Sunday 16 November 2014

AKHIRNYA DIA PULANG JUGA

AKHIRNYA DIA PULANG JUGA
Oleh
Azaika SR

Pak Atan lalu menghirup perlahan-lahan air kopi panas yang dihidangkan oleh isterinya itu bersama dengan sepinggan goreng sukun. Kemudian dia menyucuhkan api pada rokok daun yang terjepit di bibirnya.  

Sesekali kedengaran dia terbatuk-batuk kecil. Perlahan-lahan dia menyedutnya dan menghembus asapnya keluar. Berkepul-kepul asap memutih keluar daripada mulut dan hidungnya. Kemudian hilang dibawa angin yang menerobos masuk menerusi tingkap kayu rumahnya.
“Bang …!” tegur Mak Salmah lembut.

“Dua tiga hari ni nampak termenung aje. Macam memikirkan sesuatu yang berat.”

Pak Atan sebaliknya hanya mendiamkan diri saja apabila mendengar kata-kata isterinya itu.

Kemudian dia lalu membuang habuk rokok daun ke dalam bekas. Di luar angin petang yang tadinya bertiup sepoi-sepoi bahasa tiba-tiba bertukar menjadi kencang.

Rasa nyaman angin yang datang dari arah bukit berhadapan dengan rumah Pak Atan jelas terasa apabila menyusup masuk melalui tingkap dan celah-celah papan. Begitu juga dengan pohon-pohon yang tumbuh di halaman rumahnya. Mengeluarkan irama merdu yang gemersik apabila ditiup angin.

Sungguh menyentuh perasaan apabila didengari nyanyian irama yang sungguh indah itu. Di kaki langit biru jelas kelihatan sinar matahari memancar terang-benderang ke seluruh alam semesta di desa yang permai dan indah.

“Entahlah …!” dia bersuara lemah sambil menggeleng dan menundukkan kepala perlahan-lahan ke bawah.

“Abang teringatkan Rafidah ….” Dia memandang semula wajah isterinya.

Sebaik-baik saja mendengarkan kata-kata suaminya itu rasa sayu jelas kelihatan di wajah Mak Salmah. Bersama rasa rindu yang menebal. Sudah lama dia tidak bertemu dengan anak perempuannya yang bernama Rafidah itu.

“Dialah satu-satunya anak perempuan kita, bang …!” Terketar-ketar bunyi nada suaranya menahan sendu. Serentak dengan itu juga lalu bercucuran air mata Mak Salmah menuruni pipinya. Umpama hujan yang turun membasahi atap.

Diam. Hanya itulah saja yang mampu ditunjukkan oleh Pak Atan. Apabila melihat isterinya menangis merindukan anak perempuan tunggal mereka.

“Saya sayangkan dia …. Seperti menatang minyak yang penuh …,” luah isterinya lagi.

Pak Atan sebaliknya terus mendiamkan diri. Puntung rokok daun lalu dicucuhkannya ke dalam bekas.

Masih banyak lagi air yang tinggal di dalam cawan. Asap nipis kelihatan melenggang-lengguk naik ke atas dan kemudiannya terus menghilang. Tidak terminum olehnya. Tatkala mendengar kata-kata isterinya itu.
Dia kemudiannya lalu mengalihkan pandangan ke arah pohon-pohon menghijau yang terdapat di halaman rumahnya. Mengangguk-angguk. Ditiup angin petang yang kedengaran berirama syahdu membelai jiwa. Seolah-olah turut mempersetujui dengan apa yang dinyatakan oleh isterinya itu.

Setelah puas merenung jauh kata-kata isterinya itu dia kemudiannya lalu memandang semula wajah isterinya. Yang masih lagi jelas nampak dibungkus dengan rasa kesedihan teramat sangat.

“Abang pun begitu …!” dia bersuara perlahan sambil menundukkan kepala.

“Abang rasa menyesal. Sebab memaksa dia supaya menurut segala kemahuan abang. Sehingga dia lari meninggalkan kita. Mungkin kerana sikap keras abang maka dia telah mengambil keputusan itu.”

Semakin banyak air mata Mak Salmah yang tumpah. Bila mendengar kata-kata suaminya itu. Kemudian lalu dikesatnya dengan lengan baju. Yang sudah kusang nampaknya.

“Entah di manalah dia berada sekarang. Dah lama kita tak mendengar khabar berita daripada dia. Hari raya pun dia tak balik ….”
Mak Salmah tak henti-henti menangis. Apabila terkenangkan anak perempuannya itu. Hanya itu sajalah perasaan yang mampu digambarkan oleh ibu tua itu.

Lantaran mendengar luahan rasa itu maka Pak Atan lalu menenangkan isterinya.

“Sabarlah. Abang yakin satu hari nanti dia akan pulang semula ke pangkuan kita. Sama-samalah kita berdoa.”

Tiba-tiba kedengaran bunyi kereta memasuki halaman rumah mereka. Pak Atan lalu menjengahkan kepala ke luar.

“Ada orang datang nampaknya. Mari kita pergi tengok!” dia mengajak isterinya. Mak Salmah pantas bangun daripada kerusi dan mengikut suaminya menuju ke arah pintu.

Pintu kereta pun terbuka.

“Rafidah!”

Pak Atan dan Mak Salmah berasa seakan-akan tidak percaya. Dengan apa yang telah mereka lihat di depan mata sekarang. Anak yang setelah sekian lama dirindui akhirnya kembali semula ke pangkuan mereka.

Tanpa berlengah lagi dia lalu mengatur langkah pantas. Menuju ke arah ayah dan ibunya yang berada di pintu.

“Maafkan Rafidah, ayah ….” Dia menangis sambil mencium kedua-dua belah tangan ayahnya.

Kemudian dia lalu mencium kedua-dua belah tangan dan memeluknya ibunya pula.

“Maafkan Rafidah, mak ….”

“Syukur alhamdulillah. Akhirnya kau balik jugak, nak!” Mak Salmah memeluk anaknya dengan seerat-eratnya. Seperti tidak mahu melepaskan dia pergi lagi.

Bersama diiringi dengan tangisan kegembiraan. Bahu Rafidah dibasahi dengan air mata ibunya. Begitu juga dengan bahu Mak Salmah. Dibasahi dengan air mata anak yang telah lama dirinduinya.
Demikianlah tebalnya ikatan kasih sayang antara seorang ibu dengan seorang anak. Yang tak akan terputus dan berkekalan buat selama-lamanya. Di dunia mahupun di akhirat jua.

Rafidah kemudiannya lalu perlahan-lahan memandang wajah ayahnya. Air matanya masih lagi berlinangan.

“Ayah minta maaf, Rafidah. Dengan sikap ayah pada kau selama ini.”

Rafidah pantas membalas dengan menggeleng-gelengkan kepala:
“Ayah tak bersalah!”

“Rafidah yang bersalah!” angguknya lagi.

“Ayah …! Mak …! Rafidah benar-benar rasa menyesal. Dengan apa yang telah Rafidah lakukan selama ini …!” Dia melihat wajah ayah dan ibunya dengan silih berganti.

“Ayah dan mak dah lama maafkan kau. Sudahlah tu! Buang yang keruh ambil yang jernih. Marilah kita masuk ke dalam!” ajak Pak Atan pula sebaliknya.
Kesyahduan …. Jelas terasa menyelubungi suasana. Sebagai tanda turut berkongsi perasaan. Dengan bertautnya kembali ikatan kasih sayang tiga beranak itu setelah sekian lama terputus.

Pak Atan, Mak Salmah dan Rafidah lalu mengatur langkah masuk ke dalam rumah.

Suasana pagi di Kampung Kuala Sialang disinari dengan cuaca cerah. Bagaikan turut melahirkan rasa gembira. Menyambut semula kepulangan Rafidah ke pangkuan ayah dan ibunya.

Rafidah mengambil cuti yang panjang. Dia ingin melepaskan dengan sepuas-puasnya rasa rindu yang setelah sekian lama terpendam kepada kedua-dua ibu dan bapanya.

Mak Salmah juga menghidangkan makanan yang digemari oleh Rafidah sejak kecil lagi iaitu lempeng bercicahkan sambal tumis ikan bilis untuk sarapan pagi ini.

Memang berselera benar Rafidah memakannya. Maklumlah sudah lama dia tidak menikmati masakan ibunya itu.
Malahan dia turut sama membantu ibunya di dapur. Untuk menyediakan makanan kegemarannya itu selepas menunaikan solat Subuh. Secara berjemaah bersama dengan ayah dan ibunya di surau.

Rafidah juga telah menyatakan hasrat untuk membawa kedua-dua ibu bapanya tinggal bersama di rumah yang telah dibelinya. Tidak lama lagi dia akan berpindah ke rumah baru itu.

Namun ayah dan ibunya berasa amat keberatan sekali untuk menerima ajakannya itu.

“Tak apalah, Rafidah. Ayah dan mak sayang nak tinggalkan rumah pusaka ni,” ujar ayahnya.

“Betul kata ayah kau tu. Rumah nilah satu-satunya harta pusaka yang ayah dan mak ada. Selain daripada tanah kebun di hujung kampung tu,” sampuk ibunya pula.

Dia terus berusaha untuk memujuk ayah dan ibunya.

“Ayah …! Mak …!” Rafidah memandang wajah mereka berdua dengan silih berganti. Yang duduk berhadapan dengannya sambil menikmati sarapan pagi.
“Rafidah bukannya apa. Kasihan tengok ayah dan mak. Bila duduk dengan Rafidah dapatlah Rafidah jaga bila sakit pening nanti. Nak harapkan adik-beradik yang lain semua tinggal jauh.”

“Tak usahlah kau risaukan tentang semua tu, Rafidah. Ayah dan mak sejak dari dulu lagi dah biasa tinggal di kampung. Mana mungkin ayah dan mak serasi tiba-tiba aje tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur tu.”

“Janganlah hampakan harapan saya. Memang dah lama saya berhasrat untuk mengajak ayah dan mak tinggal bersama. Sebab itulah saya beli rumah sendiri. Bila ayah dan mak teringatkan rumah ni kita pulanglah sesekali bersama,” rayunya.

Dengan harapan ayah dan ibunya akan berubah pendirian. Menerima ajakannya untuk tinggal bersama dengannya di Kuala Lumpur.

“Tak apalah, Rafidah. Ayah dan mak akan tetap tinggal di rumah ni. Kalau ada rezeki dan diizinkan Tuhan nanti ayah dan mak akan datang ke rumah baru kau tu,” ibunya berkata.

“Ayah jugak harap bila kau ada kelapangan pulanglah jenguk ayah dan mak. Ayah dan mak tak harap sangat kau beri duit belanja. Hasil kebun di hujung kampung tu pun dah cukup untuk menyara hidup ayah dan mak. Dengan kau pulang bertanya khabar pun dah cukup untuk menggembirakan hati ayah dan mak,” tambah ayahnya.

“Insya-Allah!” sambut Rafidah pula.

         
           


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home