah lalu berhenti daripada membasuh pinggan dan mangkuk. Dia kemudiannya lalu menuju ke ruang tamu rumah.

          "Duduk ada perkara ayah nak cakap," Pak Sudin bersuara.

          Hasmah lantas duduk bertimpuh dengan penuh sopan di atas tikar mengkuang dan melihat ayahnya yang sedang menghisap rokok daun.

          "Ada apa ayah nak beritahu saya?" ujarnya.

          "Hasmah tahu kan seluruh kampung bercerita tentang hubungan Hasmah dengan Adnan," jelas ayahnya.

          "Hasmah tak ada apa-apa dengan dia. Hasmah anggap dia macam abang kandung Hasmah sendiri," terang Hasmah pula sebaliknya.

          "Itu ayah tahu!" angguk Pak Sudin sambil terbatuk-batuk kecil.

          "Tapi ayah harap Hasmah dan Adnan tidak membuat perkara yang salah di sisi agama dan melanggar adat." Dia mengingatkan anak gadisnya itu.

          "Insya-Allah, ayah. Hasmah akan sentiasa ingat pesan ayah itu," balas Hasmah.

BAB 17

          Jamil diberitahu oleh Norain yang Dato' Zainal ingin berjumpa dengannya sebaik-baik sahaja masuk semula ke pejabat selepas makan tengah hari. Mendengarkan sahaja yang Pengarah Urusan Syarikat Kenanga Holdings Sdn. Bhd. itu mahu berjumpa dengannya maka terbayanglah di fikirannya projek pembinaan hotel mewah bertaraf lima bintang di Kampung Teluk Pinang. Aduh! Apa aku nak jawab ni? Projek tu masih tergendala lagi. Harun pun tak boleh harap. Suruh orang-orang kampung pindah pun dia tak boleh buat! Hati kecilnya berkata.

          Dia pun mengatur langkah ke bilik Dato' Zainal. Sambil terbayang pertanyaan Dato' Zainal kepadanya berkenaan projek mewah tu. Namun dia tetap nekad dalam hati. Akan memberikan jawapan yang sebenarnya.

          Pintu bilik Dato' Zainal lalu diketuknya. Kedengaran bunyi suara Dato' Zainal dari arah dalam menyuruh dia masuk. Wajah gembira nampak di wajah Dato' Zainal. Seolah-olah ada berita gembira yang hendak disampaikannya.

          "Awak memang hebat, Jamil. Beruntung saya dapat pekerja macam awak," Dato' Zainal bersuara.

          "Untung apanya, dato?" Dia sebaliknya pura-pura tidak faham dengan maksud Dato' Zainal itu.

          "Berkat kerja keras awak syarikat kita banyak dapat projek mewah," terangnya pada Jamil.

          "Ya ke ni, dato'?" tanyanya sambil mengangkat kepala memandang muka Dato' Zainal.

          "Betul!" angguk Dato' Zainal pula.

          "Apa? Awak tak percaya ke dengan apa yang saya cakapkan ni?" Dato' Zainal menyoalnya.

          "Taklah sampai ke situ, dato'," jelasnya.

          "Habis tu?" ulang Dato' Zainal lagi.

          "Kan kita banyak persaingan dalam dunia perniagaan," dia menambah.

          "Itu betul!" Dengan cepat Dato' Zainal mengangguk-anggukkan kepala. Apabila mendengar kata-kata Jamil itu. 

          "Tapi awak bijak untuk mendapatkan semua projek mewah itu." Senyuman kelihatan di wajah Dato' Zainal kerana berasa sangat gembira memperolehi keuntungan yang besar.

          "Mana dato' tahu semua ni?" Dia berasa terkejut apabila Dato' Zainal berkata begitu.

          "Saya ni kan pengarah urusan di syarikat ni. Jadi segala gerak-geri kakitangan saya mestilah saya ketahui sentiasa," Dato' Zainal membalas sambil ketawa.

          Dia tahulah selama ini cara yang aku gunakan untuk mendapatkan sesuatu projek mewah melalui sabotaj syarikat yang dapat. Kemudian gunakan kesempatan apabila syarikat tu gagal melaksanakan projek tu. Tentu dia pasang kaki untuk mengintip kerja-kerja yang aku buat. Dalam hati kecil Jamil bersuara.

          "Apa yang awak menungkan tu, Jamil? Jauh benar melayang saya nampak?" tegur Dato' Zainal.

          "Errr … tak ada apa-apa, dato' …," dia membalas dalam nada suara yang terputus-putus kerana terperanjat yang Dato' Zainal mengetahui perkara ini. 

          "Tak apalah, Jamil. Walau apa cara sekalipun yang awak lakukan untuk mendapatkan semua projek mewah tu tak penting bagi saya. Yang penting syarikat ni dapat untung!" Dato' Zainal ketawa besar.

          "Betul kata dato' tu!" sambut Jamil pula sebaliknya.

          Mereka lantas ketawa meraikan kejayaan dengan cara yang jahat ini. Kegembiraan Dato' Zainal mendapatkan semua projek mewah menyebabkan dia terlupa akan projek pembinaan hotel mewah bertaraf lima bintang di Kampung Teluk Pinang. Sudah pastinya Jamil berasa lega. Kerana tidak ditanya oleh Dato' Zainal tentang projek tu. Yang untungnya menjanjikan pulangan yang sangat lumayan.

          Dalam pada itu Faridah menyatakan hasrat Jamil ingin melamarnya sebagai isteri kepada Hazalina kawan akrabnya sejak dari bangku lagi.

          "Betul ke apa yang kau cakapkan ni, Idah?" Hazalina bertanya sambil menikmati air fresh orange yang dipesannya.

          Kedua-dua sahabat baik ini bertemu di restoran yang terletak dalam salah sebuah pusat membeli-belah yang terkenal di Kuala Lumpur. 

          "Ya!" angguknya dengan cepat.

          "Habis? Kau terimalah?" celah Hazalina lagi.

          "Entahlah, Lina …. Ibu aku pulak paksa aku terima lamaran dia tu. Hei! Buntu aku dibuat …!" rengusnya.

          "Eloklah tu. Sekurang-kurangnya ada orang jugak yang sudi untuk menggantikan tempat Adnan," Hazalina menyokong.

          "Jadi, kau macam ibu aku jugaklah. Suruh aku terima dia sebagai suami?" Dia mendongakkan kepala melihat wajah Hazalina.

          "Yalah!" Dengan pantas Hazalina mengangguk-anggukkan kepala bila mendengar kata-kata kawan baiknya itu.

          "Sebagai kawan aku nasihatkan kau terima ajelah Jamil tu sebagai suami. Dulu kau tak hidup bahagia dengan Adnan. Dahlah tu tak ada anak pulak. Mungkin bila kau kahwin dengan Jamil boleh jadi kau dapat anak," tambahnya lagi.

          Faridah hanya mendiamkan diri saja apabila Hazalina berkata begitu. 

BAB 18

          Harun dan beberapa orang rakannya kelihatan sedang bermain judi di rumahnya. Sambil bermain judi mereka berbual-bual.

          "Run, betul ke kau nak kahwin dengan Hasmah?" tanya Karim sambil menyelak helaian daun terup di tangannya.

          "Betul! Apa kau ingat aku tak sepadan ke dengan dia?" dia menjawab sambil menghisap rokok.

          "Bukan macam tu, Run. Tapi susah jugak kau nak kahwin dengan dia?" Karim menambah.

          "Betul cakap Karim tu. Aku takut kau gigit jari nanti. Sebab tak dapat kahwin dengan buah hati pujaan kau tu," celah Ramli pula.

          Mereka lantas ketawa dan ini menjadikan Harun naik berang apabila mendengarnya. Daun terup yang berada di tangannya lalu dihempaskannya di atas lantai. Sebagai tanda melepaskan kemarahan dengan usikan kawan-kawannya itu.

          "Apa yang kau orang cakapkan ni, hah? Aku akan tetap berkahwin dengan Hasmah. Tak ada siapa yang akan dapat menghalang. Termasuk ayah dia sendiri!" bentaknya dalam nada suara yang keras.

          "Bertenang, Run. Janganlah cepat marah. Nanti cepat tua. Hasmah pun tak nak dengan kau nanti," usik Ramli lagi.

          "Kau ni Ramli dah melampau!" Dia hilang sabar lalu bangun dan menggenggam penumbuk untuk dilepaskan ke muka Ramli. Namun sempat ditahan oleh Karim yang duduk di sebelahnya.

          "Sudahlah tu. Tak usah bergaduh. Duduk!" arah Karim pada Harun. Dia kemudiannya lalu duduk dengan rasa kemarahan jelas nampak di wajahnya.

          "Kau pun tahu kan dia sekarang rapat dengan Adnan. Anak angkat ayahnya yang datang dari Kuala Lumpur tu," jelas Karim.

          "Jadi?" dia memotong dengan pantas. Rasa kemarahan semakin meluap-luap dalam hatinya. Apabila Karim menyebut nama tu.

          "Kasihanlah kau buatnya Hasmah pilih dia dan bukannya kau," ujar Karim.

          "Tulah yang kita orang maksudkan. Sebagai kawan kita orang tak nak tengok kau merana. Sebab tak dapat kahwin dengan Hasmah. Janganlah nak naik angin tak tentu pasal," ingat Ramli pula sebaliknya.

          "Hei! Kau orang ingat ya. Ini Harun. Apa yang dia nak pasti dapat. Adnan! Kita tengok nanti siapa yang dapat Hasmah!" Harun mengeluarkan nada suara yang kuat.

          Telefon bimbit Harun berbunyi. Dia lalu menjawab panggilan itu. Panggilan daripada Jamil. Barang yang dimahukannya untuk dijual kepada anak-anak muda di kampung ini sudah ada. Dia boleh datang ke tempat yang dijanjikan oleh Jamil untuk mengambilnya.

          "Besok aku nak kau orang ikut aku ke Kuala Lumpur," beritahunya. Sebaik-baik sahaja selesai bercakap dengan Jamil.

          "Ada apa hal kita ke Kuala Lumpur?" Karim menyoal.

          "Ambil barang yang aku cakapkan tu. Aku yakin. Bila kita jual kepada anak-anak muda di kampung ni untungnya sangat lumayan. Kita akan jadi kaya!" dia membalas.

          "Hah! Bila kau dah kaya nanti tentulah Pak Sudin terima kau bila masuk meminang Hasmah nanti," sampuk Ramli.

          "Betul kata kau, Ramli!" jawabnya dengan rasa gembira.

          Mereka lantas ketawa besar apabila terbayangkan kesenangan hidup yang akan dinikmati nanti hasil daripada menjual benda yang haram itu.

          Hari ini banyak juga Pak Sudin dan Adnan mendapat ikan yang ditangkap di laut. Sebaik-baik sahaja bot mendarat di pantai Pak Sudin mengajak Adnan ke rumah.

          Setibanya di rumah Hasmah yang menanti kepulangan mereka berdua lalu menghidangkan minuman petang dengan air kopi dan sepinggan pisang goreng panas.

          "Cantik tempat ni, Pak Sudin. Sebuah perkampungan nelayan yang harus dikekalkan dan dijaga oleh generasi yang akan datang," nyata Adnan sambil menghirup air kopi yang masih panas itu.

          Pak Sudin hanya mendiamkan diri. Apabila mendengarkan kata-kata yang penuh dengan makna itu yang keluar daripada mulut anak angkatnya itu. Sebaliknya dia menyucuhkan api pada rokok daun dan menghisapnya. Kemudian perlahan-lahan dihembusnya asap keluar melalui mulut dan hidungnya.

          Adnan pula mengambil sekeping pisang goreng yang masih lagi panas di dalam pinggan dan mengunyahnya dengan perlahan.

          "Tapi kami penduduk kampung dipaksa meninggalkan tempat ni," kata Pak Sudin.

          "Kenapa pulak, Pak Sudin?" Terkejut dia apabila mendengar apa yang dikatakan oleh ayah angkatnya itu.

          "Entahlah …!" Pak Sudin sebaliknya tunduk dan menggeleng-gelengkan kepala. Lemah dan seperti tidak berdaya. Habuk rokok daun lalu dibuangnya ke dalam bekas.

          "Dengar khabar ada orang kaya dari Kuala Lumpur nak buat hotel mewah di tempat ni. Kami penduduk kampung akan diberi ganjaran dan tempat baru," ucap Pak Sudin lagi sambil memandang wajah Adnan yang duduk bersila di atas tikar mengkuang berhadapan dengannya.

          "Jadi, orang-orang kampung setuju untuk meninggalkan tempat ni?" dia menyoal dengan rasa penuh minat.

          "Tidak sekali-kali!" tegas Pak Sudin pula sebaliknya dengan menggeleng-gelengkan kepala.

          "Kami akan tetap tinggal di kampung ni sehingga ke akhir hayat!" sambungnya lagi.

          Adnan lantas terdiam apabila mendengar kata-kata Pak Sudin itu. Di luar suara deruan ombak menghempas pantai jelas kedengaran menyelubungi petang yang disinari dengan cuaca cerah.

BAB 19

          Dato' Zainal akan pergi bercuti bersama keluarganya ke Eropah selama dua minggu. Sepanjang ketiadaannya Jamil akan mengambilalih tugasnya sebagai pengarah urusan syarikat. Itulah yang diputuskannya dalam mesyuarat bersama kakitangan yang berakhir sebelum waktu makan tengah hari.

          Perkara ini juga dinyatakannya pada Dato' Badrul. Sewaktu bermain golf di Kelab Awana. Biasanya setiap hari Ahad mereka akan bermain golf di kelab ini sambil membincangkan urusan perniagaan.

          "Aku nak berehat. Tenangkan fikiran bersama keluarga. Lagipun dah dapat untung besar. Apalagi wang yang aku dapat tu aku laburkanlah dengan melancong ke Eropah," ucapnya. Selepas bermain golf dengan Dato' Badrul.

          "Lama kau pergi. Dua minggu. Habis? Urusan syarikat siapa yang ambil alih?" tanya.

          "Aku serahkan pada Jamil," dia membalas.

          "Kau yakin dengan dia?" Dato' Badrul melihat wajah rakan perniagaannya itu.

          "Keuntungan yang syarikat aku dapat adalah hasil kerja keras dia," ujarnya.

          "Sebab itu kau serahkan kepada dia untuk jaga syarikat sepanjang ketiadaan kau," kata Dato' Badrul lagi.

          "Tepat sekali!" angguknya dengan rasa penuh yakin. Yang Jamil boleh mengendalikan syarikat tanpa sebarang perkara buruk yang akan berlaku. Semasa dia dan keluarga pergi bercuti nanti.

          "Kau tak rasa bimbang ke? Yalah! Kau pergi bercuti lama. Syarikat pulak kau serahkan kepada Jamil. Yang baru bekerja dengan kau. Sebagai kawan aku nasihatkan kau. Jangan lain pulak jadinya nanti," ingat Dato' Badrul sambil menyedut minuman air Coke yang dipesannya.

          "Sebab aku percayakan dialah aku berani menyerahkan syarikat semasa aku pergi bercuti. Lagipun aku dah lama kenal dia. Sejak dia bekerja dengan Syarikat Jati Holdings Sdn. Bhd. lagi," dia menambah.

          "Baru aku teringat!" celah Dato' Badrul dengan tiba-tiba sambil mengangguk-anggukkan kepala. Dari raut wajahnya jelas kelihatan dia teringatkan sesuatu. Bila mendengarkan kata-kata Dato' Zainal itu.

          "Hah, apa dia?" Dato' Zainal sebaliknya bertanya sambil mengangkat kepala memandang muka Dato' Badrul yang duduk berhadapannya dengannya. Dia kemudiannya lalu mengambil gelas di atas meja yang berisi air sirap bandung dan menghabiskannya.

          "Bila kau bercakap tentang Syarikat Jati Holdings Sdn. Bhd. aku teringatkan Adnan. Kau tahu dia di mana sekarang?" Pertanyaan yang diajukan oleh Dato' Badrul kepada rakan perniagaannya itu.

          "Entahlah! Sejak syarikat dia jatuh aku pun tak dengar berita tentang dia." Jawapan yang diberikan oleh Dato' Zainal.

          "Hairan ya. Perniagaan dia aku tengok sentiasa maju. Tapi yang peliknya macam mana boleh jatuh," dia bersuara.

          "Apa yang kau nak hairankan, Bad. Dah jadi adat dalam dunia bisnes. Kejap naik kejap turun. Hah, apa nak buat. Sudah nasib syarikat dia bungkus. Kenalah dia terima," ujar Dato' Zainal pula.

          Dato' Badrul tidak tahu kisah sebenarnya Syarikat Jati Holdings Sdn. Bhd. kepunyaan Adnan tiba-tiba mengalami kerugian dan terpaksa ditutup. Walhal segalanya berpunca daripada konspirasi yang dirancang oleh Dato' Zainal dan Jamil. Disebabkan rasa cemburu dengan kejayaan Syarikat Jati Holdings Sdn. Bhd. mendapatkan banyak projek mewah. Begitu juga dendam Jamil terhadap Adnan kerana gagal memiliki Faridah sebagai isteri.

          Bagi Jamil perlantikannya sebagai pengarah urusan di Syarikat Syarikat Kenanga Holdings Sdn. Bhd. sementara Dato' Zainal pergi bercuti di Eropah adalah ibarat orang yang mengantuk disorongkan bantal. Inilah peluang sepenuhnya untuk dia menguasai sepenuhnya syarikat milik Dato' Zainal dalam tempoh dua minggu.

          Aku akan pastikan semua keuntungan dalam syarikat ni milik aku seorang. Kasihan, Dato' Zainal! Kau juga akan menerima nasib seperti Adnan. Terpaksa gulung tikar. Selepas semua yang aku dapat aku akan tinggalkan negara ini! Hati kecilnya bersuara. Sambil menguntum senyuman di wajahnya. Dia berasa yakin apa yang diimpikannya itu akan tercapai. Melalui cara yang jahat. Sebelum ini dia telah berjaya menjahanamkan Syarikat Jati Holdings Sdn. Bhd. milik Adnan. Kali ini giliran Syarikat Kenanga Holdings Sdn. Bhd. kepunyaan Dato' Zainal akan menjadi mangsanya. 

          Menerusi jendela kaca yang dibungkus dengan kedinginan malam Adnan melemparkan pandangan ke arah Kampung Teluk Pinang yang jelas kelihatan dengan cahaya lampu menerangi deretan rumah-rumah bersama dengan belaian ombak yang membelah pantai dalam suasana hitam yang pekat.

          "Saya minta Encik Nordin serahkan harta yang saya ada ini kepada rumah anak-anak yatim," pintanya kepada peguam syarikatnya itu.

          "Semuanya?" Encik Nordin menyoal sambil mengambil dokumen yang dihulurkan oleh Adnan.

          "Ya!" angguknya dengan pantas.

          "Saya rasa itu sajalah jalan yang terbaik yang dapat saya lakukan dengan harta yang saya ada setelah syarikat saya mengalami kejatuhan dan terpaksa ditutup," putusnya.

          "Baiklah!" Dia mengangguk bila mendengar keputusan yang dibuat oleh Adnan itu.

          "Saya akan lakukan apa yang Encik Adnan minta," sambung Encik Nordin lagi.

          "Encik Nordin tahukan yang saya tak ada anak. Jadi eloklah saya serahkan kesemua harta itu pada rumah anak-anak yatim. Saya juga minta Encik Nordin tolong rahsiakan nama saya sebagai penderma harta apabila menyerahkannya kepada mereka nanti. Apa yang saya lakukan ini adalah semata-mata ikhlas kerana Allah SWT dan untuk membantu mereka," dia menambah.

          Adnan menarik nafas panjang sambil memeluk tubuh di tepi jendela apabila teringat tentang harta yang telah diwakafkannya kepada anak-anak yatim.

BAB 20

          Jamil tidak berputus asa memujuk Faridah agar menerima lamarannya.

          "Sampai bila aku harus menanti, Idah?" dia berkata.

          "Penantian itu suatu penyeksaan, bukan?" duga Faridah pula sebaliknya.

          "Kau tahu, kan? Beritahu aku. Apa yang menyebabkan kau susah untuk membuat keputusan?" ujarnya lagi.

          "Sehingga kau terpaksa menggunakan ibu aku untuk memujuk aku menerima kau sebagai suami." Faridah memandang wajah lelaki yang ingin melamarnya sebagai isteri.

          "Aku rasa itu sajalah jalan yang terbaik. Untuk kau menerima lamaran aku," dia menambah.

          "Tapi aku masih lagi belum bersedia, Mil," jelas Faridah.

          "Kau nampaknya masih ada hati lagi pada Adnan," dia bersuara.

          "Mil …," Faridah terhenti.

          "Jangan berteka-teki dengan aku." Dengan cepat dia memotong.

          "Aku harap kau bersabar. Tolong beri aku peluang untuk berfikir. Sebelum aku membuat keputusan," pinta Faridah.

          "Tapi soalnya sampai bila, Idah? Kau tak kasihan ke pada aku. Macam menanti buah yang tak gugur," dia membalas.

          "Buah akan gugur juga akhirnya. Bila dah cukup masak. Kau kenalah tunggu." Faridah memberikan jawapan.

          Deburan ombak seperti biasa tetap tenang menghempas pantai. Alunan buih-buih memutih yang membasuh butiran pasir halus dan batu-batu kecil di gigian mengiringi nyanyian merdu angin laut pada petang yang diselubungi dengan cuaca redup.

          "Banyak ke dapat ikan hari ni, bang?" tegur Hasmah pada Adnan yang nampak asyik melihat laut biru.

          Serta-merta dia memalingkan mukanya melihat wajah Hasmah yang semakin cantik dibelai angin petang yang bertiup halus dan dingin. 

          "Alhamdulillah!" angguknya sambil tersenyum.

          "Banyak jugak dapat," ulangnya lagi.

          "Hasmah tengok abang suka berfikir sambil tengok laut," ucap Hasmah.

          "Laut mengingatkan abang pada ikan," terangnya pula.

          Hasmah lalu ketawa apabila mendengarkan apa yang dikatakan oleh Adnan itu.

          "Kenapa Hasmah ketawa?" dia menyoal sambil melihat muka Hasmah dengan rasa penuh hairan.

          "Jawapannya mudah, bang," dia bersuara.

          "Apa dia?" Adnan pantas mencelah.

          "Sebab abang selalu ikut ayah turun ke laut. Jadi dapat banyak ikan. Hari-harilah abang asyik berfikir tentang ikan sambil memandang laut," gurau Hasmah.

          Kata-kata Hasmah itu lantas mencuit hatinya. Mereka lalu sama-sama ketawa.

          "Pandai Hasmah ya mengusik abang," dia berkata sebaik-baik sahaja ketawa reda.

          "Habis tu? Apa sebenarnya yang membuatkan abang asyik memandang laut?" tanya Hasmah dengan rasa penuh minat.

          "Ikan akan tetap berasa manis isinya walaupun hidup dalam air laut yang masin," dia menjawab.

          "Saya tak pernah mendengar ungkapan itu. Inilah kali pertama dalam hidup saya mendengarnya," akui Hasmah. Yang nyata amat tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Adnan itu.

          "Hasmah tahu apa maksudnya, kan?" dia menambah.

          "Tak?" geleng Hasmah dengan pantas.

          "Apa dia, bang?" soal Hasmah pula.

          "Di mana kita berada sekalipun itulah sebenarnya diri kita. Tak akan berubah. Sekalipun kita hidup mewah di bandar besar namun kita tidak boleh lupa dari mana asal usul kita datang," dia membalas.

          Hasmah lalu mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda memahami apa yang dikatakan oleh Adnan itu.

          "Tengah bercengkerama nampaknya. Yalah! Sambil menghirup angin laut yang segar!" tegur Harun yang tiba-tiba muncul dari arah belakang Adnan dan Hasmah. Kehadiran Harun yang tanpa memberikan salam dan sebaliknya melemparkan kata-kata yang keras itu nyata memeranjatkan mereka berdua.

          "Apa kau cakap ni, Run?" Hasmah berasa tidak senang dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh Harun.

          "Kau jangan nak pura-puralah, Hasmah!" Dengan cepat Harun mencelah.

          "Tak baik kau tuduh-tuduh. Aku dan dia tak buat apa," Hasmah bersuara.

          "Itu cakap kau!" Harun sebaliknya mengangkat kepala dan mengangguk-angguk sambil mengeluarkan nada suara yang keras. Apabila mendengar penjelasan yang diberikan oleh Hasmah itu.

          "Tapi apa yang nyata aku tengok kau dengan dia ni melakukan perkara yang sumbang. Merosakkan nama baik kampung ni. Itu pun kau masih tak mengaku lagi!" tengking Harun sambil menudingkan jari telunjuknya ke arah muka Adnan yang berdiri berhadapan dengannya.

          Adnan berasa sungguh terperanjat apabila mendengar tohmahan yang dilemparkan oleh Harun terhadap dirinya dan Hasmah. Namun dia menerimanya dengan perasaan yang tenang.

          "Sabar saudara …." Dia cuba untuk menenangkan Harun.

          Tapi rasa marah Harun semakin menggelegak dalam dirinya bila bersemuka dengan orang yang dianggapnya sebagai batu penghalang dalam memenuhi impiannya untuk menjadikan Hasmah sebagai pasangan hidup.

          "Orang macam kau ni mesti diajar. Tak sedar diri. Dahlah datang menumpang di kampung ni cuba pulak nak merosakkan anak gadis orang!" Tuduhan yang dilemparkan oleh Harun kepadanya. 

          "Saya tak pernah terfikir untuk melakukan perbuatan yang menyalahi ajaran agama …," tegasnya.

          "Ah! Orang macam kau mesti menerima balasannya. Dah lama aku menunggu peluang ni. Sekarang dah berada di depan mata. Aku tak boleh lepaskannya. Nah kau rasakan!" Dengan rasa penuh geram dan api kemarahan yang panas membakar Harun menggenggam penumbuk dan pantas menghalakannya ke muka Adnan.

          Tapi dia dapat membaca tumbukan yang dilepaskan oleh Harun lalu dan lalu menepisnya dengan tangan kanan.

          "Saudara … saya tak suka cari gaduh. Tolong jangan buat macam ni …," katanya dengan lembut pada Harun.

          "Tapi kau yang cari pasal. Ambil ni!" Harun berkata keras dan sekali lagi melepaskan tumbukan ke arah Adnan dan dia dapat menepis.

          "Sudahlah tu jangan bergaduh …," ujar Hasmah pula dalam nada suara yang berbunyi cemas apabila melihat Harun cuba memukul Adnan.

          "Berhenti!" jerit Pak Mahat.

          Mereka bertiga lantas berpaling ke arah Pak Mahat yang kelihatan mengatur langkah dalam keadaan tergesa-gesa menuju ke arah mereka yang berasa cemas apabila melihat Harun dan Adnan yang sedang bergaduh.

          "Apa dah jadi ni? Sampai kau orang bergaduh-gaduh," tegurnya sebaik-baik sahaja mendekati mereka bertiga.

          "Hasmah dengan dia ni buat perkara sumbang. Jadi saya ajarlah dia ni!" terang Harun dalam nada suara yang kuat. Tanda masih lagi tidak berpuashati dan marah pada Adnan. Hajatnya nak membelasah lelaki yang datang dari Kuala Lumpur ini tidak kesampaian. Sebab dihalang oleh Pak Mahat.

          "Saya dengan dia tak buat apa-apa pun, tok. Kami berbual-bual aje," celah Hasmah pula.

          "Bohong!" herdik Harun dengan pantas.

          "Kalau Pak Mahat nak tahu selalu dia orang berdua ni buat perkara yang tak senonoh. Saya selalu nampak. Saya dah beritahu Pak Sudin dan Tok Ketua. Tapi dia orang tak percaya. Entah apa yang dah dibuat dengan si bangsat ni sampai cakap saya mereka tak nak dengar!" Semakin tinggi suara yang dikeluarkan oleh Harun sambil menudingkan jari telunjuk ke arah muka Adnan.

          Menyirap darah Adnan apabila mendengar tohmahan keras yang dilemparkan oleh Harun kepadanya dan Hasmah. Tapi dia menerimanya dengan rasa penuh sabar dan tenang dengan kata-kata nista yang dihamburkan oleh Harun itu.

          Baginya tidak perlu dibalas dengan kemarahan kerana dia dan Hasmah tidak melakukan perbuatan yang terlarang itu.

          "Ini semua fitnah, Pak Mahat. Percayalah …!" balas Hasmah.

          "Jangan dengar cakap dia Pak Mahat. Sebab orang dari Kuala Lumpur nilah Hasmah hilang seri sebagai gadis di kampung ni!" Harun pantas memotong.

          "Run …!" Hasmah berasa amat terperanjat apabila mendengar Harun melepaskan kata-kata keji padanya.

          "Biar saya ajar dia ni!" Harun yang semakin hilang sabar lalu bergerak dan seperti mahu menolak Adnan.

          "Sudah!" halang Pak Mahat pula sebaliknya.

          "Pak Mahat jangan halang saya. Biar saya ajar dia ni cukup-cukup!" kata Harun lagi.

          "Dah tu! Dah tu!" tegah Pak Mahat sambil menahan Harun yang sudah mengatur langkah setapak untuk melepaskan tumbukan ke muka Adnan.

          "Pak Mahat!" Harun berasa sungguh terperanjat dengan tindakan Pak Mahat itu yang melarangnya daripada bertindak keras terhadap orang yang menjadi musuhnya itu.

          "Aku kata sudah, sudah, Run!" tegas Pak Mahat.

          "Pak Mahat sama aje macam Pak Sudin dan Tok Ketua!" Harun membantah sekeras-kerasnya tindakan Pak Mahat yang menghalangnya daripada memukul Adnan.

          "Cara kau ni tak betul, Run," Pak Mahat membalas.

          "Tak betul apa pulaknya, Pak Mahat. Hah! Dah terang-terang dia orang ni melakukan perkara yang tak elok. Takkan kita nak biarkan!" ujar Harun dengan rasa marah dan tidak puashati yang semakin membakar dalam dirinya.

          "Nak tuduh mereka berdua ni buat perkara yang tak baik kenalah ada bukti dulu. Kita tak boleh tuduh sembarangan," jelas Pak Mahat.

          "Bukti apalagi, Pak Mahat," jawab Harun dengan rasa bosan. Dia semakin merasa berang apabila mendengar orang tua itu bercakap begitu. Macam nampaknya menyebelahi Adnan dan Hasmah.

          "Aku ada perhatikan dia orang berdua ni sambil membersihkan bot aku tu. Tak ada pun aku nampak dia orang berdua ni buat perkara yang tak senonoh. Tak baik, Run. Tuduh dia orang berdua ni tanpa bukti yang kukuh," nasihat Pak Mahat pula pada Harun.

          "Ah! Sudahlah, Pak Mahat. Tak apa. Satu hari nanti kau akan merasa juga balasan daripada aku. Harun!" Dia memberikan amaran keras kepada Adnan dan kemudiannya lalu beredar pergi dari situ dengan membawa bersama hati yang marah.

          Pak Mahat hanya berdiam diri dan menggeleng-gelengkan kepala apabila melihat sikap yang ditunjukkan oleh Harun itu.

BAB 21

          Semasa ketiadaan Dato' Zainal, Jamil telah melakukan penyelewengan wang syarikat. Dia telah menggunakan wang syarikat untuk membeli kereta dan rumah banglo mewah. Perkara ini telah dapat dikesan oleh Faizal, akauntan syarikat.

          "Saya telah menyemak akaun syarikat dan mendapati ada sesuatu yang tak kena di mana wang semakin berkurangan. Semenjak Encik Jamil yang mengambilalih tugas dato' yang sekarang pergi bercuti di Eropah," jelasnya.

          "Jadi, awak tuduh saya melakukan penyelewengan duit syarikat, begitu?" Dia mendongakkan kepala melihat muka Faizal.

          "Saya mahu penjelasan daripada Encik Jamil tentang perkara ini. Supaya tidak sampai ke pengetahuan dato'. Kalau dato' tahu, Encik Jamil faham ajelah apa yang akan berlaku nanti." Dia memberi peringatan kepada Jamil.

          "Penjelasan?" tanyanya pula sebaliknya pada Faizal yang memakai baju kemeja lengan panjang berwarna biru muda dan bertali leher berwarna kelabu.

          Jamil kemudiannya lalu ketawa terbahak-bahak apabila mendengar apa yang dikatakan oleh akauntan syarikat tempat dia bekerja.

          "Jangan ambil mudah perkara ini, Encik Jamil," kata Jamil lagi.

          "Faizal! Faizal!" gelengnya pula sambil masih lagi ketawa dan menganggap apa yang dikatakan oleh Faizal itu ibarat gurauan saja.

          "Saya tak mahu bersubahat dalam kerja-kerja buruk macam ni, Encik Jamil. Bagi saya kerja adalah amanah. Perlu dibuat dengan baik dan tidak melakukan perkara yang boleh mendatangkan kemungkaran!" tegas Faizal pula sebaliknya.

          "Awak bercakap tentang subahat dan amanah?" Jamil bersuara dengan rasa penuh bongkak dan mengangkat kepala tinggi melihat muka Faizal yang duduk berhadapan dengannya.

          "Amanah amat penting dalam diri kita sebagai pekerja. Kalau tidak syarikat akan musnah, Encik Jamil!" Faizal memberi peringatan.

          "Begitu!" sahutnya dengan mengangguk-anggukkan kepala. Dari raut wajah Jamil jelas kelihatan rasa amat tidak senang apabila mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Faizal itu.

          "Faizal! Awak dengar sini baik-baik ya. Jangan nak mengajar saya. Untuk pengetahuan awak dato' telah memberikan kuasa kepada saya untuk buat apa saja apabila menggantikan tempat dia semasa dia pergi bercuti," terangnya.

          "Tapi tak ada surat hitam putih yang dato' keluarkan. Ini amat bahaya, Encik Jamil. Bila melibatkan pengeluaran wang syarikat tanpa pengetahuan dia. Saya sebagai akauntan di syarikat ni bertanggungjawab dalam perkara ni." Faizal memberikan jawapan.

          "Itu awak tak perlu pertikaikan. Sudah! Saya banyak kerja nak buat. Ingat! Saya juga mempunyai kuasa untuk memecat awak dari syarikat ni. Atau saya akan saman awak di mahkamah. Kerana menuduh saya menggelapkan wang syarikat. Faham!" ugutnya.

          Faizal kemudiannya lalu meninggalkan bilik Jamil. Sambil menengadah ke siling Jamil  berfikir sesuatu. Jahanam! Dia dah tahu rahsia. Tak boleh dibiarkan macam ni. Aku mesti buat sesuatu supaya perkara ini tidak diketahui oleh dato'! Ucap dalam hati kecil Jamil. 

          Permukaan laut biru kelihatan berkilau-kilauan umpama intan apabila disinari cahaya matahari terik yang menyelubungi suasana petang di Kampung Teluk Pinang.

          "Pak Sudin dah tahu apa yang terjadi semalam," katanya.

          "Macam mana Pak Sudin tahu?" tanya Adnan.

          "Hasmah dan Pak Mahat yang beritahu," Pak Sudin membalas.

          "Harun! Harun!" dia menyambung lagi sambil menggeleng-gelengkan kepala. Apabila mengenangkan perangai buruk Harun itu.

          "Kenapalah hitam sangat hati kau? Sampai nak bergaduh dengan Nan …!" keluh Pak Sudin lagi.

          "Tergamak dia tuduh saya melakukan perkara sumbang dengan Hasmah. Sedangkan saya dengan Hasmah berbual aje di tepi pantai," jelasnya.

          "Entahlah …!" Pak Sudin merengus.

          "Tak habis-habis dia nak buat kacau. Tapi, tak apalah. Kita sabar ajelah. Lagipun Pak Sudin percaya yang Nan dan Hasmah tak melakukan perkara buruk. Seperti yang dia cakapkan tu. Tambah pulak Pak Mahat yang kebetulan berada di pantai tengok sendiri yang Hasmah dan Nan cuma berbual saja," ulangnya sambil terbatuk-batuk kecil.

          Hasmah muncul dari dalam sambil membawa juadah minum petang. Air kopi dan keledek goreng. Pak Sudin dan Adnan lalu sama-sama menikmati juadah yang dihidangkan oleh Hasmah itu.

          Dalam pada itu, rasa berang semakin kuat menyelubungi diri Harun. Usahanya untuk memikat Hasmah agar dapat dijadikan isteri masih lagi menemui kegagalan. Semua ini adalah angkara Adnan.

          "Sakit betul hati aku!" Dia melepaskan rasa geram pada Karim dan Ramli.

          "Kenapa ni, Run? Datang-datang aje marah tak tentu pasal ni?" Ramli menyoal apabila melihat rasa marah dan geram jelas nampak di wajah kawannya itu.

          "Yalah! Apahal ni? Beritahulah kita orang. Apa yang sebenarnya dah terjadi ni?" celah Karim pula.

          "Pasal anak angkat Pak Sudin tulah!" terangnya. Dalam nada suara yang berbunyi marah.

          "Adnan?" Dengan pantas Karim menyoal sambil mengangguk-anggukkan kepala dan melihat mukanya.

          "Yalah! Siapa lagi? Hei! Kau orang tahu tak. Tadi nyaris lagi dia dapat penumbuk aku!" tambahnya dengan menumbuk tangan. Rasa geramnya pada Adnan macam api yang panas membakar.

          "Kau bergaduh dengan dia ke?" tanya Ramli pula sebaliknya dengan rasa penuh minat.

          "Aku terang-terang nampak dia dan Hasmah buat perkara sumbang di tepi pantai." Harun membuat fitnah terhadap Adnan dan Hasmah.

          "Betul ke ni, Run?" Karim seakan-akan berasa terkejut apabila mendengar apa yang dicakapkan oleh Harun itu.

          "Takkan aku bohong pulak. Yang peliknya Pak Mahat tahan aku daripada belasah dia. Padahal dah jelas dia nak merosakkan Hasmah!" dia menambah lagi. 

          "Perkara ni tak boleh dibiarkan!" sampuk Karim dengan pantas.

          "Memang betul cakap kau tu, Rim. Sebelum ramai lagi anak-anak gadis di kampung ni menjadi mangsa dia kita mesti buat sesuatu untuk menakutkan dia," Ramli menambah.

          "Ya! Betul cakap kau, Li. Kali ni dia terlepas sebab Pak Mahat. Tapi lepas ni dia akan merasa jugak penumbuk aku ni," Harun berkata.

          "Baru dia tahu. Siapa Harun dalam kampung ni. Ya, tak?" Karim mengampu Harun sambil menepuk-nepuk bahunya.

          "Jaguh Kampung Teluk Pinang!" celah Ramli pula sebaliknya.

          Mereka bertiga lalu ketawa dengan sekuat-kuat hatinya. Harun berasa sungguh bangga. Apabila Ramli menggelarnya jaguh di kampung ini.


BAB 22

          Dari raut wajah Pak Sudin jelas kelihatan dia sedang memikirkan sesuatu sambil merenung pohon-pohon menghijau yang tumbuh di halaman rumahnya.

          "Ayah …!" Kedengaran suara lembut Hasmah memanggilnya. Mengejutkan dia daripada lamunan. Dia lantas menoleh ke arah anaknya itu dan tidak menyahut.

          "Apa yang ayah fikirkan tu?" tegur Hasmah pula sebaliknya sambil duduk bertimpuh dengan penuh sopan. Berhadapan dengan ayahnya.

          Pertanyaan Hasmah itu tidak dijawab oleh Pak Sudin. Dia terus melayan fikirannya.

          "Ayah tak turun ke laut ke hari ni?" Hasmah menyoal ayahnya.

          "Tak!" dia membalas dengan menggeleng-gelengkan kepala.

          "Ayah tak sihat ke?" tanya Hasmah lagi. Dia berasakan macam ada sesuatu yang tak kena. Dengan diri ayahnya. Yang nampak asyik termenung saja. Sejak dari tadi.

          "Sihat!" angguk Pak Sudin dengan pantas. Nada suaranya jelas kedengaran. Tenggelam bersama desiran angin. Berhembus lembut dan dingin. Menyapu permukaan kulitnya. Dilapisi dengan garis-garis kedut.

          "Dah tu? Kenapa ayah asyik diam dan termenung aje. Mah perhatikan," ulangnya.

          "Hati ayah benar-benar rasa tersentuh dan sebak," terang Pak Sudin.

          "Kenapa, ayah?" Hasmah cepat memotong. Dia seperti tidak sabar-sabar lagi. Untuk mengtahui apa yang sebenarnya sedang mengusik perasaan ayahnya.

          Diam. Soalan Hasmah itu tidak segera dijawabnya. Ditariknya nafas panjang-panjang. Hasmah melihat saja gelagat yang ditunjukkan oleh ayahnya itu. Sambil menunggu jawapan. Yang akan diberikan oleh ayahnya.

          "Kerana kita disuruh meninggalkan kampung ni …," Pak Sudin mengeluarkan nada suara yang lemah bunyinya. Tak terdaya. Susah untuk berkata-kata.

          Rasa kesayuan jelas terlukis. Di wajahnya yang telah dimakan tua itu. Anak gadisnya mengerti. Apa yang menyelubungi jiwanya. Sehingga membuatkan ayahnya itu diam dan termenung.

          "Mah dah tahu, ayah. Pasal orang kaya dari Kuala Lumpur tu. Nak beli tempat ni. Untuk dijadikan kawasan peranginan," Hasmah bersuara.

          Serta-merta Pak Sudin memandang wajah anaknya. Apabila mendengarkan Hasmah mengeluarkan kata-kata itu.

          "Biar apa terjadi sekalipun namanya untuk meninggalkan kampung ni tidak sekali-kali!" ikrar Pak Sudin dengan habis-habisan.

          "Benar, ayah!" sahut Hasmah pula.

          "Mah jua begitu. Tak akan berganjak dari kampung ni. Mah akan bersama-sama dengan ayah dan orang-orang kampung untuk mempertahankan kampung ni. Daripada diceroboh oleh orang kaya. Dari Kuala Lumpur tu!" sambungnya. Dengan rasa penuh semangat.

          Senyuman lantas terukir di wajah Pak Sudin. Hasmah. Anak gadisnya turut menyokong perjuangannya.

          Pak Sudin menanamkan nekad dalam hatinya. Ibarat tentera yang berjuang di medan perang. Akan berjuang habis-habisan. Sehingga ke titisan darah yang terakhir. Mempertahankan Kampung Teluk Pinang.

          Sebaik-baik sahaja tiba di pejabat, Sarjan Daud lalu berjumpa dengan ketuanya. Inspektor Firdaus.

          "Ada apa-apa perkembangan terbaru dengan kes pengedaran dadah yang sedang kita siasat tu, sarjan?" dia bertanya pada Sarjan Daud.

          "Ada, tuan!" Sarjan Daud mengangguk-anggukkan kepala. Menjawab pertanyaan ketuanya itu.

          "Apa dia?" pintas Inspektor Firdaus.

          "Kumpulan ini diketuai oleh seorang lelaki bernama Bakar," jelas Sarjan Daud.

          "Bakar?" Dia mengangkat kepala melihat muka Sarjan Daud dan mengangguk-angguk. Nama yang disebut oleh Sarjan Daud itu mengingatkan dia pada sesuatu.

          "Ya, tuan!" angguk Sarjan Daud lagi.

          "Emmm … baru saya ingat. Dia mempunyai banyak rekod jenayah," tambahnya lagi.

          "Benar, tuan!" celah Sarjan Daud.

          "Dari maklumat yang kita terima dia bekerjasama dengan seorang lelaki yang bekerja di syarikat perniagaan milik seorang dato'," Sarjan Daud menyambung.

          "Kerjasama apa yang awak maksudkan?" ucapnya.

          "Mengedarkan dadah," balas Sarjan Daud.

          "Siapa lelaki tu?" dia tak putus-putus menyoal.

          "Kita sedang siasat, tuan." Sarjan Daud memberikan penjelasan pada ketuanya.

          "Baiklah, sarjan!" angguk Inspektor Firdaus.

          "Teruskan siasatan. Pada masa yang sama dapatkan maklumat lokasi-lokasi utama mereka mengedarkan dadah. Sindiket ini mesti ditumpaskan!" arahnya.

          "Baik, tuan!" Sarjan Daud menurut saja arahan yang diberikan oleh ketuanya itu.


BAB 23

          Suara nyanyian ombak membelah pantai jelas kedengaran memecah suasana petang.

          "Kenapalah mereka nak buat hotel mewah tu di sini? Kan banyak tempat lagi," ujar Adnan.

          "Entahlah …!" Itulah yang Pak Sudin hairan," Pak Sudin membalas.

          "Orang kaya dari Kuala Lumpur tu macam nak mengusir orang-orang kampung," tambahnya.

          "Nampak gayanya macam tulah, Nan." Suara Pak Sudin tenggelam bersama deruan ombak. Yang tak putus-putus membasahi gigian pantai.

          Dia kemudiannya lalu menyalakan api pada rokok daun. Perlahan-lahan Pak Sudin menghisap dan menghembus asapnya keluar. Melalui hidung dan mulutnya. Asap memutih nampak berkepul-kepul. Pak Sudin terbatuk-batuk kecil. Bila terhidu asap rokok daun.

          "Inilah masanya orang-orang kampung untuk bersatu. Demi mempertahankan kampung ni," Adnan berkata.

          "Betul kata Nan tu. Bila orang-orang kampung bersatu sudah tentu orang kaya dari Kuala Lumpur tu tak akan dapat merampas kampung ni," jawab Pak Sudin.

          Perbualan rancak antara Adnan dengan Pak Sudin di tepi pantai lantas terhenti. Hasmah muncul sambil memberi salam. Mereka lalu sama-sama menjawab salam yang dihulurkan oleh Hasmah itu.

          "Banyak dapat ikan, ayah?" Hasmah menyoal.

          "Adalah sikit. Ni ada ikan parang. Buat gulai masak asam pedas." Pak Sudin menghulurkan seekor ikan parang kepada anak gadisnya.

          "Yalah, ayah!" angguk Hasmah. Sambil menyambut ikan parang yang dihulurkan oleh ayahnya itu.

          "Hah, Nan malam nanti datang ke rumah. Sama-sama kita makan gulai asam pedas ikan parang," pelawa Pak Sudin pula.

          "Insya-Allah, Pak Sudin!" Dia memberikan jawapan dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          Tanpa diketahui oleh Pak Sudin, Hasmah dan Adnan perbualan mereka bertiga di tepi pantai diperhatikan oleh Harun, Karim dan Ramli. Melalui celah-celah pohon.

          "Kau orang tengok tu. Pak Sudin sayang sangat kat dia. Sampaikan dia buat perkara sumbang dengan anak gadisnya dia pun tak marah. Hei! Geramnya hati aku. Tak sabar-sabar rasanya aku nak belasah dia!" Nada suara yang dikeluarkan oleh Harun berbunyi perlahan. Takut didengari oleh Pak Sudin, Hasmah dan Adnan.

          "Yalah! Betul cakap kau, Run. Aku pun rasa sakit hati jugak!" sambut Ramli pula sebaliknya.

          "Jahanam!" Karim menyampuk.

          "Kita ajar dia cukup-cukup!" sambungnya lagi. Dia juga macam Harun dan Ramli. Hatinya berasa sangat marah dan geram. Apabila melihat Pak Sudin macam menatang minyak yang penuh pada Adnan. Walhal dia hanya anak angkat saja. Bukan anak kandung Pak Sudin.

          "Tunggulah!" Harun mengangguk-anggukkan kepala.

          "Dia akan kena jugak penangan kita nanti. Dahlah! Mari kita pergi. Nanti dia orang tahu pulak. Kita mengintai!" ajak Harun pada dua orang kawannya itu.

          Datin Maria tak henti-henti mendesak anaknya agar menerima lamaran Jamil.

          "Takkan selama-lamanya kau nak menjanda," dia bersuara.

          "Mama …!" keluh Faridah.

          "Sudah! Mama tak mahu dengar lagi alasan kau. Terima saja lamaran Jamil tu. Ini keputusan mama. Kau mesti ikut!" tegas Datin Maria.

          "Mama tak boleh paksa!" dia menolak.

          "Memang mama paksa. Hei! Kan mama dah cakap. Jangan tolak tuah. Jamil tu banyak duit. Sampaikan Dato' Zainal percaya pada dia. Untuk ambilalih syarikat. Semasa dia pergi bercuti ke luar negara. Kau tak tengok ke semua tu, Idah," ucap Datin Maria pada anaknya. Dengan panjang lebar.

          "Tapi, mama …," Faridah terhenti. Tidak dapat untuk meneruskan kata-kata.

          "Tak ada tapi-tapi lagi. Mama akan suruh Jamil datang meminang!" putus Datin Maria.

          Faridah sebaliknya hanya mendiamkan diri saja. Bila mendengarkan apa yang dikatakan oleh ibunya itu. Fikirannya benar-benar buntu. Apabila dipaksa oleh ibunya. Supaya menerima lamaran Jamil.

          Telefon bimbit Faridah tiba-tiba berbunyi. Panggilan daripada Hazalina. Dia pantas menjawabnya.

          "Hello! Ha, Lina. Ada apa? Keluar? Boleh! Tempat biasa. Ok! Aku siap sekarang. Kita jumpa di sana nanti. Bye!" Antara bunyi perbualan dia dengan kawan baiknya itu.

          "Siapa yang telefon tu?" Datin Maria yang duduk di atas kerusi sofa menyoal anaknya.

          "Hazalina," Faridah membalas.

          "Dia ajak keluar," tambahnya lagi. Sambil bingkas bangun daripada kerusi sofa.

          "Mama tak habis cakap lagi ni," ibunya mencelah.

          "Apalagi, mama?" Dia melihat muka ibunya.

          "Tentang tarikh perkahwinan kau dengan Jamil," terang Datin Maria.

          "Tak apalah, mama. Idah dah janji dengan Hazalina. Biar Idah pergi bersiap. Lagipun elok jugak dia ajak keluar. Sekurang-kurangnya tenang jugak fikiran ni," katanya.

          Jawapan yang diberikan oleh anaknya itu ternyata tidak menyenangkan Datin Maria.

          "Hei, budak ni. Ada aje alasan dia. Tak pernah nak dengar cakap. Entah apa nak jadi dengan kau ni!" rungutnya.

          Faridah sedikit pun tidak menghiraukan rungutan ibunya itu. Sebaliknya dia terus mengatur langkah. Menuju ke bilik.

         










BAB 24

          Bakar dan kawan-kawannya kelihatan sedang menunggu Jamil. Tak lama kemudian dia pun muncul.

          "Pertolongan apa yang kau perlukan daripada aku?" tanya Bakar.

          "Pasal Faizal. Akauntan syarikat. Tempat aku bekerja," balasnya.

          "Kenapa dengan dia?" Bakar menyoal lagi.

          "Dia dah tahu aku selewengkan duit syarikat," terangnya.

          "Jadi?" ulang Bakar.

          "Kau tahu kan apa nak buat. Sebelum rahsia ni pecah," pinta Jamil.

          "Hapuskan dia!" Bakar menjawab. Dia faham maksud Jamil itu.

          "Pastikan yang polis tidak mengesyaki yang aku terlibat dalam perkara ni," arahnya lagi pada Bakar.

          "Kau jangan bimbang. Serahkan saja perkara ni kepada aku. Tahulah aku apa nak buat," janji Bakar pula sebaliknya.

          "Bagus!" angguknya dengan pantas. Apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh Bakar itu.

          Dia kemudiannya lalu menghulurkan sekeping sampul surat kepada Bakar.

          "Nah! Habuan untuk kau!" katanya.

          Bakar pantas menyambut sampul itu dan melihat isi di dalamnya.

          "Cukup?" ujar Jamil lagi. Dengan mengangkat kepala tinggi melihat muka Bakar. Yang berdiri berhadapan dengannya.

          "Cukup!" dia mengangguk-anggukkan kepala.

          "Aku akan buat. Apa yang kau suruh," sambung Bakar.

          "Bagus!" dia memintas dengan cepat sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Kau juga kena hati-hati, Mil. Polis sedang mengintip gerak-geri kita." Bakar memberi ingatan padanya.

          "Aku tahu semua tu. Memang elok kita sentiasa menukar tempat pertemuan. Sekurang-kurangnya polis tidak dapat mengesan kita," ucapnya pula sebaliknya pada Bakar.

          "Baiklah, Mil. Aku pergi dulu. Kerja yang kau suruh tu aku akan buat dengan segera," tambah Bakar. Yang kemudiannya beredar dari situ bersama dengan kawan-kawannya.

          Isteri Tok Ketua kelihatan muncul dari dapur sambil membawa dulang yang berisi tiga cawan air teh dan sepinggan kuih seri muka.

          Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja. Kemudian dia beredar semula ke dapur. Di luar jelas kedengaran deburan ombak menghempas pantai. Bersama diiringi hembusan angin. Yang mengalunkan irama sepoi-sepoi bahasa.

          Pohon-pohon dan daun-daun bagai menyanyi-nyanyi. Pabila diusik angin yang bangkit dari arah laut membiru. Berhadapan dengan rumah Tok Ketua. Bunyi angin yang bertiup sungguh menggetarkan jiwa apabila didengar.
          Di kaki langit cuaca nampak cerah. Menyelubungi seluruh Kampung Teluk Pinang. Sejak dari pagi tadi sehinggalah ke petang ini.

          "Hah, jemputlah minum Din, Nan," pelawa Tok Ketua.

          Mereka lalu sama-sama menghirup air teh yang masih panas itu.

          "Aku bersetuju sekali dengan apa yang Nan cakapkan tu," Tok Ketua berkata.

          "Bila kita bersatu kita akan jadi kuat. Kita tak boleh biarkan orang kaya dari Kuala Lumpur tu dengan sewenang-wenangnya mengusir kita keluar dari kampung ni," tambah Pak Sudin pula.

          "Walaupun saya bukan berasal dari kampung ni tapi saya dah menganggap kampung ni macam tempat lahir saya. Kita mesti berjuang untuk mempertahankan kampung ni. Daripada dirampas oleh orang kaya dari Kuala Lumpur tu," Adnan mencelah.

          "Yalah! Sejak dari kecil lagi kita hidup di kampung ni. Bermain dengan laut dan ombak. Banyak kenangan manis dan pahit. Yang tak dapat dilupakan," Tok Ketua bersuara.

          "Hati mana yang tak sedih, tok. Tiba-tiba disuruh pindah," sampuk Pak Sudin.

          "Aku pun begitu jugak, Din," sokong Tok Ketua dengan melihat muka Pak Sudin. Yang duduk di atas kerusi kusyen. Berhadapan dengannya.

          "Tok kenal orang kaya dari Kuala Lumpur tu?" Adnan bertanya.

          "Kalau tak silap Dato' Zainal namanya," Tok Ketua segera menjawab.

          "Dato' Zainal?" Dia macam berasa terkejut. Sebaik-baik saja Tok Ketua menyebut nama itu. Orang yang sentiasa melekat segar di ingatannya.

          "Kenal ke dia?" Tok Ketua menyoal Adnan sambil mengangkat kepala melihat wajahnya.

          "Tak!" Adnan pantas menggeleng-gelengkan kepala. Pura-pura tidak mengenalinya.

          Dato' Zainal. Betul ke dia? Atau orang lain? Persoalan yang tak henti-henti menendang benaknya.

          "Orang-orang kampung dah tahu ke perkara ni, tok?" Dia sebaliknya menukar tajuk perbualan.

          "Dah, Nan!" balas Tok Ketua dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Apa kata mereka?" potong Adnan dengan cepat.

          "Inilah yang menjadi masalahnya," jelas Tok Ketua.

          "Kenapa pulak, tok?" Rasa kehairanan serta-merta nampak di muka Adnan. Tatkala mendengar apa yang dikatakan oleh Tok Ketua itu.

          "Ada yang tak bersetuju dan ada yang setuju. Untuk berpindah dari kampung ni," kata Tok Ketua lagi.

          "Kita mesti segera satukan mereka, tok. Barulah perjuangan kita untuk mempertahankan kampung ini akan berjaya," ujarnya pada Tok Ketua.
          "Betul, Nan!" Pak Sudin yang selama ini berdiam diri lalu menyampuk.

          "Itulah yang sebaik-baiknya," dia menyambung.

          "Bak kata orang perkara yang baik mesti disegerakan. Agar datang manfaatnya," Tok Ketua mencelah.

          Cuaca cerah terus menyinari di Kampung Teluk Pinang sehingga ke lewat petang. Seolah-olah membakar semangat dan menyalakan sinar harapan pada perjuangan Tok Ketua, Pak Sudin dan Adnan. Mempertahankan Kampung Teluk Pinang. Daripada menjadi mangsa projek mewah Dato' Zainal.










BAB 25

          Suara gemersik deburan ombak yang menghempas pantai jelas kedengaran.

          "Mah sayangkan tempat ni," luah Hasmah. Dalam nada suara yang tenang.

          Adnan sebaliknya hanya mendiamkan diri. Apabila mendengar kata-kata Hasmah itu. Dia kemudiannya lalu menarik nafas yang panjang.

          Dingin dan segar. Jelas terasa apabila menghirup angin yang bertiup dari arah laut.

          "Abang faham perasaan Mah!" dia bersuara sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Kita tak akan dapat melupakan tempat di mana kita dilahirkan dan dibesarkan," tambahnya lagi.

          "Tempat ni penuh dengan keindahan. Mah berasa bersyukur pada Tuhan. Kerana diberi kesempatan untuk hidup di tempat ni," kata Hasmah.

          "Itulah sebabnya orang kaya dari Kuala Lumpur tu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan tempat seindah ini. Untungnya sangat besar. Apabila dijadikan kawasan peranginan," dia mencelah.

          "Sehingga kami orang-orang kampung yang sudah lama tinggal di sini menjadi mangsa. Diusir demi cita-cita orang kaya dari Kuala Lumpur itu tercapai. Memperolehi keuntungan apabila projek mewah itu siap nanti," potong Hasmah dengan pantas.

          "Sudah menjadi lumrah dalam hidup manusia," ujar Adnan pula sebaliknya.

          "Bila rasa tamak menguasai diri orang macam kami penduduk kampung ni menjadi mangsa penindasan," Hasmah sekali lagi cepat menyampuk. Sebaik-baik saja mendengar apa yang dicakapkan oleh Adnan itu.

          "Mah tentu nak tahu apa jawapannya. Pada orang yang sebegini," dia berkata.
          "Apa dia, bang?" Hasmah yang bagaikan tidak sabar-sabar lagi pantas menyoal Adnan. Dari raut wajahnya yang semakin ayu itu apabila disapu angin laut jelas kelihatan rasa minat untuk mengetahui apa yang dimaksudkan oleh abang angkatnya itu.

          "Orang-orang kampung mesti menentang penindasan yang dilakukan oleh orang kaya dari Kuala Lumpur tu dan mempertahankan kampung ni habis-habisan!" ucapnya dengan rasa begitu bersemangat sekali.

          Tok Ketua mengeluh dan menggeleng-gelengkan kepala. Sejak akhir-akhir ini kejadian kecurian semakin menjadi-jadi di Kampung Teluk Pinang.

          "Tak boleh dibiarkan perkara ni. Makin teruk jadinya," Tok Ketua bersuara.

          "Memang betul, tok!" sokong Pak Mahat pula sebaliknya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Ini mesti kerja budak-budak yang menghisap dadah tu," sambungnya lagi.

          "Hei! Budak-budak ni dah tahu benda tu haram kenapalah dihisap jugak …!" rengus Tok Ketua.

          "Bila dah terdesak nak dapatkan duit beli benda haram tu terpaksalah mereka mencuri," celah Pak Ghani dengan tiba-tiba.

          "Mana dia orang beli benda haram tu?" kata Tok Ketua pada Pak Mahat dan Pak Ghani dengan rasa penuh kehairanan jelas nampak di wajahnya.

          "Entahlah, tok. Tapi saya rasa mesti ada orang di kampung ni yang membekalkan benda haram tu pada mereka. Itulah sebabnya mereka senang dapat," Pak Mahat menambah.

          "Betul jugak cakap kau tu, Mahat. Kita mesti siasat siapa yang jadi dalang membekalkan dadah pada mereka. Kegiatan yang tidak sihat ini kita mesti banteras habis-habisan!" kata Tok Ketua.

          Rancangan jahat Jamil akhirnya berhasil apabila Faizal menemui maut dalam kemalangan jalan raya.

          "Bagus! Biarkan dia mampus. Dia tak tahu aku siapa. Jamil! Tak siapa yang boleh halang. Apa yang aku nak!" Dia mengeluarkan nada suara yang berbunyi angkuh.

          "Pihak polis tak akan dapat mengesan yang kita menyebabkan kematian dia," jelas Bakar.

          "Memang itu yang aku harapkan!" Jamil mengangguk-anggukkan kepala. Dengan rasa senang jelas kelihatan di raut wajahnya. Bila mendengar kata-kata Bakar itu.













BAB 26

          Adnan pantas keluar daripada keretanya apabila dihalang oleh Harun dan kawan-kawannya di tengah jalan.

          "Dah lama aku tunggu nak belasah anak angkat Pak Sudin ni. Hari ni kau akan merasa penangan aku dengan sepuas-puasnya!" kata Harun. Dengan rasa penuh sombong dan bongkak.

          "Apa maksud saudara Harun ni?" dia sebaliknya bersuara tenang. Rasa cemas dan takut sedikit pun tidak kelihatan di wajahnya. Bila berhadapan dengan Harun dan kawan-kawannya.

          "Tunggu apalagi, Run. Mari kita ajar budak ni cukup-cukup. Baru puas hati kita!" celah Ramli pula sambil terus meluru ke arah Adnan dan melepaskan tumbukan.

          Namun begitu Adnan bukan calang-calang orang yang begitu mudah untuk ditewaskan. Kerana dia ada belajar seni mempertahankan diri. Dia dapat membaca serangan Ramli itu dan lantas menepisnya. Dengan melepaskan satu tumbukan padu pada Ramli sehingga dia jatuh tersungkur dan meraung menahan kesakitan.

          "Sial!" jerit Karim pula dengan sekuat-kuat hatinya. Sebagai tanda geram bercampur marah. Apabila melihat kawannya itu jatuh tersungkur. Akibat menerima pukulan yang dibalas oleh Adnan.

          "Nah! Kau terima ni!" Karim melepaskan tumbukan ke muka Adnan. Tapi dapat ditepis olehnya. Karim juga menerima nasib seperti Ramli. Jatuh tersungkur dan mengerang kesakitan.

          "Apalah kau orang ni. Dia seorang pun kau orang tak boleh lawan ke. Tunggu apalagi. Bangunlah. Belasah dia habis-habis!" Harun mendesak kawan-kawannya.

          Karim dan Ramli bingkas bangun walaupun badan mereka terasa sakit-sakit. Mereka berdua menurut saja apa yang diarahkan oleh Harun itu. Sekali lagi Ramli dan Karim menyerang Adnan dengan tumbukan.

          Namun begitu kedua-duanya dapat ditewaskan oleh Adnan.

          "Tak guna!" pekik Harun. Sebaik-baik sahaja melihat kedua-dua kawannya meniarap di atas tanah sambil mengerang menahan kesakitan. Disebabkan menerima pukulan yang dibalas oleh Adnan.

          "Sabar saudara Harun. Tak guna kita bergaduh." Adnan cuba menahan Harun. Yang kelihatan sudah bersiap sedia. Untuk menyerangnya.

          "Ah!" Harun membalas dengan meninggikan suara. Sambil memandang muka Adnan dengan rasa marah dan penuh geram. Seperti mahu ditelannya hidup-hidup.

          "Sabar kata kau? Disebabkan kaulah Hasmah tolak cinta aku. Tahu tak. Aku tak boleh terima semua ni. Nah! Ambik kau!" luah Harun sambil melepaskan tumbukan ke muka Adnan.

          Tapi dapat dielak olehnya. Satu tumbukan padu yang dilepaskan oleh Adnan sebaliknya hinggap di muka Harun. Sehingga menyebabkan dia jatuh terlentang. Sakitnya bukan kepalang rasanya.

          "Aku akan ajar kau cukup-cukup!" Harun lalu bangun dan menyerang Adnan. Namun mudah dipatahkan olehnya.

          Ternyata Adnan amat tangkas sekali dalam seni mempertahankan diri. Ketiga-tiga lawannya itu akhirnya kecundang juga di tangannya.

          "Tak apa …!" Harun mengangguk-anggukkan kepala dan bersuara dalam nada bunyi yang tercungap-cungap. Akibat menahan sakit dipukul oleh Adnan.

          "Hari ni hari kau …. Tapi ingat. Esok hari aku pulak. Sudah. Mari kita balik …!" ajak Harun pada kawan-kawannya. Dalam nada suara yang terputus-putus.

          Adnan sebaliknya hanya mendiamkan diri saja sambil melihat Harun dan kawan-kawannya berlalu pergi dari situ dengan menaiki motosikal.

          Datin Maria lalu menyuruh orang gajinya membuka pintu apabila kedengaran bunyi loceng.

          "Datin ada di rumah?" tanya Jamil. Sebaik-baik sahaja orang gaji Datin Maria membuka pintu.

          "Ada!" jawabnya dengan pantas.

          "Bapak siapa?" katanya lagi dalam bahasa Indonesia.

          "Saya Jamil." Dia memperkenalkan dirinya.
          "Sebentar ya. Bu. Pak Jamil ingin ketemu," beritahunya pada Datin Maria yang kelihatan sedang duduk di kerusi sofa mewah di tengah rumah.

          "Suruh dia masuk," arah Datin Maria pada orang gajinya.

          "Baik, bu!" sahut orang gajinya pula.

          "Silakan masuk, pak!" ucapnya lagi dengan rasa penuh hormat pada Jamil sambil menundukkan kepala.

          Jamil lalu mengatur langkah menuju ke ruang tamu rumah. Datin Maria menyambut kedatangan Jamil dengan rasa penuh gembira. Dia kemudiannya menyuruh orang gajinya agar menyediakan minuman.

          "Faridah mana, datin?" dia menyoal.

          "Dia keluar dengan kawannya," Datin Maria membalas.

          "Macam mana, datin? Dia dah buat keputusan ke?" ucapnya lagi.

          "Tak usah bimbang, Mil. Saya akan paksa jugak Faridah. Untuk menerima Mil sebagai suami," janji Datin Maria pada Jamil.
          "Memang itulah yang saya harapkan daripada datin. Tak sabar rasanya nak jadi menantu pada Datin Maria," usiknya.

          "Apa? Tak sabar nak jadi menantu saya?" sambut Datin Maria sambil mengangkat kepala memandang muka Jamil. Yang duduk berhadapan dengannya.

          "Ya, datin!" Jamil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Saya benar-benar menyintai Faridah. Hidup saya akan hancur. Kalau tak dapat memperisterikan dia," sambungnya lagi.

          "Saya yakin. Faridah akan menerima Jamil juga akhirnya. Kalau Jamil tak sabar nak jadi menantu saya, saya pulak tak sabar nak jadi mak mentua Jamil," tambah Datin Maria.

          Mereka sama-sama ketawa. Tak lama kemudian orang gaji Datin Maria muncul sambil membawa minuman. Datin Maria pun menjemput Jamil untuk menikmati minuman yang dihidangkan.




BAB 27

          Tok Ketua mengadakan mesyuarat dengan orang-orang kampung di balai raya.

          "Kita tak boleh putus asa. Kita mesti teruskan usaha untuk menyatukan semula orang-orang kampung ni. Hanya dengan carat tu sajalah yang dapat menyelamatkan kampung ni. Daripada menjadi mangsa projek mewah orang kaya dari Kuala Lumpur tu," Tok Ketua berkata. Sebaik-baik sahaja mesyuarat selesai.

          "Betul tu, tok! Nampaknya orang kaya dari Kuala Lumpur tu juga telah memecahbelahkan orang-orang di kampung ni. Yalah! Tengoklah tadi. Ada yang menyokong tak mahu pindah. Hah, ada jugak yang menyokong projek mewah tu. Dengan alasan dah tiba masanya untuk mencari penghidupan yang baru," celah Adnan pula sebaliknya.

          "Kita semua mesti sepakat, tok. Bila dah sepakat barulah masalah ni selesai," ujar Pak Sudin.

          "Saya bersetuju sekali dengan apa yang Pak Sudin katakan tu. Dalam dunia ni tak ada masalah yang tak dapat diselesaikan. Asalkan kita mencari jalan untuk mengatasinya," Adnan menambah.
          "Itulah yang sebaik-baiknya. Sama-samalah kita berdoa. Moga Tuhan memberikan kita semangat dan kekuatan. Untuk menghadapi perjuangan ini," jawab Tok Ketua.

          "Insya-Allah, tok!" Pak Sudin menyatakan sokongan. Dengan apa yang dikatakan oleh Tok Ketua itu. Sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Kemenangan akan sentiasa berada di pihak yang benar," sambungnya lagi.

          "Baiklah!" Tok Ketua membalas dengan anggukkan kepala.

          "Hari pun dah semakin lewat petang ni. Tak lama lagi masuk waktu maghrib. Aku minta diri dulu. Kita jumpa nanti di masjid. Assalamualaikum!" Dia bersalaman dengan Pak Sudin dan Adnan.

          "Waalaikumsalam!" Pak Sudin dan Adnan sama-sama menjawab salam. Yang dihulurkan oleh Tok Ketua itu.

          Sementara itu Dato' Zainal kembali semula bertugas setelah lama bercuti bersama keluarga di Eropah. Kematian Faizal benar-benar mengejutkannya.
          "Tak sangka …!" dia menggeleng-gelengkan kepala.

          "Dia dah tak ada lagi …," ucapnya dalam nada suara yang perlahan.

          "Apa nak buat, dato'. Ajal dia dah tiba. Saya sedih jugak. Bila dapat tahu yang dia meninggal dunia. Dalam kemalangan jalan raya." Jamil berpura-pura menunjukkan rasa simpati pada Dato' Zainal.

          "Yalah! Bagi saya dia seorang pekerja yang baik. Sentiasa bekerja kuat. Untuk membantu syarikat ni," Dato' Zainal bersuara.

          "Tak lama lagi kita dah boleh mula projek pembinaan hotel mewah di Kampung Teluk Pinang tu, dato'." Jamil mengubah tajuk perbualan.

          "Bila awak cakap pasal projek tu baru saya teringat Mr. David," sampuk Dato' Zainal pula. Apabila Jamil membangkitkan projek mewah Syarikat Kenanga Holdings Sdn. Bhd.

          "Ahli perniagaan dari Australia tu?" Dengan cepat Jamil memotong.

          "Ya!" Dato' Zainal membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Saya jumpa dia masa cuti di Eropah. Dia betul-betul berminat untuk melabur dalam projek hotel mewah kita tu. Peluang yang macam ni kita tak boleh lepaskan. Untungnya sangat besar," ingatnya kepada Jamil.

          "Dato' tak usah bimbang. Masalah orang-orang kampung tak nak pindah dah dapat kita atasi," Jamil memberikan jawapan.

          "Betul ke apa yang awak cakapkan ni, Jamil?" Dato' Zainal seakan-akan berasa tidak percaya. Bila mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Jamil itu. Namun begitu riak senyuman jelas nampak di wajahnya. Dalam fikirannya sudah terbayang. Impiannya untuk bergelar sebagai jutawan mewah melalui projek ini akan tercapai. Walaupun terpaksa melakukan penindasan terhadap orang-orang Kampung Teluk Pinang.

          "Benar, dato'!" jawab Jamil dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Saya ada orang di sana. Untuk mempengaruhi orang-orang kampung supaya bersetuju menerima projek kita. Setakat ni ada yang bersetuju untuk berpindah. Cuma beberapa orang lagi yang masih berdegil. Termasuk Tok Ketua. Tapi saya yakin. Lama-kelamaan projek ini pasti juga akan berjalan akhirnya," terangnya dengan panjang lebar pada Dato' Zainal.

          Rasa gembira lantas kelihatan di wajah Dato' Zainal sebaik-baik sahaja mendengar kata-kata pegawai pemasaran syarikatnya itu.

          "Hebat!" Dato' Zainal ketawa besar. Seolah-olah sudah berjaya memperolehi keuntungan yang besar. Hasil daripada projek pembinaan hotel mewah di Kampung Teluk Pinang. Walhal ia belum bermula lagi.

          "Awak memang hebat!" Dia terus ketawa berdekah-dekah. Sehingga tertutup kedua-dua belah matanya.

          Jamil yang duduk berhadapan dengannya memerhatikan saja gelagat yang ditunjukkannya itu.

          "Kalau projek ni berhasil awak akan terima habuan yang sungguh lumayan!" janji Dato' Zainal sambil terus ketawa riang.

          "Terima kasih, dato'!" sambut Jamil pula sebaliknya dengan mengangguk-anggukkan kepala dan memandang muka Pengarah Urusan Syarikat Kenanga Holdings Sdn. Bhd.

          Kau jangan ingat aku bodoh. Segala keuntungan hasil daripada projek mewah ini akan menjadi milik aku seorang. Ini Jamillah. Kau tengoklah nanti!" Kata-kata yang berdetik di hati kecilnya.

          Dalam pada itu, pihak polis telah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang berleluasa di sekitar Kuala Lumpur.

          "Saya yakin, sarjan. Selepas ni banyak lagi sindiket yang akan dapat kita berkas," ucap Inspektor Firdaus.

          "Dari maklumat yang saya terima kebanyakan sindiket yang terlibat dalam pengedaran dadah ada kaitan dengan lelaki yang kita sedang buru bernama Bakar. Untuk makluman tuan lagi kita sentiasa memperhebatkan gerakan untuk memberkas dia dan orang-orangnya." Penjelasan yang diberikan oleh Sarjan Daud.

          "Bagus, sarjan. Arahkan semua anggota kita untuk menjejak tempat persembunyian Bakar dan orang-orangnya. Dalam pada itu teruskan juga usaha untuk mendapatkan maklumat lelaki yang bekerja di syarikat perniagaan milik seorang dato' yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan ini," kata Inspektor Firdaus lagi.

          "Baik, tuan!" Sarjan Daud dengan cepat mengangguk-anggukkan kepala apabila mendengar arahan yang dikeluarkan oleh ketuanya itu.


















BAB 28

          Pohon-pohon rendang yang tumbuh di tepi pantai kelihatan meliuk-liuk bila ditiup oleh angin yang datang dari arah laut. Adaketikanya ke kanan. Adaketikanya ke kiri.

          Laut seperti biasa nampak tenang. Dengan desiran ombak yang tak putus-putus menghempas pantai. Siang dan malam. Sudah sebati dengan jiwa kehidupan penduduk Kampung Teluk Pinang.

          Hasmah melontarkan pandangan dengan sejauh-jauhnya ke arah laut yang membiru. Cuaca cerah menyelubungi suasana yang dipenuhi dengan warna-warna keindahan dan kedamaian. Ciptaan Tuhan Yang Esa. Bagi makhluknya yang hidup di atas dunia ini.

          "Entahlah …," Hasmah bersuara perlahan.

          "Sejak akhir-akhir ni hati Mah sentiasa saja dilanda kesedihan …!" luahnya lagi. Bersama rasa pilu yang jelas nampak di wajahnya yang ayu dan cantik itu di sebalik kain tudung yang menutupi rambutnya.

          Adnan sebaliknya hanya mendiamkan diri saja apabila mendengar kata-kata Hasmah itu yang masih lagi kelihatan memandang laut yang membiru. Suara deruan ombak yang menghempas pantai jelas kedengaran memecah suasana.

          "Kenapa, Mah?" dia lalu menyoal.

          Serta-merta Hasmah memalingkan mukanya ke arah Adnan.

          "Bila mengenangkan nasib malang yang menimpa kampung ni. Disebabkan keinginan orang kaya dari Kuala Lumpur tu untuk membina hotel mewah di kampung ni orang-orang kampung bukan saja diusir. Malah berpecah-belah. Tidak lagi hidup bersatu. Ada yang tidak mahu meninggalkan kampung ni dan ada yang mengikut apa yang disuruh oleh orang kaya dari Kuala Lumpur tu. Tambah menyedihkan anak-anak muda pula terlibat dengan dadah. Sehingga sanggup menjadi pencuri. Semata-mata untuk mendapatkan bekalan yang menjadi musuh utama negara itu," jelasnya dengan panjang lebar.

          Dengan tiba-tiba saja angin yang tadinya bertiup kencang lalu bertukar menjadi lemah dan tak bermaya. Seolah-olah turut menghulurkan simpati dan memahami apa yang kini sedang mengusik hati Hasmah.

          "Semua ini adalah cabaran, Mah. Yang harus kita hadapi," ucap Adnan pula sebaliknya.

          Harun berjumpa dengan Jamil di tempat biasa.

          "Macam mana?" Jamil bertanya.

          Harun tidak menjawab pertanyaan Jamil itu. Dia sebaliknya menghirup air Nescafe ais yang dipesannya. Manakala Jamil pula memesan air 'coke'.

          Rasa kurang senang jelas nampak di muka Jamil. Bila Harun seperti tidak mengendahkan pertanyaannya. Berkenaan mengarahkan orang-orang kampung supaya berpindah. Agar projek pembinaan hotel mewah lima bintang dapat dijalankan dengan segera.

          "Hei! Kau dengar tak apa yang aku cakapkan ni!" tegur Jamil. Dalam nada suara yang berbunyi keras.

          "Dengar!" Harun yang sedang enak menikmati minuman air Nescafe ais lalu tersentak dengan tiba-tiba apabila ditegur keras oleh Jamil.

          "Aku dah buat apa yang kau suruh," terangnya. Sambil menghabiskan terus minuman air Nescafe ais sehingga licin.

          "Jadi, orang-orang kampung semua setuju untuk berpindah?" Jamil bagaikan tidak sabar-sabar lagi lalu pantas memotong kata-kata Harun itu.

          Harun sebaliknya membalas dengan menggeleng-geleng diam.

          "Ini yang aku tak gemar ni. Hei! Takkan perkara senang macam tu pun kau tak boleh buat!" Jamil semakin naik berang apabila melihat gelagat yang ditunjukkan oleh Harun itu.

          Baginya Harun macam tidak melakukan apa yang telah disuruhnya. Sedangkan upah juga telah diterima olehnya. Malahan melambat-lambatkan lagi projek pembinaan hotel mewah bertaraf lima bintang untuk dimulakan di Kampung Teluk Pinang.

          "Senang kata kau?" Harun mengangkat muka melihat Jamil yang duduk berhadapan dengannya.

          "Yalah!" angguk Jamil pula sebaliknya dengan cepat.

          "Kau hanya perlu pujuk orang-orang kampung supaya berpindah. Itu saja. Bukannya susah sangat!" ingatnya lagi pada Harun.

          "Betul! Tapi …," Harun terhenti. Tidak dapat memberi penjelasan yang sebenarnya kepada Jamil.

          "Sudah! Walau apa alasan yang kau berikan aku tak mahu dengar. Apa yang aku tahu orang-orang kampung semua keluar dari kampung tu. Projek mewah tu berjalan dengan segera. Kau faham tak!" Dengan pantas Jamil mencelah. Sambil memberi peringatan keras kepada Harun.

          Dia kemudiannya bingkas bangun dan berlalu pergi dari situ dengan membawa bersama rasa hati yang marah. Disebabkan Harun masih lagi gagal menjalankan apa yang diarahkannya. Sementara itu Harun hanya mampu mendiamkan diri saja apabila mendengar kata-kata keras yang dikeluarkan oleh Jamil itu.

          Tok Ketua, Pak Sudin dan Pak Mahat sama-sama mengatur langkah keluar daripada masjid sebaik-baik saja  selesai menunaikan solat Isyak.

          "Tak ramai orang-orang kampung datang untuk sembahyang berjemaah di masjid sejak akhir-akhir ni," luah Pak Majid.

          "Betul kata kau, Mahat!" sokong Pak Sudin pula sebaliknya dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Tak macam selalu. Masjid ni penuh dengan jemaah. Setiap kali masuk waktu sembahyang," ulangnya lagi.

          "Nampaknya semakin teruk perpecahan berlaku di kampung kita ni. Sejak orang kaya dari Kuala Lumpur tu menyuruh kita semua berpindah. Kerana nak menjadikan kampung ni sebagai kawasan peranginan," Pak Mahat menambah.

          "Aku perasan semua ni. Kita jangan putus asa. Kita mesti teruskan usaha untuk menyatukan semula orang-orang di kampung ni dan berjuang mempertahankan kampung ni. Supaya anak cucu kita dapat menggantikan kita pada satu hari nanti sebagai nelayan di kampung yang penuh bertuah ini." Tok Ketua yang selama ini berdiam diri lalu mencelah. Dari bunyi nada suaranya itu jelas dia menunjukkan harapan yang tinggi untuk terus kekal di kampung ini.

          "Insya-Allah, tok. Moga Tuhan akan memakbulkan doa kita," Pak Mahat berkata.

          "Bagaimana pulak dengan budak-budak kampung yang terlibat dengan dadah tu, tok?" tanya Pak Sudin pula dengan tiba-tiba.

          "Masalah ni lagi besar yang melanda kampung kita. Sampai berlaku kecurian setiap hari. Disebabkan oleh mereka," Pak Mahat menyampuk.

          "Aku dah adukan perkara ini kepada pihak polis. Mereka akan ambil tindakan. Pada masa yang sama mereka mohon kerjasama kita untuk sama-sama membantu mereka membanteras perkara yang tak elok tu. Sama-samalah kita tengok nanti," jelas Tok Ketua pada Pak Sudin dan Pak Mahat.

          "Eloklah tu, tok!" sambut Pak Sudin dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Sama-samalah kita berdoa. Semoga anak-anak muda di kampung kita ni bersih daripada perkara yang tidak sihat tu," dia menyambung lagi.

          Angin malam tiba-tiba bertiup kencang. Tak lama kemudian kelihatan cahaya putih dan bunyi kilat di sebalik kaki langit yang hitam. Tanda hujan akan turun.

          Tok Ketua, Pak Sudin dan Pak Mahat lalu bergegas meninggalkan masjid dan menuju ke rumah masing-masing. Setibanya Pak Sudin di rumah hujan pun turun dengan lebatnya.

         














BAB 29

          Dato' Zainal terhenti daripada menandatangani surat-surat syarikat yang telah diserahkan oleh Norain apabila kedengaran telefon bimbitnya berbunyi. Dia pantas menjawab panggilan itu. Panggilan daripada sahabat karibnya. Dato' Badrul.

          Dia mengajak Dato' Zainal makan tengah hari bersama dengannya tengah hari ini. Dato' Zainal bersetuju menerima pelawaannya itu.

          Selepas berbual dengan Dato' Badrul melalui telefon, Dato' Zainal meneruskan semula kerja-kerjanya yang belum selesai. Menandatangani surat-surat syarikat. Sebaik-baik saja selesai menandatangani kesemua surat tersebut dia memanggil Norain dengan menekan butang telefon.

          Norain lalu mengatur langkah menuju ke bilik Dato' Zainal dan mengetuk pintu.

          Kedengaran suara Dato' Zainal dari arah dalam menyuruh dia masuk. Tangan Norain pantas menarik daun pintu bilik Dato' Zainal.

          "Ada apa, dato'?" Norain menyoal lembut.

          "Awak ambil surat-surat ni semua." Dia menyerahkannya kepada Norain.

          Surat-surat yang dihulurkan oleh Dato' Zainal itu lalu disambut oleh Norain.

          "Ada apalagi, dato'?" tanya Norain lagi.

          "Tak ada!" dia lalu menggeleng-gelengkan kepala. Apabila mendengar pertanyaan Norain itu.

          "Awak boleh pergi!" arahnya pada Norain.

          "Baik, dato'!" dia sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          Seperti yang dijanjikan Dato' Zainal pun bertemu dengan Dato' Badrul di sebuah restoran mewah. Untuk makan tengah hari bersama.

          "Macam mana percutian kau dengan keluarga di Eropah?" Dato' Badrul bertanya. Sambil menikmati hidangan yang dipesan.

          "Seronok!" dia menjawab.
          "Bagaimana pulak dengan syarikat semasa ketiadaan kau?" ujar Dato' Badrul.

          "Semuanya berjalan dengan lancar. Tapi …. Aku sedih. Dengan kematian akauntan syarikat aku. Faizal. Dia terlibat dalam kemalangan," jelasnya.

          "Aku ada dengar berita sedih tu," kata Dato' Badrul sambil melekatkan straw pada bibirnya dan terus menyedut minuman.

          "Aku benar-benar terasa kehilangannya. Dia seorang pekerja yang baik dan banyak membantu aku dalam membangunkan syarikat. Walaupun tugasnya hanya sebagai seorang akauntan," terangnya pula pada Dato' Badrul.

          "Aku rasa simpati jugak di atas kematiannya. Tapi aku sebenarnya ada perkara yang nak beritahu kau," Dato' Badrul bersuara.

          "Perkara apa, Badrul? Macam penting aje bunyinya." Dengan cepat dia memotong kata-kata Badrul itu.

          Dato' Badrul sebaliknya terdiam. Tidak meluahkan apa sebenarnya yang ingin diperkatakannya. Kepada sahabat karibnya itu.
          Namun begitu Dato' Zainal telah dapat membaca melalui raut wajah yang ditunjukkan oleh Dato' Badrul. Seolah-olah ada perkara yang tidak baik. Yang mahu diberitahu oleh Dato' Badrul kepadanya.

          "Cakaplah, Badrul. Apa dia?" desaknya bagaikan tidak sabar-sabar lagi. Supaya Dato' Badrul memberitahunya perkara yang sebenar.

          "Pasal syarikat kau," ucap Dato' Badrul.

          "Kenapa pulak?" Dia lantas terkejut apabila mendengar apa yang dicakapkan oleh Dato' Badrul itu.

          "Sebagai seorang kawan aku tak mahu kau menyesal di kemudian hari," ingat Badrul pula sebaliknya.

          "Apa maksud kau ni, Badrul?" dia menyoal sambil dalam hatinya tertanya-tanya kenapa sahabat karibnya itu berkata begitu padanya.

          "Begini, Nal. Aku dengar cerita ada penyelewengan berlaku di syarikat kau. Semasa kau pergi bercuti di Eropah," dia memberitahu perkara yang sebenarnya pada Zainal.

          "Penyelewengan?" Dia mengangkat kepala melihat muka Dato' Badrul yang duduk berhadapan dengannya. Rasa terkejut jelas nampak di mukanya. Bila mendengar apa yang dicakapkan oleh Dato' Badrul itu.

          "Ya!" angguk Dato' Badrul pula sebaliknya dengan pantas.

          "Maksud kau Jamil melakukan penyelewengan?" tanyanya tak henti-henti.

          "Aku taklah bermaksud begitu!" Dato' Badrul menjawab sambil menggeleng-gelengkan kepala.

          "Tapi kau kenalah siasat perkara ni. Sama ada betul atau tidak," nasihat Dato' Badrul lagi pada Dato' Zainal.

          "Tak mungkin Jamil melakukan perkara yang kau cakapkan tu!" gelengnya. Ternyata dia sukar untuk menerima. Apa yang diberitahu oleh sahabat karibnya itu.

          "Badrul …." Dia mengeluarkan nada suara yang berbunyi perlahan.

          "Aku kenal Jamil. Aku percaya. Dia tak akan berlaku khianat pada aku. Sebab itulah aku percayakan dia. Untuk memangku tugas aku. Sewaktu pergi bercuti di Eropah," dia menyambung.

          Angin yang datang dari arah laut bertiup kencang. Langit kelihatan mendung. Matahari tidak kelihatan langsung. Sejak dari pagi tadi sehinggalah ke petang ini.

          Tanda-tanda hujan akan turun jelas kelihatan. Namun begitu Pak Sudin dan Adnan tetap juga turun ke laut. Untuk mencari rezeki. Mereka tidak pergi ke tengah laut. Sebaliknya hanya di kawasan pesisir pantai saja. Mengelakkan daripada ditimpa hujan lebat dan ribut.

          "Tok Ketua nak kumpulkan semula orang-orang kampung," Pak Sudin bersuara. Sebaik-baik saja dia dan Adnan sampai di tepi pantai.

          "Eloklah tu, Pak Sudin. Kita tak boleh patah semangat. Kita mesti terus berjuang. Mempertahankan kampung ni dan menyatukan semula orang-orang kampung yang telah berpecah-belah," dia menyokong. Sambil membantu Pak Sudin mengemaskan peralatan menangkap ikan dan memasukkan ikan yang telah ditangkap ke dalam bekas.

          Walaupun tidak lama Pak Sudin dan Adnan berada di laut namun banyak juga ikan yang mereka dapat.

          "Setiap kali selepas sembahyang Pak Sudin tidak lupa untuk berdoa. Semoga kampung ini sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT dan sejahtera selalu," kata Pak Sudin.

          "Saya jugak begitu, Pak Sudin!" sahut Adnan pula dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Insya-Allah! Moga apa yang kita inginkan akan tercapai akhirnya. Demi kebaikan bersama kampung ni," dia menyambung.

          Deruan suara ombak yang kedengaran menghempas pantai terus segar meniupkan semangat ke dalam diri Pak Sudin dan Adnan.








BAB 30

          Faridah terserempak dari jauh Jamil kelihatan sedang keluar dengan wanita lain di pusat membeli-belah.

          "Eh tu macam Jamil, ya. Siapa perempuan tu, hah? Bukan main mesra lagi. Siap pegang tangan pulak tu," kata Hazalina.

          "Heh! Memang dasar buaya darat!" celahnya dalam nada suara yang keras bunyinya.

          "Meluat aku tengok. Muka aje nampak baik. Kalau aku, lelaki macam ni tak ingin nak jadikan suami!" tambah Hazalina pula sebaliknya.

          "Sudahlah tu, Lina! Mari kita pergi!" ajaknya.

          Hazalina menurut saja ajakan kawan baiknya itu dan lantas berlalu pergi dari situ. Setibanya di rumah Faridah lalu memberitahu perkara ini kepada ibunya.

          "Kau jangan buat cerita, Idah!" Jawapan yang diberikan oleh Datin Maria. Apabila mendengar apa yang dikatakan oleh anaknya itu.
          "Betul, mama!" angguknya dengan pantas.

          "Kalau tak percaya tanya Lina," ulangnya lagi.

          "Betul, auntie!" Hazalina menyokong sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Jamil tu kalau auntie nak tahu depan aje nampak baik. Tapi belakang …," dia terhenti. Tak dapat meneruskan kata-kata.

          "Sudah!" Dengan cepat Datin Maria memotong.

          "Mama …," Faridah cuba untuk mencelah.

          "Mama kata sudah, sudah!" bangkang Datin Maria pula sebaliknya dengan sekeras-kerasnya. Dari raut wajah yang ditunjukkannya itu jelas dia tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh anaknya itu.

          "Dengar dulu, mama …," ulangnya lagi.

          "Mama kata sudah, sudah!" Datin Maria lantas meninggikan suara. Sambil memandang wajah Faridah yang duduk berhadapan dengannya.
          Faridah lantas terdiam apabila terdengar ibunya mengeluarkan suara yang berbunyi keras. Begitu juga dengan Hazalina. Yang duduk bersebelahan dengannya.

          "Kau jangan nak buat-buat cerita. Ingat, ya. Mama tak mahu dengar lagi apa alasan kau untuk menolak Jamil. Dia akan tetap menjadi suami kau!" Dia memberi peringatan kepada anaknya.

          Mendengarkan saja kata-kata ibunya itu membuatkan Faridah berasa kecewa. Dia kemudiannya bingkas bangun dan menuju ke biliknya.

          "Melawanlah tu …!" rungut Datin Maria.

          Hazalina yang berasa tidak senang bila melihat keadaan ini lalu meminta diri untuk pulang daripada Datin Maria.

          "Degil betullah budak ni!" keluh Datin Maria sendirian di ruang tamu rumah.

          Sementara itu Harun dan kawan-kawannya semakin mewah dengan untung hasil daripada menjual dadah kepada budak-budak kampung. Sedangkan benda haram itulah yang telah menjahanamkan anak bangsanya sendiri.

          "Kita kaya!" Harun berasa sungguh gembira sambil ketawa berdekah-dekah. Dengan tangannya membilang duit yang diterima hasil daripada jualan benda yang menjahanamkan masa depan anak-anak muda di kampungnya.

          "Betul kata kau, Run," sambut Karim pula. Bahu Harun lalu ditepuk-tepuknya. Tumpang gembira.

          "Kau memang bijak, Run," puji Ramli pula sebaliknya.

          "Tak sangka kita dapat banyak duit dengan cara ni. Hah, tak payah susah-susah turun ke laut," tambah Ramli lagi.

          "Aku yakin Rim, Li!" dia mengangguk-anggukkan kepala.

          "Kita pasti akan mendapat ganjaran. Bila projek tu berjaya nanti," Harun menambah.

          "Dan barulah cik adik Hasmah pandang kau," usik Karim.

          "Sebab kau banyak duit," Ramli menyampuk.

          "Baru dia tahu aku siapa. Ya, tak?" Dia mendongakkan kepala melihat muka kedua-dua kawannya itu.

          "Orang Kaya Harun!" Karim tak henti-henti mengusik.

          Mereka bertiga lantas ketawa terbahak-bahak kerana terlalu berasa gembira apabila mendapat wang yang banyak melalui jualan benda yang kotor itu.

          Dalam pada itu Tok Ketua meneruskan usaha untuk menyatukan semula orang-orang kampung yang sedang dilanda perpecahan. Seperti yang dijanjikan dia mengatur perjumpaan di tempat biasa. Balai raya. Tapi masih lagi menemui kegagalan.

          Ada yang berpendapat dengan berpindah ke tempat baru akan meningkatkan lagi taraf hidup. Tidak kurang pula yang mahu terus kekal di kampung ini disebabkan tidak mahu berpisah dengan laut. Yang selama ini menjadi punca rezeki.

          "Tak selesai lagi masalah ni nampaknya." Kata-kata yang dikeluarkan oleh Tok Ketua. Selepas orang-orang kampung bersurai.
          "Orang-orang kampung masih lagi tak mahu bersatu. Kita mesti lakukan sesuatu. Untuk menjernihkan semula perpaduan di kampung ni," katanya lagi.

          "Betul tu, tok. Kita kena fikirkan cara yang boleh menyatukan mereka kembali. Paling saya risau bila melihat jemaah dari sehari ke sehari semakin kurang datang ke masjid. Bila dah berpecah begini," luah Pak Sudin.

          "Aku pun begitu jugak, Din!" Tok Ketua menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala dan menarik nafas yang panjang.

          "Islam amat menggalakkan sembahyang jemaah di masjid. Untuk mengeratkan lagi perpaduan di kalangan masyarakat. Sebagai ketua di kampung ni aku sedar. Harus memastikan semua penduduk di kampung ni hidup dalam bersatu padu. Dan bukannya berbalah sesama sendiri," tambah Tok Ketua.

          Desiran angin petang yang bertiup terasa mendayu-dayu menyelubungi suasana di Kampung Teluk Pinang. Seakan-akan memahami apa yang kini sedang mengusik perasaan Tok Ketua. Bersama lemah-gemalai tarian pohon-pohon dan daun-daun yang ditiup angin.
          "Saya amat bersetuju sekali dengan apa yang tok katakan tu," Adnan yang selama ini berdiam diri lalu mencelah.

          "Dalam perkara ini kita harus banyak bersabar," ucapnya lagi.

          "Sesungguhnya sabar itu separuh daripada iman. Kita harus hadapi semua ini dengan tabah. Mungkin ada hikmah di sebaliknya," Pak Sudin bersuara.

          Adnan lalu memandang wajah Tok Ketua dan Pak Sudin.

          "Saya akan fikirkan cara untuk menyatukan semula orang-orang kampung dan mengelakkan kampung ni daripada menjadi mangsa projek mewah orang kaya dari Kuala Lumpur tu," tekadnya pula.

          "Alhamdulillah!" angguk Tok Ketua dengan pantas bila mendengar apa yang dikatakan oleh Adnan itu.

          "Mudah-mudahan Allah SWT memberkati usaha murni kita ni," harap Tok Ketua lagi.

          "Insya-Allah, tok!" sahut Adnan.

BAB 31

          Pihak polis telah berjaya memberkas budak-budak kampung yang terlibat dengan dadah. Perkara ini menyebabkan Harun dan kawan-kawannya berasa bimbang.

          "Macam mana, ni? Pihak polis dah tahu kegiatan kita. Kita sekarang dalam bahaya," Ramli berkata dalam nada suara yang berbunyi cemas.

          "Betul kata Ramli tu!" sokong Karim pula sebaliknya sambil pantas mengangguk-anggukkan kepala.

          "Habislah kita kali ni. Dah tentu kita merengkuk bertahun-tahun dalam penjara," sambungnya lagi dengan rasa gelisah jelas kelihatan di mukanya.

          "Masuk penjara takpe jugak, Rim. Lepas tu kita boleh keluar. Silap-silap kita ke tali gantung. Sebab jadi pengedar dadah," tambah Ramli lagi.

          "Hei, kau ni. Buat aku makin takut lagi," Karim mencelah. Dengan rasa resah semakin nampak di wajahnya. Bila mendengar kata-kata Ramli itu.

          "Bukan aku nak menakutkan. Tapi soalnya sekarang macam yang kau cakapkan tadi. Polis dah tahu kegiatan kita. Sudah tentu sekarang mereka sedang memburu kita," ucap Ramli.

          "Kita mesti buat sesuatu. Supaya tak dapat ditangkap oleh polis," balas Karim.

          "Alah, apalah yang kau orang takut sangat dengan polis," Harun yang selama ini berdiam diri lalu pantas menyampuk.

          "Tak takut kata kau, Run. Kau jangan ambil mudah perkara ni," tegur Karim.

          "Aku tahu!" potong Harun dengan cepat.

          "Apa? Kau orang berdua aje yang nak lepaskan diri. Nak biarkan aku seorang aje yang kena tangkap!" sambungnya lagi. Dari nada suara yang dikeluarkannya itu jelas menggambarkan yang dia berasa tidak puashati. Dengan apa yang dikatakan oleh kawannya itu.
          "Dah tu?" Karim menyoal. Sambil mengangkat kepala tinggi. Memandang wajah Harun yang berdiri di depannya.

          "Apa kita nak buat?" ulangnya.

          "Senang aje!" Harun menjawab. Dengan senyuman jelas terukir di wajahnya. Sedikit pun dia tidak berasa takut. Tidak seperti kedua-dua kawannya itu.

          Jawapan yang diberikan oleh Harun itu nyata membangkitkan rasa tidak senang bagi Karim.

          "Lagi-lagi kau ambil mudah perkara ni!" bantahnya.

          "Apa susah. Kita lari aje dari kampung ni," Harun bersuara.

          "Kita nak pergi mana, Run?" sampuk Ramli.

          "Kau ikut ajelah aku. Sudah! Tak usah banyak tanya lagi. Mari kita pergi sekarang!" ajaknya.

          Tanpa mereka sedari seluruh kawasan rumah yang menjadi tempat persembunyian mereka telah dikepung oleh polis. Seorang anggota polis berpangkat inspektor kelihatan sedang mengarahkan anggotanya supaya bergerak ke pintu rumah.

          "Polis! Jangan bergerak!" kata anggota polis yang berpangkat inspector sambil mengacukan pistol ke arah Harun dan kawan-kawannya. Sebaik-baik saja pintu rumah terbuka.

          Harun, Karim dan Ramli hanya mampu tergamam apabila dikepung oleh polis dan membiarkan diri mereka ditangkap.

          "Diam!" Pegawai polis yang berpangkat inspector mengeluarkan nada suara yang keras.

          "Jangan cuba melawan!" ujarnya lagi pada Harun dan kawan-kawannya. Tangan mereka juga telah digari.

          "Tuan! Kita dah jumpa bahan-bahan bukti yang kita perlukan!" celah salah seorang daripada anggota polis. Yang tiba-tiba muncul dari arah belakang rumah.

          "Bagus!" anggota polis yang berpangkat inspektor pantas menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Awak bertiga akan didakwa kerana mengedar dadah!" dia berkata dengan memandang Harun dan kawan-kawannya yang kelihatan tunduk.

          "Sarjan!" panggilnya.

          "Tuan!" sahutnya pula.

          "Bawa mereka ke balai," arahnya lagi.

          "Baik, tuan!" angguknya.

          Dia kemudiannya mengarahkan anggotanya membawa Harun, Karim dan Ramli ke kereta peronda polis yang telah sedia menunggu di luar rumah.

          Suasana petang di Kampung Teluk Pinang diwarnai dengan cuaca cerah. Bersama irama hembusan angin yang mendayu-dayu mengusik jiwa pabila didengar.

          "Syukur alhamdulillah. Budak-budak yang terlibat dengan dadah tu dah pun ditangkap oleh polis." Tok Ketua melahirkan rasa lega.

          "Tak sangka, ya. Karim, Harun dan Ramli sanggup merosakkan budak-budak kampung ni," Pak Sudin bersuara.

          "Mereka menjadi pengedar dadah rupanya selama ni. Bak kata orang berani buat beranilah tanggung. Sudah tentu mereka akan menerima hukuman yang setimpal. Dengan kesalahan yang telah mereka lakukan," ucap Adnan pula sebaliknya.

          "Memang betul kata kau, Nan!" sokong Tok Ketua dengan mengangguk-anggukkan kepala.

          "Sama-samalah kita berdoa. Semoga lepas ni tak ada lagi budak-budak di kampung ni yang terlibat dengan dadah," dia berharap.




















BAB 32

          Dato' Zainal terperanjat apabila diberitahu oleh Nizam akauntan syarikat yang menggantikan tempat arwah Faizal bahawa duit syarikat telah habis.

          Betul ke apa yang awak cakapkan ni?" tanyanya sambil mengangkat kepala melihat muka Nizam yang duduk berhadapan dengannya.

          Betul, dato'!" angguk Nizam dengan pantas.

          "Awak jangan nak bergurau, Zam!" gelengnya sambil tersenyum kecil. Seolah-olah sukar bagi dia untuk menerima apa yang dikatakan oleh Nizam itu.

          "Ini buktinya. Dato' tengoklah sendiri." Dia menghulurkan sekeping kertas yang mengandungi penyata akaun syarikat kepada Dato' Zainal. Dia kemudiannya lantas menyambut kertas yang diberikan oleh Nizam dan melihatnya.

          "Pengeluaran wang syarikat semuanya ditandatangan oleh Encik Jamil," jelas Nizam pada Dato' Zainal.
          "Macam mana perkara ni boleh berlaku. Sedangkan dia diberi tugas sebagai pemangku pengarah syarikat sewaktu saya pergi bercuti bersama dengan keluarga di Eropah." Dia berasa amat terkejut apabila Nizam memberitahu perkara itu.

          "Dato' telah memberi surat kuasa kepada Encik Jamil untuk mengeluarkan wang syarikat," terang Nizam.

          "Surat?" Sekali lagi dia berasa terperanjat. Apabila mendengar kata-kata Nizam itu.

          "Ya, dato!" angguk Nizam.

          "Ini buktinya!" Dia menyerahkan surat itu kepada Dato' Zainal.

          Kandungan surat itu lalu dibacanya. Dalam surat itu juga tertera tandatangannya. Yang telah dipalsukan oleh Jamil. Di mana dia telah diberi kebenaran untuk mengeluarkan wang syarikat. Tanpa mendapat kebenaran daripada dia. Sebagai Pengarah Urusan Syarikat Kenanga Holdings Sdn. Bhd.

          Dato' Zainal lalu terdiam. Dia kemudiannya tunduk dan menggeleng-gelengkan kepala lemah. Seluruh tubuhnya terasa seperti tidak bermaya. Bila mengenangkan nasib malang yang telah menimpa syarikatnya.

          Dia tidak menyangka yang Jamil sanggup memusnahkan syarikatnya. Benar seperti yang dinasihatkan oleh kawan baiknya. Dato' Badrul. Agar menyiasat Jamil yang telah melakukan penyelewengan duit syarikat.

          Tapi dia tidak percaya dengan kata-kata Dato' Badrul itu. Sebagai orang kanan syarikat dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Jamil.

          Sekarang terbukti dia telah menyelewengkan duit syarikat. Kalaulah dia mendengar nasihat Dato' Badrul agar membuat siasatan terhadap Jamil tentulah perkara ini tidak akan berlaku. Dia benar-benar rasa menyesal. Namun begitu kini semuanya telah terlambat. Ibarat nasi sudah menjadi bubur.

          Tak guna untuk dirintih lagi. Syarikat Kenanga Holdings Sdn. Bhd kini berada di ambang kejatuhan. Angkara Jamil yang telah menggelapkan wang syarikat.

          Sementara itu, Jamil telah menghilangkan diri apabila Dato' Zainal mengetahui yang dia telah menyelewengkan duit syarikat.

          Dalam pada itu, pihak polis telah dapat mengesan tempat persembunyian Bakar dan orang-orangnya. Inspektor Firdaus dan anggota-anggotanya lalu mengadakan perbincangan. Untuk mengatur strategi bagi memberkas mereka.

          "Berdasarkan daripada maklumat yang diterima Bakar dan orang-orangnya bersembunyi di sebuah rumah banglo tinggal di Jalan Cempaka. Pada masa yang sama kita sudah mengenal pasti lelaki yang juga terlibat dengan Bakar dalam kes pengedaran dadah," terang Sarjan Daud.

          "Siapa dia lelaki tu, sarjan?" dia menyoal.

          "Jamil. Dia juga dikehendaki oleh polis kerana terlibat dalam penyelewengan wang Syarikat Kenanga Holdings Sdn. Bhd. dan pembunuhan Faizal akauntan syarikat," jelasnya lagi pada Inspektor Firdaus.

          "Pembunuhan?" Dia mengangkat muka sambil bertanya pada Sarjan Daud yang duduk di sebelah kanannya.
          "Benar, tuan!" Sarjan Daud sebaliknya pantas menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          "Kerana khuathir rahsianya pecah menyelewengkan duit syarikat maka dia telah merancang untuk membunuh Faizal dengan kemalangan maut. Yang turut melibatkan Bakar dan orang-orangnya," ujar Sarjan Daud lagi.

          "Baiklah!" angguk Inspektor Firdaus pula. Setelah mendengar penjelasan yang diberikan oleh Sarjan Daud itu. Sambil memandang wajah anggotanya silih berganti.

          "Kita akan ke tempat persembunyian mereka. Ingat. Mereka adalah penjenayah yang merbahaya dan paling dikehendaki. Bertindak mengikut arahan yang saya berikan. Faham!" dia menyambung.

          "Faham, tuan!" sambut anggotanya serentak.

          Melalui tingkap yang terbuka luas Jamil memandang ke arah luar yang gelap.

          "Kita akan lari ke Thailand." Kata-kata yang keluar daripada mulut Jamil. Sambil mengangkat kepala tinggi. Rasa bongkak jelas nampak di wajahnya.

          "Thailand?" Bakar seperti berasa terperanjat apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Jamil itu.

          "Ya!" dia mengangguk-anggukkan kepala. Apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh Bakar.

          "Kenapa? Kau ingat aku bergurau?" Dia pantas memalingkan mukanya ke arah Bakar yang duduk di atas kerusi dengan kedua-dua belah kakinya diletakkan di atas meja.

          "Kita nak sembunyi di mana, Mil. Lagipun kita tak ada orang yang kenal di sana," jawab Bakar pula sebaliknya.

          "Itu kau tak usah bimbang. Tahulah apa yang aku nak buat nanti. Wang syarikat Dato' Zainal aku dah kaut habis," Jamil menambah.

          "Kau memang bijak!" puji Bakar sambil tersenyum memandang muka Jamil.

          "Hidup ni mesti bijak, Bakar!" angguknya.

          "Barulah hidup kita senang," tambah Jamil lagi.

          Sementara itu di luar rumah Inspektor Firdaus mengangkat tangan sebagai isyarat mengarahkan anggotanya untuk bersiap sedia memulakan operasi memberkas penjenayah yang paling dikehendaki oleh pihak polis.

          "Dengar sini semua. Lebih baik awak semua menyerah diri. Tempat ini telah dikepung!" arah Inspektor Firdaus melalui pembesar suara.

          Serta-merta Bakar dan Jamil saling berpandangan apabila mendengar suara Inspektor Firdaus itu.

          "Hah, polis. Jahanam! Ambil tempat masing-masing. Kita hapuskan mereka!" kata Bakar dengan rasa penuh geram dan marah pada dua orang ahli kumpulannya.

          Mereka menurut saja arahan yang dikeluarkan oleh Bakar itu. Begitu juga dengan Jamil. Sudah bersedia dengan pistol di tangan. Untuk bertempur dengan pihak polis.
          "Sarjan!" Inspektor Firdaus bersuara.

          "Tuan!" sahut Sarjan Daud dengan cepat.

          "Ingatkan anggota kita. Agar bertindak sepertimana yang kita rancangkan," ulang Inspektor Firdaus.

          "Baik, tuan!" Sarjan Daud mengangguk-anggukkan kepala.

          Tembakan segera dilepaskan oleh Bakar dan orang-orangnya serta Jamil ke arah pihak polis yang diketuai oleh Inspektor Firdaus. Kesunyian suasana malam di rumah banglo tinggal di Jalan Cempaka dipecahkan dengan kedengaran bunyi tembak-menembak antara pihak polis dan kumpulan penjenayah.

          Sedas tembakan dilepaskan oleh ahli kumpulan Bakar ke arah Inspektor Firdaus. Dia dapat mengelaknya dan dengan pantas dia membalas tembakan itu dan mengenai bahagian dadanya dan meraung kesakitan dan terus jatuh di atas lantai. Bila melihat ahli kumpulannya menemui ajal di tangan pihak polis Bakar terus mengganas melepaskan tembakan. Begitu juga dengan Jamil.

          Sekali-sekala mereka mengelak daripada terkena tembakan yang dilepaskan oleh Inspektor Firdaus.

          Sarjan Daud melepaskan tembakan dan mengenai bahagian perut seorang lagi anggota kumpulan Bakar. Raungan suaranya menahan kesakitan jelas kedengaran. Dia kemudiannya lalu rebah di atas lantai. Dalam keadaan berlumuran darah. Tidak bernyawa lagi.

          "Sial!" jerit Bakar dengan sekuat-kuat hatinya. Apabila melihat seorang lagi ahli kumpulannya menemui maut di muncung senjata pihak polis.

          Dia lalu melepaskan tembakan yang bertubi-tubi kali ke arah Inspektor Firdaus dan anggotanya. Namun hujan peluru yang dilepaskan oleh Bakar dan Jamil mudah dapat dielak oleh Inspektor Firdaus dan anggotanya. Inspektor Firdaus pantas melepaskan tembakan ke arah Bakar. Tapi mengenai dinding rumah. Sehingga berlubang akibat terkena peluru.

          Kemudian giliran Bakar pula membalas tembakan yang dilepaskan oleh Inspektor Firdaus.

          Peluru pistol yang dilepaskan oleh Bakar sebaliknya tersasar. Tidak mengenai badan Inspektor Firdaus. Ini menaikkan lagi kemarahan Bakar.

          "Sial! Aku bunuh kau!" jeritnya lagi. Sambil melepaskan tembakan ke arah Inspektor Firdaus.

          Dengan pantas Inspektor Firdaus melepaskan tembakan ke arah Bakar. Yang kelihatan seperti orang yang gilang kawalan. Mengamuk melepaskan tembakan yang tak henti-henti. Tembakan yang dilepaskan oleh Inspektor Firdaus kali ini menyinggah di bahagian rusuk kanan Bakar.

          Sebaik-baik saja terkena tembakan itu Bakar lalu menjerit menahan kesakitan sambil tangan kirinya memegang bahagian rusuk kanannya yang cedera akibat terkena tembakan yang dilepaskan oleh Inspektor Firdaus.

          Dia kemudiannya lalu mengangkat pistol dengan rasa penuh marah bercampur geram cuba untuk melepaskan tembakan ke arah Inspektor Firdaus. Namun begitu Inspektor Firdaus telah lebih awal dapat membaca apa yang ingin dilakukannya. Inspektor Firdaus lalu melepaskan sedas lagi tembakan. Kali ini hinggap di dada Bakar.
          Serta-merta pistol yang dipegangnya lalu terlepas dan dia terus jatuh di atas lantai dan tidak bernyawa lagi.

          Jamil melihat mayat kawan-kawannya yang bergelimpangan di atas lantai. Inspektor Firdaus kemudiannya lalu mengarahkan dia menyerah diri. Tapi dia enggan menurut apa yang telah diarahkan oleh Inspektor Firdaus. Sebaliknya dia terus melepaskan tembakan sambil memanjat tingkap dengan membawa bersama beg berisi wang yang digelapkannya daripada syarikat Dato' Zainal.

          Salah seorang daripada anggota Inspektor Firdaus telah melepaskan tembakan dan hinggap di bahagian belakangnya. Jamil lalu jatuh tersungkur dan tidak bergerak lagi. Wang di dalam beg yang dipegangnya bertaburan di atas rumput.

          Benar kata orang. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Maka berakhirlah riwayat penjenayah yang selama ini menjadi buruan pihak polis termasuk Jamil.





BAB 33

          Kejayaan polis menumpaskan kumpulan penjenayah yang diketuai oleh Bakar mendapat liputan yang meluas di dada akhbar. Tambah memeranjatkan Jamil juga terlibat dalam kumpulan ini.

          "Mama tak sangka. Jamil rupanya selama ini adalah seorang penjenayah …." Datin Maria mengeluarkan nada suara yang perlahan.

          Faridah yang duduk bersebelahan dengannya hanya mendiamkan diri saja. Apabila mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh ibunya itu. Rasa penyesalan yang teramat sangat jelas kelihatan di wajah Datin Maria. Faridah merenungnya dalam-dalam. Renungan seorang anak kepada ibunya dengan rasa penuh kasih dan sayang.

          "Tak tahulah apa yang akan terjadi. Kalau Idah berkahwin dengan dia. Idah …. Maafkan mama …!" kata Datin Maria lagi sambil mengangguka-anggukkan kepala lemah.

          Faridah lalu menarik nafas yang panjang. Tangan ibunya lalu dipegangnya dengan rasa penuh manja. Serentak dengan itu juga senyuman terukir di wajahnya.

          "Sudahlah tu, mama!" dia membalas.

          "Syukurlah! Nasib malang tidak menimpa diri Idah," sambungnya lagi.

          Senyuman lantas nampak di muka Datin Maria. Sebaik-baik saja mendengar apa yang dikatakan oleh anaknya itu.

          Faridah kemudiannya lalu berpelukan erat dengan ibunya.

          Dalam pada itu Syarikat Kenanga Holdings Sdn. Bhd. milik Dato' Zainal telah jatuh bankrap. Akibat tekanan perasaan Dato' Zainal telah jatuh sakit. Tak lama kemudian dia pun meninggal dunia.

          Konspirasi Dato' Zainal dan Jamil menjatuhkan Syarikat Jati Holdings Sdn. Bhd. akhirnya diketahui juga oleh Adnan.

          Tidak disangkanya sama sekali. Kerana rasa cemburu akan kejayaan syarikatnya Dato' Zainal sanggup melakukan rancangan jahat. Untuk menjatuhkan syarikatnya.

          Paling mengejutkan dia Jamil yang bekerja dengan syarikatnya menjadi duri dalam daging dan bersengkongkol dengan Dato' Zainal. Memusnahkan Syarikat Jati Holdings Sdn. Bhd. Yang dibinanya dengan hasil titik peluhnya sendiri. Sehingga dia kehilangan segala-galanya. Termasuk isterinya.

          Namun dia tetap sabar dan tabah. Menerima ketentuan Tuhan Yang Esa. Yang telah ditakdirkan ke atas dirinya.

          Adnan berdiri memandang laut biru. Sambil memeluk tubuh dia mengenangkan nasib buruk yang telah menimpa dirinya. Angkara Dato' Zainal dan Jamil.

          Tambah menyedihkan hatinya apabila mengetahui Dato' Zainal dan Jamil merancang untuk membina hotel mewah bertaraf lima bintang di Kampung Teluk Pinang.

          Mereka telah menggunakan Harun dan kawan-kawannya sebagai alat untuk mempengaruhi orang-orang kampung agar berpindah dari Kampung Teluk Pinang. Bagi membolehkan projek hotel mewah yang akan mendatangkan untung yang sangat lumayan dapat dilaksanakan. Tanpa halangan.

          Akibatnya orang-orang kampung telah berpecah-belah. Ada yang mahu terus kekal di kampung ini. Dan ada yang bersetuju untuk berpindah. Untuk memberi laluan kepada Dato' Zainal melaksanakan projek mewah itu.

          Terkejut juga Adnan bila mengetahui yang Jamil terlibat dengan jenayah pengedaran dadah.

          Rupanya selama ini dialah yang telah membekalkan dadah kepada Harun dan kawan-kawannya. Untuk merosakkan anak-anak muda di kampung ini.

          Dia lagu menarik nafas dengan sedalam-dalamnya apabila memikirkan semua itu. Dalam hatinya tertanam nekad. Untuk membantu Tok Ketua. Menyatukan semula orang-orang kampung.

          Keesokan harinya orang-orang kampung pun berkumpul di balai raya.

          Adnan meminta izin daripada Tok Ketua untuk berkata sesuatu. Kepada orang-orang kampung yang kelihatan memenuhi seluruh ruang di balai raya.

          "Buatlah apa yang terbaik, Nan. Asalkan orang-orang kampung bersatu semula," kata Tok Ketua yang memakai songkok dan berbaju batik lengan panjang.

          "Insya-Allah, tok!" angguk Adnan pula sebaliknya.

          Orang-orang kampung menumpukan pandangan pada Adnan yang berdiri di hadapan. Bersebelahan dengan Tok Ketua. Yang duduk di atas kerusi.

          Dia lalu memberi salam dan pantas dijawab oleh orang-orang kampung.

          "Tuan-tuan dan puan-puan sekalian," Adnan bersuara.

          "Marilah kita semua bersatu semula. Demi kebaikan bersama kampung ni," tambahnya lagi.

          Kata-kata yang dikeluarkan oleh Adnan itu menjadikan suasana di balai raya senyap. Tanpa kedengaran suara orang-orang kampung. Dia kemudiannya lalu mengangkat kepala tinggi. Memandangkan orang-orang kampung yang duduk menghadap berhadapan dengannya.

          "Tiada gunanya kita bertelagah dan berpecah sesama sendiri. Ingatlah. Di kampung inilah kita hidup. Sama-sama turun ke laut mencari rezeki. Siang dan malam. Susah senang kita pikul bersama. Hidupkanlah semula semangat itu," ujarnya dengan panjang lebar.

          "Janganlah kerana mahu menurutkan kehendak orang kaya dari Kuala Lumpur itu kita sanggup meninggalkan kampung ini. Sehingga tidak mahu meneruskan perjuangan generasi kita yang terdahulu. Bayangkanlah apa perasaan mereka. Sekiranya mereka masih hidup lagi. Susah payah mereka untuk meneroka kampung ini tidak dihargai oleh anak cucu cicit mereka sendiri," ingatnya.

          Mendengarkan apa yang dikatakan oleh Adnan itu membuatkan orang-orang kampung terus terdiam.

          Ada yang tunduk. Mungkin menyesali dengan apa yang tidak sepatutnya dilakukan. Dalam hidup bermasyarakat di kampung. Tidak kurang pula ada mengangguk-angguk diam. Sebagai tanda mengakui akan kebenaran kata-kata Adnan itu.

          "Tuan-tuan dan puan-puan akan seperti mereka juga pada satu hari nanti. Mempunyai anak cucu cicit. Kita mesti tinggalkan mereka dengan perkara yang baik. Dan bukannya dengan perkara yang tak baik." Dia tak henti-henti mengingatkan orang-orang kampung. Sambil memandang wajah mereka.

          Apa yang dikatakan oleh Adnan itu benar-benar menyentuh rasa keinsafan di hati orang-orang kampung yang memenuhi seluruh balai raya pada petang ini.

          "Buanglah yang keruh ambillah yang jernih. Saya minta tuan-tuan dan puan-puan semua lupakanlah persengketaan. Berdamailah kembali. Hiduplah dalam semangat perpaduan. Itulah yang paling mulia. Sepertimana yang dituntut dalam agama kita," nasihatnya lagi.

          Rasa keinsafan semakin menebal nampak di wajah orang-orang kampung. Baru mereka sedari kini. Projek mewah orang kaya dari Kuala Lumpur itulah yang telah meruntuhkan tembok perpaduan yang mereka bina selama ini. Akibatnya mendatangkan keburukan kepada mereka.

          "Walaupun saya bukan anak jati kampung ni tapi saya tetap menganggap kampung ini seperti tempat kelahiran saya sendiri," jelasnya.

          "Tuan-tuan dan puan-puan sudah pastinya nak tahu kenapa saya datang kemari. Saya sebenarnya mempunyai sejarah hidup yang hitam. Jadi rasanya tak perlulah saya beritahu tuan-tuan dan puan-puan. Biarlah saya seorang saja yang menanggungnya," dia menerangkan.

          "Saya datang ke sini adalah untuk mencari ketenangan. Melupakan segala peristiwa hitam yang telah menimpa diri saya. Benar! Apa yang saya inginkan ada di kampung ini. Sayang. Kalau kita mempersiakan keindahan dan kedamaian yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada kita sebagai penduduk di kampung ini," kata Adnan tak putus-putus.

          "Tanamkanlah sedalam-dalamnya akan rasa kecintaan pada kampung ni," pintanya kepada orang-orang kampung.

          Perasaan mereka semakin terusik dan membangkitkan lagi kesedaran bahawa Kampung Teluk Pinang tempat mereka dilahirkan dan dibesarkan adalah ibarat permata. Perlu dijaga dan dikekalkan sentiasa.

          Kesenyapan terus memenuhi seluruh ruang di balai raya. Tanpa kedengaran suara orang-orang kampung. Mungkin mereka sedang menghayati kata-kata Adnan itu.

          Tidak seperti pertemuan yang diadakan sebelum ini. Ada saja bangkangan. Terutama daripada mereka yang mahu berpindah. Bila Tok Ketua meminta orang-orang kampung agar bersatu. Mencari penyelesaian masalah yang melanda kampung ini.

          "Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan projek mewah orang kaya dari Kuala Lumpur tu tak akan dilaksanakan di kampung ni," dia menjelaskan kepada orang-orang kampung.

          "Betul ke ni?" tanya salah seorang penduduk kampung. Yang duduk di barisan depan. Dari raut wajahnya jelas kelihatan rasa terkejut. Macam tak percaya. Dengan apa yang dikatakan oleh Adnan itu.

          Serentak dengan itu juga kedengaran bunyi suara seperti labah yang dikeluarkan oleh sebahagian daripada orang-orang kampung yang berada dalam balai raya. Mereka tertanya-tanya sesama sendiri. Kenapa agaknya projek mewah orang kaya dari Kuala Lumpur tu tak jadi dibuat di kampung mereka.

          "Ya!" dia menjawab sambil mengangguk dengan pantas.

          "Orang kaya dari Kuala Lumpur tu dah meninggal dunia," sambung Adnan lagi.

          "Dah meninggal dunia?" soal seorang lagi penduduk kampung. Yang juga duduk di barisan depan.

          "Saya kenal dia. Saya dulu ahli perniagaan jugak macam dia. Dia meninggal dunia kerana jatuh sakit. Disebabkan tekanan perasaan. Syarikatnya jatuh bankrap. Yang berpunca daripada duit syarikatnya yang diselewengkan oleh orang yang dipercayai di syarikatnya," katanya.

          Setelah mendengar apa yang diberitahu oleh Adnan maka orang-orang kampung pun saling berpandangan.

          Mereka kemudiannya lalu bangun sambil saling berpelukan dan bersalaman sesama sendiri. Diiringi dengan ucapan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sebagai tanda perdamaian semula.

          Ada juga yang menitiskan air mata mungkin kerana gembira dan menyesal dengan apa yang telah berlaku selama ini.

          "Syukur Alhamdulillah, Nan. Semuanya dah selesai," Tok Ketua bersuara.

          "Terima kasih, Nan. Kerana telah menyatukan semula orang-orang kampung," celah Pak Sudin pula sebaliknya dengan tiba-tiba.

          "Betul apa yang dikatakan oleh Pak Sudin tu. Tengoklah tu. Sebagai ketua di kampung ni tiada apa yang mampu tok katakan selain daripada menyatakan kesyukuran dan kegembiraan. Bila melihat orang-orang kampung terus menabur bakti sebagai nelayan di sini dan kembali berdamai semula," luah Tok Ketua pada Adnan.

          "Tok! Pak Sudin!" dia membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala dan memandang muka Tok Ketua dan Pak Sudin dengan silih berganti.

          "Apa yang saya lakukan semua ini adalah kerana Allah SWT. Dan juga demi perpaduan orang-orang di kampung ni," dia menambah.

          Sebagai tanda kesyukuran Tok Ketua akan mengadakan kenduri di rumahnya dengan menjemput orang-orang kampung.


BAB 34

          Cuaca cerah kelihatan menyinari seluruh Kampung Teluk Pinang. Umpama melahirkan rasa gembira. Dengan bersatunya semula orang-orang kampung. Yang selama ini berpecah-belah. Disebabkan pembinaan hotel mewah bertaraf lima bintang.

          Begitu juga dengan belaian angin. Mengeluarkan irama halus sepoi-sepoi bahasa.

          Seolah-olah menggambarkan rasa suka. Kampung Teluk Pinang tidak dikorbankan menjadi mangsa untuk memenuhi impian Dato' Zainal. Memiliki kesenangan hidup. Dengan terbinanya hotel mewah. Yang dirancangnya bersama dengan Jamil.

          Deruan ombak tenang membelah pantai bersama buih-buih memutih yang berapungan membasahi butiran pasir yang halus.

          "Abang rupanya menjadi mangsa penganiayaan. Tergamak hati Dato' Zainal dan Jamil. Buat begitu pada abang. Disebabkan rasa irihati. Dengan kejayaan syarikat abang," Hasmah berkata. Setelah mendengar cerita Adnan.

          Dia sebaliknya hanya mendiamkan diri saja apabila mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Hasmah itu.

          Adnan kemudiannya melemparkan pandangan ke arah laut yang tenang membiru. Tempat punca rezeki orang-orang Kampung Teluk Pinang. Sebuah perkampungan nelayan. Dari dahulu sehingga sekarang.

          Namun Dato' Zainal cuba mengubahnya. Menukar daripada sebuah perkampungan nelayan kepada kawasan peranginan. Tetapi cita-citanya itu tinggal hanya menjadi angan-angan saja. Tidak kesampaian.

          "Mah benar-benar bersimpati dengan nasib yang telah menimpa abang …." Nada suara lembut Hasmah tenggelam bersama desiran ombak. Yang tanpa jemu menghempas pantai. Siang dan malam.

          Dia kemudiannya lalu menarik nafas yang panjang. Rasa segar dan dingin jelas terasa menyusup ke seluruh badannya. Apabila menghirup udara bersih dan nyaman. Yang berapungan di tepian pantai.

          Perlahan-lahan dia mengalihkan pandangan daripada laut membiru yang berada di depannya kepada melihat wajah Hasmah.

          Wajah gadis kampung itu semakin cantik berseri-seri. Apabila dibelai oleh bayu laut yang berhembus lembut. Ibarat rembulan yang jatuh ke riba. Seperti yang selalu disebut orang. Untuk menggambarkan kecantikan paras wajah.

          "Abang redha menerimanya, Mah. Tapi yang paling penting masalah yang melanda kampung ni dah selesai," dia membalas.

          "Alhamdulillah, bang. Apa yang Mah harapkan tercapai juga akhirnya. Orang kaya dari Kuala Lumpur tu tak jadi nak buat hotel mewah di kampung ni. Dapatlah Mah kekal buat selama-lamanya di kampung ni. Orang-orang kampung pun dah bersatu semula. Taklah lagi bertelagah. Bila disuruh pindah oleh orang kaya dari Kuala Lumpur tu." Hasmah mengeluarkan nada suara yang berbunyi gembira.

          Entah mengapa. Semakin lama dia memandang wajah Hasmah yang jelita dan ayu itu semakin berdebar-debar rasa hatinya. Sebenarnya ada perkara yang hendak disampaikannya pada Hasmah.

          "Mah …," dia berkata perlahan. Wajah Hasmah direnungnya dalam-dalam.

          "Ya, bang!" sambut Hasmah pula sebaliknya dengan pantas.

          "Sebenarnya ada perkara yang abang nak beritahu, Mah. Tapi …," dia terhenti.

          Serta-merta lidahnya menjadi kelu. Bagi menyatakan maksudnya yang sebenar pada Hasmah. Rasa malu untuk berterus terang juga dengan tiba-tiba datang ke dalam dirinya. Maklumlah takut hanya bertepuk sebelah tangan saja.

          "Apa dia, bang? Cakaplah pada Mah," desak Hasmah.

          "Walau apa pun keputusan yang Mah berikan abang akan tetap menerimanya. Sebenarnya abang ingin memperisterikan Mah. Sudikah Mah menerima lamaran abang ini." Dia terus meluahkan hasratnya yang sudah lama terpendam di hati.

          Sebaik-baik sahaja mendengar apa yang diucapkan oleh Adnan itu Hasmah lalu perlahan-lahan menundukkan kepala ke bawah memandang butiran pasir halus yang putih berseri apabila terkena sinaran matahari. Apa yang ditunjukkannya itu sesuai dengan ciri-ciri yang dimilikinya sebagai seorang gadis kampung. Penuh dengan lemah-lembut dan bersopan-santun.

          "Abang ikhlas, Mah. Abang jatuh hati pada Mah sejak pertama kali kita bertemu," akuinya lagi.

          Apabila mendengarkan kata-kata yang dikeluarkan oleh Adnan itu dia kemudiannya lalu perlahan-lahan mengangkat muka semula.

          Mereka saling bertentangan mata. Wajah Adnan kelihatan tenang dan sabar. Menanti jawapan yang akan diberikan oleh gadis yang ingin dijadikannya isteri itu.

          "Mah terima lamaran abang. Tapi abang kenalah ikut adat. Beritahulah ayah. Untuk mendapatkan restu," ucap Hasmah pula sebaliknya.

          Pohon-pohon yang mengangguk-angguk ditiup angin laut seperti turut merestukan perkongsian hidup yang ingin dibina oleh Adnan dan Hasmah.

          Adnan lalu pergi ke rumah Pak Sudin untuk menyatakan hasratnya melamar Hasmah sebagai isteri.

          "Alang-alang saya dah menetap di kampung ni biarlah saya mencari pengganti isteri saya dengan gadis kampung ni. Saya harap Pak Sudin sudi menerima hajat saya. Untuk menjadikan Hasmah sebagai isteri," katanya.

          "Pak Sudin tak ada halangan. Lagipun Pak Sudin dah lama berkenan dengan Nan. Untuk dijodohkan dengan Hasmah. Bila Nan dah datang ni tertunailah sudah apa yang Pak Sudin hajati selama ini. Umpama kata orang kecil tapak tangan nyiru Pak Sudin tadahkan." Demikianlah jawapan yang diberikan oleh Pak Sudin pada Adnan.

          Di luar jelas kedengaran sayup-sayup suara ombak memecah pantai.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home