Sunday 16 November 2014

DEBAT MUSIM PANAS




          Sudah lama hujan tidak turun. Hampir berbulan-bulan lamanya. Maka ia menjadi perdebatan antara Kudin, Seman dan Jali.

          “Panas betul sekarang ni!” kata Kudin.

          “Air pun tak ada!” tambah Seman pula.

          “Aku biar tak ada letrik. Jangan tak ada air. Susah!” ujar Kudin lagi. Dengan mengangkat muka dan mengangguk-anggukkan kepala. Memandang Seman yang duduk berhadapan dengannya.

          Tak lama kemudian Pak Latip muncul. Membawa minuman dan makanan yang dipesan oleh Kudin dan Seman. Kudin memesan air teh manakala Seman pula air kopi ‘o’. Makanan sama iaitu nasi lemak telur goreng.

          Perlahan-lahan Pak Latip meletakkan minuman dan makanan yang dipesan Kudin dan Seman di atas meja. Asap nipis yang keluar daripada minuman dan makanan yang masih lagi panas itu jelas kelihatan teroleng-oleng naik ke atas. Kemudian lalu menghilang dibawa angin pagi yang bertiup perlahan.

          Setelah meletakkan minuman dan makanan di atas meja Pak Latip kemudiannya lalu memandang wajah Kudin dan Seman.

          “Kau berdua tak pergi ke kebun ke hari ni?” dia menyoal.

          Kudin yang mula hendak menyuap nasi lemak ke dalam mulut lalu terhenti. Apabila mendengar pertanyaan yang keluar daripada mulut Pak Latip itu. Dia lalu melemparkan pandangan pada Pak Latip. Yang kelihatan tercegat berdiri. Sambil memegang dulang yang telah kosong.

          “Tak larat saya nak bekerja dalam panas macam ni,” jawab Kudin.

          Pak Latip lalu menggeleng-gelengkan kepala apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh Kudin itu.

          “Apa? Pak Latip tak percaya ke dengan cakap saya ni?” ujarnya.

          “Bukan itu maksud aku, Din,” jelas Pak Latip.

          “Dah tu?” pantas Kudin memotong sambil makan nasi lemak.

          “Walaupun dalam keadaan panas sekarang ni kita kenalah bekerja. Untuk mencari rezeki anak bini,” dia mengingatkan Kudin.

          Seman yang selama ini berdiam diri kerana begitu berselera sekali menikmati nasi lemak lalu menyampuk:
“Itu kita orang tahu, Pak Latip. Tapi macam yang dicakapkan Kudin tadi. Panas sekarang bukan panas biasa. Rasa macam api. Mana terdaya kita orang berdua nak mengerjakan kebun tu. Bukannya kecil.”

“Lainlah macam Pak Latip ni. Warung Pak Latip ada atap. Mana ada kena panas,” sampuk Kudin. Dalam nada suara yang berbunyi perli.

“Terpulanglah pada kau orang berdua. Aku nasihat aje. Kau orang berdua makanlah. Aku ada banyak kerja nak buat.” Pak Latip lalu beredar meninggalkan Kudin dan Seman.

Sambil menikmati minuman dan makanan Kudin dan Seman menyambung semula perbualan yang terhenti buat seketika. Tentang musim panas yang dialami sekarang ini.

“Bukan setakat tak ada air aje, Din. Ramai yang kena demam, batuk dan selsema,” Seman bersuara.

“Itulah bahana musim panas, Man. Kebakaran hutan pun selalu berlaku. Akibatnya terjadilah jerebu.”

“Tapi kau mesti ingat, Din. Dalam musim panas macam ni ada jugak orang yang untung.”

          “Untung?” Kudin seperti berasa hairan. Dengan apa yang dikatakan Seman itu.

          “Ya!” Seman membalas pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

          “Siapa yang untung, Man?” tanya Kudin lagi. Sambil mengangkat kepala memandang Seman.

          “Alah kau, ni. Itu pun tak dapat tangkap. Siapa lagi kalau bukan orang yang menjual air batu. Musim panas macam ni mana lalu kita makan nasi. Asyik rasa dahaga je,” terang Seman pula sebaliknya. Dengan penuh panjang lebar.

          “Ya tak ya jugak kata kau tu, Man!” angguk Kudin dengan cepat. Sebagai tanda menyokong dengan apa yang dikatakan Seman itu.

          “Kalau macam tu aku pun nak meniaga air batulah!” sambungnya lagi.

          Seman lalu ketawa sehingga terangkat kedua-dua belah bahunya. Bila mendengar apa yang dikatakan oleh Kudin itu. Serta-merta rasa tidak senang jelas kelihatan di muka Kudin. Dengan gelagat yang ditunjukkan Seman itu.

Dia kemudiannya pantas mendongakkan kepala memandang Seman yang masih lagi ketawa.

“Kenapa dengan kau ni, hah? Lucu sangat ke kalau aku nak berniaga air batu?”

“Janganlah marah, Din!” dia lalu menenangkan Kudin. Apabila menyedari suara yang dikeluarkan Kudin itu berbunyi rasa kemarahan. Disebabkan dia diketawakan bila ingin menjadi penjual air batu di musim panas. Yang dialami sekarang ini.

“Meniaga air batu ni mesti ada modal dan rajin. Kau pulak musim panas macam ni ke kebun pun malas,” tambahnya lagi.

“Sudahlah!” Kudin sebaliknya pantas memotong.

“Paku dulang paku serpih. Mengata orang kau yang lebih!” bidasnya lagi.

“Aku bergurau aje. Apalah kau ni, Din. Itu pun kau dah naik melenting,” balas Seman pula. Dia kemudiannya lalu mencuri pandang ke arah dua buah cawan dan dua buah pinggan yang dipenuhi dengan sisa-sisa minuman dan makanan. Kudian hanya mendiamkan diri saja apabila mendengar kata-kata Seman itu.

Sementara itu matahari kian meninggi di kaki langit. Kepanasan bahangnya jelas terasa menyimbah ke seluruh kampung. Angin yang datang dari arah bukit yang terletak tidak jauh dari warung Pak Latip bertiup dalam nada irama sepoi-sepoi bahasa.

Pohon-pohon bagai menari-nari. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Mengikut rentak tiupan angin. Daun-daun yang bergeseran jelas kedengaran bernyanyi-nyanyi riang. Sungguh menghiburkan jiwa bersama dengan suasana tenang dan damai.
Sekali-sekala juga kedengaran bunyi bergemertap ranting patah dan daun-daun kering berguguran menimpa tanah.

Tak lama kemudian kedengaran bunyi motosikal berhenti di depan warung Pak Latip.

Jali turun dari motosikal dan menuju ke dalam warung Pak Latip. Dia kemudiannya lalu memberi salam dan pantas disambut oleh Pak Latip.

“Baru balik dari kebun, Jali?” tegur Pak Latip ramah sambil menghulurkan tangan dan berjabat salam dengan Jali.

“Ya, Pak Latip!” sambut Jali pula sambil perlahan-lahan mengatur langkah menuju ke arah Kudin dan Seman. Setelah bersalaman dengan kedua-dua mereka dia kemudiannya lalu duduk di atas kerusi bersebelahan dengan Kudin.

“Kau nak minum apa, Jali?” Pak Latip menyoal sambil menghampiri Jali.

“Macam biasa, Pak Latip. Air teh ‘o’ panas,” dia menjawab.

“Makan?” tanya Pak Latip lagi.

“Tak apalah, Pak Latip. Saya nak minum aje,” ucap Jali pula.

Pak Latip lalu beredar pergi untuk menyediakan minuman yang dipesan Jali.

“Larat kau pergi ke kebun panas macam ni,” kata Seman.

“Dah kerja namanya, Man. Kenalah pergi walaupun panas terik. Tambah pulak pisang di kebun aku tu bertandan-tandan pulak buahnya,” Jali membalas.

Tak lama kemudian Pak Latip muncul semula sambil membawa air teh ‘o’ yang dipesan Jali.

“Panas sekarang ni luar biasa. Tanaman semua mati. Sampaikan malam pun tak boleh tidur,” Kudin bersuara.

“Kita tak boleh mengeluh, Din. Semua ni datangnya daripada Tuhan. Sebagai manusia kita harus menerima. Apa yang telah ditentukannya,” ulas Jali.

“Tapi panasnya macam api. Rasa nak terbakar kulit,” celah Seman.

“Bukan itu saja. Air di empangan pun dah makin susut. Sebab hujan tak turun,” Kudin menyampuk.

“Ini semua ujian Tuhan kepada kita. Baru panas di dunia kita tak tahan. Belum lagi di padang masyhar nanti,” Jali berkata.

Mendengarkan apa yang dikatakan Jali itu lalu membuatkan Kudin dan Seman jadi terdiam dengan tiba-tiba.

“Kita seharusnya bersyukur. Musim panas yang kita alami tidaklah membawa kepada kemarau berpanjangan seperti negara lain. Bahkan juga mengakibatkan kematian penduduknya,” ucap Jali.

Kudin dan Seman terus mendiamkan diri. Sambil merenung dengan sedalam-dalamnya. Akan kebenaran apa yang dinyatakan oleh Jali itu.

Angin yang dengan tiba-tiba bertiup kencang menjadikan pohon-pohon seperti mengangguk-angguk. Bagaikan tanda menyatakan persetujuan. Dengan apa yang telah diulaskan Jali itu.
“Panas atau hujan harus kita terima. Dengan rasa penuh kesyukuran. Bila kita didatangkan dengan sesuatu dugaan seperti musim panas yang kita alami sekarang ini kita harus sentiasa berdoa dan mengadakan solat hajat. Memohon agar hujan turun. Insya-Allah. Tuhan akan memakbulkan permintaan kita,” nyata Jali.

Kudin lalu menarik nafas yang panjang dan bersuara:
“Memang betul kata kau, Jali …!” angguknya perlahan.

Itulah sebaik-baiknya ikhtiar yang perlu dilakukan,” dia menyambung lagi.

“Bukannya merungut ….” Seman sebaliknya mengeluarkan nada suara yang berbunyi kekesalan. Dengan apa yang telah dilakukannya. Dalam menghadapi musim panas yang melanda sekarang ini.

“Mulai hari ini aku bertekad. Tak akan menjadikan panas sebagai alasan untuk tidak pergi ke kebun. Besok aku akan bekerja kuat. Biarpun dalam keadaan panas terik,” azam Kudin.

“Aku pun begitu, Din!” Seman juga menanamkan ikrar yang sama sambil pantas mengangguk-anggukkan kepala.

“Baguslah macam tu!” kata Jali pula sebaliknya. Dengan rasa penuh gembira yang jelas kelihatan di wajahnya.

“Malam nanti di masjid selepas solat Maghrib kita minta imam untuk memimpin solat hajat,” dia menambah lagi.

Demikianlah berakhirnya debat Kudin, Seman dan Jali dalam musim panas.



AKHIRNYA DIA PULANG JUGA

AKHIRNYA DIA PULANG JUGA
Oleh
Azaika SR

Pak Atan lalu menghirup perlahan-lahan air kopi panas yang dihidangkan oleh isterinya itu bersama dengan sepinggan goreng sukun. Kemudian dia menyucuhkan api pada rokok daun yang terjepit di bibirnya.  

Sesekali kedengaran dia terbatuk-batuk kecil. Perlahan-lahan dia menyedutnya dan menghembus asapnya keluar. Berkepul-kepul asap memutih keluar daripada mulut dan hidungnya. Kemudian hilang dibawa angin yang menerobos masuk menerusi tingkap kayu rumahnya.
“Bang …!” tegur Mak Salmah lembut.

“Dua tiga hari ni nampak termenung aje. Macam memikirkan sesuatu yang berat.”

Pak Atan sebaliknya hanya mendiamkan diri saja apabila mendengar kata-kata isterinya itu.

Kemudian dia lalu membuang habuk rokok daun ke dalam bekas. Di luar angin petang yang tadinya bertiup sepoi-sepoi bahasa tiba-tiba bertukar menjadi kencang.

Rasa nyaman angin yang datang dari arah bukit berhadapan dengan rumah Pak Atan jelas terasa apabila menyusup masuk melalui tingkap dan celah-celah papan. Begitu juga dengan pohon-pohon yang tumbuh di halaman rumahnya. Mengeluarkan irama merdu yang gemersik apabila ditiup angin.

Sungguh menyentuh perasaan apabila didengari nyanyian irama yang sungguh indah itu. Di kaki langit biru jelas kelihatan sinar matahari memancar terang-benderang ke seluruh alam semesta di desa yang permai dan indah.

“Entahlah …!” dia bersuara lemah sambil menggeleng dan menundukkan kepala perlahan-lahan ke bawah.

“Abang teringatkan Rafidah ….” Dia memandang semula wajah isterinya.

Sebaik-baik saja mendengarkan kata-kata suaminya itu rasa sayu jelas kelihatan di wajah Mak Salmah. Bersama rasa rindu yang menebal. Sudah lama dia tidak bertemu dengan anak perempuannya yang bernama Rafidah itu.

“Dialah satu-satunya anak perempuan kita, bang …!” Terketar-ketar bunyi nada suaranya menahan sendu. Serentak dengan itu juga lalu bercucuran air mata Mak Salmah menuruni pipinya. Umpama hujan yang turun membasahi atap.

Diam. Hanya itulah saja yang mampu ditunjukkan oleh Pak Atan. Apabila melihat isterinya menangis merindukan anak perempuan tunggal mereka.

“Saya sayangkan dia …. Seperti menatang minyak yang penuh …,” luah isterinya lagi.

Pak Atan sebaliknya terus mendiamkan diri. Puntung rokok daun lalu dicucuhkannya ke dalam bekas.

Masih banyak lagi air yang tinggal di dalam cawan. Asap nipis kelihatan melenggang-lengguk naik ke atas dan kemudiannya terus menghilang. Tidak terminum olehnya. Tatkala mendengar kata-kata isterinya itu.
Dia kemudiannya lalu mengalihkan pandangan ke arah pohon-pohon menghijau yang terdapat di halaman rumahnya. Mengangguk-angguk. Ditiup angin petang yang kedengaran berirama syahdu membelai jiwa. Seolah-olah turut mempersetujui dengan apa yang dinyatakan oleh isterinya itu.

Setelah puas merenung jauh kata-kata isterinya itu dia kemudiannya lalu memandang semula wajah isterinya. Yang masih lagi jelas nampak dibungkus dengan rasa kesedihan teramat sangat.

“Abang pun begitu …!” dia bersuara perlahan sambil menundukkan kepala.

“Abang rasa menyesal. Sebab memaksa dia supaya menurut segala kemahuan abang. Sehingga dia lari meninggalkan kita. Mungkin kerana sikap keras abang maka dia telah mengambil keputusan itu.”

Semakin banyak air mata Mak Salmah yang tumpah. Bila mendengar kata-kata suaminya itu. Kemudian lalu dikesatnya dengan lengan baju. Yang sudah kusang nampaknya.

“Entah di manalah dia berada sekarang. Dah lama kita tak mendengar khabar berita daripada dia. Hari raya pun dia tak balik ….”
Mak Salmah tak henti-henti menangis. Apabila terkenangkan anak perempuannya itu. Hanya itu sajalah perasaan yang mampu digambarkan oleh ibu tua itu.

Lantaran mendengar luahan rasa itu maka Pak Atan lalu menenangkan isterinya.

“Sabarlah. Abang yakin satu hari nanti dia akan pulang semula ke pangkuan kita. Sama-samalah kita berdoa.”

Tiba-tiba kedengaran bunyi kereta memasuki halaman rumah mereka. Pak Atan lalu menjengahkan kepala ke luar.

“Ada orang datang nampaknya. Mari kita pergi tengok!” dia mengajak isterinya. Mak Salmah pantas bangun daripada kerusi dan mengikut suaminya menuju ke arah pintu.

Pintu kereta pun terbuka.

“Rafidah!”

Pak Atan dan Mak Salmah berasa seakan-akan tidak percaya. Dengan apa yang telah mereka lihat di depan mata sekarang. Anak yang setelah sekian lama dirindui akhirnya kembali semula ke pangkuan mereka.

Tanpa berlengah lagi dia lalu mengatur langkah pantas. Menuju ke arah ayah dan ibunya yang berada di pintu.

“Maafkan Rafidah, ayah ….” Dia menangis sambil mencium kedua-dua belah tangan ayahnya.

Kemudian dia lalu mencium kedua-dua belah tangan dan memeluknya ibunya pula.

“Maafkan Rafidah, mak ….”

“Syukur alhamdulillah. Akhirnya kau balik jugak, nak!” Mak Salmah memeluk anaknya dengan seerat-eratnya. Seperti tidak mahu melepaskan dia pergi lagi.

Bersama diiringi dengan tangisan kegembiraan. Bahu Rafidah dibasahi dengan air mata ibunya. Begitu juga dengan bahu Mak Salmah. Dibasahi dengan air mata anak yang telah lama dirinduinya.
Demikianlah tebalnya ikatan kasih sayang antara seorang ibu dengan seorang anak. Yang tak akan terputus dan berkekalan buat selama-lamanya. Di dunia mahupun di akhirat jua.

Rafidah kemudiannya lalu perlahan-lahan memandang wajah ayahnya. Air matanya masih lagi berlinangan.

“Ayah minta maaf, Rafidah. Dengan sikap ayah pada kau selama ini.”

Rafidah pantas membalas dengan menggeleng-gelengkan kepala:
“Ayah tak bersalah!”

“Rafidah yang bersalah!” angguknya lagi.

“Ayah …! Mak …! Rafidah benar-benar rasa menyesal. Dengan apa yang telah Rafidah lakukan selama ini …!” Dia melihat wajah ayah dan ibunya dengan silih berganti.

“Ayah dan mak dah lama maafkan kau. Sudahlah tu! Buang yang keruh ambil yang jernih. Marilah kita masuk ke dalam!” ajak Pak Atan pula sebaliknya.
Kesyahduan …. Jelas terasa menyelubungi suasana. Sebagai tanda turut berkongsi perasaan. Dengan bertautnya kembali ikatan kasih sayang tiga beranak itu setelah sekian lama terputus.

Pak Atan, Mak Salmah dan Rafidah lalu mengatur langkah masuk ke dalam rumah.

Suasana pagi di Kampung Kuala Sialang disinari dengan cuaca cerah. Bagaikan turut melahirkan rasa gembira. Menyambut semula kepulangan Rafidah ke pangkuan ayah dan ibunya.

Rafidah mengambil cuti yang panjang. Dia ingin melepaskan dengan sepuas-puasnya rasa rindu yang setelah sekian lama terpendam kepada kedua-dua ibu dan bapanya.

Mak Salmah juga menghidangkan makanan yang digemari oleh Rafidah sejak kecil lagi iaitu lempeng bercicahkan sambal tumis ikan bilis untuk sarapan pagi ini.

Memang berselera benar Rafidah memakannya. Maklumlah sudah lama dia tidak menikmati masakan ibunya itu.
Malahan dia turut sama membantu ibunya di dapur. Untuk menyediakan makanan kegemarannya itu selepas menunaikan solat Subuh. Secara berjemaah bersama dengan ayah dan ibunya di surau.

Rafidah juga telah menyatakan hasrat untuk membawa kedua-dua ibu bapanya tinggal bersama di rumah yang telah dibelinya. Tidak lama lagi dia akan berpindah ke rumah baru itu.

Namun ayah dan ibunya berasa amat keberatan sekali untuk menerima ajakannya itu.

“Tak apalah, Rafidah. Ayah dan mak sayang nak tinggalkan rumah pusaka ni,” ujar ayahnya.

“Betul kata ayah kau tu. Rumah nilah satu-satunya harta pusaka yang ayah dan mak ada. Selain daripada tanah kebun di hujung kampung tu,” sampuk ibunya pula.

Dia terus berusaha untuk memujuk ayah dan ibunya.

“Ayah …! Mak …!” Rafidah memandang wajah mereka berdua dengan silih berganti. Yang duduk berhadapan dengannya sambil menikmati sarapan pagi.
“Rafidah bukannya apa. Kasihan tengok ayah dan mak. Bila duduk dengan Rafidah dapatlah Rafidah jaga bila sakit pening nanti. Nak harapkan adik-beradik yang lain semua tinggal jauh.”

“Tak usahlah kau risaukan tentang semua tu, Rafidah. Ayah dan mak sejak dari dulu lagi dah biasa tinggal di kampung. Mana mungkin ayah dan mak serasi tiba-tiba aje tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur tu.”

“Janganlah hampakan harapan saya. Memang dah lama saya berhasrat untuk mengajak ayah dan mak tinggal bersama. Sebab itulah saya beli rumah sendiri. Bila ayah dan mak teringatkan rumah ni kita pulanglah sesekali bersama,” rayunya.

Dengan harapan ayah dan ibunya akan berubah pendirian. Menerima ajakannya untuk tinggal bersama dengannya di Kuala Lumpur.

“Tak apalah, Rafidah. Ayah dan mak akan tetap tinggal di rumah ni. Kalau ada rezeki dan diizinkan Tuhan nanti ayah dan mak akan datang ke rumah baru kau tu,” ibunya berkata.

“Ayah jugak harap bila kau ada kelapangan pulanglah jenguk ayah dan mak. Ayah dan mak tak harap sangat kau beri duit belanja. Hasil kebun di hujung kampung tu pun dah cukup untuk menyara hidup ayah dan mak. Dengan kau pulang bertanya khabar pun dah cukup untuk menggembirakan hati ayah dan mak,” tambah ayahnya.

“Insya-Allah!” sambut Rafidah pula.